Anda di halaman 1dari 9

PERSAMPELAN

SAMPEL

Sampel ialah kumpulan (orang, institusi, tempat, atau fenomena) yang menjadi
sumber informasi yang diperlukan oleh pengkaji. Contohnya, jika sebuah sekolah
mempunyai 1200 orang pelajar Sains, maka kumpulan tersebut dikenali
sebagai populasi dan 240 orang pelajar daripada kumpulan itu yang dipilih untuk
suatu penyelidikan, maka 240 orang pelajar tadi dikenali sebagai sampel.

Realitinya, keinginan pengkaji adalah untuk menyelidik populasi yang telah dikenal
pasti dalam sesuatu penyelidikan. Tetapi, faktor-faktor seperti saiz populasi yang
besar, pelbagai dan meliputi kawasan yang luas menyukarkan pengkaji untuk berbuat
demikian. Aktiviti mencari dan menghubungi semua ahli populasi akan memakan masa
dan perbelanjaan yang tinggi. Oleh yang demikian, pengkaji terpaksa
memilih sampel untuk diselidiki.

POPULASI
Populasi ialah kumpulan yang lebih besar yang akan memperoleh manfaat daripada
dapatan yang diperoleh hasil pengkajian saintifik ke atas sampel.

POPULASI SASARAN
Populasi sasaran ialah populasi yang ingin diselidiki oleh pengkaji serta dijadikan
asas untuk membuat generalisasi. Walau bagaimanapun populasi sasaran ini jarang
dapat diperoleh. Oleh sebab itulah populasi sasaran dikatakan sebagai
populasi pilihan ideal (Fraenkel dan Wallen, 2006).

POPULASI CAPAIAN
Populasi capaian dikatakan sebagai populasi pilihan realistik kerana kebanyakan
pengkaji dapat menjadikannya sebagai asas untuk membuat generalisasi dapatan
kajian.

Contoh untuk memahami konsep populasi sasaran, populasi


capaian dan sampel adalah seperti berikut:

Masalah penyelidikan yang ingin diterokai: Kesan Pembelajaran Berbantukan


Komputer terhadap Pencapaian Sains Murid Tahun Lima di Selangor.
Populasi sasaran: semua murid tahun lima di Selangor
Populasi capaian: semua murid tahun lima di daerah Hulu langat, Selangor
Sampel: 10 % murid tahun lima di daerah Hulu Langat, Selangor.

PERSAMPELAN
 Persampelan bermaksud pemilihan suatu kumpulan (orang, institusi, tempat,
atau fenomena) yang ingin diselidiki oleh pengkaji.
 Persampelan merupakan proses memilih sekumpulan (orang, institusi, tempat,
atau fenomena) oleh pengkaji untuk sesuatu penyelidikan yang mewakili kumpulan
besar (orang, institusi, tempat, atau fenomena) yang dipilih.
 Tujuan persampelan adalah untuk memperoleh maklumat tentang sesuatu
populasi (orang, institusi, tempat, atau fenomena).
 Matlamat persampelan adalah untuk memperoleh sampel yang mencerminkan
populasi dari segi pemboleh ubah yang menjadi tumpuan pengkaji. Ini bermakna
pengkaji mengambil sebahagian kecil populasi untuk tujuan pemerhatian, dan
membuat generalisasi berkenaan populasi yang diwakili oleh sampel tersebut.
 Oleh itu, pemilihan sampel yang baik ialah sampel yang boleh mewakili
pemboleh ubah berkenaan dari populasi yang disasarkan.

PROSEDUR PERSAMPELAN
Terdapat dua jenis prosedur persampelan iaitu:
 Persampelan kebarangkalian (secara rawak)
 Persampelan bukan kebarangkalian (secara tak rawak)

Persampelan Kebarangkalian (secara rawak)

Prosedur persampelan kebarangkalian adalah sinonim dengan penyelidikan jenis


kuantitatif. Prosedur persampelan jenis ini dilaksanakan dengan memilih subjek
sampel secara rawak iaitu subjek dalam sampel tersebut mempunyai semua ciri-ciri
yang terdapat dalam populasi kajian.

Sebelum prosedur persampelan kebarangkalian dilakukan, pengkaji perlu mengenal


pasti saiz populasi dan memperoleh senarai subjek dalam populasi. Berdasarkan
senarai subjek, pemilihan responden dilakukan mengikut kaedah persampelan rawak.
Rajah di bawah menunjukkan proses prosedur persampelan kebarangkalian.

Persampelan bukan kebarangkalian (secara tak rawak)

Prosedur persampelan jenis bukan kebarangkalian lazimnya diguna pakai oleh


pengkaji dalam penyelidikan bersifat kualitatif. Persampelan bukan kebarangkalian
melibatkan pemilihan sampel daripada suatu populasi yang telah dikenal pasti
berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Sebagai contoh, seorang pengetua ingin mengenal pasti pendapat guru-guru di


sekolahnya tentang suatu dasar. Beliau memilih 30 orang guru daripada populasi
guru seramai 180 orang yang telah mengajar di sekolahnya. Guru-guru berkenaan
dipilih berdasarkan ciri-ciri berikut; (a) pengalaman mengajar kurang daripada 5
tahun, (b) ahli koperasi guru, (c) pernah menjadi ahli jawatankuasa penggubalan
dasar sekolah. Memandangkan pemilihan sampel adalah berdasarkan ciri-ciri
tertentu, maka terdapat guru yang tidak berpeluang menjadi sampel penyelidikan
pengetua.

Rajah di bawah menunjukkan jenis-jenis persampelan kebarangkalian dan


persampelan bukan kebarangkalian.

Memandangkan perbincangan penulis lebih menjurus kepada penyelidikan kualitatif,


maka hanya jenis persampelan bukan kebarangkalian yang dibincangkan dalam
konteks persampelan ini.

(1) Persampelan Mudah (Convenience Sampling)


Persampelan mudah dikenali juga sebagai persampelan secara kebetulan atau
presampelan kesediaan. Di bawah persampelan mudah / Convenience Sampling,
pengkaji memilih mana-mana subjek yang ditemuinya, yang paling dekat dengannya.
Persampelan jenis ini biasanya digunakan dalam temu bual.

Sebagai contoh, pengkaji melakukan kajian untuk mengetahui pendapat peserta


seminar tentang keberkesanan program seminar yang dihadiri oleh mereka. pengkaji
menemu bual 10 orang peserta, iaitu peserta-peserta yang paling dekat dengannya
yang ditemuinya. Dalam kes ini, pengkaji menemui 10 orang peserta yang berada di
bahagian hadapan dewan seminar secara kebetulan. Peserta-peserta lain
terutamanya peserta yang berada di bahagian belakang dewan tidak mempunyai
peluang untuk ditemu bual. Kebarangkalian peserta-peserta yang dipilih adalah
berbeza, walaupun pengkaji tidak mempunyai apa-apa kriteria pemilihan responden,
dan pemilihan tidak dibuat secara sengaja, pengkaji tidak dapat menganggarkan
ralat persampelan kerana prosedur persampelan mudah bukan merupakan
persampelan rawak.

(2) Persampelan Tujuan (Purposive Sampling)


Persampelan tujuan atau purposive sampling / judgment sampling merujuk kepada
prosedur persampelan iaitu sekumpulan subjek yang mempunyai ciri-ciri tertentu
sahaja dipilih sebagai responden kajian berdasarkan pengetahuan dan tujuan khusus
penyelidikan pengkaji. Ini bermakna tidak semua kajian lain dalam
populasinya dipilih oleh pengkaji sebagai responden.

Sebagai contoh, jika pengkaji ingin mengenal pasti kesedaran pelajar-pelajar


sekolah tentang akibat buruk merokok, dan hanya subjek-subjek kajian yang
merokok sahaja yang dipilih sebagai responden. Maka, pengkaji telahh memilih
subjek kajian berdasarkan tujuan atau kehendaknya. Dalam kes ini, responden-
responden kajian adalah terdiri daripada pelajar-pelajar yang merokok, yang tidak
mewakili seluruh populasi pelajar di sekolah. Sampel begini bukan merupakan sampel
rawak dan hasil kajiannya tidak dapat digeneralisasi kepada seluruh populasi pelajar
di sekolah kerana sampel tersebut tidak mewakili semua pelajar dalam populasi
berkenaan. Keputusan kajian hanya mewakili kumpulan subjek kajian yang dipilih
sahaja.

(3) Persampelan Kuota (Quota Sampling)

Persampelan kuota (Quota Sampling) dikenali juga sebagai persampelan rawak


berlapis yang bukan kebarangkalian. Dalam prosedur persampelan ini, pengkaji
memilih subjek berdasarkan kategori-kategori yang dianggap wujud dalam populasi.
Ia adalah berbeza dengan persampelan rawak berlapis kerana dalam persampelan
rawak berlapis, subjek dipilih secara rawak dalam kumpulan-kumpulan berlapis.
Persampelan kuota sebaliknya dilakukan ke atas kumpulan subjek tertentu
(persampelan bertujuan), oleh itu, responden kajian merupakan subjek-subjek
berlapis yang dipilih secara kebetulan. Dengan erti kata lain, pemilihan sampel
adalah berdasarkan kuota-kuota yang dikategori oleh pengkaji. Dalam prosedur ini,
subjek dipilih secara kebetulan sehingga bilangan bagi satu kategori yang
mempunyai ciri-ciri tertentu dipenuhi, dan prosedur ini diteruskan untuk memilih
subjek-subjek lain dalam kategori-kategori lain sehingga semua kategori dipenuhi.
Sebagai contoh, pengkaji ingin mengenal pasti pendapat pelajar kursus komputer
tentang keberkesanan program komputer di sekolah. Pengkaji membahagikan
pelajar-pelajar kepada dua kategori iaitu kategori pelajar yang sering menggunakan
komputer sekolah (tiga atau lebih daripada tiga kali seminggu) dan kategori pelajar
yang kurang menggunakan komputer di sekolah (kurang daripada tiga kali seminggu).
Pengkaji memilih 30 orang pelajar untuk setiap kategori berdasarkan kepada
kriteria "siapa yang ditemui dahulu dipilih, sehingga kedua-dua kategori dipenuhi".
Dalam kes ini, walaupun pengkaji memilih satu peratusan tertentu subjek dalam
setiap kategori, pemilihan tidak dibuat secara rawak atau ralat persampelan tidak
dapat dianggarkan. Oleh itu, keputusan kajian tidak boleh digeneralisasikan kepada
populasi kajian di bawah prosedur persampelan kajian ini.

(4) Persampelan Dimensional

Persampelan dimensional (Dimensional Sampling) biasanya digunakan dalam kajian


kes. Hanya sebilangan kecil subjek mempunyai ciri-ciri khas yang diminati pengkaji,
dijadikan sebagai responden kajian. Persampelan dimensional digunakan untuk
mengurangkan masalah saiz sampel dalam prosedur persampelan kuota. Di bawah
persampelan ini, pengkaji mengenal pasti ciri-ciri (faktor-faktor atau variabel bebas)
yang diminati dalam populasi dan memilih sekumpulan kecil (sekurang-kurangnya
seorang) responden yang mempunyai semua ciri tersebut.

Sebagai contoh, dalam kajian kes, pengkaji ingin mengetahui pandangan pegawai-
pegawai lelaki dan perempuan sebuah organisasi yang bertaraf pekerjaan yang tetap,
sementara dan kontrak. Jadual di bawah menunjukkan subjek yang dipilih dengan
prosedur persampelan dimensional.

Berdasarkan jadual di atas, subjek bagi setiap kumpulan responden dipilih


berdasarkan pemilihan secara kebetulan, iaitu subjek yang mempunyai ciri-ciri
tersebut yang ditemui dahulu dipilih sebagai responden kajian.

(5) Persampelan Kes Kritikal


Prosedur persampelan kes kritikal (Critical case sampling) digunakan apabila kajian
dilakukan ke atas kes-kes yang spesifik, yang melibatkan tingkah laku yang aneh,
luar biasa atau jarang dijumpai. Persampelan kes kritikal ini biasanya digunakan
untuk kajian kulitatif atau kajian kes yang bertujuan menyelidik individu atau
kumpulan yang unik. Sebagai contoh, pengkaji berminat untuk mengkaji kes-kes
berikut;
 seorang kanak-kanak tadika mengalami kecederaan di sebuah tadika
 beberapa penghuni rumah terpaksa berpindah kerana kawasan yang didiami
mereka mengalami tanah runtuh
 cara seorang korporat mencapai kejayaan walaupun merupakan individu yang
kurang upaya
Prosedur persampelan ini digunakan dalam kajian bertujuan untuk memahami dan
mempelajari secara mendalam tentang sesuatu yang berlaku secara serius, yang
mendatangkan kesan kepada masyarakat. Sampel kes kritikal yang digunakan juga
dikenali sebagai sampel kes ekstrim.

(6) Persampelan Variasi maksimum

Dalam persampelan variasi maksimum (Maximum variation sampling), individu-


individu atau kumpulan individu dipilih untuk mewakili tahap terendah dan tahap
tertinggi dalam sesuatu variabel (atau ciri) yang mempunyai nilai selanjar.

Sebagai contoh, kumpulan pekerja tahap IQ tertinggi dan kumpulan pekerja tahap
IQ terendah dalam sesebuah organisasi dipilih sebagai sampel variasi maksiimum
dalam kajian yang bertujuan untuk menyelidik perhubungan antara tahap IQ dan
produktiviti pekerja-pekerja.

(7) Persampelan Bola Salji (Snow ball sampling)


Persampelan bola sajli atau snow ball sampling merujuk kepada prosedur
persampelan iaitu, responden kajian diminta untuk mencadangkan subjek lain yang
mempunyai ciri-ciri yang sesuai untuk kajian. Prosedur persampelan ini digunakan
terutamanya apabila pengkaji tidak dapat memperoleh senarai nama subjek dalam
populasi yang mempunyai ciri-ciri yang sama. Dalam prosedur ini, pengkaji akan
mengenal pasti sebilangan kecil subjek yang mempunyai ciri-ciri yang hendak dikaji.
Setelah subjek ditemu bual atau diberi soal selidik untuk dijawab, dia diminta untuk
menamakan subjek-subjek lain dalam populasi yang mempunyai ciri-ciri yang sama.
Kaedah persampelan ini akan dilakukan berterusan sehingga pengkaji memperoleh
semua responden yang dikehendaki. Persampelan bola salji ini sesuai digunakan
apabila senarai nama subjek kajian tidak diperoleh, terutamanya kes-kes yang
melibatkan perkara-perkara yang sensitif, atau tidak dibenarkan oleh pihak-pihak
tertentu.

Sebagai contoh, kajian yang dilakukan ke atas pegawai-pegawai sesebuah organisasi


yang terlibat dengan kes jenayah tertentu atau kajian yang dilakukan ke atas guru-
guru yang terlibat dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), atau kajian ke atas
pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat secara aktif dalam politik. Walaupun
prosedur persampelan ini tidak melibatkan pemilihan rawak, ia sesuai digunakan pada
keadaan-keadaan di mana prosedur persampelan lain tidak sesuai digunakan.

Anda mungkin juga menyukai