Anda di halaman 1dari 1

CIRI-CIRI SAHABAT YANG BAIK

Setiap individu di dunia ini pastinya memiliki sahabat ataupun rakan dalam
kehidupan mereka. Rakan-rakan amat diperlukan dalam menghilangkan
kebosanan yang melanda diri. Namun demikian, beberapa perkara perlu
dipertimbangkan dalam memilih rakan. Hal ini demikian kerana jika tersalah pilih
rakan akan rosaklah masa hadapan kita. Jika diperhalusi, ada beberapa ciri
dalam memilih sahabat yang perlu kita ketahui.
Ciri yang paling utama sudah pastinya sahabat yang sentiasa membantu kita
ketika susah dan senang. Peribahasa ada mengatakan rakan ketawa senang
dicari tetapi rakan tangis sukar ditemui. Oleh itu, dalam memilih sahabat ciri ini
perlu ada supaya mereka sentiasa membantu kita tanpa mengira waktu dan
ketika. Jelaslah, rakan atau sahabat yang sebegini mampu mengisi kekosongan
dan sentiasa ada saat diperlukan.
Sahabat yang baik juga pastinya mampu menunjukkan teladan yang baik
kepada kita. Sudah pasti kita tidak mahu menjadi seperti disebabkan nila setitik
habis rosak susu sebelanga. Disebabkan sikap rakan kita yang tidak elok, habis
rakan-rakan yang lain dituduh bersekongkol mahupun dilabel sebagai membawa
pengaruh yang negatif. Huraian ini sangat bertepatan dengan peribahasa
berteman dengan tukang minyak wangi kita akan ikut wangi, berteman dengan
tukang minyak kita akan ikut bau minyak.
Di samping itu, dalam memilih sahabat juga pilihlah sahabat yang sentiasa
mengajak kita ke arah kebaikan. Sebagai contohnya, pilihlah sahabat yang tidak
meninggalkan solat dan tahu menghormati orang yang lebih tua. Perkara ini
penting kerana ciri-ciri sahabat yang baik itu akan menjadi ikutan kita sepanjang
masa. Secara tidak langsung, masyarakat akan memandang tinggi individuindividu yang memiliki ciri-ciri yang baik dalam diri mereka.
Seterusnya, sahabat yang baik juga pastinya bersedia untuk berkongsi
ataupun sekurang-kurangnya mendengar masalah kita pada bila-bila masa yang
diperlukan. Sahabat yang baik mampu berfungsi sebagai pembimbing di saat
kita menghadapi masalah. Namun demikian, nasihat dan bimbingan yang
diberikan mestilah mampu membawa kita ke arah kebaikan. Tidak dapat
dinafikan lagi, kita perlu bersedia mendengar masalah rakan jika ingin menjadi
sahabat yang baik.
Izharnya, ada berbagai-bagai ciri yang perlu diperhalusi dalam menilai erti
persabahatan. Oleh sebab itu, kita wajar dan harus berhati-hati untuk
menjadikan seseorang itu sebagai kawan, teman ataupun jua sahabat kita.
Seorang sahabat semestinya memiliki sifat-sifat yang terpuji untuk diikuti dan
dicontohi. Sahabat boleh membahagiakan kita untuk menempuh kehidupan di
dunia ini dan juga membantu kita di akhirat kelak.

Anda mungkin juga menyukai