Anda di halaman 1dari 6

TUGASAN 2: Membanding beza secara kritis dan kreatif perkembangan dan pencapaian

Islam pada zaman khalifah Daulah Umaiyah dengan khalifah Daulah Abbassiyah.

Kajian Kes: Membanding Beza Perkembangan dan Pencapaian Islam Daripada Aspek
Pendidikan pada Zaman Khalifah Daulah Umaiyah dengan Khalifah Daulah Abbassiyah.

1.0 Pendahuluan

Kerajaan Abbasiyah telah muncul sebagai pusat perkembangan ilmu sejak


pemerintahan Khalifah Abu Jaafar al-Mansur dan mencapai zaman kemuncaknya ketika
pemerintahan Khalifah Al-Ma’mun. Meskipun kerajaan ini melalui era kemerosotan pada
zaman pemerintahan Bani Buwaih dan Bani Saljuk, namun peranannya dalam bidang ilmu
tetap utuh. Pada zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyah dan Umaiyyah, ilmu aqli (bukan
agama) telah mengalami perkembangan yang membanggakan berikutan kelahiran ramai
tokoh ilmuan yang unggul dalam bidang-bidang seperti ilmu falsafah, mantik, perubatan,
matematik, astronomi, ilmu hadis dan fiqh. Semuanya bermula dengan pendidikan di masjid,
kuttab, istana khalifah dan berkembang kepada adanya perpustakaan pada zaman Daulah
Umaiyah dan Daulah Abbassiyah. Oleh itu, penulisan yang dihasilkan ini merupakan kajian
kes yang akan dilaksanakan terhadap aspek pendidikan pada zaman Daulah Umaiyah dan
Daulah Abbassiyah.

2.0 Pernyataan Masalah

Tajuk ini dipilih berdasarkan beberapa kajian literatur yang telah dilakukan. Antara
kajian yang dilakukan ialah ‘Faktor Pembangunan dan Kemunduran Pengajian Sains Islam
Silam oleh Alias Bin Azhar pada tahun 2010. Kajian ini hanya menyentuh secara umum
bidang Sains pada zaman Abbasiyah dan Umaiyyah. Selain itu, kajian yang bertajuk
‘Pendidikan pada Masa Daulah Bani Umaiyah dan Bani Abbasyiah’ oleh Tiar Indarto dan Rifi
Wulandari pada tahun 2012 pula ada menyatakan mengenai institusi pendidikan, kurikulum
dan kaedah pengajian seperti kaedah lisan, menghafal dan tulisan, namun tidak diperincikan
kandungannya. Justeru, kajian ini akan membanding beza perkembangan dan pencapaian
Islam daripada aspek pendidikan pada zaman Daulah Umaiyyah dan Daulah Abbassiyah.

3.0 Objektif

i. Menyatakan persamaan perkembangan dan pencapaian dari aspek pendidikan


pada zaman Daulah Umaiyyah dan Abbasiyah.
ii. Membezakan faktor perkembangan ilmu pengetahuan dan tokoh ilmuan terkenal
pada zaman Daulah Umaiyah dan zaman Daulah Abbassiyah.

4.0 Kaedah Kajian

Kajian perpustakaan dan internet merupakan kaedah yang digunakan dalam


penulisan kajian kes ini. Kajian perpustakaan memerlukan pengkaji mencari bahan di
perpustakaan. Manakala kajian internet pula memerlukan kemahiran pengkaji untuk
mencari bahan yang sesuai melalui laman sesawang seperti laman akhbar atas talian.
Akhirnya, pengkaji perlu melaksanakan tinjauan literatur untuk menetapkan kaedah dan
tajuk yang bersesuaian.

5.0 Persoalan

i. Apakah persamaan dan perbezaan perkembangan pendidikan pada zaman


Daulah Umaiyah dan zaman Daulah Abbassiyah?

6.0 Analisa Dapatan Kajian

Pendidikan dalam Islam merupakan suatu proses yang berlaku sepanjang hayat.
Tidak dapat dinafikan pendidikan Islam mengalami perkembangan pesat pada zaman
kerajaan Umayyah dan kerajaan Abbasiyah. Hal ini disebabkan penglibatan dan sikap
pemerintah yang mencintai ilmu pengetahuan sama ada ilmu agama mahupun ilmu-ilmu
berkaitan keduniaan.

6.1 Persamaan perkembangan dan pencapaian dari aspek pendidikan pada zaman
Daulah Umaiyyah dan Abbasiyah.

Oleh itu, terdapat persamaan yang ketara antara perkembangan ilmu pada zaman
Daulah Abbasiyah dengan Daulah Umaiyyah. Pertama, sumber utama rujukan ilmu
pengetahuan ialah al-Quran dan hadis. Sebagaimana zaman awal Islam, sumber utama
pendidikan Islam ialah al-Quran yang merupakan suatu sumber yang sah dan hakiki, diikuti
sunnah atau hadis. Selain itu, pendidikan Islam juga berpandukan kepada sumber akal
dalam bentuk ijtihad dan qias bagi menjelaskan perkara-perkara yang tidak diterangkan
secara jelas oleh sumber Al-Quran dan Al-Sunnah. Kemudian, kedua-dua daulah ini
mewujudkan pembangunan yang seimbang antara aspek aqliah dan naqliah. Sesuai
dengan perkembangan semasa, pendidikan Islam pada zaman kerajaan Umayyah dan
kerajaan Abbasiyah bertujuan untuk mewujudkan pembangunan yang seimbang antara
aspek aqliah dan naqliah bagi membolehkan manusia mengenali pencipta-Nya serta
mentaati segala perintah dan suruhannya. Seterusnya, persamaan paling ketara pada
kedua-dua kerajaan ini ialah kewujudan kaedah halaqah. Melalui kaedah ini, murid-murid
akan berkumpul membentuk bulatan yang mengelilingi guru, mendengar apa yang
disampaikan oleh guru sambil menadah kitab yang menjadi bahan pembelajaran. Pada
zaman kerajaan Umaiyyah dan Abbasiyah juga, pendidikan Islam mendapat sokongan padu
daripada para pemerintah. Hal ini dilihat sebagai faktor penting perkembangan ilmu
pengetahuan. Buktinya, pada zaman kerajaan Umayyah, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah
mendirikan banyak masjid dan meneruskan pendidikan percuma di kuttab bagi golongan
yang tidak berkemampuan. Pada zaman kerajaan Abbasiyah pula, muncul tokoh- tokoh
pemerintah yang mencintai ilmu pengetahuan seperti Khalifah Harun al-Rasyid dan Khalifah
al-Makmun.

6.2 Perbezaan faktor perkembangan ilmu pengetahuan dan tokoh ilmuan terkenal
antara zaman Daulah Umaiyah dengan zaman Daulah Abbassiyah.

Walaubagaimanapun, terdapat juga aspek yang boleh dilihat sebagai satu


perbezaan dalam kedua-dua kerajaan agung ini. Dari segi pendidikan, Daulah Abbasiyah
lebih pesat daripada Umaiyyah kerana banyak pemberontakan banyak berlaku terutamanya
dari Syiah. Kita masih boleh lihat perbezaan pendidikan antara kedua-dua kerajaan.
Antara faktor perkembangan ilmu pengetahuan pada zaman Abbasiyah ialah;

a. Usaha dan galakan para khalifah

b. Aktiviti penterjemahan pelbagai bidang ilmu

c. Kestabilan politik dan kewangan kerajaan Abbasiyyah

d. Dasar kerajaan sendiri yang mengutamakan ilmu pengetahuan

e. Kewujudan prasarana pendidikan yang baik

f. Kedudukan Baghdad yang menjadi pusat keilmuan dan perdagangan antarabangsa


serta,

g. Hubungan diplomatik antara kerajaan Abbasiyyah dengan negara-negara luar.

Manakala faktor perkembangan ilmu pada zaman Umaiyyah pula ialah disebabkan
pemerintah yang bertanggunggjawab memperkembangkan ilmu seperti Abdul Rahman III
dan anaknya al-Hakam II. Mereka mengembangkan ilmu dengan cara pembinaan sekolah-
sekolah agama dan menjemput para ulama dari Timur untuk datang mengajar di Andalusia.
Jika kita lihat mana-mana tamadun dunia, apabila pemimpin memberi galakan kepada
rakyatnya untuk memajukan diri dari segi ilmu, pasti akan mudah untuk mereka mencapai
pembangunan daripada pelbagai aspek. Pemerintah Andalusia memberi penghargaan dan
penghormatan yang tinggi terhadap golongan sarjana yang dianggap sebagai teras negara.
Sumbangan mereka dalam sesuatu bidang dianggap oleh pemerintah melebihi sumbangan
para pentadbir. Selain itu, masyarakat Andalusia yang berlainan agama berminat dengan
ilmu pengetahuan. Mereka sanggup mengembara ke dalam negeri atau luar negara untuk
mendalami pelbagai ilmu pengetahuan. Golongan wanita turut terlibat dalam kegiatan
keilmuan terutamanya bagi golongan yang miskin sebagai menyalin al-Quran dan buku.
Aktiviti ini dilakukan di kedai-kedai buku. Masyarakat Andalusia cuba menguasai bahasa
arab dengan menghafal al-Quran, membaca dan menulis dengan menggunakan bahasa al-
Quran, mempelajari puisi, dan perkara-perkara yang membantu mereka menguasai bahasa
arab. Kota cordova menjadi pusat keilmuan yang termasyur di Eropah. Pasarnya yang
terkenal dengan aktiviti penjualan buku didatangi penjual dan pembeli yang datang dari
pelbagai tempat di Andalusia. Perpustakaan menjadi pemangkin kepada perkembangan
institusi pengajian dan intelektual. Perpustakaan merupakan tempat untuk mengumpul
bahan atau sumber ilmu zaman lalu dan kini yang digunakan oleh sesiapa sahaja untuk
mendapatkan ilmu. Institusi terawal pendidikan Islam adalah rumah persendirian iaitu rumah
al-Arqam bin Abi al-Arqam yang dikenali sebagai Dar Al-Arqam (Abdullah Ishak 1989),
Rasulullah s. a. w. merupakan guru dan pendidik pertama umat Islam. Rumah para ulama
dan saintis Islam seperti Ibn Sina juga turut menjadi tumpuan dan kunjungan pelajar untuk
mendapatkan ilmu pengetahuan (Ibn Abi ‘Usaibi‘ah,et.al., 1882).

Seterusnya, perkara yang ingin ditekankan dalam aspek pendidikan ini ialah tokoh
ilmuan yang terkenal semasa pemerintahan Daulah Abbasiyah. Dalam ilmu falsafah, Al
Kindi merupakan ahli falsafah muslim yang pertama. Beliau lahir di kufah pada tahun 801
M. Nama penuh, Abu Yusuf Ya’qub bin Ishak bin Sabah bin Imran bin Ismail bin
Muhammad bin Al - Asy’as bin Qais Al- Kindi dan beliau wafat pada tahun 869 M. Jumlah
karya Al –Kindi lebih kurang 270 buah. Kebanyakan berupa risalah pendek dan banyak
yang sudah tidak dijumpai sehingga kini. Karya tersebut dapat dikategorikan dalam bidang
falsafah, ilmu matematik, muzik, astronomi, geometri, psikologi, politik dan meteorologi.
Seorang lagi tokoh ialah Al- Ghazali yang dilahirkan di kota Gazalah pada tahun 1058 M
dengan nama lengkap Abu Hamid Muhammad bin Muhammad At-tusi Al – Gazali dan wafat
pada tahun 1111 M. Al-Gazali ialah seorang teologi, falsafah dan sufi termasyhur sepanjang
sejarah islam. Beliau menulis hampir 100 buku tentang teologi, ilmu fiqh, tasawwuf, akhlak
dan autobiografi dalam Bahasa Arab dan Parsi. Al-Ghazali juga telah berjaya membuktikan
bahawa beberapa asas metafizik yang digunakan sebagai asas sesuatu teori sains
bercanggah dengan metafizik Islam (Musa 1968). Oleh disebabkan beliau merupakan ahli
bidang ilmu yang dinyatakan, maka beliau mendapat gelaran Hujjatul Islam (Utusan Online,
2013).

Bagi bidang ilmu perubatan pula ialah Ibnu Sina. Gurunya terkejut kerana
kecerdasannya pada usia 17 tahun beliau telah memahami ilmu perubatan melebihi orang
yang lain. Beliau juga berhasil menemukan sistem peredaran darah manusia. Ibnu Sina
memiliki gelaran iaitu “Raja Di Raja Doktor” dan “Raja Ubat” (Abul Fadl Mohsin
Ebrahim,1995). Manakala ilmu fiqh ialah empat imam mazhab yang paling dominan di dunia
iaitu Imam Abu Hanafi, Imam Maliki, Imam Hanbali dan Imam Syafi’ie.

Manakala tokoh ilmuan yang terkenal pada zaman Daulah Umaiyyah ialah Al-Zarqali,
pembuat alat-alat astrolabe di Andalusia turut mengemukakan teori bintang dan pergerakan
planet serta membetulkan ukuran panjang Laut Mediterranean selain menjadi ahli astronomi
pertama mengetahui kedudukan matahari dengan merujuk bintang. Beliau juga membina
sebuah jam air bagi menentukan waktu manakala karyanya digunakan secara meluas oleh
Maharaja Alfonso X serta ahli astronomi istana. Paling dibanggakan ialah terdapat sebuah
balai cerap yang dikenali sebagai Giralda. Bidang geografi pula memperlihatkan
perkembangannya dengan penghasilan Kitab al-Masalik wa al-Munalik oleh Abu Ubaid
Abdullah, sebuah penulisan berkenaan jalan-jalan yang ditempuhinya di tiap-tiap buah
negeri dan maklumat tentang kerajaan yang memerintah. Karyanya telah membantu urusan
penghantaran surat dan utusan rasmi. Beliau juga menghasilkan sebuah kamus geografi.
Tokoh-tokoh geografi yang lain telah menghasilkan karya tentang pengembaraan mereka
termasuklah al-Idrisi yang juga menghasilkan peta glob daripada perak serta karya tentang
kritikan dan penambahbaikan teori-teori Ptolemy.

7.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, berdasarkan analisa di atas, dapat dikenal pasti persamaan dan


perbezaan antara zaman Daulah Umaiyyah dan Daulah Abbasiyah dari aspek pendidikan.
Di tengah-tengah era di mana empayar barat mengalami the dark ages, kerajaan Islam telah
menjadi satu mercu ilmu yang gah pada suatu ketika dahulu. Namun, apa yang dilihat
bahawa kepesatan sesuatu tamadun itu adalah bertunjang daripada kekuatan penyebaran
ilmu dan kualiti ilmu tersebut untuk membangunkan sebuah kerajaan yang dipandang dunia.
Jelasnya, martabat para ilmuan yang disebut pada ketika itu tidak sama seperti dunia
sekarang kerana ketinggian ilmu masing-masing dan sifat ikhlas mereka menyebarkan ilmu
agama untuk membina ummah yang kulli serta mendapatkan kebahagiaan dunia dan
akhirat, itulah yang sewajarnya dicontohi buat generasi kini.
RUJUKAN

Ahmad Mohd Salleh. (2000). Pendidikan Islam Falsafah, Pedagogi dan Metodologi.
Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Abul Fadl Mohsin Ebrahim. (1995). Isu-Isu Bio Perubatan Menurut Islam.Terj. Yusof Ismail.
Kuala Lumpur: A. S. Noordin.

Abdullah Ishak. (1989). Sejarah Perkembangan Pendidikan Islam. Petaling Jaya: Al-
Rahmaniah.

Alias Bin Azhar. (2010). Faktor Pembangunan dan Kemunduran Pengajian Sains Islam
Silam. Jurnal Hadhari Bil. 3, 4-18.

Ibn Abi ‘Usaibi‘ah & Abu al-‘Abbas Ahmad. (1882). ‘Uyun al-Anba’ Fi Tabaqat al-Atibba’. Jil.
2. Kaherah: Matba ‘ah Al-Wahabiah.

Mahayudin Haji Yahya. (2001). Tamadun Islam. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Musa, Muhammad Yusuf. (1968). Bayn Al-Din Wa Al-Falsafah Fi Ra’y Ibn Rush Wa
Falasifah Al-‘Asr Al-Wasit. Cet. Ke-2. Kaherah: Dar Al-Ma’ arif Bi Misr.

Tiar Indarto dan Rifi Wulandari. (2012). Pendidikan pada Masa Daulah Bani Umaiyah dan
Bani Abbasyiah. Sejarah Pendidikan Islam I. 5-12

(t.n)(2013). Hujjatul Islam Kita. Retrieved March 1, 2018, from


http://ww1.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130730/ba_03/Hujjatul-Islam-kita

Anda mungkin juga menyukai