Anda di halaman 1dari 8

Apa Itu Pengurusan Kewangan

Kewangan sebenarnya adalah suatu seni dan sains mengurus wang. Mengurus kewangan pula melibatkan penggunaan
pelbagai teori ekonomi dan maklumat-maklumat perakaunan bagi mencapai matlamat firma atau individu.

Pengenalan Konsep Pengurusan Kewangan

Pada zaman dahulu kala, kita dapat menukarkan batu-batu yang cantik dan berseni seperti nilam dan zamrud dengan
barang-barang yang diperlukan. Selepas itu, muncul pula zaman di mana manusia menggunakan cengkerang-cengkerang
siput sebagai medium pertukaran. Akhirnya, zaman yang lebih maju melahirkan mata wang yang diterima umum dalam
bentuk logam seperti wang syiling dan juga wang kertas sebagaimana yang ada pada hari ini. Melangkah setapak lagi ke
hadapan, manusia mula menggunakan kad-kad pintar sebagai pengganti kepada wang yang bersifat fizikal.

Evolusi ini juga melahirkan beberapa cabang ilmu sains sosial yang sangat berguna dalam kehidupan manusia sehingga ke
hari ini seperti ilmu perakaunan, ekonomi, kewangan dan matematik.

Apa Itu Kewangan

Pada zaman sekarang, setiap organisasi sama ada pihak kerajaan mahupun firma swasta memerlukan wang untuk
beroperasi. Ini termasuklah organisasi yang tidak bermatlamatkan keuntungan (non-profit organization) yang menjalankan
aktiviti kebajikan. Dalam erti kata lain, wang digunakan dalam setiap aktiviti harian yang kita lakukan.

Semua manusia yang normal memerlukan wang bagi meneruskan kehidupan mereka dengan lebih selesa. Kerana itu kita
dapat lihat di sekeliling kita ada sesetengah pihak yang terperangkap dengan hutang kad kredit dan hutang-hutang lain
yang bertimbun. Tidak kurang pula yang terpaksa diisytiharkan muflis akibat masalah kewangan. Begitu juga dengan
firma-firma perniagaan yang terpaksa gulung tikar akibat masalah kewangan yang teruk. Oleh kerana itu ilmu kewangan
ini harus dipelajari dan difahami oleh setiap individu tidak kira sama ada mereka adalah seorang pegawai, petani, suri
rumah mahupun para penganggur.

Kewangan sebenarnya adalah suatu seni dan sains mengurus wang. Mengurus kewangan pula melibatkan penggunaan
pelbagai teori ekonomi dan maklumat-maklumat perakaunan bagi mencapai matlamat firma atau individu. Umpamanya,
apabila firma ingin meningkatkan untung bersih, maka para pengurus perlulah berusaha meminimumkan kos dan
memaksimumkan hasil. Ini dicapai menerusi integrasi dan usaha secara kolektif daripada kesemua jabatan dan bahagian
yang ada dalam sesebuah organisasi.

Daripada kenyataan tersebut, suatu lagi rumusan dapat diberikan iaitu, mengurus kewangan bukan hanya melibatkan
kakitangan Jabatan Kewangan dan Akaun sahaja, malahan ianya memerlukan kerjasama kesemua bahagian dalam
organisasi.

Secara umum, bidang kewangan mempunyai tiga cabang disiplin yang besar dan ianya menyediakan banyak peluang
pekerjaan kepada para graduan dan masyarakat. Bidang-bidang yang dimaksudkan ialah pelaburan, pengurusan kewangan
korporat dan juga pengurusan risiko dan insurans.

Pelaburan

Bidang pelaburan adalah cabang disiplin kewangan yang popular di Malaysia. Banyak pihak yang terlibat dalam aktiviti
pelaburan seperti para pelabur di Bursa Saham Kuala Lumpur, penganalisis pasaran saham, kakitangan bank yang
menguruskan hal-hal berkaitan pinjaman pembelian saham, pengurus-pengurus dana saham amanah dan sebagainya.

Para graduan daripada pelbagai bidang terutamanya bidang kewangan sering diambil bekerja dengan syarikat-syarikat
broker saham, syarikat pengurusan saham amanah dan bank-bank saudagar yang bertanggungjawab menguruskan hal-hal
berkaitan pelaburan. Mereka yang memilih bekerja di syarikat insurans juga terlibat dalam tugas-tugas melabur premium
insurans yang diterima ke dalam portfolio-portfolio pelaburan yang menguntungkan.

Golongan yang berminat menjadi perunding kewangan juga, pada ketika ini memerlukan pengetahuan luas dalam bidang
pelaburan. Ini jelas menerusi silibus yang diperkenalkan dalam peperiksaan CFP atau Certified Financial Planners.

Pengurusan Kewangan Korporat

Bidang ini melibatkan penyertaan kakitangan organisasi secara menyeluruh dan paling banyak menawarkan peluang
pekerjaan kepada graduan di dalam bidang kewangan. Hal ini berlaku disebabkan keperluan kepada pengurusan kewangan
korporat dalam setiap organisasi. Antara tugas yang dilakukan dalam bidang ini ialah pembuatan keputusan berhubung;
•Keputusan pelaburan syarikat.

•Strategi syarikat supaya memperoleh dana bagi memenuhi keperluan pengembangan perniagaan.

• Keputusan penerbitan saham baru di pasaran dan sekuriti-sekuriti hutang yang lain.

• Keputusan pembiayaan hutang jangka panjang dan jangka pendek.

Selain keputusan-keputusan strategik di atas, para pengurus syarikat juga akan terlibat dalam pembuatan keputusan rutin
syarikat seperti:

• Pembayaran dan penerimaan tunai harian.

• Pemberian kredit kepada pelanggan.

• Merancang perbelanjaan pengiklanan dan promosi.

• Penentuan ganjaran kepada pengurus dan kakitangan.

Pengurusan Risiko dan Insurans

Satu lagi cabang ilmu kewangan yang semakin popular ialah pengurusan risiko dan insurans. Pengurusan risiko dan
insurans melibatkan proses mengukur tahap risiko serta pendedahan risiko yang akan dialami oleh sesebuah perniagaan
dan juga kakitangan mereka. Sebelum ini, tugas tersebut lebih cenderung diserahkan kepada syarikat insurans supaya
dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, pada masa kini terdapat syarikat-syarikat yang cuba mengurus risiko secara sendiri. Antara tugas
yang perlu dilakukan oleh kakitangan di bahagian ini ialah menyediakan pelan perlindungan risiko yang bersesuaian
dengan tahap risiko yang ditanggung serta menentukan langkah yang terbaik bagi melindungi risiko tersebut.
Umpamanya, sekiranya sesebuah kilang yang mempunyai 100 orang pekerja mempunyai tanggungan risiko kecederaan
para pekerja bernilai RM15 juta, maka apa yang boleh dilakukan adalah dengan mewujudkan dana pelaburan khas bagi
tujuan melindungi kakitangan mereka. Selain itu, syarikat juga boleh membeli polisi insurans dan menggalakkan caruman
yang lebih tinggi ke dalam akaun PERKESO.

BENTUK ORGANISASI PERNIAGAAN

Terdapat tiga bentuk organisasi perniagaan yang paling utama di negara ini meliputi; perniagaan tunggal, perkongsian dan
syarikat korporat. Hampir 80 peratus badan perniagaan di negara ini adalah berorientasikan milikan tunggal dan
perkongsian. Namun begitu, berdasarkan jumlah jualan dalam Ringgit Malaysia (RM) hampir 90% didominasi oleh
perniagaan berbentuk syarikat korporat.

Perniagaan Tunggal

Bagi perniagaan tunggal, ianya dimiliki dan diurus oleh seorang individu sahaja. Pemiliknya memiliki semua aset
perniagaan dan bertanggungjawab ke atas semua liabiliti perniagaan. Selain itu, semua keuntungan daripada perniagaan
akan dinikmati oleh pemilik dan semua kerugian ditanggung oleh pemilik. Kelebihan perniagaan tunggal boleh dijelaskan
seperti berikut:

•Kos menubuhkan perniagaan ini adalah rendah kerana dokumentasi penubuhannya adalah sedikit.

•Pemilik perniagaan hanya dikenakan cukai pendapatan individu sahaja.

•Rahsia perniagaan tidak diketahui oleh pihak umum. Ini kerana perniagaan tunggal tidak perlu mengumumkan laporan
kewangan tahunan kepada orang awam.

Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa kelemahan perniagaan tunggal seperti;

Cg Narzuki Online <> http://perakaunan.wordpress.com 3


•Pemilik perniagaan tunggal mempunyai liabiliti tidak terhad. Ini bermakna, sekiranya perniagaan mengalami kerugian,
harta peribadi pemilik perlu digunakan bagi membayar segala hutang perniagaan.

•Jangka hayat perniagaan agak singkat kerana apabila pemilik perniagaan itu mati atau tidak lagi berminat menjalankan
perniagaan, perniagaan tersebut terpaksa dibubarkan.

•Perniagaan tunggal biasanya mempunyai keupayaan menjana modal secara terhad.

Perniagaan Perkongsian

Perniagaan berbentuk perkongsian wujud apabila terdapat dua atau lebih individu yang bersetuju menjalankan perniagaan
bersama-sama. Perniagaan perkongsian yang biasa wujud di Malaysia terdiri daripada Perkongsian Terhad dan Perkongsian
Am.

Di bawah Akta Syarikat 1965, Seksyen 14 (3)(b), bagi mewujudkan sesebuah perniagaan perkongsian, jumlah ahli
mestilah tidak melebihi dua puluh orang. Namun begitu, syarat jumlah ahli tidak melebihi 20 orang ini boleh diberikan
pengecualian kepada perniagaan-perniagaan berteraskan profesional seperti perkhidmatan kedoktoran, perakaunan dan
guaman. Dalam perniagaan perkongsian juga dibenarkan seorang atau beberapa orang rakan kongsi mempunyai status
perkongsian terhad. Walau bagaimanapun sekurang-kurangnya seorang rakan kongsi dalam perniagaan tersebut mestilah
mempunyai status perkongsian am.

Daripada aspek kebaikan perniagaan perkongsian, ianya boleh dijelaskan seperti berikut:

•Kos penubuhan perniagaan perkongsian adalah rendah seperti mana kos penubuhan perniagaan tunggal.

•Cukai hanya dikenakan ke atas pendapatan para pekongsi dan bukannya ke atas pendapatan perniagaan.

•Rahsia perniagaan perkongsian juga terpelihara daripada diketahui umum disebabkan firma perkongsian tidak perlu
menyediakan laporan kewangan awam.

Walau bagaimanapun, masih juga terdapat beberapa kelemahan perniagaan perkongsian seperti;

•Rakan kongsi yang berstatus rakan kongsi am, mempunyai liabiliti tidak terhad. Ini bermakna, sekiranya perniagaan
mengalami kerugian, harta peribadi rakan kongsi itu terpaksa digunakan bagi menyelesaikan hutang perniagaan.

•Sekiranya salah seorang daripada rakan kongsi am menarik diri atau meninggal dunia, perkongsian akan dibubarkan.

•Pindah-milik dalam perniagaan perkongsian sukar dilakukan kerana ia memerlukan persetujuan kesemua rakan kongsi
terlebih dahulu.

Syarikat Korporat

Jika dibandingkan dengan perniagaan tunggal dan perniagaan perkongsian, sesebuah syarikat korporat mempunyai
kelainan yang tersendiri. Syarikat adalah sebuah entiti yang wujud dan diperbadankan secara berasingan daripada
pemiliknya (pemegang saham). Ini bermaksud, sekiranya syarikat mengalami kebankrapan, pihak penghutang hanya
boleh menuntut bayaran setakat jumlah sumbangan modal kesemua pemegang saham sahaja. Oleh kerana terdapat
pengasingan antara pemilik dan syarikat, ia sebenarnya memberi kelebihan kepada pemilik syarikat atau pemegang
saham.

Penubuhan syarikat juga adalah lebih sukar. Pemilik perlu terlebih dahulu mendaftarkan nama syarikat di pejabat Pendaftar
Syarikat atau Registrar of Companies. Selain itu, ia perlu menyediakan segala kertas kerja dan dokumen pendaftaran
seperti memorandum dan artikel persatuan yang melibatkan kos guaman yang besar.

Antara ciri syarikat korporat ialah ia boleh memiliki aset, boleh menanggung liabiliti dan menjual sekuriti kewangan bagi
mendapatkan modal. Antara kelebihan perniagaan berbentuk ini ialah;

•Pemegang saham syarikat (pemilik) mempunyai liabiliti terhad sekadar jumlah dana yang dilaburnya sahaja.

•Kesinambungan hayat sesebuah syarikat korporat itu adalah berterusan dan tidak akan tergugat sekiranya salah seorang
daripada pemilik menarik diri atau meninggal dunia.
•Keupayaan mendapatkan pinjaman luar lebih yang lebih baik kerana institusi kewangan lebih sanggup menyediakan
pinjaman yang besar kepada syarikat jika dibandingkan dengan perniagaan tunggal dan perkongsian.

Di sebalik kekuatan syarikat korporat di atas, terselit juga beberapa bentuk kelemahan seperti;

•Proses penubuhan sesebuah syarikat korporat adalah mahal dan kompleks jika dibandingkan dengan perniagaan tunggal
dan perkongsian.

•Cukai dikenakan sebanyak dua kali oleh kerajaan. Ini bermaksud, keuntungan syarikat akan dikenakan cukai korporat
manakala pemilik syarikat dikenakan cukai atas dividen yang diterima di penghujung setiap tahun.

•Rahsia perniagaan syarikat sukar dilindungi daripada diketahui umum. Ini kerana, syarikat disyaratkan supaya
menyediakan dan menyiarkan laporan kewangan tahunan mereka kepada masyarakat awam.

MATLAMAT UTAMA PERNIAGAAN

Dalam konteks kewangan, objektif utama setiap kakitangan pengurusan syarikat adalah bagi meningkatkan kekayaan
pemegang saham syarikat ataupun kekayaan pemilik syarikat.

Objektif ini tercapai apabila harga saham syarikat dapat dimaksimumkan seberapa banyak yang mungkin. Sebagai contoh,
pada akhir Januari 2002, harga saham Syarikat Telekom ialah RM8.50 sesaham dan pada akhir Februari 2002, harganya
ialah RM8.75 sesaham manakala pada akhir Mac 2002, harganya ialah RM9.00 sesaham. Ini menunjukkan, terdapat
peningkatan secara konsisten dalam harga saham Telekom. Oleh itu, bolehlah dikatakan pengurusan Syarikat Telekom
berjaya memaksimumkan harga saham Telekom dan seterusnya meningkatkan kekayaan pemegang saham.

Persoalannya sekarang apakah kaitan antara harga saham dan kekayaan pemegang saham. Sekiranya seseorang membeli
satu unit saham Telekom pada bulan Januari, mengikut contoh di atas kosnya ialah RM8.50 sesaham. Selepas pembelian
dilakukan, secara automatik pembeli saham tersebut menjadi salah seorang daripada ribuan pemilik saham Telekom.
Sekiranya beliau memegang saham tersebut selama tiga bulan mulai Januari dan kemudiannya menjual saham itu pada
bulan Mac, beliau akan mendapat sedikit keuntungan daripada pegangan saham selama tiga bulan. Ini kerana harga
saham Telekom semasa beliau melepaskan pegangannya melonjak kepada RM9.00 sesaham. Dengan keuntungan
sebanyak RM0.50 sesaham, ini bermakna pihak pengurusan syarikat Telekom berjaya memaksimumkan kekayaan
pemegang saham melalui peningkatan harga saham.

Aspek yang paling penting dalam memaksimumkan kekayaan pemegang saham atau pemilik syarikat ialah pihak
pengurusan mestilah terlebih dahulu memastikan berlakunya peningkatan dalam harga saham syarikat. Persoalannya
sekarang, apakah faktor yang menyebabkan harga saham meningkat? Hasil penyelidikan dalam bidang kewangan sebelum
ini menjelaskan, harga saham akan meningkat sekiranya keuntungan syarikat meningkat atau dijangkakan akan
meningkat.

Dengan menggunakan model pertumbuhan Gordon atau Gordon Growth Model, kita boleh mengaitkan harga saham
dengan keuntungan syarikat seperti berikut;

Pada amnya, apabila syarikat mengalami keuntungan dalam satu-satu tahun, syarikat tersebut dijangkakan akan
membayar dividen kepada pelabur atau pemilik syarikat. Semakin tinggi keuntungan syarikat, semakin tinggi pembayaran
dividen dapat dilakukan. Dividen (Do) adalah pemboleh ubah yang terletak di bahagian atas rumus tersebut. Oleh itu,
sekiranya ada peningkatan ke atas Do, harga saham (Po) akan meningkat. Selain itu, penggunaan rumus ini juga berguna
bagi menerangkan kaitan antara harga saham syarikat dengan keuntungan syarikat sekarang. Kita juga boleh
menggunakan formula ini bagi memahami mengapa pelabur seharusnya melabur dalam syarikat yang mempunyai
keuntungan.

Faktor Yang Mempengaruhi Keuntungan Syarikat

Walaupun pihak pengurusan sudah berusaha sedaya upaya mengurus operasi syarikat sebaik mungkin bagi memastikan
kekayaan pemegang saham di tahap yang maksimum, namun terdapat faktor-faktor luaran yang secara tidak langsung
memerlukan perhatian pihak pengurusan dan boleh mengurangkan keberkesanan usaha memaksimumkan kekayaan
pemegang saham. Antaranya ialah tanggungjawab sosial, halangan undang-undang dan kadar bunga.

Tanggungjawab Sosial

Bagi menerangkan bagaimana faktor ini mempengaruhi keuntungan syarikat, kita akan menggunakan contoh sebuah
syarikat yang menghasilkan bahan kimia pencuci. Biasanya dalam proses penghasilan bahan kimia pencuci, akan terhasil
juga bahan-bahan kimia buangan ataupun ‘by product’. Bahan-bahan kimia buangan ini tidak lagi berfaedah bagi proses
seterusnya. Oleh itu, syarikat juga bertanggungjawab mengurus pelupusan bahan-bahan kimia buangan ini sebaik
mungkin supaya tidak mencemarkan alam sekitar atau membahayakan orang ramai.

Langkah terbaik bagi melupuskan bahan kimia ini ialah dengan membina loji pelupusan. Biasanya loji ini bernilai berjuta-
juta ringgit dan pembinaannya akan meningkatkan kos pengurusan dan kos pengeluaran syarikat. Apabila kos meningkat,
maka ianya mengurangkan angka keuntungan syarikat. Apabila keuntungan menurun, keupayaan syarikat membayar
dividen juga berkurangan. Berdasarkan model pertumbuhan Gordon, apabila dividen menurun, harga saham syarikat juga
menurun dan menyukarkan syarikat meningkatkan kekayaan pemegang saham atau pemilik syarikat.

Halangan Undang-Undang

Ada kalanya undang-undang yang diadakan oleh kerajaan boleh menjejaskan keuntungan sesebuah syarikat dan
kemudiannya memberi kesan ke atas harga saham dan proses memaksimumkan kekayaan pemegang saham. Contohnya,
undang-undang pengambilan buruh asing di sektor perkilangan.

Pada amnya, kilang-kilang mengupah buruh asing supaya bekerja di kilang mereka kerana gaji yang dibayar lebih murah
berbanding gaji buruh tempatan. Oleh sebab itu, pengambilan buruh asing dapat menjimatkan kos pengilang dan
seterusnya meningkatkan keuntungan mereka.

Namun begitu, sekiranya kerajaan menghalang pengambilan buruh asing, pengilang tidak mempunyai pilihan lain kecuali
mengupah buruh tempatan. Sudah pasti dengan mengupah buruh tempatan ianya akan meningkatkan kos dan seterusnya
menjejaskan keuntungan. Berdasarkan model pertumbuhan Gordon juga, selepas keuntungan terjejas, pemberian dividen
akan mengecil dan akhirnya harga saham syarikat terjejas. Apabila harga saham terjejas, proses memaksimumkan
kekayaan pemegang saham terbantut.

Kadar Bunga

Kadar bunga yang dikenakan oleh institusi kewangan ke atas pinjaman juga memberi kesan ke atas jumlah keuntungan
syarikat dan proses memaksimumkan kekayaan pemegang saham. Sebagai contoh, syarikat sentiasa cuba
mengembangkan operasi dan perniagaan dari semasa ke semasa.

Setiap kali syarikat ingin menjalankan aktiviti tersebut, ia akan menggunakan modal yang terhasil daripada keuntungan
tertahan (retained earnings). Namun begitu keuntungan tertahan ini selalunya tidak mencukupi dan pengurusan syarikat
terpaksa meminjam daripada pihak bank supaya dijadikan modal tambahan.

Kadar bunga yang dikenakan ke atas pinjaman tersebut sentiasa berubah-ubah dari semasa ke semasa. Ada kalanya tinggi
dan ada kalanya rendah. Kebiasaannya sewaktu ekonomi mengalami kemelesetan, kadar bunga diturunkan supaya
pinjaman mudah dilakukan bagi membeli barangan. Peningkatan pembelian barang menggalakkan pertumbuhan ekonomi
dan seterusnya membawa ekonomi negara keluar daripada kemelesetan.

Sementara itu, sewaktu ekonomi mengalami pertumbuhan yang terlalu pesat dan kadar inflasi juga tinggi, kadar bunga
atas pinjaman adalah tinggi. Kadar bunga yang tinggi menyukarkan pengguna membuat pinjaman bagi pembelian barang.
Penurunan pembelian barang menurunkan pertumbuhan ekonomi dan seterusnya membawa ekonomi keluar daripada
masalah inflasi.

Sekiranya syarikat melakukan pinjaman sewaktu kadar bunga tinggi, pembayaran faedah ke atas pinjaman juga menjadi
tinggi. Apabila pembayaran kadar faedah meningkat, kos pengurusan dan operasi syarikat akan meningkat dan ini
mengurangkan keuntungan syarikat. Keupayaan membayar dividen juga menurun dan mengakibatkan penurunan harga
saham syarikat. Ini menyukarkan proses memaksimumkan kekayaan pemegang saham.

Tugas Kakitangan dan Pengurus Kewangan

Tanggungjawab kakitangan dan pengurus kewangan dalam sesebuah organisasi adalah sangat penting dan strategik. Ini
disebabkan pengukuran pencapaian dan kekukuhan syarikat biasanya diukur daripada sudut kewangan.

Darjah kompleksiti pengurusan kewangan syarikat pula lebih bergantung kepada saiz syarikat atau firma tersebut.
Umpamanya, bagi sebuah kedai runcit, pengurusan kewangannya tidaklah begitu rumit untuk dilakukan. Hanya pemilik
kedai berkenaan sahaja yang diperlukan bagi mengurus segala rekod-rekod kewangan perniagaan.

Sebaliknya bagi sebuah syarikat korporat yang besar, ia memerlukan struktur jabatan kewangan yang kompleks. Syarikat-
syarikat korporat biasanya mempunyai sebuah jabatan kewangan yang diketuai oleh seorang Pengurus Besar Kewangan
dengan dibantu oleh Penolong Pengurus Besar Kewangan, akauntan, ketua juruaudit, pegawai pelaburan, pegawai
penganalisis kewangan, pegawai sistem maklumat dan sebagainya.
Tugas yang dijalankan oleh para pengurus kewangan dan kakitangan di bawahnya boleh dibahagikan kepada lima bahagian
seperti di bawah;

•Ramalan dan Perancangan Kewangan

Tugas membuat ramalan dan perancangan kewangan boleh dikaitkan dengan proses menyediakan belanjawan syarikat.
Dalam aspek ini, para pengurus kewangan mendapatkan maklumat daripada jabatan-jabatan lain seperti Jabatan
Pemasaran dan Jabatan Pengeluaran supaya membuat ramalan jualan dan hasil pada masa hadapan.

•Keputusan Pelaburan dan Pembiayaan

Seterusnya, pengurus kewangan dan kakitangannya juga perlu membuat keputusan-keputusan memilih alternatif
pelaburan yang terbaik untuk syarikat ceburi. Selain itu, keputusan pembiayaan juga perlu dilakukan dengan cara
menentukan bentuk-bentuk sumber pembiayaan jangka panjang dan jangka pendek yang boleh digunakan bagi
meningkatkan jumlah modal syarikat. Umpamanya menerusi kertas komersial, debentur, terbitan bon, saham dan saham
keutamaan.

•Koordinasi dan Kawalan

Tugas kakitangan dan pengurus kewangan juga adalah berinteraksi dengan kakitangan di jabatan lain bagi memastikan
perjalanan operasi syarikat adalah cekap. Kawalan ke atas aliran tunai masuk dan keluar, polisi kredit syarikat,
ketersediaan sumber dana dan seumpamanya perlu dilakukan oleh mereka. Ini memastikan segala perancangan atau
belanjawan yang dibuat dapat dipenuhi oleh semua jabatan.

•Berurusan Dengan Pasaran Wang dan Modal

Oleh kerana tugas mengurus kewangan tidak dapat dipisahkan dengan pasaran wang dan modal, maka menjadi
tanggungjawab para pengurus kewangan supaya berurusan dengan pihak-pihak luar yang terlibat dengan tugas-tugas
menerbitkan saham, menerbitkan bon, melabur lebihan wang dan sebagainya dalam pasaran wang dan modal. Ini
termasuklah syarikat broker saham dan bank-bank saudagar.

• Mengurus Risiko

Tugas terakhir yang biasa dilakukan oleh pengurus kewangan ialah mengurus risiko seperti ketidakpastian dalam harga
saham dan komoditi, pergerakan kadar faedah, perubahan kadar pertukaran asing, risiko politik dan sebagainya. Kesemua
risiko tersebut boleh dilindungi menerusi pembelian polisi insurans dan juga program lindung nilai (hedging) risiko
perniagaan. Program lindung nilai yang boleh dilaksanakan adalah menerusi penyertaan dalam kontrak-kontrak urus niaga
pasaran derivatif.

Hubungan Agensi dan Masalah Agensi

Hubungan agensi wujud apabila seorang prinsipal seperti pemilik (pemegang saham) sesebuah syarikat melantik dan
memberi kuasa kepada seseorang agen (individu) sebagai wakilnya supaya membuat keputusan atau mengurus syarikat
tersebut bagi pihaknya. Sebagai contoh, Datuk Kamal Sani adalah pemegang saham utama Syarikat Q&C Berhad. Datuk
Kamal mengambil keputusan melantik Encik Alinor, Encik Ramaswaty dan Encik Lee Soon sebagai pengurus syarikat dan
memberi mereka hak membuat keputusan-keputusan dalam syarikat. Dengan pelantikan ketiga-tiga mereka ini dan
penyerahan kuasa mengurus dan membuat keputusan, hubungan agensi sudah terhasil. Sebaliknya, jika Datuk Kamal
hanya melantik ketiga-tiga mereka ini sebagai pencuci pejabat, maka hubungan agensi tidak wujud di sini. Ini kerana
kuasa yang diberikan kepada mereka tidak mencukupi bagi mengurus syarikat tersebut bagi pihak Datuk Kamal sebagai
pemilik syarikat.

Masalah Agensi

Sebagai seorang agen yang dilantik bagi mewakili prinsipal, kesemua pengurus syarikat haruslah bertindak sejajar dengan
matlamat dan kehendak prinsipal. Walau bagaimanapun, masalah agensi akan timbul sekiranya ketiga-tiga orang pengurus
yang dilantik tadi membuat keputusan perniagaan dan berperilaku secara tidak konsisten atau menyimpang daripada
matlamat prinsipal. Umpamanya, mereka tidak berusaha memaksimumkan kekayaan Datuk Kamal sebagai pemegang
saham atau pemilik syarikat.

Contoh keputusan-keputusan perniagaan atau perilaku yang tidak konsisten dengan proses memaksimumkan kekayaan
pemegang saham adalah;
•Membuat keputusan membeli kapal terbang peribadi bagi keperluan para pengurus yang berharga berjuta-juta ringgit dan
pembelian ini menambahkan beban hutang syarikat. Semakin banyak syarikat berhutang, semakin banyak kadar faedah
yang perlu dibayar lalu mengurangkan keuntungan syarikat dan menjejaskan peluang memaksimumkan kekayaan
pemegang saham.

•Pembayaran bonus yang terlalu tinggi kepada pengurus syarikat sehingga mengurangkan jumlah keuntungan syarikat.
Kesannya, keupayaan membayar dividen kepada pemegang saham semakin rendah.

Langkah Mengurangkan Masalah Agensi

Masalah agensi boleh dikurangkan menerusi langkah-langkah seperti berikut:

•Menawarkan saham syarikat kepada para pengurus

Penawaran saham kepada kakitangan (ESOS) biasa berlaku dalam syarikat-syarikat besar seperti Maybank dan Telekom.
Dengan penawaran saham ini, secara langsung, para pengurus syarikat akan turut menjadi pemilik syarikat. Seperti biasa
sebagai pemilik syarikat mereka mahukan kekayaan mereka dimaksimumkan. Cara terbaik adalah dengan membuat
keputusan perniagaan yang akan meningkatkan

keuntungan syarikat dan bukannya membuat keputusan atau perilaku yang menjejaskan keuntungan.

Justeru itu, para pengurus akan bekerja dengan lebih bertanggungjawab dan menumpukan kepada usaha-usaha
mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan.

•Pembaikan manfaat pekerjaan

Kadangkala terdapat juga masalah agensi yang wujud disebabkan kurangnya manfaat pekerjaan yang disediakan oleh
pemilik syarikat kepada para pengurus dan kakitangan syarikat. Bagi mengatasinya, para pemilik haruslah bersedia
meningkatkan manfaat pekerjaan kepada golongan tersebut supaya mereka dapat bekerja dengan lebih gigih bagi
mencapai apa yang diharapkan oleh pemilik syarikat. Antara yang boleh dilakukan termasuklah meningkatkan gaji,
menambah elaun-elaun perkhidmatan, memberi bonus tahunan dan kecemerlangan, menyediakan kemudahan perumahan
dan kenderaan yang lebih baik, mewujudkan skim manfaat persaraan yang lebih menarik dan menguntungkan kakitangan
serta memberikan kemudahan rekreasi dan cuti yang lebih baik.

•Ancaman pengambilalihan berbentuk hostile takeover

Sekiranya perlu, para pemilik syarikat boleh juga memberi kesedaran kepada para pengurus berkenaan ancaman
pengambilalihan syarikat berbentuk hostile takeover. Sekiranya keputusan atau perilaku mereka menjejaskan keuntungan,
lalu dicerminkan menerusi kejatuhan harga saham syarikat di pasaran saham, maka ini membuka peluang kepada syarikat
lain mengambil alih syarikat mereka dengan cara pembelian saham di pasaran terbuka. Contohnya jika Syarikat Merah
Muda Berhad mampu memiliki 51% daripada saham Syarikat Q&C Berhad hasil daripada pembelian saham-saham tersebut
di Bursa Saham Kuala Lumpur. Ini bermakna, pemilikan syarikat ini sudah bertukar tangan secara ‘hostile takeover’.
Selalunya hostile takeover akan menyebabkan pengurusan Syarikat Q&C Berhad dirombak dan pastinya Syarikat Merah
Muda Berhad mahukan pengurus mereka sendiri menguruskan Syarikat Q&C Berhad. Para pengurus sedia ada iaitu Encik
Alinor, Encik Ramaswaty dan Encik Lee Soon akan dilucutkan daripada jawatan mereka.

Rumusan

Mengurus kewangan adalah suatu bidang disiplin ilmu pengurusan perniagaan yang sangat penting difahami oleh semua
pihak. Tidak kira sama ada seseorang itu adalah suri rumah, pelajar ataupun berkhidmat dalam jabatan kewangan
mahupun di bahagian-bahagian lain dalam sesebuah syarikat. Secara khusus bidang kewangan boleh dipecahkan kepada
tiga sub-bidang yang lain.

Matlamat utama kewujudan firma perniagaan sama ada berbentuk perniagaan tunggal, perkongsian atau syarikat korporat
adalah bagi memaksimumkan kekayaan pemegang saham atau pemilik syarikat. Ianya dapat dicapai dengan usaha keras
kakitangan syarikat memaksimumkan harga saham. Ini dapat dicerminkan menerusi jumlah dividen yang mampu dibayar
dan kadar pertumbuhan syarikat sebagaimana yang ditunjukkan menerusi model pertumbuhan Gordon.

Namun begitu, hubungan agensi di antara para pengurus dengan pemilik syarikat kadangkala tidak begitu baik dan ianya
disebut sebagai masalah agensi. Ini dapat diselesaikan menerusi beberapa kaedah seperti pemberian saham kepada
kakitangan, pembaikan terhadap manfaat pekerjaan dan juga ancaman pengambilalihan hostile oleh syarikat lain apabila
harga saham syarikat jatuh di pasaran saham.

Anda mungkin juga menyukai