Anda di halaman 1dari 6

Contoh Teks Forum Remaja:

PENDISIPLINAN PELAJAR : TANGGUNGJAWAB SIAPA


Forum Remaja Pencetus Kecemerlangan Diri (Pengerusi)
Forum Remaja Jendela Kematangan Minda (Panel 1)
Forum Remaja Pintu Kesuburan Rohani (Panel 2)
Forum Remaja Membentuk Insan Insani (Panel 3)
FORUM REMAJA KUNCI REVOLUSI MASYARAKAT BERVISI (Semua) Pengerusi :

Bismillahhirahmannirrahim, AlHamdulillahi robbil ‘alamiin, wassolatu wassalaamu


‘alaa asyrofil anbiyai wal mursaliin.. wa ‘ala alihi wa sohbihi ajma’iin.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Ukhwah, Salam Kasih
Sayang dan Salam 1 Malaysia.
Warga dewan sekalian,
Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin serta limpah kurnia
daripadaNya, dapat kita bertemu kita lagi dalam gelanggang Forum Remaja bersama
saya ............................... pada pagi/petang yang berbahagia ini. Hadirin yang
dirahmati Alah sekalian, sebelum saya memperkenalkan ahli-ahli panel kita pada hari
ini, kita sedia maklum, dewasa ini, masalah disiplin dalam kalangan pelajar boleh
dikatakan berada dalam tahap yang agak membimbangkan semua pihak. Justeru,
masalah ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan.
Sesuai dengan tajuk forum kita pada kali ini Pendisiplinan pelajar: Tanggungjawab
Siapa? Persoalan inilah kunci utama forum yang ingin kita gunakan sebagai pembuka
pintu-pintu kecemerlangan pendidikan akhlak di sekolah khususnya dalam persoalan
mengatasi masalah disiplin pelajar.
Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih mendalam, terlebih dahulu, mari kita
berkenalan dengan tiga orang ahli panel kita pada hari ini. Jangan ragu dan jangan
risau kerana warga dewan sememangnya tidak asing lagi dengan panel-panel kita
pada hari ini.
Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel pertama, saudara/saudari
_______________________ yang merupakan __________________________ Apa
khabar saudari?
Panel Pertama : AlHamdulillah sihat Cik Pengerusi. Cik Pengerusi macamana?
Pengerusi : Alhamdulillah, sihat juga.
Seterusnya ahli panel kedua, ayu berbaju kurung
saudari/saudara____________________________, jawatan. Selamat datang
saudari.
Dan di hujung sana, nampak pemalu tapi bijak berkata-kata, saudari/saudara
_________________. Selamat datang juga buat saudara. Sebelum saya menyimpang

1
dengan lebih jauh, soalan saya pada panel pertama, apakah sebenarnya konsep
tanggungjawab dan disiplin.
Panel Pertama: Terima kasih pengerusi yang cantik molek pekertinya membawa
rasional persoalan. Terlebih dahulu, yang dihormati, barisan tetamu kehormat,
kombinasi intelektual kehakiman, rakan-rakan panel yang lain dan seterusnya hadirin
yang dirahmati Allah sekalian.
Pada pendapat saya, tanggungjawab dan disiplin tidak dapat dipisahkan dan sudah
semestinya membawa kepada persoalan yang berkait dengan kawalan individu,
pemimpin, masyarakat dan sebagainya. Kawalan inilah yang penting dalam
menentukan jati diri, akhlak, serta kualiti yang ingin dicapai ataupun di tonjolkan.
Ringkasnya tanggungjawab adalah rukun utama dalam pembentukan disiplin. Di
sekolah, disiplin satu kawalan sosial bagi mewujudkan suasana tenteram supaya
proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan teratur dan lancar.
Maka disinilah terletaknya tanggungjawab yang digalas oleh semua pihak yang terlibat
dengan disiplin pelajar sama ada murid itu sendiri, guru disiplin, guru-guru, pihak
pentadbiran mahupun ibu bapa atau masyarakat umumnya. Bagi masyarakat di luar
sekolah, tanggungjawab dan disiplin adalah asas penting bagi membentuk kerukunan
hidup selaras dengan norma, nilai dan aspirasi negara. Amanah yang dipikul dengan
baik adalah tunjang kepada kawalan sosial yang baik. Namun tidak dinafikan, ramai
juga masyarakat di luar sana menganggap tanggungjawab dan disiplin adalah suatu
perkara yang sangat negatif iaitu merupakan masalah sosial dan tidak amanah
sedangkan hakikatnya ia merupakan usaha yang perlu bagi memperbaiki etika dan
gaya hidup bertamadun manusia. Contohnya orang Jepun yang membangunkan
negara mereka setelah menjadi padang jarak padang tekukur dan kini merupakan
negara moden seperti sekelip mata. Asasnya tidak lain dan tidak bukan adalah
tanggungjawab dan disiplin yang hebat.
Pengerusi : Terima kasih kepada panel pertama kita atas lontaran konsep yang utuh
lagi berisi. Sebentar tadi panel pertama ada menyatakan bahawa, disiplin dan
tanggungjawab perlu bergerak seiring untuk mencapai tahap kecemerlangan yang
maksimum. Ia boleh diibaratkan sebagai irama dan lagu, iaitu tidak sempurna disiplin
tanpa tanggungjawab, dan tanpa tanggungjawab, disiplin tidak akan dapat dibentuk.
Justeru, saya ingin menanyakan persoalan seterusnya kepada ahli panel kita yang
kedua, apakah asas kepada pendisiplinan pelajar agar kecemerlangan secara holistik
dapat dicapai?
Panel Kedua: Soalan yang amat menarik daripada pengerusi kita pada hari ini.
Bismillah.. Baiklah sebenarnya, latar belakang keluarga, suasana sekolah dan
keadaan persekitaran mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar
peraturan yang ditetapkan. Saya berpendapat peranan semua pihak diperlukan dalam
memastikan permasalahan ini dapat pendisiplinan terletak di bahu ibu bapa.
Seharusnya, pihak ibu bapa perlu sedar akan kepentingan hubungan yang erat
dengan guru-guru di sekolah. Perjumpaan berkala di antara ibu bapa para pelajar
dengan pihak sekolah perlu diadakan sekerap yang boleh. Tindakan ini amat penting
kerana ianya boleh menjadi medium perbincangan prestasi dan disiplin anak-anak
mereka di sekolah. Hal ini amat signifikan kerana sekiranya golongan ibu bapa

2
mengambil remeh tentang masalah disiplin anak-anak mereka di sekolah, golongan
anak-anak itu akan merasa bebas dan terbiar sehingga menyebabkan mereka
membuat tindakan yang bertujuan untuk mendapatkan perhatian seperti melawan
guru, ponteng kelas, ponteng sekolah, membuli dan sebagainya yang mana hal ini
akan menambah dan meningkatkan masalah kes disiplin di sekolah. Oleh itu, pihak
ibu bapa dan guru di sekolah perlu mengadakan hubungan yang baik supaya segala
masalah yang berkaitan dengan pelajar dapat diselesaikan “sebelum nasi menjadi
bubur”.
Pengerusi : Terima kasih kepada panel kedua atas pandangan yang amat bernas
sebentar tadi. Sekarang sudah terang lagi bersuluh bahawa sebenarnya terdapat
banyak asas pendisiplinan yang boleh diimplementasikan untuk mengawal masalah
disiplin pelajar di sekolah. Jika dua orang panel kita tadi menerangkan tentang konsep
tanggungjawab dan disiplin serta menghuraikan dengan selengkapnya tentang asas-
asas pendisipinan pelajar, saya ingin meminta pendapat panel ketiga tentang
persoalan ‘Pendisiplinan pelajar, sebenarnya terletak di bahu siapa’? Dipersilakan..
Panel Ketiga : Bismillah...Terlebih dahulu, terima kasih kerana menjemput saya untuk
berbicara dalam majlis forum ini. Untuk menjawab persoalan ini, umum sedia maklum,
isu-isu berkaitan dengan masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah sering
diperkatakan pada masa kini dan menjadi fokus media massa. Buktinya, pada 5 Ogos
2007, berita penangkapan kanak-kanak berumur 12 tahun yang dituduh terlibat dalam
kejadian menculik dan merogol wanita berumur 30 tahun berulangkali secara bergilir-
gilir telah disiarkan di Buletin 1.30.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Dengar-dengarkan pantun ini :
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
Pantun empat kerat tadi membawa maksud menuntut ilmu biarlah dengan cara yang
betul dan bersungguh-sungguh. Jika tidak, ilmu yang dituntut akan hilang atau sia-sia
begitu sahaja. Manusia dituntut mencari ilmu sehingga ke akhir hayat. Sebagaimana
sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Sesungguhnya menuntut ilmu itu
merupakan kewajipan bagi setiap Muslim.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
Ilmu diperoleh daripada pelbagai sumber antaranya melalui pembacaan, penelitian,
pentaakulan belajar daripada pengalaman lepas serta yang paling utama menuntut
ilmu daripada seseorang yang pakar dalam bidang tertentu yang digelar guru. Konsep
guru merujuk kepada seseorang yang mengajar dan mendidik sama ada untuk
mencapai kejayaan akademik atau kemuliaan akhlak. Guru ada di mana-mana. Ibu
bapa boleh menjadi guru yang paling baik buat anak-anaknya. Seorang kakak atau
abang boleh menjadi guru kepada adik-adiknya.

3
Masyarakat juga boleh bertindak sebagai guru sekiranya wujud kerencatan dalam
kelompok sosialnya. Hakikatnya, semua orang bertindak sebagai guru dalam
kehidupannya. Guru dalam konsep ini lebih kepada tugas ingat-mengingati, saling
mencerna pemikiran melalui pengalaman, mendidik dan mendisiplinkan diri sendiri
dan orang lain serta mengajar sesuatu yang berlaku dalam hidup dengan penerimaan
yang baik. Maka pendapat saya tidak lain dan tidak bukan adalah tanggungjawab
didikan tidak kiralah daripada ibu bapa, guru, masyarakat, media massa dan semua
yang terlibat adalah bertanggungjawab dalam pembentukan disiplin iaitu pendisiplinan
pelajar. Seperti kata-kata sahabat Rasulullah SAW tentang penilaian baik masyarakat
( muslimin ) adalah baik pada Allah SWT dan sebaliknya jika penilaian buruk maka
buruklah bagi Allah SWT.
Pengerusi: Sungguh intelektual pemikiran saudari panel kita yang ketiga. Memang
tidak dapat disangkal lagi, semua pihak harus bekerjasama bagi mendisiplinkan atau
memantapkan akhlak pelajar pada masa kini bak kata pepatah “bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh”.. Tetapi saya ingin bertanya secara ringkas tentang pendapat ahli
panel kita pada hari ini, siapakah yang sebenarnya menggalas tanggungjawab utama
bagi mendisiplinkan pelajar di sekolah? Saya persilakan panel kita yang pertama
dahulu untuk memberikan sedikit ulasan.
Panel Pertama: Terima kasih kepada pengerusi atas persoalan yang diujarkan. Pada
pendapat saya, pihak yang menggalas akauntabiliti utama dalam mendisiplinkan
pelajar adalah golongan ibu bapa. Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam
memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Hal ini disebabkan
ibu bapalah yang sentiasa memerhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-
anak mereka. Di samping itu, golongan ibu bapa mempunyai tanggungjawab dan
amanah untuk mendidik anak-anak mereka sejak berada di dalam kandungan lagi. Di
samping itu, ibu bapa juga perlu meningkatkan penghayatan anak-anak terhadap
agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip
akauntabiliti, menunjukkan keperibadian yang mulia, sanggup menerima kelemahan
diri serta meneroka potensi anak. Justeru, Ibu bapa hendaklah menjadi “role model”
kepada anak agar anak-anak tidak kehilangan arah dan menjadi insan yang berilmu
dan beragama, penyumbang kepada kemantapan ummah seantero dunia, insya-
Allah.
Pengerusi: Begitu hebat kata-kata atau pendapat yang diutarakan oleh panel kita
sebentar tadi. Diharapkan ianya dapat dijadikan pegangan dan panduan oleh
golongan ibu bapa di luar sana untuk mendidik anak remaja kita menjadi insan yang
berilmu dan beragama, insya-Allah. Sekarang kita perdengarkan pula pendapat
daripada panel kita yang kedua, secara ringkas tentang siapakah yang menggalas
peranan utama dalam mendisiplinkan pelajar?
Panel Kedua: Terima kasih saudari pengerusi yang tidak kurang petah bicaranya.
Pada pandangan saya, pihak yang menggalas peranan utama dalam mendisiplinkan
pelajar ialah Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Hal ini disebabkan, dari sudut
psikologi, peringkat remaja adalah peringkat paling berpengaruh dalam kehidupan
mereka. Pada peringkat inilah, pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling diterima.
Mereka lebih rela menceritakan dan mencurahkan perasaan kepada rakan berbanding

4
ibu bapa, guru atau orang dewasa lain. Oleh itu, pendekatan logikal ialah
menggunakan remaja untuk mempengaruhi remaja lain. Program Pembimbing Rakan
Sebaya (PRS) dapat memenuhi hasrat ini dengan syarat mereka dilatih dan diselia
dengan teratur. Oleh itu, adalah disarankan supaya pemilihan dan perkembangan
latihan ahli PRS hendaklah dipantau bersama kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan
juga ibu bapa. Insya-Allah, sekiranya ahli-ahli PRS menerima latihan secukupnya
dalam menangani masalah disiplin pelajar di sekolah, insya-Allah, masalah disiplin ini
akan dapat diatasi. Wallahu’alam.
Pengerusi : Begitu hebat sekali wacana yang dilontarkan oleh panel kedua kita
sebentar tadi. Seterusnya persoalan terakhir untuk panel kita yang ketiga, masih
berlegar dalam persoalan yang sama iaitu pihak manakah yang memegang
tanggungjawab yang berat dalam mendisiplinkan atau memanusiakan insan pdelajar
di sekolah kita pada hari ini?
Panel Ketiga: Terima kasih kepada sadari pengerusi yang sentiasa aktif menanyakan
banyak persoalan intelek. Baiklah, untuk menjawab persoalan ini, cuba kita renungi
baris-baris akhir sebuah sajak yang berbunyi:
Jika hari ini siapa saja perosak bangsa;
Bermula dengan kegagalan guru kita
Cuai mengasuh generasi muda
Saya yakin sajak ini akan menguris hati seorang guru. Kalaupun tidak terpalit luka
mungkin wujud juga sedikit rasa tersinggung mahupun kecewa lantaran dikatakan
gurulah menjadi punca kepada kemunculan perosak bangsa. Namun itulah realitinya
kehidupan hari ini. Kalau dulu guru merupakan individu atau kumpulan kecil
masyarakat yang amat dihormati, situasi kini jauh berbeza. Kalau dulu, ramai yang
mengakui bahawa ‘dewasanya seseorang itu adalah dimulakan oleh seorang guru
biasa’, namun kini masyarakat lebih mudah menyalahkan para guru apabila hasil
didikan tidak ‘menjadi’.
Menyedari tentang keretakan hubungan yang berlaku antara ibu bapa dan guru pada
hari ini, ianya perlu diperhalusi dan dicari penyelesaian terbaik untuk mengembalikan
kepercayaan ibu bapa kepada pihak sekolah umumnya dan guru khasnya. Hubungan
yang erat antara guru dan ibu bapa amat penting agar masalah disiplin pelajar di
sekolah dapat dikurangkan dan bukan semakin bertambah dan membimbangkan
semua pihak. Justeru pihak yang paling menggalas beban berat untuk mengatasi
masalah disiplin pelajar di sekolah adalah golongan ibu bapa, guru, pihak berwajib dan
masyarakat sekeliling. Mereka ini seharusnya melakukan anjakan paradigma dengan
lebih berfikiran positif, menerima kelemahan anak-anak mereka dan bersangka baik
dengan guru-guru di sekolah.
Sekiranya hal ini dapat diwujudkan, insya-Allah, masalah disiplin dalam kalangan
pelajar akan dapat diatasi bak kata kerana hanya dengan bekerjasama akan dapat
melahirkan hasil yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Pengerusi: Terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita kerana sudi
hadir dan sudi menyuarakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari

5
ini tidak sekadar ” masuk telinga kanan, keluar telinga kiri”. Nampaknya masa amat
mencemburui kita, sebelum berakhir mari kita sama-sama menepuk tangan untuk diri
sendiri kerana berjaya dan tekun mendengar perbincangan kita hari ini.(tepuk tangan).
Kesimpulannya perkara yang berkaitan dengan masalah ini sebenarnya bukanlah
suatu perkara yang patut kita pandang remeh. Setiap individu mempunyai
tanggungjawab dalam membendung kemelut ini daripada terus menjadi barah.
Sebelum kita menuding jari kepada mana-mana pihak, elok kita renung-renungkan
sejenak....
Lautan Itu Dunia,
Bahtera Itu Kita,
Kemudi Itu Agama,
Peliharalah Bahtera Daripada Karam Di Lautan Dunia
Sebelum mengakhiri bicara forum kita pada hari ini, terimalah serangkap pantun yang
berbunyi:
Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.
Sekian sahaja untuk hari ini, terkasar bahasa, tersilap bicara, mohon dimaafkan.
Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Yang Maha Pencipta, dan yang
kurang elok itu datangnya daripada kekhilafan diri kami sendiri. Wallahu’alam Saya
akhiri forum remaja kita pada pagi ini dengan lafaz yang mulia. Wabillah hitaufiq
Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh

Anda mungkin juga menyukai