Anda di halaman 1dari 7

1.

0 PENGENALAN

Salah satu faktor wujudnya semangat nasionalisme dalam diri masyarakat Tanah Melayu
adalah disebabkan oleh dasar imperialisme yang diamalkan oleh para imperialis barat. Edward
(2008) mendefinisikan imperialisme sebagai dasar sesebuah negara meluaskan pengaruh dan
wilayahnya dengan menjajah negara lain atas kepentingan tertentu. Pada peringkat awal,
tujuan asal imperialisme Barat adalah untuk menguasai perdagangan rempah namun
perkembangan Revolusi Perindustrian di Eropah telah menjadikan persaingan kuasa Eropah
semakin sengit. Portugal mendahului kuasa-kuasa Barat yang lain apabila berjaya menawan
Melaka pada tahun 1511. Menurut Sivachandralingam (2002), imperialisme Barat di Asia
Tenggara bermula sejak abad ke-16 kerana didorong oleh hasrat penjajah untuk menguasai
ekonomi sehingga mengubah sistem politik dan sosial tanah jajahannya. Hal ini menyebabkan,
hak-hak penduduk Tanah Melayu baik dari aspek politik, ekonomi mahupun sosial telah
dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak imperialis.

Imperialisme telah membangkitkan semangat nasionalisme masyarakat tanah Melayu. Dalam


konteks ini, Noresah (2011) mendefinisikan nasionalisme sebagai pergerakan untuk mencapai
kebebasan ekonomi dan politik daripada kuasa asing atau dalam erti kata lain perasaan cinta
akan bangsa dan negara yang mendalam. Perubahan-perubahan yang telah dilakukan oleh
pihak imperialis baik dari segi politik, ekonomi mahupun sosial ke atas Tanah Melayu telah
menghidupkan semangat nasionalisme dalam diri masyarakat Tanah Melayu.
R.Suntharalingam dan Abdul Rahman (1985) menyatakan bahawa nasionalisme di Tanah
Melayu diklasifikasikan kepada dua bentuk gerakan iaitu gerakan radikal (bersenjata) dan
sederhana iaitu gerakan yang dijalankan melalui pertubuhan dan desakan media massa.

Justeru, penulisan ini akan menghuraikan dengan lebih teliti cara imperialisme membawa
kebangkitan semangat nasionalisme dalam diri masyarakat Tanah Melayu. Penulisan ini
terbahagi kepada tiga bahagian. Bahagian pertama akan membincangkan tentang perubahan
politik yang dibawa oleh imperialis ke Tanah Melayu dan bagaimana perubahan ini
membangkitkan semangat nasionalisme dalam diri masyarakat Tanah Melayu. Bahagian kedua
dan ketiga pula akan diteruskan dengan aspek ekonomi dan sosial. Sekiranya, perkaitan-
perkaitan antara dasar-dasar ini difahami dan dihayati, nescaya penjajahan yang pernah
melanda negara tidak akan berulang pada masa yang akan datang dan semangat nasionalisme
akan tersemai kukuh dalam diri masyarakat Malaysia.

1
2.0 PERUBAHAN POLITIK YANG DILAKUKAN OLEH PIHAK IMPERIALIS DAN
KEBANGKITAN NASIONALISME DALAM MENENTANG PERUBAHAN TERSEBUT

Dasar imperialisme yang diamalkan oleh penjajah telah mengubah struktur politik di Tanah
Melayu. Perubahan drastik tersebut telah menyebabkan orang Melayu kehilangan kuasa untuk
mentadbir tanah sendiri. Hal ini telah menimbulkan kemarahan dalam diri masyarakat Tanah
Melayu dan mereka bangkit untuk menentang perubahan tersebut.

2.1 Perubahan Politik Pertama : Raja-Raja Melayu Hilang Kuasa Memerintah

Semasa menjajah, pihak imperialis telah menghapuskan institusi beraja di Tanah Melayu. Hal
ini terlihat jelas berlaku semasa zaman penjajahan Portugis di Melaka. Dalam konteks ini, ()
menyatakan bahawa selama 130 tahun Melaka dijajah oleh pihak Portugis, Sultan Melaka iaitu
Sultan Mahmud tidak dibenarkan sama sekali untuk memerintah malah baginda diperangi
habis-habisan oleh pihak Portugis dan akhirnya baginda mengundur diri ke Johor dan Riau
bersama-sama dengan putera baginda, Raja Ahmad.

Penguasaan sewenang-wenangnya ke atas Melaka telah menyedarkan penduduk Tanah


Melayu bahawa mereka perlu bangkit bagi merampas semula tampuk pemerintahan dari tangan
pihak Portugis. Dalam konteks ini, Ahmad Jelani (2008) menyatakan bahawa Sultan Mahmud
telah mengetuai beberapa siri peperangan bagi merampas semula Melaka daripada pihak
Portugis. Serangan baginda akhirnya berjaya setelah mendapat bantuan daripada pihak
Belanda. Jelaslah bahawa imperialisme yang diamalkan oleh pihak Portugis telah berjaya
membangkitkan semangat perang ataupun nasionalisme dalam diri masyarakat Melayu Melaka.

2.2 Perubahan Politik Kedua : Sistem Birokrasi Barat

Pihak imperialis barat juga telah memperkenalkan sistem birokrasi barat yang telah menafikan
hak memerintah kaum Melayu ke atas tanah mereka sendiri. Noresah (2011) mendefinisikan
sistem birokrasi sebagai sebuah sistem pemerintahan yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai
yang tidak dipilih oleh rakyat dan melibatkan berbagai-bagai proses pengurusan dan banyak
peraturan. B. Simandjuntak (1985) menyatakan bahawa antara ciri-ciri umum sistem birokrasi
Barat yang diamalkan oleh pihak British di Tanah Melayu adalah mereka telah membahagikan
Tanah Melayu kepada tiga bahagian iaitu Negeri-Negeri Selat (Melaka, Singapura dan Pulau
Pinang), Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) dan
Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (Kedah, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Johor). Di

2
Negeri-Negeri Selat telah ditempatkan residen kaunselor, manakala di Negeri-Negeri Melayu
Bersekutu dan Tidak Bersekutu pula telah diperkenalkan sistem residen dan sistem penasihat.

Menurut Cheah dan Abu Talib (1990) tugas utama residen dan penasihat British adalah
menasihati Sultan dalam semua perkara kecuali hal ehwal agama Islam dan adat istiadat
Melayu. Dasar inilah yang menjadi pemangkin kepada hilangnya kuasa mentadbir para
pemerintah Melayu. Hal ini demikian kerana menurut Fuziah dan Ruslan (2001) Raja-Raja
Melayu tidak mempunyai kuasa untuk mempersoalkan setiap dasar-dasar yang diperkenalkan
oleh pihak British. Bukan itu sahaja, residen juga telah mengambil alih pentadbiran negeri
daripada pembesar tempatan. Para pembesar diberikan pencen malah jawatan mereka
digantikan oleh pegawai British. Impaknya, perubahan ini telah menjatuhkan maruah pemimpin
tempatan sekaligus mencabar sistem pentadbiran tempatan.

Sehubungan itu, maka tercetuslah usaha-usaha dan percubaan untuk membebaskan diri
daripada cengkaman British seperti pemberontakan Dol Said di Naning pada tahun 1895.
Dalam konteks ini, Buyong (1981) menyatakan bahawa penentangan masyarakat tempatan
terhadap pihak British bermula akibat tindakan pihak British sendiri yang mencuba untuk
campur tangan dalam urusan pentadbiran Naning yang ditadbir oleh Dol Said. Tindakan British
yang menghalang Penghulu Dol Said menyelesaikan kes-kes jenayah di Naning serta
penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan ke atas Melaka turut dijalankan di Naning
telah menimbulkan kemarahan penduduk tempatan. Jelaslah bahawa sistem birokrasi Barat
yang diamalkan oleh pihak British di Tanah Melayu telah membangkitkan semangat
nasionalisme dalam diri penduduk demi membebaskan tanah air daripada cengkaman pihak
asing.

2.1 Rumusan

Dapatlah disimpulkan bahawa perubahan politik yang dibawa oleh imperialis Barat ke Tanah
Melayu seperti menghapuskan institusi beraja dan memperkenalkan sistem birokrasi yang
mengambil alih kuasa pentadbiran tempatan telah berjaya membangkitkan semangat juang dan
nasionalisme dalam diri masyarakat Tanah Melayu. Atas dasar cinta akan tanah air,
masyarakat Tanah Melayu bangkit bagi mencapai kebebasan politik tanah air daripada
cengkaman para imperialis Barat.

3.0 PERUBAHAN EKONOMI YANG DILAKUKAN OLEH PIHAK IMPERIALIS DAN


KEBANGKITAN NASIONALISME DALAM MENENTANG PERUBAHAN TERSEBUT

3
Revolusi perindustrian yang berlaku di Eropah telah mendesak negara-negara Barat untuk
segera mencari tanah jajahan bagi memastikan bahan-bahan mentah yang diperlukan oleh
mereka sentiasa cukup. Impaknya, struktur ekonomi di Tanah Melayu telah diganggu-gugat
malah kekayaan hasil bumi di rantau ini juga telah mereka bolot.

3.1 Perubahan ekonomi : Dasar Pecah dan Perintah

Dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh penjajah British merupakan punca wujudnya
jurang antara kaum sama ada dari sudut ekonomi dan juga polarisasi kaum. Cheah dan Abu
Talib (1990) mentakrifkan dasar pecah dan perintah sebagai suatu strategi dalam maksud untuk
mendapatkan dan menakluk sesebuah kawasan atau wilayah dengan cara memecahkan
kelompok kuasa yang besar kepada kelompok yang lebih kecil. Dalam pengamalan dasar ini,
pihak imperialis Inggeris telah membahagikan kawasan-kawasan di Tanah Melayu mengikut
fungsi ekonomi yang berlandaskan kaum.

Imigran Cina yang telah mereka galakkan untuk masuk ke Tanah Melayu tinggal di bandar-
bandar menjalankan perniagaan dan juga di kawasan-kawasan lombong sebagai pelombong.
Sementara orang-orang Melayu tinggal di luar bandar sebagai petani atau nelayan kecil. Kaum
India kebanyakannya pula sebagai buruh kasar kerajaan dan pekerja di ladang. Pada
hakikatnya kegiatan ekonomi orang-orang Melayu dan India adalah bercorak sara diri. Keadaan
ini menyebabkan kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera khususnya Melayu menjadi
lemah dan ketinggalan.

3.2 Kebangkitan Nasionalisme Dalam Menentang Perubahan

Tindakan pihak British yang tidak memperdulikan pembangunan ekonomi masyarakat Melayu
sedikit sebanyak telah meningkatkan semangat nasionalisme dalam diri masyarakat Melayu.
Dalam konteks ini, orang Melayu merasakan bahawa mereka juga mempunyai hak untuk maju
di tanah sendiri. Dalam erti kata lain, orang Melayu mula sedar bahawa kekayaan ekonomi
mereka telah dicuri sedikit demi sedikit oleh pihak imperialis dan para imigran yang datang ke
Tanah Melayu.

Berikutan itu, telah muncul beberapa gerakan nasionalisme yang bertujuan untuk menyuntik
semangat ingin maju dalam diri masyarakat Melayu. Menurut Uqbah et al (2016), pendekatan
yang digunakan oleh para nasionalis pada tahap ini lebih bersifat intelek dan kurang radikal iaitu
melalui saluran media massa sahaja. Dalam konteks ini, medium-medium yang digunakan
adalah seperti penerbitan majalah dan novel-novel. Contohnya, dalam Majalah Guru yang

4
ditulis oleh Muhammad Dato’ Muda Linggi, Yusuf Ahmad dan Mohd. Sidin Rashid, masyarakat
Melayu digesa untuk memberikan peluang pendidikan kepada anak-anak mereka di samping
berusaha bagi membaiki taraf hidup diri. Jelaslah bahawa tindakan pihak British yang hanya
membiarkan penduduk Melayu terus ketinggalan di kampung-kampung telah berjaya
membangkitkan semangat nasionalisme dalam diri masyarakat Melayu.

3.3 Rumusan

Dapatlah dirumuskan bahawa dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh pihak British
ketika menjajah Tanah Melayu telah berjaya menyedarkan orang Melayu bahawa mereka harus
segera bangkit untuk memajukan diri. Sekiranya penerbitan-penerbitan diperbanyakkan dan
usaha yang lebih giat dilakukan seperti mengadakan kempen, nescaya orang Melayu akan
lebih cepat sedar dan bangkit demi menentang penindasan ekonomi oleh pihak penjajah.

4.0 PERUBAHAN SOSIAL YANG DILAKUKAN OLEH PIHAK IMPERIALIS DAN


KEBANGKITAN NASIONALISME DALAM MENENTANG PERUBAHAN TERSEBUT

Salah satu kesan ketara yang dibawa oleh imperialisme adalah perubahan dari aspek sosial
masyarakat di Tanah Melayu. Cheah dan Abu Talib (1990) menyatakan bahawa kedatangan
imperialis Barat ke Tanah Melayu telah mengakibatkan aspek sosial masyarakat Melayu
semakin mundur khususnya dalam aspek pendidikan.

4.1 Perubahan Sosial : Pengasingan Sistem Pendidikan

Semasa British menjajah Tanah Melayu, British kurang memberi perhatian terhadap peluang
pendidikan buat anak-anak Melayu malah menurut Lofti (1988), hala tuju pendidikan semasa
zaman penjajahan British bertujuan untuk menyekat peluang orang Melayu daripada
mengembangkan bakat mereka dan untuk memisahkan mereka daripada perkembangan sosio-
ekonomi negara. Dasar ini jelas membuktikan bahawa hak orang Melayu untuk mendapatkan
pendidikan dinafikan semasa zaman penjajahan Inggeris.

Mohammad Idris et al (1995) menyatakan bahawa terdapat tiga peringkat pendidikan yang
dianjurkan oleh British semasa mereka menjajah Tanah Melayu. Peringkat yang pertama
adalah pendidikan British rendah dan menengah yang dihadiri oleh oleh kanak-kanak
bangsawan Melayu dan hartawan Cina dan India. Peringkat seterusnya adalah sekolah Melayu
peringkat rendah yang mendapat bantuan daripada pihak British dengan matlamat menjadikan
mereka sebagai petani yang lebih pandai daripada ibu bapa mereka. Peringkat yang ketiga

5
adalah wujudnya sekolah vernakular Cina dan India yang berlandaskan negara asal masing-
masing. Setiap jenis sekolah tersebut mempunyai falsafah dan hala tuju pengajaran dan
kurikulum yang berbeza.

Impak signifikan daripada pengasingan sistem pendidikan ini adalah kemunduran intelek
masyarakat Melayu. Bukan itu sahaja, sistem pendidikan yang berasingan ini juga menjadi
perintis kepada kewujudan polarisasi kaum yang amat ketara di Tanah Melayu. Sehubungan
itu, telah terdetik semangat nasionalisme dalam diri masyarakat Melayu untuk memajukan taraf
pendidikan agar tidak terus ketinggalan oleh kaum-kaum yang lain.

4.2 Kebangkitan Nasionalisme dalam Menentang Perubahan

Pada tahun 1930-an telah muncul wartawan-wartawan seperti Dato’ Onn Ja’afar dan Abdul
Rahim Kajai. Tulisan mereka yang bernas telah berjaya membangkitkan kesedaran untuk
memajukan diri dan bersatu padu dalam diri masyarakat Melayu. Ramlah (1992) menyatakan
bahawa mereka juga mengkritik dasar-dasar British yang menekan orang Melayu. Persoalan
tentang pendidikan dibangkitkan oleh akhbar secara menyeluruh pada tahun tersebut bertujuan
untuk menyedarkan dan seterusnya memajukan bangsa Melayu.

Dalam konteks ini, akhbar-akhbar seperti Warta Malaya, Lembaga Malaya, Majlis, Utusan
Melayu dan Warta Negara telah membangkitkan beberapa isu mengenai pendidikan di Tanah
Melayu. Antara isu yang dibangkitkan adalah isu mengenai pendidikan tinggi untuk orang
Melayu dan pendidikan untuk anak perempuan. Bukan itu sahaja, akhbar-akhbar tersebut juga
menggalakkan tabungan di kalangan orang Melayu untuk pendidikan anak-anak dan meminta
taraf sekolah Melayu dibaiki dengan memberikannya nilai ekonomi. Jelaslah bahawa akibat
daripada sikap imperialis British yang mengenepikan soal pendidikan orang Melayu, beberapa
nasionalis telah bangkit bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu agar segera
memajukan diri.

4.3 Rumusan

Pendek kata, kedatangan imperialis British ke Tanah Melayu yang menggalakkan kemasukan
buruh asing telah menyebabkan orang Melayu mundur dalam aspek pendidikan. Justeru, telah
muncul beberapa penerbitan akhbar bagi menentang dan mengkritik dasar yang memundurkan
masyarakat Melayu ini. Jelaslah bahawa pendidikan amat penting dalam kemenjadian dan
kemerdekaan sesebuah negara.

6
5.0 PENUTUP

Secara keseluruhannya, jelaslah bahawa dasar imperialisme yang diamalkan oleh para
imperialis Barat baik oleh pihak Portugis, Belanda mahupun British telah membawa banyak
perubahan ke atas aspek politik, ekonomi dan sosial Tanah Melayu. Perubahan-perubahan ini
telah membawa kepada kebangkitan semangat nasionalisme dalam diri masyarakat Melayu.
Namun, gerakan nasionalisme kelihatan lebih menonjol dalam era penjajahan British.
Semangat nasionalisme yang sentiasa digilap dan digiat dari tahun ke tahun ini akhirnya
menjadi penyebab signifikan kepada merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957.

Jelaslah bahawa semangat nasionalisme amat penting diterapkan dalam diri setiap generasi di
negara ini khususnya dalam kalangan generasi muda. Hal ini demikian kerana semangat
nasionalisme merupakan senjata dalaman paling ampuh bagi menjaga kesejahteraan negara
daripada dijajah sekali lagi oleh kuasa asing. Dengan adanya semangat nasionalisme yang
tebal dalam diri setiap warganegara Malaysia, nescaya negara akan terhindar daripada
gangguan kuasa-kuasa asing. Justeru, sudah menjadi tugas para pendidik di negara ini untuk
menanamkan semangat nasionalisme yang tinggi dalam diri setiap generasi muda demi
merealisasikan aspirasi kerajaan untuk melahirkan sebuah negara yang ampuh luaran dan juga
dalaman.

Anda mungkin juga menyukai