Anda di halaman 1dari 2

Rumusan kepentingan proses kitar semula

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan proses kitar
semula dan masalah-masalah pelaksanaannya di Malaysia. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi
120 patah perkataan.

Proses kitar semula melibatkan usaha mengumpul, memproses dan menggunakan semula
bahan-bahan yang pernah dianggap sebagai sampah. Kitar semula memungkinkan bahan-bahan yang
terbuang dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Tahukah anda bahawa rakyat Malaysia
membuang sampah-sarap dalam pelbagai bentuk pada kadar 15000 tan sehari? Apakah yang akan
berlaku dalam tempoh sepuluh tahun jika keadaan ini berterusan?
Sisa bahan buangan yang terdiri daripada 27% kertas, 36.5% sisa buangan dari rumah, 3.9% besi,
3.7% kaca, 16.4% plastik dan 12.5% lain-lain. Hal ini akan menyebabkan pencemaran alam sekitar.
Pembuangan sampah dan sisa buangan rumah dilonggokkan di tepi-tepi jalan bukan sahaja menyakitkan
mata memandangnya, malah bau yang busuk tentu sahaja mengganggu keselesaan kita. Lebih teruk lagi
kesannya akan mengancam sistem air bawah tanah yang menjadi salah satu punca sumber air dalam
kehidupan kita. Kita sering kali merungut apabila sampah melewati kawasan rumah kita kerana baunya
yang busuk. Hal ini seharusnya kita ambil sebagai iktibar kerana jika kitar semula tidak diamalkan dan
kita sendiri mengambil sikap endah tak endah, kita akan dibelenggu oleh bau yang busuk sepanjang
masa. Melalui amalan kitar semula, kita dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar demi
kesejahteraan hidup.
Kerajaan amat bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kempen kitar semula untuk
memastikan ruang hidup manusia akan terus terpelihara. Pada masa ini terdapat kira-kira 230 buah
tapak pelupusan sampah di Malaysia. Setiap satunya dianggarkan berkeluasan 20 hingga 150 ekar
bergantung kepada lokasi dan jumlah sampah yang dibuang. Andainya keadaan ini berterusan tentulah
kawasan kediaman akan terjejas. Lantaran itu, usaha ini juga dapat menjamin persekitaran yang lebih
sihat dan bersih. Keadaan di kawasan pembuangan sampah yang kotor dan menjijikkan tentu sahaja
menjadi tempat pembiakan serangga perosak. Oleh itu, proses kitar semula ini bukan sahaja dapat
mengatasi masalah pembuangan sampah, malah dapat mengawal penyakit daripada merebak.
Walaupun aktiviti pengutipan sampah sekarang memberi peluang pekerjaan kepada sesetengah
orang, namun jika program kitar semula dilaksanakan, lima kali lebih banyak peluang pekerjaan akan
tersedia untuk warga Malaysia. Keperluan terhadap jurutera, pakar mesin, pakar alam sekitar, pekerja
am dan sebagainya amat dikehendaki oleh kilang-kilang terbabit. Dari segi jangka panjang, kos untuk
melaksanakan kitar semula jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan biaya pemuliharaan alam sekitar
yang telah musnah. Oleh itu, masyarakat mestilah dididik supaya peka akan masalah yang kita cipta ini.
Pelaksanaan kaedah ini tidak sukar untuk dijayakan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
semakin giat menggalakkan pengitaran semula bahan-bahan buangan menerusi majlis perbandaran di
setiap daerah dan kawasan. Malah, kita memuji langkah Jabatan Alam Sekitar yang mengadakan pelbagai
aktiviti menerusi media massa dan mengadakan penerangan hingga ke sekolah dalam usaha melahirkan
rakyat yang mencintai alam sekitar. Oleh itu, kerjasama yang berterusan oleh semua pihak iaitu individu,
masyarakat, pihak berkuasa, media massa, kerajaan dan pihak swasta amat dituntut untuk menjamin
pengekalan kebersihan dalam kehidupan.

Soalan 2(a) : Petikan Umum


Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata menyakitkan mata memandangnya. [2 markah]
(ii) Apakah kesan daripada pembuangan sampah yang tidak terurus? [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan alam sekitar
dihargai? [4 markah]
Rumusan kepentingan proses kitar semula
Soalan 1 : Rumusan

Pengenalan
Petikan membincangkan keutamaan/ manfaat/ faedah/ kebaikan proses kitar semula yang perlu
diberikan perhatian oleh masyarakat.

Isi Tersurat (manfaat proses kitar semula)


1. Bahan-bahan yang terbuang dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin/ Masalah pembuangan
sampah dapat diatasi.
2. Pencemaran alam sekitar dapat dikurangkan.
3. Ruang hidup manusia dapat dipelihara/ dijaga.
4. Kitar semula menjamin persekitaran yang lebih sihat dan bersih / Pengekalan kebersihan dalam
kehidupan dapat dijamin.
5. Penyakit dapat dikawal daripada merebak.
6. (Lima kali) lebih banyak peluang pekerjaan akan tersedia.
7. Kos untuk melaksanakan kitar semula jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan biaya
pemuliharaan alam sekitar yang telah musnah.

Isi Tersirat (masalah pelaksanaan proses kitar semula)


1. Masyarakat tidak memberi komitmen menyeluruh untuk menjayakan usaha ini/ masyarakat
menganggap usaha ini tanggungjawab kerajaan sahaja.
2. Pihak berkuasa tempatan tidak bersungguh-sungguh merealisasikan proses kitar semula.
3. Kemudahan yang berkaitan masih tidak banyak/ berada di lokasi tertentu sahaja/ tidak
mencukupi untuk menampung keperluan.

Kesimpulan
Kesimpulannya, proses kitar semula mesti dilaksanakan secara bersepadu supaya keselesaan dan
kesihatan masyarakat terjamin.

Soalan 2(a) : Petikan Umum


(i) -menimbulkan/ menyebabkan ketidakselesaan melihat timbunan sampah
(ii) -menyakitkan mata memandang
-bau yang busuk akan mengganggu keselesaan penduduk
-mengancam sistem air bawah tanah
-menjadi tempat pembiakan serangga perosak
-merebakkan penyakit berjangkit
(iii) -ibu bapa mendidik anak-anak sejak kecil tentang kepentingan proses kitar semula
-pihak sekolah terlibat secara serius dalam usaha kitar semula menerusi penerangan dalam
pengajaran di kelas atau gerak kerja kokurikulum
-media massa menyedarkan masyarakat secara berterusan tentang kepentingan menjaga alam
sekitar
-pertubuhan bukan kerajaan membiayai kos menganjurkan kempen kebersihan di seluruh negara

Anda mungkin juga menyukai