Anda di halaman 1dari 6

TAJUK FORUM : MENDISIPLINKAN PELAJAR: TANGGUNGJAWAB SIAPA?

Pengerusi : Selamat Sejahtera, Salam Ukhwah, Salam Kasih Sayang dan Salam 1 Malaysia. Warga dewan sekalian, Bersyukur kita semua kerana dengan izin serta limpah kurnia daripadanya dapat kita bertemu lagi dalam gelanggang Forum Remaja bersama saya Nur Liyana bt Abdullah pada pagi yang berbahagia ini. Sebelum saya memperkenalkan ahli-ahli panel kita pada hari ini, kita sedia maklum,dewasa ini, masalah disiplin dalam kalangan pelajar boleh dikatakan berada dalam tahap yang agak membimbangkan semua pihak. Justeru, masalah ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya diselesaikan. Sesuai dengan tajuk forum kita pada kali ini Pendisiplinan Pelajar: tanggungjawab siapa? Persoalan inilah kunci utama forum yang ingin kita gunakan sebagai pembuka pintu-pintu kecemerlangan pendidikan akhlak di sekolah khususnya dalam persoalan mengatasi masalah disiplin pelajar. Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih mendalam, terlebih dahulu, mari kita berkenalan dengan empat ahli panel pada hari ini. Di sebelah kanan saya, ahli panel pertama, saudara Prof.Madya.Dr.Rodney Joseph. Apa khabar saudara? Panel pertama: Sihat cik pengerusi. Cik pengerusi macam mana? Pengerusi: Alhamdulillah, sihat juga. Seterusnya, ahli panel kedua,ayu berbaju kurung, saudari Prof.Dr.Adriana Audrey Gabriel. Selamat datang saudari. Panel kedua: Terima kasih cik pengerusi. Pengerusi: Di hujung Sana, begitu tegap dan tegas orangnya iaitu Dr.Datuk Joeyclement Henry. Selamat datang saudara. Panel ketiga: Terima kasih. Pengerusi: Dan ahli panel yang keempat yang nampak pemalu Tapi bijak berkata-kata, saudari Dr.Datuk Fergie Fredmond. Selamat datang saudari.. Panel keempat: Terima kasih. pengerusi: Sebelum saya menyimpang dengan lebih jauh,soalan saya pada panel pertama apakah sebenarnya konsep tanggungjawab dan disiplin? Panel pertama: Terima kasih pengerusi yang cantik molek pekertinya membawa rasional persoalan. Terlebih dahulu yang dihormati, barisan tetamu kehormat, kombinasi intelektual kehakiman, rakan-rakan panel yang lain dan seterusnya hadirin sekalian.

Pada pendapat saya, tanggungjawab dan disiplin tidak dapat dipisahkan dan sudah semestinya membawa kepada persoalan yang berkait dengan kawalan individu, pemimpin,masyarakat dan sebagainya. Kawalan inilah yang penting dalam menentukan jati diri, akhlak serta kualiti yang ingin dicapai ataupun di tonjolkan. Ringkasnya tanggungjawab adalah rukun utama dalam pembentukan disiplin. Di sekolah, disiplin satu kawalan sosial bagi mewujudkan suasana tenteram supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan teratur dan lancar, maka disinilah terletaknya tanggungjawab yang digalas oleh semua pihak yang terlibat dengan disiplin pelajar sama ada murid itu sendiri, guru disiplin, guru-guru, pihak pentadbiran mahupun ibu bapa atau masyarakat umumnya. Bagi masyarakat di luar sekolah, tanggungjawab dan disiplin adalah asas penting badi membentuk kerukunan hidup selaras dengan norma, nilai dan aspirasi negara. Amanah yang dipikul dengan baik adalah tunjang kepada kawalan sosial yang baik. Namun tidak dinafikan, ramai juga masyarakat di luar sana menganggap tanggungjawab dan disiplin adalah suatu perkara yang sangat negatif iaitu merupakan masalah sosial dan tidak amanah sedangkan hakikatnya ia merupakan usaha yang perlu bagi memperbaiki etika dan gaya hidup bertamadun manusia. Contohnya orang Jepun yang membangunkan negara mereka setelah menjadi padang jarak padang tekukur dan kini merupakan negara moden seperti sekelip mata. Asasnya tidak lain dan tidak bukan adalah tanggungjawab dan disiplin yang hebat. Pengerusi: Terima kasih kepada panel pertama kita atas lontaran konsep yang utuh lagi berisi. Justeru, saya ingin menanyakan persoalan seterusnya kepada ahli panel kita yang kedua, apakah asas kepada pendisiplinan pelajar agar kecemerlangan secara holistik dapat dicapai? Panel kedua: Soalan yang amat menarik daripada pengerusi kita pada hari ini. Sebentar tadi panel pertama ada menyatakan bahawa disiplin dan tanggungjawab perlu bergerak seiring untuk mencapai tahap kecemerlangan yang maksimum. Ia boleh diibaratkan sebagai irama dan lagu, iaitu tidak sempurna disiplin tanpa tanggungjawab dan tanpa tanggungjawab, disiplin tidak dapat dibentuk. Baiklah, soal persoalan asas ini, sebenarnya latar belakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan persekitaran mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. Saya berpendapat peranan semua pihakdiperlukan dalam memastikan permasalahan ini dapat pendisiplinan terletak di bahu ibu bapa. Seharusnya, pihak ibu bapa perlu sedar akan kepentingan hubungan yang erat dengan guru-guru di sekolah. Perjumpaan berkala di antara ibu bapa para pelajar dengan pihak sekolah perlu diadakan sekerap yang boleh. Tindakan ini amat penting kerana ianya boleh menjadi medium perbincangan prestasi dan disiplin anak-anak mereka di sekolah. Hal ini amat signifikan kerana sekiranya golongan ibu bapa mengambil remeh tentang masalah disiplin anak-anak mereka di sekolah, golongan anak-anak itu merasa bebas dan terbiar sehingga menyebabkan mereka membuat tindakan yang bertujuan untuk mendapatkan perhatian seperti melawan guru, ponteng kelas, ponteng sekolah, membuli, dan sebagainya yang mana hal ini akan menambah dan meningkatkan masalah kes disiplin di sekolah. Oleh itu, pihak ibu bapa dan guru di sekolah perlu mengadakan hubungan yang baik supaya masalah yang berkaitan dengan pelajar dapat diselesaikan sebelum nasi menjadi bubur.

Pengerusi: Terima kasih kepada panel kedua atas pandangan yang amat bernas sebentar tadi, sekarang sudah terang lagi bersuluh bahawa sebenarnya terdapat banyak asas pendisiplinan yang boleh diimplementasikan untuk mengawal masalah disiplin pelajar di sekolah. Jika dua orang panel kita tadi menerangkan tentang konsep tanggungjawab dan disiplin serta menghuraikan dengan selengkapnya tentang asas-asas pendidikan pelajar, saya ingin meminta pendapat panel ketiga tentang persoalan pendisiplinan pelajar sebenarnya terletak di bahu siapa? Dipersilakan.. Panel ketiga: Terlebih dahulu, terima kasih kerana menjemput saya untuk berbicara dalam majlis forum ini. Untuk menjawab persoalan ini, umum sedia maklum, isu-isu berkaitan dengan masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah sering diperkatakan pada masa kini dan menjadi fokus media massa. Buktinya, 5 Ogos 2007, berita penangkapan kanak-kanak berumur 12 tahun yang dituduh terlibat dengan kejadian menculik dan merogol wanita berumur 30 tahun berulangkali secara bergilir-gilir telah disiarkan di Buletin 1.30. Hadirin sekalian, Dengar-dengarkan pantun ini: Berburu ke padang datar, Dapat rusa berbelang kaki, Berguru kepalang ajar, Bagai bunga kembang tak jadi. Pantun empat kerat tadi membawa maksud menuntut ilmu biarlah dengan cara yang betul dan bersungguh-sungguh. Jika tidak, ilmu akan hilang atau sia-sia begitu sahaja. Pengerusi: Terima kasih Dr. atas pandangan Dr. sebentar tadi. Seterusnya, apakah pandangan panel kita yang keempat pula terhadap persoalan ini? Panel keempat: Terima kasih saudari. Sebelum itu, saya ingin berkongsi sedikit ilmu bersama-sama semua, untuk pengetahuan semua manusia dituntut mencari ilmu sehingga ke akhir hayat. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: sesungguhnya menuntut ilmu itu merupakan kewajipan bagi setiap Muslim. (riwayat Ahmad dan Ibn Majah) Ilmu diperoleh daripada pelbagai sumber antaranya melalui pembacaan, penelitian, pentaakulan belajar daripada pengalaman lepas serta yang paling utama menuntut ilmu daripada seseorang yang pakar dalam bidang tertentu yang digelar guru. Konsep guru merujuk kepada seseorang yang mengajar dan mendidik sama ada untuk mencapai kejayaan akademik atau kemuliaan akhlak. Guru ada di mana-mana. Ibu bapa boleh menjadi guru paling baik buat anak-anaknya. Seorang kakak atau abang boleh menjadi guru kepada adik-adiknya. Masyarakat juga boleh bertindak sebagai guru sekiranya wujud kerencatan dalam kelompok sosialnya. Hakikatnya, semua orang bertindak sebagai guru dalam kehidupannya.guru dalam konsep ini lebih kepada tugas ingat-mengingati, saling mencerna pemikiran melalui pengalaman, mendidik dan mendisiplinkan diri sendiri dan orang lain serta mengajar sesuatu yang berlaku dalam hidup dengan penerimaan yang baik. Maka pendapat saya tidak lain dan tidak bukan adalah tanggungjawab didikan tidak

kiralah daripada ibu bapa, guru, masyarakat, media massa dan semua yang terlibat adalah tanggungjawab dalam pembentukan disiplin iaitu pendisiplinan pelajar. Pengerusi: Sungguh intelektual pemikiran saudari panel kita yang keempat. Memang tidak dapat disangkal lagi, semua pihak harus bekerjasama bagi mendisiplinkan atau memantapkan akhlak pelajar pada masa kini bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh ..tetapi saya ingin bertanya secara ringkas tentang pendapat ahli panel kita pada hari ini, siapakah yang sebenarnya mengalas tanggungjawab utama bagi mendisiplinkan pelajar di sekolah? Saya persilakan panel kita yang pertama dahulu untuk memberikan sedikit ulasan. Panel pertama: Terima kasih kepada pengerusi atas persoalan yang diujarkan. Pada pendapat saya, pihak yang menggalas akauntabiliti utama dalam mendisiplinkan pelajar adalah golongan ibu bapa. Peranan ibu bapa adalah penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Hal ini disebabkan ibu bapalah yang sentiasa memerhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Di samping itu, golongan ibu bapa mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk mendidik anak-anak mereka sejak berada di dalam kandungan lagi. Di samping itu, ibu bapa juga perlu meningkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama; nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, menunjukkan keperibadian mulia, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Justeru, ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak agar anak-anak tidak kehilangan arah dan menjadi insan yang berilmu dan beragama, penyumbang kepada kemantapan ummah seantero dunia. Pengerusi: Begitu hebat kata-kata atau pendapat yang diutarakan oleh panel kita sebentar tadi. Diharapkan ianya dapat dijadikan pegangan dan panduan oleh golongan ibu bapa di luar sana untuk mendidik anak remaja kita menjadi insan yang berilmu dan beragama, insyaAllah. Sekarang kita perdengarkan pula pendapat daripada panel kita yang kedua, secara ringkas tentang siapakah yang menggalas peranan utama dalam mendisiplinkan pelajar? Panel kedua: Terima kasih saudari yang tidak kurang petah bicaranya. Pada pandangan saya, pihak yang menggalas peranan utama dalam mendisiplinkan pelajar ialah Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Hal ini disebabkan, dari sudut psikologi, peringkat remaja adalah peringkat paling berpengaruh dalam kehidupan mereka. Pada peringkat inilah, pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling diterima. Malah lebih rela menceritakan dan mencurahkan perasaan kepada rakan berbanding ibu bapa, guru atau orang yang lebih dewasa lain. Program Pembinbing Rakan Sebaya(PRS) dapat memenuhi hasrat ini dengan syarat mereka dilatih dan diselia dengan teratur. Oleh itu, adalah disarankan supaya pemilihan dan perkembangan latihan ahli PRS hendaklah dipantau bersama kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan juga ibu bapa. Sekiranya ahli-ahli PRS menerima latihan secukupnya dalam menangani masalah disiplin pelajar di sekolah,masalah disiplin ini akan dapat diatasi.

Pengerusi: Begitu hebat sekali wawancara yang dilontarkan oleh panel kedua kita sebentar tadi. Seterusnya,persoalan akan diajukan kepada panel kita yang ketiga, masih berligat dalam persoalan yang sama iaitu pihak manakah yang memegang tanggungjawab yang berat dalam mendisiplinkan atau memanusiakan insan pelajar di sekolah kita pada hari ini? Panel ketiga: Terima kasih kepada saudari pengerusi yang sentiasa aktif menanyakan banyak persoalan intelek. Baiklah, untuk menjawab persoalan ini, cuba kita renungi baris-baris akhir sebuah sajak yang berbunyi: Jika hari ini siapa saja perosak bangsa; Bermula dengan kegagalan guru kita; Cuai mengasuh generasi muda. Saya yakin sajak ini akan mengguris hati seorang guru. Kalaupun tidak terpalit luka mungkin wujud juga sedikit rasa tersinggung mahupun kecewa lantaran dikatakan gurulah menjadi punca kepada kemunculan perosak bangsa. Namun itulah realitinya kehidupan hari ini. Kalau dulu guru merupakan individu atau kumpulan kecil masyarakat yang amat dihormati, situasi kini jauh berbeza. Kalau dulu, ramai yang mengakui bahawa dewasanya seseorang itu adalah dimulakan oleh seseorang guru biasa, namun kini masyarakat lebih mudah menyalahkan para guru apabila hasil didikan tidak menjadi. Menyedari tentang keretakan hubungan yang berlaku antara ibu bapa dan guru pada hari ini, ianya perlu diperhalusi dan dicari penyelesaian terbaik untuk mengembalikan kepercayaan ibu bapa kepada pihak sekolah umunya dan guru khasnya. Hubungan yang erat antara guru dan ibu bapa amat penting agar masalah disiplin pelajar di sekolah dapat dikurangkan dan bukan semakin bertambah dan membimbangkan semua pihak. Justeru pihak yang paling menggalas beban yang berat untuk mengatasi masalah disiplin pelajar di sekolah adalah golongan ibu bapa, guru, pihak berwajib dan masyarakat sekeliling. Mereka ini seharusnya melakukan anjakan paradigma dengan lebih berfikiran positif, menerima kelemahan anak-anak mereka dan bersangka baik dengan guru-guru sekolah. Sekiranya hal ini dapat diwujudkan, masalah disiplin dalam kalangan pelajar akan dapat diatasi bak kata kerana hanya dengan bekerjasama akan dapat melahirkan hasil yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Pengerusi: Baiklah, sekarang kita dengar pula pendapat panel kita yang terakhir. Siapakah yang menggalas tangunggjawab utama bagi mendisiplinkan pelajar di sekolah? Panel keempat: Terima kasih pengerusi kerana memberi saya peluang untuk mengeluarkan pendapat bagi pihak saya. Pendapat saya lebih kurang sama dengan ahli panel kita yang kedua, tetapi beliau bicarakan tentang PRS untuk membentuk displin pelajar. Pada pendapat saya, kawan baik atau kawan yang paling hampir dengan pelajarlah yang bertanggungjawab untuk mendisiplinkan pelajar. Kawan baik pelajar bukan sahaja hampir setiap hari akan berjumpa dengan pelajar tetapi mereka merupakan orang kedua yang hampir dengan diri pelajar. Sebagai kawan, kita mesti mahu melihat kawan kita tidak terpesoing ke jalan yang salah. Sekiranya mereka sudah tersasar jalan,kawan haruslah menyedarkan pelajar dengan pelbagai cara iaitu dengan berbincang secara baik, menegur kaslahan dia, memberi motivasi serta beberapa nasihat. Dalam

statistik menunjukkan, pengaruh kawan lebih tinggi berbanding pengaruh dengan yang lain. Jadi, kawan haruslah menunjukkan kelakuan yang baik, tidak melanggar disiplin sebagai pelajar dan biarlah kita menjadi contoh terhadap mereka. Baiklah, sebenarnya dalam hal ini, kita tidak perlu mnyalahkan sesiapa pun dan kita mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk mengatasi masalah ini. Sebelum saya berhenti memberi pendapat, elok kita renung-renungkan sejenak. Lautan itu dunia, Bahtera itu kita, Kemudi itu agama, Peliharalah bahtera daripada karam di lautan dunia. Pengerusi: Terima kasih saya ucapkan kepada keempat-empat ahli panel kita kerana sudi hadir dan sudi menyuarakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Nampaknya masa amat mencemburui kita, sebelum berakhir, mari kita sama-sama menepuk tangan untuk diri sendiri kerana berjaya dan tekun mendengar perbincangan kita pada hari ini. Kesimpulannya perkara yang berkaitan dengan masalah ini sebenarnya bukanlah suatu perkara yang patut dipandang remeh. Sebelum mengakhiri bicara forum kita pada hari ini, terimalah serangkap pantun yang berbunyi: Tuailah padi antara masak, Esok jangan layu-layuan, Intailah kami antara nampak, Esok jangan rindu-rinduan. Sekian sahaja untuk hari ini, terkasar bahasa, tersilap bicara, mohon dimaafkan.sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai