Anda di halaman 1dari 7

TAJUK FORUM : MENDISIPLINKAN PELAJAR: TANGGUNGJAWAB SIAPA?

Pengerusi : Bismillahhirahmannirrahim, AlHamdulillahi robbil ‘alamiin, wassolatu wassalaamu ‘alaa


asyrofil anbiyai wal mursaliin.. wa ‘ala alihi wa sohbihi ajma’iin. Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh, Salam Ukhwah, Salam Kasih Sayang dan Salam 1 Malaysia.

Warga dewan sekalian,

Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin serta limpah kurnia daripadaNya, dapat kita
bertemu kita lagi dalam gelanggang Forum Remaja bersama saya ________________________ pada
pagi/petang yang berbahagia ini.

Hadirin yang dirahmati Alah sekalian, sebelum saya memperkenalkan ahli-ahli panel kita pada hari
ini, kita sedia maklum, dewasa ini, masalah disiplin dalam kalangan pelajar boleh dikatakan berada
dalam tahap yang agak membimbangkan semua pihak. Justeru, masalah ini perlu dilihat dalam skop
yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Sesuai dengan tajuk forum kita pada kali ini
Pendisiplinan pelajar: Tanggungjawab Siapa? Persoalan inilah kunci utama forum yang ingin kita
gunakan sebagai pembuka pintu-pintu kecemerlangan pendidikan akhlak di sekolah khususnya
dalam persoalan mengatasi masalah disiplin pelajar.

Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih mendalam, terlebih dahulu, mari kita berkenalan dengan
tiga orang ahli panel kita pada hari ini. Jangan ragu dan jangan risau kerana warga dewan
sememangnya tidak asing lagi dengan panel-panel kita pada hari ini.

Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel pertama, saudara/saudari _______________________ yang
merupakan __________________________ Apa khabar saudari?

Panel Pertama : AlHamdulillah sihat Cik Pengerusi. Cik Pengerusi macamana?

Pengerusi : Alhamdulillah, sihat juga.

Seterusnya ahli panel kedua, ayu berbaju kurung saudari/saudara____________________________,


jawatan. Selamat datang saudari.

Dan di hujung sana, nampak pemalu tapi bijak berkata-kata, saudari/saudara _________________.
Selamat datang juga buat saudara.

Sebelum saya menyimpang dengan lebih jauh, soalan saya pada panel pertama, apakah sebenarnya
konsep tanggungjawab dan disiplin. Panel Pertama: Terima kasih pengerusi yang cantik molek
pekertinya membawa rasional persoalan. Terlebih dahulu, yang dihormati, barisan tetamu
kehormat, kombinasi intelektual kehakiman, rakan-rakan panel yang lain dan seterusnya hadirin
yang dirahmati Allah sekalian.
Pada pendapat saya, tanggungjawab dan disiplin tidak dapat dipisahkan dan sudah semestinya
membawa kepada persoalan yang berkait dengan kawalan individu, pemimpin, masyarakat dan
sebagainya. Kawalan inilah yang penting dalam menentukan jati diri, akhlak, serta kualiti yang ingin
dicapai ataupun di tonjolkan. Ringkasnya tanggungjawab adalah rukun utama dalam pembentukan
disiplin. Di sekolah, disiplin satu kawalan sosial bagi mewujudkan suasana tenteram supaya proses
pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan teratur dan lancar. Maka disinilah
terletaknya tanggungjawab yang digalas oleh semua pihak yang terlibat dengan disiplin pelajar sama
ada murid itu sendiri, guru disiplin, guru-guru, pihak pentadbiran mahupun ibu bapa atau
masyarakat umumnya. Bagi masyarakat di luar sekolah, tanggungjawab dan disiplin adalah asas
penting bagi membentuk kerukunan hidup selaras dengan norma, nilai dan aspirasi negara. Amanah
yang dipikul dengan baik adalah tunjang kepada kawalan sosial yang baik. Namun tidak dinafikan,
ramai juga masyarakat di luar sana menganggap tanggungjawab dan disiplin adalah suatu perkara
yang sangat negatif iaitu merupakan masalah sosial dan tidak amanah sedangkan hakikatnya ia
merupakan usaha yang perlu bagi memperbaiki etika dan gaya hidup bertamadun manusia.
Contohnya orang Jepun yang membangunkan negara mereka setelah menjadi padang jarak padang
tekukur dan kini merupakan negara moden seperti sekelip mata. Asasnya tidak lain dan tidak bukan
adalah tanggungjawab dan disiplin yang hebat.

Pengerusi : Terima kasih kepada panel pertama kita atas lontaran konsep yang utuh lagi berisi.
Sebentar tadi panel pertama ada menyatakan bahawa, disiplin dan tanggungjawab perlu bergerak
seiring untuk mencapai tahap kecemerlangan yang maksimum. Ia boleh diibaratkan sebagai irama
dan lagu, iaitu tidak sempurna disiplin tanpa tanggungjawab, dan tanpa tanggungjawab, disiplin
tidak akan dapat dibentuk. Justeru, saya ingin menanyakan persoalan seterusnya kepada ahli panel
kita yang kedua, apakah asas kepada pendisiplinan pelajar agar kecemerlangan secara holistik dapat
dicapai?

Panel Kedua: Soalan yang amat menarik daripada pengerusi kita pada hari ini. Bismillah.. Baiklah
sebenarnya, latar belakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan persekitaran mempengaruhi
tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. Saya berpendapat peranan
semua pihak diperlukan dalam memastikan permasalahan ini dapat pendisiplinan terletak di bahu
ibu bapa. Seharusnya, pihak ibu bapa perlu sedar akan kepentingan hubungan yang erat dengan
guru-guru di sekolah. Perjumpaan berkala di antara ibu bapa para pelajar dengan pihak sekolah
perlu diadakan sekerap yang boleh. Tindakan ini amat penting kerana ianya boleh menjadi medium
perbincangan prestasi dan disiplin anak-anak mereka di sekolah. Hal ini amat signifikan kerana
sekiranya golongan ibu bapa mengambil remeh tentang masalah disiplin anak-anak mereka di
sekolah, golongan anak-anak itu akan merasa bebas dan terbiar sehingga menyebabkan mereka
membuat tindakan yang bertujuan untuk mendapatkan perhatian seperti melawan guru, ponteng
kelas, ponteng sekolah, membuli dan sebagainya yang mana hal ini akan menambah dan
meningkatkan masalah kes disiplin di sekolah. Oleh itu, pihak ibu bapa dan guru di sekolah perlu
mengadakan hubungan yang baik supaya segala masalah yang berkaitan dengan pelajar dapat
diselesaikan “sebelum nasi menjadi bubur”.

Pengerusi : Terima kasih kepada panel kedua atas pandangan yang amat bernas sebentar tadi.
Sekarang sudah terang lagi bersuluh bahawa sebenarnya terdapat banyak asas pendisiplinan yang
boleh diimplementasikan untuk mengawal masalah disiplin pelajar di sekolah. Jika dua orang panel
kita tadi menerangkan tentang konsep tanggungjawab dan disiplin serta menghuraikan dengan
selengkapnya tentang asas-asas pendisipinan pelajar, saya ingin meminta pendapat panel ketiga
tentang persoalan ‘Pendisiplinan pelajar, sebenarnya terletak di bahu siapa’? Dipersilakan..

Panel Ketiga : Terlebih dahulu, terima kasih kerana menjemput saya untuk berbicara dalam majlis
forum ini. Untuk menjawab persoalan ini, umum sedia maklum, isu-isu berkaitan dengan masalah
disiplin di kalangan pelajar sekolah sering diperkatakan pada masa kini dan menjadi fokus media
massa. Buktinya, pada 5 Ogos 2007, berita penangkapan kanak-kanak berumur 12 tahun yang
dituduh terlibat dalam kejadian menculik dan merogol wanita berumur 30 tahun berulangkali secara
bergilir-gilir telah disiarkan di Buletin 1.30.

Hadirin yang sekalian,

Dengar-dengarkan pantun ini :

Berburu ke padang datar,

Dapat rusa berbelang kaki;

Berguru kepalang ajar,

Bagai bunga kembang tak jadi.

Pantun empat kerat tadi membawa maksud menuntut ilmu biarlah dengan cara yang betul dan
bersungguh-sungguh. Jika tidak, ilmu yang dituntut akan hilang atau sia-sia begitu sahaja. Manusia
dituntut mencari ilmu sehingga ke akhir hayat.

Ilmu diperoleh daripada pelbagai sumber antaranya melalui pembacaan, penelitian, pentaakulan
belajar daripada pengalaman lepas serta yang paling utama menuntut ilmu daripada seseorang yang
pakar dalam bidang tertentu yang digelar guru. Konsep guru merujuk kepada seseorang yang
mengajar dan mendidik sama ada untuk mencapai kejayaan akademik atau kemuliaan akhlak. Guru
ada di mana-mana. Ibu bapa boleh menjadi guru yang paling baik buat anak-anaknya. Seorang kakak
atau abang boleh menjadi guru kepada adik-adiknya.

Masyarakat juga boleh bertindak sebagai guru sekiranya wujud kerencatan dalam kelompok
sosialnya. Hakikatnya, semua orang bertindak sebagai guru dalam kehidupannya. Guru dalam
konsep ini lebih kepada tugas ingat-mengingati, saling mencerna pemikiran melalui pengalaman,
mendidik dan mendisiplinkan diri sendiri dan orang lain serta mengajar sesuatu yang berlaku dalam
hidup dengan penerimaan yang baik. Maka pendapat saya tidak lain dan tidak bukan adalah
tanggungjawab didikan tidak kiralah daripada ibu bapa, guru, masyarakat, media massa dan semua
yang terlibat adalah bertanggungjawab dalam pembentukan disiplin iaitu pendisiplinan pelajar.

Pengerusi: Sungguh intelektual pemikiran saudari panel kita yang


ketiga. Memang tidak dapat disangkal lagi, semua pihak harus
bekerjasama bagi mendisiplinkan atau memantapkan akhlak pelajar
pada masa kini bak kata pepatah “bersatu kita teguh, bercerai kita
roboh”.. Tetapi saya ingin bertanya secara ringkas tentang pendapat
ahli panel kita pada hari ini, siapakah yang sebenarnya menggalas
tanggungjawab utama bagi mendisiplinkan pelajar di sekolah? Saya
persilakan panel kita yang pertama dahulu untuk memberikan sedikit
ulasan.

Panel Pertama: Terima kasih kepada pengerusi atas persoalan yang diujarkan. Pada pendapat saya,
pihak yang menggalas akauntabiliti utama dalam mendisiplinkan pelajar adalah golongan ibu bapa.
Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-
anak mereka. Hal ini disebabkan ibu bapalah yang sentiasa memerhatikan setiap gerak-geri atau
pergerakan anak-anak mereka. Di samping itu, golongan ibu bapa mempunyai tanggungjawab dan
amanah untuk mendidik anak-anak mereka sejak berada di dalam kandungan lagi. Di samping itu,
ibu bapa juga perlu meningkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni,
motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, menunjukkan keperibadian yang
mulia, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Justeru, Ibu bapa hendaklah
menjadi “role model” kepada anak agar anak-anak tidak kehilangan arah dan menjadi insan yang
berilmu dan beragama.

Pengerusi: Begitu hebat kata-kata atau pendapat yang diutarakan


oleh panel kita sebentar tadi. Diharapkan ianya dapat dijadikan
pegangan dan panduan oleh golongan ibu bapa di luar sana untuk
mendidik anak remaja kita menjadi insan yang berilmu dan
beragama. Sekarang kita perdengarkan pula pendapat daripada
panel kita yang kedua, secara ringkas tentang siapakah yang
menggalas peranan utama dalam mendisiplinkan pelajar?

Panel Kedua: Terima kasih saudari pengerusi yang tidak kurang petah
bicaranya. Pada pandangan saya, pihak yang menggalas peranan
utama dalam mendisiplinkan pelajar ialah Pembimbing RakanSebaya
(PRS). Hal ini disebabkan, dari sudut psikologi, peringkat remaja
adalah peringkat paling berpengaruh dalam kehidupan mereka. Pada
peringkat inilah, pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling
diterima. Mereka lebih rela menceritakan dan mencurahkan
perasaan kepada rakan berbanding ibu bapa, guru atau orang
dewasa lain. Oleh itu, pendekatan logikal ialah menggunakan remaja
untuk mempengaruhi remaja lain. Program Pembimbing Rakan
Sebaya (PRS) dapat memenuhi hasrat ini dengan syarat mereka
dilatih dan diselia dengan teratur. Oleh itu, adalah disarankan supaya
pemilihan dan perkembangan latihan ahli PRS hendaklah dipantau
bersama kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan juga ibu bapa.
Insya-Allah, sekiranya ahli-ahli PRS menerima latihan secukupnya
dalam menangani masalah disiplin pelajar di sekolah, masalah
disiplin ini akan dapat diatasi.

Pengerusi : Begitu hebat sekali wacana yang dilontarkan oleh panel


kedua kita sebentar tadi. Seterusnya persoalan terakhir untuk panel
kita yang ketiga, masih berlegar dalam persoalan yang sama iaitu
pihak manakah yang memegang tanggungjawab yang berat dalam
mendisiplinkan atau memanusiakan insan pelajar di sekolah kita
pada hari ini?
Panel Ketiga: Terima kasih kepada sadari pengerusi yang sentiasa aktif menanyakan banyak
persoalan intelek. Baiklah, untuk menjawab persoalan ini, cuba kita renungi baris-baris akhir sebuah
sajak yang berbunyi:

Jika hari ini siapa saja perosak bangsa;

Bermula dengan kegagalan guru kita

Cuai mengasuh generasi muda

Saya yakin sajak ini akan menguris hati seorang guru. Kalaupun tidak terpalit luka mungkin wujud
juga sedikit rasa tersinggung mahupun kecewa lantaran dikatakan gurulah menjadi punca kepada
kemunculan perosak bangsa. Namun itulah realitinya kehidupan hari ini. Kalau dulu guru merupakan
individu atau kumpulan kecil masyarakat yang amat dihormati, situasi kini jauh berbeza. Kalau dulu,
ramai yang mengakui bahawa ‘dewasanya seseorang itu adalah dimulakan oleh seorang guru biasa’,
namun kini masyarakat lebih mudah menyalahkan para guru apabila hasil didikan tidak ‘menjadi’.

Menyedari tentang keretakan hubungan yang berlaku antara ibu bapa dan guru pada hari ini, ianya
perlu diperhalusi dan dicari penyelesaian terbaik untuk mengembalikan kepercayaan ibu bapa
kepada pihak sekolah umumnya dan guru khasnya. Hubungan yang erat antara guru dan ibu bapa
amat penting agar masalah disiplin pelajar di sekolah dapat dikurangkan dan bukan semakin
bertambah dan membimbangkan semua pihak. Justeru pihak yang paling menggalas beban berat
untuk mengatasi masalah disiplin pelajar di sekolah adalah golongan ibu bapa, guru, pihak berwajib
dan masyarakat sekeliling. Mereka ini seharusnya melakukan anjakan paradigma dengan lebih
berfikiran positif, menerima kelemahan anak-anak mereka dan bersangka baik dengan guru-guru di
sekolah.

Sekiranya hal ini dapat diwujudkan, insya-Allah, masalah disiplin dalam kalangan pelajar akan dapat
diatasi bak kata kerana hanya dengan bekerjasama akan dapat melahirkan hasil yang cemerlang,
gemilang dan terbilang.

Pengerusi: Terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita kerana sudi hadir dan sudi
menyuarakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak sekadar ” masuk
telinga kanan, keluar telinga kiri”. Nampaknya masa amat mencemburui kita, sebelum berakhir mari
kita sama-sama menepuk tangan untuk diri sendiri kerana berjaya dan tekun mendengar
perbincangan kita hari ini.(tepuk tangan).

Kesimpulannya perkara yang berkaitan dengan masalah ini sebenarnya bukanlah suatu perkara yang
patut kita pandang remeh. Setiap individu mempunyai tanggungjawab dalam membendung kemelut
ini daripada terus menjadi barah.

Sebelum kita menuding jari kepada mana-mana pihak, elok kita renung-renungkan sejenak....

Lautan Itu Dunia,


Bahtera Itu Kita,

Kemudi Itu Agama,

Peliharalah Bahtera Daripada Karam Di Lautan Dunia

Sebelum mengakhiri bicara forum kita pada hari ini, terimalah serangkap pantun yang berbunyi:

Tuailah padi antara masak,

Esok jangan layu-layuan;

Intailah kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan.

Sekian sahaja untuk hari ini, terkasar bahasa, tersilap bicara, mohon dimaafkan. Sesungguhnya yang
baik itu datangnya daripada Yang Maha Pencipta, dan yang kurang elok itu datangnya daripada
kekhilafan diri kami sendiri.

Wallahu’alam

Saya akhiri forum remaja kita pada pagi ini dengan lafaz yang mulia.

Wabillah hitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh

Anda mungkin juga menyukai