Anda di halaman 1dari 9

Esei: Etika Individu

Seperti yang kita sedia maklum, apabila berbicara mengenai etika molek kiranya kita melihat maknanya secara literal yang didasari Kamus Dewan Edisi Ketiga yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka yang bermakna satu peradaban yang menunjukkan norma masyarakat yang mementingkan keindahan tatasusila dan toleransi dalam hidup bermasyarakat. Kita tahu bahawa negara Malaysia mempunyai berbilang bangsa dan anutan agama. Kebanyakan orang ramai masih lagi keliru atau tidak tahu dengan apa yang dimaksudkan dengan etika. Etika adalah berkaitan dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh seseorang individu sama ada tindakan tersebut adalah salah atau betul, buruk atau baik. Etika tidak mempersoalkan keadaan seseorang manusia, sebaliknya etika mempersoalkan bagaimana seseorang manusia itu harus bertindak atau berkelakuan. Etika berkaitan dengan konsep-konsep moral seperti kebaikan, kejahatan, benar, salah, kewajipan, tanggungjawab, keadilan dan merupakan teori tentang tingkah laku yang betul dalam kehidupan seharian. Etika akan membentuk seseorang individu dari segi kelakukan dan tindakan-tindakan yang akan diambil. Ingin saya mengenengahkan semula bait-bait kata Tun Mahathir Bin Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia (1991), yang pernah menyatakan bahawa untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika sepenuhnya, yang rakyatnya kuat beragama dan mempunyai nilai kerohanian mestilah disemai dengan nilai etika paling tinggi. Ini menunjukkan bahawa pentingnya etika sebagai menjamin pembangunan negara yang mampan dan seimbang sepertimana yang dinyatakan dengan jelas sebagai salah satu di antara cabaran Wawasan 2020. Etika merupakan perkara penting untuk mengukuhkan perhubungan dalam sesebuah masyarakat sehingga dapat menjamin kewujudan, kestabilan, keamanan dan kesejahteraan di dalam masyarakat di negara Malaysia ini. Dalam hal ini, dapatlah kita katakan bahawa etika adalah satu tulang belakang yang boleh dijadikan kayu ukur untuk membentuk perpaduan yang berlandaskan perkembangan individu. Seseorang individu mesti mempunyai keperibadian yang baik dan boleh dipuji jika ingin dianggap sebagai seorang individu yang bermoral di mata masyarakat sekeliling. Ini disokong oleh Wallace, JD. (1978), di mana beliau telah banyak membincangkan mengenai akhlak-akhlak mulia dan jahat serta membuktikan bahawa keperibadian yang mulia boleh membawa kepada ketenteraman hidup di dalam masyarakat.

Faktor-Faktor Yang Membentuk Etika Individu


Untuk membentuk etika individu yang mampan, beberapa faktor akan dibincangkan demi menjamin pembangunan negara untuk mencapai Wawasan 2020. Antara faktor-faktor yang mempengaruhi etika individu adalah faktor keluarga, faktor rakan sebaya, faktor situasi dan dari

pengalaman hidup. Faktor-faktor ini boleh menjadikan seseorang individu tersebut menjadi lebih baik kelakuannya atau sebaliknya dalam kalangan masyarakat. Berdasarkan pincisan-pincisan akhbar tempatan, kebanyakan remaja di negara ini, lebih terdedah kepada masalah etika dan tingkah laku yang mana hampir setiap hari kita sering diperdengarkan dengan kes-kes jenayah seperti rompak, rogol, dadah, ponteng sekolah, bunuh, curi, rempit, sekd bebas, khalwat, lari dari rumah dan berbagai-bagai lagi masalah yang melibatkan remaja. Malah semakin hari, boleh dikatakan semakin banyak masalah yang timbul dalam kalangan masyarakat Malaysia. Namun tidak dinafikan, faktor-faktor ini juga boleh membentuk etika remaja yang baik dan membentuk berbudi pekerti yang mulia mengikut norma-norma masyarakat. Pihakpihak yang berwajib seharusnya peka terhadap punca-punca dan faktor-faktor kemerosotan etika dalam kalangan remaja dalam usaha untuk membentuk generasi yang mempunyai kelakukan yang baik sejajar dengan pembangunan negara kerana mereka inilah bakal mewarisi kemajuan dan kesejahteraan negara. Sistem-sistem pendidikan di Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Menengah dan Rendah serta Kementerian Pendidikan Tinggi telah mewujudkan matapelajaran-matapelajaran untuk membentuk keperibadian yang baik dalam kalangan remaja apabila merea meningkat remaja kelak. Antaranya matapelajaran yang diwujudkan di sekolah-sekolah adalah seperti Pendidikan Islam, Moral dan Sivik bagi membentuk rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Akan tetapi masih ada lagi masalah-masalah tentang etika dan kelakuan yang ditimbulkan oleh para remaja. Mereka seolah-olah tidak memahami kepentingan etika di dalam masyarakat demi pembangunan negara dengan mengabaikan tanggungjawab-tanggungjawab sosial.

Faktor Keluarga
Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka (1994), keluarga telah didefinisikan sebagai seisi rumahtangga yang terdiri daripada suami dan isteri atau beserta anak-anak. Keluarga adalah satu institusi yang rapat dengan seseorang individu atau kanak-kanak serta remaja. Ia boleh menjadi pemangkin untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku di dalam kehidupan seharian. Perkembangan personaliti remaja dibentuk sejak kecil lagi bersama keluarga seterusnya memberikan pengaruh yang amat besar kepada tingkah laku, sikap dan pemikirannya. Ini kerana, anak-anak akan mencontohi tingkah laku daripada ibu dan bapa mereka. Menjadikan ibu dan bapa sebagai idola untuk membentuk keperibadian anak-anak. Keharmonian sesebuah keluarga boleh membentuk sahsiah peribadi dan personaliti serta tingkah laku seseorang. Ini kerana apabila seseorang ahli keluarga mempunyai masalah ia akan dikongsikan bersama dan mencari jalan terbaik untuk penyelesaian bersama dari situ timbul perasaan sayang-menyayangi antara satu sama lain.

Mahmood Nazar Muhammad (1993), tingkah laku remaja didorong oleh konflik dan tekanan psikologi yang mana mereka mengalami konflik dalam keluarga mereka sendiri. Mereka gagal untuk melihat keluarga sebagai satu persekitaran yang sihat dan memberikan kebahagiaan serta rasa seronok kepada mereka. Oleh yang demikian, faktor keluarga adalah penyumbang terbesar kepada pembentukan personaliti, tingkah laku dan sikap. Dengan perkembangan dunia yang pesat dengan kos taraf hidup yang semakin meningkat, ibubapa tela menyerahkan peranan serta gaya asuhan kepada pengasuh atau pembantu rumah yang dibayar yang berperanan untuk mengasuh anak-anak mereka. Sementara ibubapa sibuk di luar sana untuk mencari wang dan pekerjaan bagi menampung keluarga. Dengan pengabaian ini secara tidak langsung boleh mempengaruhi anak-anak mengikut acuan asuhan pengasuh atau pembantu rumah dan tidak mengikut acuan asuhan ibubapa. Ibubapa juga mengambil sikap lepas tangan dengan tanggungjawab membesarkan anak dan tanggungjawab iu dipikul oleh pembantu rumah atau pengasuh. Sikap sesetengah ibubapa yang amat mementingkan kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap perkembangan anak-anak mereka dan isu-isu sosial sememangnya merumitkan. Di kawasan bandar terutamanya, sesetengah ibubapa tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh yang sedemikian, para remaja telah merasakan diri mereka bebas untuk berkelakuan negatif tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam, sosial dan masyarakat. Ini menyebabkan corak gaya asuhan terlalu longgar dan anak-anak sudah biasa dengan kelonggaran tersebut tanpa ada sebarang pemantauan yang dilakukan oleh ibubapa baik dari segi pelajaran, sosial, pergaulan dan kelakuan. Pada kebiasaannya ibubapa tidak akan mengambil peduli akan perkembangan anak-anak mereka terutama dari segi kelakuan dan pendidikan. Ini memaksa anakanak berkelakuan mengikut kata hati mereka sendiri tanpa sebarang sekatan dan secara tidak langsung anak-anak ini akan ketinggalan di dalam pembelajaran. Sementara itu ada juga ibubapa yang mengamalkan asuhan secara kongkongan terhadap anakanak mereka dengan ketat dan ini juga telah menimbulkan satu pemberontakan tingkah laku yang menyebabkan anak-anak berkelakuan negatif. Bandura dan Walter (1959), menyatakan dalam kajiannya bahawa remaja yang agresif kelakuannya atau etikanya adalah dari keluarga yang mengamalkan corak disiplin yang terlalu ketat yang menghukum anak-anak mereka secara fizikal berlebihan. Jika corak asuhan terlalu longgar, anak-anak akan berkelakuan sesuka hati. Ini disebabkan ibubapa tidak mengambil peduli dengan apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Apa yang lebih malang lagi, terdapat juga ibubapa yang menjadi pendorong kepada masalah dan sifat vandalisme dalam kalangan remaja. Sebagai contoh, ketika sedang memandu kenderaan ibubapa membuang sampah atau kulit buah-buahan serta tidak menghiraukan papan-papan tanda had kelajuan yang terdapat di sepanjang jalan raya. Ini akan menjadi ikutan kepada anak mereka apabila

mereka meningkat dewasa kelak dan dipertontonkan kepada anak-anak mereka pula. Anak-anak juga cenderung kepada gejala menghisap rokok kerana ibu atau bapa mereka adalah penghisap rokok tegar. Ada remaja di sesetengah tempat yang terjebak dalam gejala vandalisme berasal daripada keluarga bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup negatif. Vandalisme dilakukan oleh remaja yang ingin bebas dan berlatarkan keluarga yang bermasalah. Selain itu kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibubapa juga antara faktor utama mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini. Oleh yang demikian, ibubapa harus tahu bagaimana untuk memberikan asuhan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Sewajarnya ketika proses pengasuhan, ibubapa menerapkan nilai-nilai agama dan nilai-nilai moral yang murni yang akan menjadi ikutan kepada anak-anak agar tidak berkelakuan agresif, memberontak dan berkelakuan tidak baik. Sekiranya anak-anak diterapkan dengan ajaran-ajaran agama dan mematuhi ajaran-ajaran tersebut, kemungkinan anak-anak ini mempunyai etika dan perilaku yang baik dan dapat menghindarkan diri dari etika yang negatif. Ibubapa perlu mengasihi dan mendampingi anak-anak mereka supaya tidak berlaku kebosanan dan kekosongan perasaan di hati anak-anak remaja. Kesedaran perlu diterapkan untuk membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang sebelum melangkah ke alam dewasa.

Faktor Rakan Sebaya


Menurut Hazil Abd Hamid (1990), rakan sebaya diistilahkan sebagai golongan atau kumpulan kanak-kanak atau remaja yang rata-rata mempunyai lingkungan umur yang sama. Oleh yang sedemikian, rakan sebaya merujuk kepada kanak-kanak atau remaja yang sama umurnya, yang menjadi pendengar setia, bersedia untuk membantu dan bersama-sama tatkala ketika sedih mahupun gembira. Pengaruh berkenaan memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memberi pengaruh terhadap tingkahlaku dan penglibatan golongan remaja dalam aktiviti anti-sosial, seperti lari dari rumah dan penagihan dadah, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud (2011). Mereka memerlukan seorang rakan yang boleh menemani mereka sepanjang perkembangan zaman remaja. Dengan adanya rakan-rakan tersebut mereka boleh bertukar-tukar fikiran, berkongsi masalah dan bantu-membantu ke arah kebaikan atau sebaliknya. Kecenderungan remaja terhadap pengaruh rakan sebaya paling tinggi adalah pada umur 14 tahun hingga 18 tahun terutama para remaja yang mempunyai konflik dengan ibubapa dan di rumah. Dengan ini, remaja lebih cenderung kepada pengaruh rakan sebaya dan menurut tingkahlaku anti-sosial kerana mereka berada dalam proses

membebaskan diri daripada pengaruh ibubapa atau keluarga. Mereka ini cuba untuk berfikir untuk diri mereka sendiri tanpa memikirkan akibat daripada kelakuan dan perbuatannya. Pengaruh rakan sebaya juga amat serius kerana ia boleh menyebabkan vandalisme. Mereka mudah untuk meniru dan terpengaruh dengan rakan sebaya. Ia akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkahlaku remaja, terutama bagi remaja yang tercicir dalam pendidikan dan menghadapi masalah keluarga. Mereka yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan, mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berada di dalam kumpulan tersebut, maka akan timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya. Lebih nyata tindakan mereka ini telah terkeluar daripada norma-norma masyarakat tanpa mampu memikirkan kesan-kesan akibat daripada perbuatan mereka. Remaja mudah terpengaruh dengan pujukan dan rayuan dari rakan sebaya yang akan menimbulkan masalah-masalah dan gejala-gejala negatif dan sosial. Antaranya kesan pengaruh yang boleh membentuk kelakuan atau etika remaja adalah menghisap rokok sebagai contoh. Dengan perasaan ingin mencuba dan ingin tahu tentang keseronokan menghisap rokok dan didorong oleh rakan-rakan sebaya maka mereka terus mencuba dan akhirnya terjebak dengan budaya menghisap rokok, gengsterisme, bergaduh, buli, samun dan penagihan dadah. Dari sudut positif, pengaruh rakan sebaya boleh menjadikan remaja-remaja sebagai seorang yang berguna dan berbudi pekerti yang baik sekiranya mereka memilih untuk bergaul dan mendapatkan rakan-rakan yang mempunyai etika yang baik. Mereka akan melakukan perkara-perkara yang tidak terkeluar daripada norma-norma masyarakat seperti membantu masyarakat atau komuniti ketika ada program-program kemasyarakatan melalui gotong-royong. Belajar bersungguh-sungguh demi masa depan mereka dan memikirkan tanggungjawab sebagai seorang insan bergelar anak dan pewaris negara yang akan menerajui negara satu masa kelak. Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk mewujudkan pelbagai program untuk remaja bagi membentuk etika remaja seperti Latihan Khidmat Negara, Hari Belia, menubuhkan kelabkelab belia dan program-program kemasyarakatan. Namun masalah-masalah remaja tetap juga timbul dan semakin meningkat setiap hari.

Faktor Situasi
Faktor situasi juga memainkan peranan penting dalam membentuk etika seseorang individu sama ada baik atau buruk dan dapat diterima oleh masyarakat. Faktor situasi boleh dimaksudkan dengan suasana atau kedudukan individu di dalam keluarga, masyarakat atau komuniti, tempat kerja dan media yang boleh membawa kepada tingkahlaku positif atau negatif yang bergantung kepada

situasi tersebut. Faktor situasi, pada kebiasaannya terbahagi kepada beberapa situasi antaranya situasi persekitaran, situasi dengan kerelaan atau situasi dengan paksaan. Ramai dalam kalangan keluarga yang berpendapatan rendah tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, menetap di rumah-rumah pangsapuri yang menempatkan sehingga ribuan penduduk dan situasi di dalam rumah tersebut yang sempit terutama bagi keluarga yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai menyebabkan remaja-remaja dari keluarga tersebut mempunyai perasaan bosan dan kekurangan aktiviti di dalam rumah. Dengan situasi yang sedemikian, ia secara tidak langsung memaksa remaja-remaja ini memilih untuk menghabiskan masa di luar rumah sama ada bersama rakan-rakan di kawasan sekitar atau melepak di kompleks membeli-belah untuk mendapatkan keseronokan. Di mana ia boleh terdedah kepada gejala-gejala tidak sihat seperti rempit, dadah, ganja dan vandalisme. Faktor yang sedemikian boleh membentuk tingkahlaku yang negatif. Pada kebiasaannya rakan-rakan yang mempunyai fikiran lebih matang, mereka akan menolak ajakan rakan-rakan dengan baik dan memberitahu bahawa apa yang akan mereka lakukan adalah tidak baik dan akan dipandang negatif oleh masyarakat. Faktor situasi sebegini adalah disebabkan oleh faktor situasi persekitaran. Faktor situasi secara paksaan lebih memberi fokus kepada paksaan yang menyebabkan seseorang itu membuat keputusan untuk melanggar atau mengikuti norma-norma masyarakat setelah adanya unsur-unsur paksaan. Sebagai contoh, seorang anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah penunggang motorsikal yang tidak berhenti semasa sekatan jalan raya dan cuba untuk melanggar anggota polis tersebut. Tembakan yang dilepaskan tepat mengenai penunggang dan mati di tempat kejadian. Pada kebiasaannya, polis akan bertindak menembak sekiranya mereka terpaksa kerana ada unsur-unsur paksaan untuk mempertahankan diri daripada serangan penjenayah. Sekiranya tiada unsur-unsur tersebut, anggota polis mungkin tidak mengambil tindakan untuk menembak tanpa membuat perhitungan terlebih dahulu. Walaupun mereka telah diberikan latihan tentang prosedurprosedur untuk melepaskan tembakan, oleh kerana demi keselamatan diri dan mereka memikirkan perlu untuk melepaskan tembakan, maka mereka akan melepaskan tembakan untuk keselamatan diri kerana diancam oleh penjenayah. Di mata masyarakat akan menuduh anggota polis tersebut adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan dengan menembak mati penunggang motorsikal yang hanya melarikan diri dari sekatan jalan raya hanya kerana tiada lesen memandu dan bukannya merompak sedangkan anggota polis tersebut bertindak untuk keselamatan diriya sahaja.

Kedaulatan Undang-Undang Sebagai Panduan Pilihan Bermoral


Molek kiranya sebelum saya mengupas intipati kedaulatan undang-undang sebagai panduan pilihan bermoral, kita melihat makna konseptual yang dibawa oleh dua kata kunci iaitu kedaulatan undang-undang (law of rule) dan pilihan bermoral (moral choices) Seperti yang kita sedia maklum, setiap negara mempunyai perlembagaan mahupun undangundang. Undang-undang digubal untuk menjadi kayu ukur setiap perkara atas dasar rasional berasaskan budaya dan agama dalam sesebuah negara. Apabila bercerita tentang kedaulatan, perkataan daulat itu sendiri telah menerangkan betapa sucinya undang-undang tersebut. Ini bermakna undang-undang negara adalah undang-undang yang tidak boleh dilanggar oleh rakyat, menteri mahupun Yang Dipertuan Agung itu sendiri. Ia menjadi asas penting kerana ia menjamin kestabilan, keadilan serta member panduan dan kuasa kepada pemerintah. Ia juga menjamin taat setia rakyat sesebuah negara. Pembenaran hak, pencegahan dan hukuman terhadap mana-mana kesalahan juga termaktub dalam undang-undang dan perlembagaan negara. Pilihan bermoral pula adalah pilihan individu itu sendiri namun sentiasa didasari oleh keluarga, rakan sebaya dan situasi atau persekitaran. Agama adalah landasan utama bagi pilihan bermoral individu yang berasaskan batasan etika yang menunjukkan sesuatau etika yang betul atau salah. Secara kumulatif, kedaulatan undang-undang sebagai pilihan bermoral bermakna kayu ukur dalam kehidupan yang berasaskan budaya dan agama yang dipengaruhi oleh faktor-faktor keluarga, rakan sebaya dan situasi atau persekitaran yang menunjukkan tindakan yang betul atau salah. Saya percaya setiap kita mempunyai pengalaman mengenai kedaulatan undang-undang sebagai pilihan bermoral dalam kehidupan kita masing-masing. Dalam kehidupan kita, setiap hari kita akan berdepan dengan situasi untuk membuat keputusan yang mungkin sukar bagi kita kerana ia melibatkan hubungan dengan rakan-rakan mahupun kaitan dengan agama. Di sini saya sertakan contoh pengalaman saya mengenani kedaulatan undang-undang sebagai pilihan bermoral. Saya pernah melihat rakan saya mengambil dompet guru kelas di bilik guru tetapi dia telah mengetahui bahawa saya telah melihatnya berbuat demikian. Saya serba salah sama ada hanya mahu membiarkan rakan saya berbuat perkara tersebut atau melaporkannya kepada guru tersebut. Oleh kerana saya menyedari akan pentingnya undang-undang dalam mempengaruhi membuat pilihan yang bermoral, akhirnya saya melaporkan perkara tersebut kepada guru tetapi saya juga telah meminta maaf dan menasihat rakan saya bahawa perbuatannya itu adalah salah. Pengalaman kedua saya berkenaan dengan ponteng sekolah. Rakan-rakan telah mengajak saya untuk pergi ke pekan ketika masa sekolah untuk bermain permainan komputer di cyber cafe.

Mereka mendesak bahawa jika saya tidak mengikut mereka, saya tidak akan menjadi rakan mereka lagi. Namun atas dasar memikirkan peraturan-peraturan sekolah, saya menolak ajakan mereka kerana saya tidak mahu melanggar peraturan sekolah. Secara tidak langsung, saya telah membuat pilihan bermoral yang baik. Kesimpulannya, pilihan bermoral adalah sesuatu yang tidak dipaksa. Ia adalah kesedaran dari dalam diri kita sendiri berdasarkan pertimbangan rasional kita selagi ia tidak menyalahi kedaulatan undang-undang.

Kesimpulan
Faktor-faktor seperti keluarga, rakan sebaya dan situasi adalah penyumbang kepada pembentukan etika seseorang terutama remaja sedang mempunyai kecelaruan identiti dan tingkahlaku dan memerlukan bimbingan daripada seseorang terutama ibubapa. Mereka berperanan untuk memberikan tunjuk ajar kepada anak-anak remaja cara-cara berkelakuan dengan baik mengikut norma-norma masyarakat. Ibubapa perlu untuk mendampingi anak-anak remaja agar mereka tidak merasa bosan dan kekosongan di dalam jiwa untuk membentuk mereka menjadi remaja yang berkelakuan baik dan matang untuk mereka melangkah ke alam dewasa. Pengaruh rakan sebaya juga wajib dipandang serius. Ibubapa perlu mengetahui atau memantau dengan siapakah anak-anak mereka berkawan dan bergaul. Dengan pemantauan ini, anakanak tidak merasakan mereka bebas untuk melakukan apa sahaja bila bersama-sama dengan rakanrakan sebaya. Sekiranya mereka mengetahui mereka diperhatikan dan dipantau, mungkin kegiatankegiatan negatif tidak akan berlaku seperti buli, rempit, dadah, ganja, curi, ragut dan rompak. Situasi juga menyumbang kepada pembentukan seseorang individu kerana sekiranya mereka tertekan, ia akan membolehkan seseorang bertindak di luar norma-norma masyarakat dengan tidak mampu untuk memikirkan sama ada apa yang dilakukannya memberikan kesan sama ada baik atau buruk dalam norma masyarakat. Oleh yang sedemikian, seseorang itu harus berfikir terlebih dahulu sama ada baik atau buruk sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengambil tindakan agar tidak melanggar norma-norma masyarakat walau dalam keadaan situasi dipaksa. Kerajaan telah memperuntukan sejumlah wang yang besar untuk mewujudkan programprogram bersama-sama dengan badan-badan bukan kerajaan dan kelab-kelab belia untuk membentuk etika remaja-remaja kepada kepada kelakuan yang baik demi masa depan negara. Salah satu program yang dijalankan adalah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang memfokuskan kepada daya tahan diri dan secara langsung akan membentuk keperibadian yang baik dalam kalangan remaja dan belia untuk menempuh masa depan yang lebih mencabar.

Seperti yang kita ketahui, adalah merugikan dan memalukan negara sekiranya generasi yang akan datang yang dicanangkan akan menjadi pemimpin di masa hadapan tidak mempunyai kelakuan dan etika yang baik disebabkan didikan dan faktor-faktor pembentukan peribadi yang tidak baik sejak mereka lahir, menempuhi zaman persekolahan dan seterusnya akan dibawa ke alam pekerjaan dan akan diwariskan oleh anak-anak mereka pula dan hingga akhirnya negara Malaysia akan dikenali dengan negara yang rakyatnya tidak mempunyai kelakuan atau etika yang baik.

( 2960 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai