Anda di halaman 1dari 5

Elemen Pembelajaran Abad ke-21

(Sekolah di bawah Program TS25 KPM)


Dr. LEE BIN SAAT
IPGM Kampus Tum Abdul Razak, Samarahan

Pengenalan:

Dalam proses menyediakan warganegara Malaysia dengan pendidikan yang lengkap bagi
mengisi dua keperluan utama iaitu keperluan individu dan keperluan negara, kurikulum perlu
dirancang dan diurus dengan teliti. Ini amat penting untuk menentukan supaya kurikulum ini
sesuai dengan keperluan dan berkualiti cemerlang. Pembangunan tenaga manusia dan tenaga
rakyat menjelang abad ke 21 tidak terhad kepada penyediaan dan pembekalan tenaga pekerja
yang berketrampilan dalam sektor-sektor perindustrian dan perdagangan sahaja.

Kurikulum bagi abad ke-21 perlu dibentuk supaya relevan dan koheran dengan keadaan
pada masa itu dan boleh memenuhi matlamat-matlamat yang ditentukan. Garis panduan tentang
bentuk, isi dan pelaksanaan kurikulum itu pastinya ditentukan oleh senario yang dapat dilihat
dari aliran pembangunan dan kemajuan teknologi.

Perancangan kurikulum abad ke-21, mestilah bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik
supaya dapat menentukan corak masyarakat dan profil bangsa dan warganegara Malaysia.
Warganegara Malaysia bagi abad ke-21 mestilah dapat menangani cabaran yang akan dibawa
arus oleh globalisasi, ledakan ilmu dan maklumat. Warganegara berupaya merancang masa
depan mereka dan mampu membuat pilihan yang bijak dan tepat sesuai dengan budaya dan
nilai-nilai semasa.

Penekanan Kurikulum:

Untuk memenuhi matlamat mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersikap terbuka dan kreatif,
kurikulum yang direncanakan mestilah mampu membekalkan pelajar dengan kesediaan diri yang
kukuh dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Fokus pengisian kurikulum semestinya lebih
daripada penguasaan pengetahuan dan kemahiran asas tetapi kepada penguasaan berbagai-
bagai kemahiran iaitu :-

• kemahiran berfikir secara kritikal dan kreatif

• kemahiran berkomunikasi secara berkesan


• kemahiran menikmati keindahan ciptaan dan seni

• kemahiran membuat pilihan dan membuat keputusan

• kemahiran mencari, menginterpretasi dan mengaplikasi maklumat

• kemahiran bergaul dan bekerjasama dengan orang lain

• kemahiran kepimpinan dan pengurusan

Proses Pengajaran dan Pembelajaran:

Pengajaran dan pembelajaran merupakan aspek penting dalam pelaksanaan kurikulum.


Menjelang abad ke 21 pelajar perlu mendapat segala kemudahan yang disediakan untuk
membantu mereka dalam proses pembelajaran. Komputer sudah pasti digunakan secara meluas.
Sumber pengetahuan utama abad ke 21 kelak merupakan sumber yang berkaitan dengan
teknologi maklumat. Dengan itu kemudahan seperti komputer, multimedia, cekera padat dan
corridorraya multimedia seperti 'internet' perlu disediakan untuk digunakan oleh semua pelajar.
Adalah diharapkan pengajaran dan pembelajaran pada abad ke-21 dibentuk sepenuhnya oleh
komputer. Ini bukan bertujuan membantu guru dengan penggunaan teknologi tetapi untuk
menimbulkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih menyeronokkan, berkesan dan
lebih bermakna kepada pelajar.

a. Teknologi Maklumat/Komputer

Dalam konteks pendidikan, teknologi maklumat merupakan peralatan teknologi


komunikasi atau sistem rangkaian elektronik yang boleh digunakan untuk mengumpul,
menyimpan, memproses, menyalurkan dan menyampaikan maklumat secara pantas dan tepat
seperti internet atau multimedia atau hypermedia untuk membantu proses pengajaran dan
pembelajaran. Perkembangan bidang teknologi maklumat telah dapat memudahkan manusia
berkomunikasi dalam mengurus, menyimpan dan menyebar maklumat dengan lebih canggih
sama ada dalam bentuk data teks, imej atau suara.

Pelajar dalam abad ke 21 pasti berada dalam gelombang teknologi maklumat, untuk itu
setiap pelajar perlu celik komputer. Ini kerana komputer berupaya meningkatkan mutu
pembelajaran. Sudah sampai ketikanya komputer menjadi alat standard di semua sekolah di
peringkat rendah, menengah dan lepasan menengah.

b. Pengajaran dan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar

Proses pengajaran dan pembelajaran dalam abad ke 21 masih tetap berpusatkan pelajar. Malah
ia perlu dipertingkatkan daripada apa yang diamalkan sekarang. Guru memainkan peranan lebih
penting kepada pelajar dengan melibatkan pelajar sepenuhnya secara aktif dalam semua aktiviti
sama ada di dalam atau di luar darjah. Guru lebih-lebih lagi berperanan sebagai pemudah
(fasilitator) pembelajaran dan berperanan sebagai pembekal maklumat.

Pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang oleh guru bagi membina
dan mengukuhkan minat murid terhadap pembelajaran. Murid dibimbing supaya bersedia
menerima pengajaran dan berupaya untuk meneruskan pembelajarannya sendiri. Pelajar ketika
itu perlu dilatih untuk berdikari, yakin pada diri sendiri dan meningkatkan rasa tanggungjawab.

Dalam rangka pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar, tenaga pengajar/guru


di sesebuah bilik darjah sekurang-kurangnya terdiri daripada seorang guru dan seorang
pembantu guru untuk membimbing pelajar yang tidak melebihi 25 orang pelajar. Keadaan kelas
dengan dua orang guru dengan sekelompok murid patut dijadikan amalan bagi meningkat dan
mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar.

c. Pendidikan Jarak Jauh

Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) merupakan kesinambungan inovasi kreatif dalam pendidikan diri
abad ke 20 ke abad ke 21. Peluasan PJJ seharusnya sampai ke sekolah dari peringkat rendah
lagi tidak sahaja terhad di pusat-pusat pengajian tinggi. Pendidikan Jarak Jauh dalam proses
pengajaran dan pembelajaran abad ke 21 mengambil kira faktor-faktor berikut:

• Bilangan hari persekolahan adalah fleksibel (mungkin tidak lebih tiga hari seminggu)

• Setiap sekolah mempunyai kemudahan komputer

• Penggunaan bahan pembelajaran yang telah diterbitkan sebagai asas untuk pelajar

• Bahan khusus yang terancang untuk memenuhi keperluan belajar individu


• Kebolehubahan (flexibility) kandungan kurikulum bahan pembelajaran melalui struktur
modular

• Pembentukan bahan pembelajaran yang terancang dan sistematik mengandungi objektif


yang jelas, alat ujian kendiri, aktiviti pembelajaran dan maklum balas pelajar.

d. Pendekatan Modular

Pendekatan secara modular berperingkat kesukaran bagi setiap tajuk disediakan dalam bentuk
bercetak dan/atau CD-ROM untuk satu-satu tahun pengajian. Modul ini disediakan untuk semua
mata pelajaran di semua peringkat persekolahan.

Pelajar boleh beralih ke modul berikutnya apabila selesai menggunakan modul yang
disediakan tanpa menunggu arahan guru. Pendekatan modul ini telah diamalkan di institusi
pengajian tinggi tempatan. Apa yang perlu ialah menyesuaikannya mengikut tahap kebolehan
pelajar.

e. Mastery Learning

Pendekatan pembelajaran berfokus kepada penguasaan pelajar terhadap sesuatu perkara yang
diajarkan kepada mereka. Penguasaan pelajar ditentukan melalui ujian diagnostik. Tindakan
susulan diberikan kepada mereka yang belum menguasai supaya kelemahan mereka tidak
terhimpun di akhir setiap pembelajaran.

f. 'Tracking' dan 'Banding'

Bergantung kepada tahap penguasaan pembelajaran, pelajar ditempatkan dalam


beberapa kumpulan sama ada kumpulan asas (basic), kumpulan umum (general) atau kumpulan
maju (advance). Pembelajaran juga dilaksanakan mengikut sistem banding iaitu 'vertical' dan
'horizontal'. Melalui sistem ini pelajar berubah kelas mengikut kebolehan dalam mata pelajaran.
Misalnya pelajar Tahun 2 sekolah rendah boleh mempelajari matematik Tahun 3 sekiranya ia
sudah menguasai kemahiran matematik Tahun 2.

g. Sistem Kredit

Unit kredit adalah nilai masa/tempoh dan tugasan yang diperlukan oleh pelajar untuk
menyiapkan kerja-kerja kursus yang telah ditetapkan bagi setiap kursus pengajian. Kerja-kerja
kursus ini termasuklah menghadiri kelas, membuat kerja projek, tugasan, kerja-kerja makmal dan
amali. Pelajar dibenarkan mengulang mata pelajaran yang tidak mencapai asas yang ditetapkan.

Penilaian:

Aspek penilaian kemajuan pelajar adalah penting untuk menentukan tahap penguasaan,
kemahiran dan penghayatan. Maklumat tentang tahap penguasaan pelajar menjadi petunjuk
untuk membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran seterusnya. Alat-alat dan
perkaedahan penilaian mestilah benar-benar dapat mengukur dengan tepat kebolehan dan
keupayaan pelajar seperti berikut

a) Penilaian Berasaskan Sekolah


b) Penilaian Berterusan
c) Penilaian Berasaskan Elemen Subjek
d) Penilaian Proses di samping Penilaian Hasil
e) Authentic Assessment
f) Penilaian Hasil Pembelajaran (Learning Outcomes)
g) Bench Marking
h) Ujian/ Peperiksaan Secara Online

Rumusan:

Perlu ditegaskan bahawa apa pun bentuk reformasi kurikulum yang dianjurkan tidak akan dapat
hasil yang diharapkan jika tidak diikuti dengan penyusunan semula di dalam bidang-bidang lain,
kerjasama di antara agensi-agensi di Kementerian Pendidikan dan mengambil perhatian yang
berat tentang pelaksanaannya. Dalam menjayakan hasrat penubuhan Sekolah Bestari, tumpuan
utama seharusnya diberikan kepada pembangunan prasarana teknologi, penyediaan latihan
semula guru, penyediaan bahan kursus dan format penilaian, di samping penglibatan pihak
swasta, ibu bapa dan komuniti dalam menangani tugas yang besar ini.

Anda mungkin juga menyukai