Anda di halaman 1dari 4

[Kisah Sahabat] Abu ‘Ubaidah Bin Al-Jarrah

Fizikal dan perwatakan

Nama sebenar beliau adalah ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Jarrah al Fihri al. Abu ‘Ubaidah seorang yang
memiliki wajah yang berseri, kacak, tinggi lampai, kurus dan berjambang nipis. Beliau mudah mesra
yakni pandai berkawan, tawaduk dan pemalu. Namun di saat yang genting beliau bagaikan singa. Beliau
disimpulkan sebagai mata pedang yang cantik, berkilau, tajam dan runcing.

Salah seorang sahabat telah menjelaskan perwatakan Abu ‘Ubaidah ini ; “Tiga lelaki Quraisy yang paling
berseri wajah, paling baik akhlak dan paling teguh sifat malunya; Jika mereka berkata kepadamu,
mereka tidak berdusta. Jika kamu berkata kepada mereka, mereka tidak akan mendustakannya. Mereka
adalah Abu Bakar, ‘Uthman bin ‘Affan dan Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah”. Hal ini diperkatakan oleh
‘Abdullah bin ‘Umar.

Muslim terawal

Abu ‘Ubaidah tergolong di dalam golongan yang paling awal memeluk Islam. Abu ‘Ubaidah memeluk
Islam sehari selepas pengislaman Abu Bakar dan ini adalah hasil daripada dakwah Abu Bakar kepada Abu
‘Ubaidah.

Abu ‘Ubaidah bersama-sama ‘Abdul Rahman bin ‘Auf,’Uthman bin Maz’un dan al-Arqam bin Abi al-
Arqam telah mengucapkan syahadah di hadapan Rasulullah.

Jadi Abu ‘Ubaidah adalah golongan yang bersama Rasulullah dari awal hingga akhir perjuangan mereka
di Makkah. Seperti mana yang kita ketahui, pada waktu itu mereka ditimpa pelbagai seksaan disebabkan
menganut agama yang dibawa oleh Nabi.

Perang Badar

Walaupun Abu ‘Ubaidah menghadapi pelbagai dugaan di Makkah, namun boleh dikatakan dugaan paling
besar dihadapinya adalah ketika perang Badar dimana dugaan ini benar-benar malampaui jangkaan dan
khayalannya.

Ketika peperangan itu, Abu ‘Ubaidah menyerang musuh dengan begitu hebat sekali dengan perwatakan
pahlawan yang tidak takutkan mati. Perwatakan beliau telah menggerunkan tentera Musyrikin sehingga
mengebabkan tentera berkuda mereka berwaspada apabila bertembung dengan beliau dan cuba
mengelak daripada bertempur dengannya.

Dalam bilangan tentera Quraisy yang ramai itu, ada seorang yang benar-benar ingin bertempur dengan
Abu ‘Ubaidah. Dalam keadaan ini, Abu ‘Ubaidah pula yang cuba mengelak daripada bertempur dengan
lelaki Quraisy tersebut. Setiap serangan oleh lelaki itu, Abu ‘Ubaidah mengelak dengan segera. Lelaki itu
tidak berputus asa dan dia menyekat jalan Abu ‘Ubaidah dengan menghunuskan pedang kearah Abu
‘Ubaidah.
Kali ini tiada pilihan bagi Abu ‘Ubaidah untuk mengelak. Dalam keadaan terpaksa, dia menetak lelaki
tersebut dan membuatkan badan lelaki itu tersungkur ke bumi. Lelaki yang jatuh menyembah bumi itu
adalah ‘Abdullah bin al-Jarrah, ayah kepada Abu ‘Ubaidah.

Allah menurunkan firman-Nya terhadap tindakan nekad Abu ‘Ubaidah terhadap bapanya sendiri:

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak
berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-
orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara
mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati
mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan
memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal
di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya.
Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong
(ugama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya. [Al Mujadila 58:22]

Perang Uhud

Kita semua tahu pada awal peperangan Uhud umat islam ‘tewas’ akibat tidak mendengar arahan
daripada Rasulullah. Tentera Musyrikin semakin mengganas dan juru laung mereka berteriak “Tunjukkan
saya mana Muhammad!!! Tunjukkan saya mana Muhammad!!!”

Pada saat itu, Abu ‘Ubaidah salah seorang sahabat yang melindungi Rasulullah. Mereka
mempertahankan Nabi seolah-oleh dada dan tubuh mereka menjadi tembok dan banteng penghalang
panah dan tombak musuh.

Apabila peperangan tamat, gigi kacip Rasulullah patah, kulit dahinya terkoyak dan dua mata rantai baju
perisai Baginda terbenam di pipinya. Abu Bakar datang untuk mencabutnya namun Abu ‘Ubaidah
berkata “Saya bersumpah kepadamu, biarlah saya yang mencabutnya.”
Lalu Abu Bakar berundur. Abu ‘Ubaidah bimbang jika dicabutnya mata rantai itu dengan tangan ia akan
menyakitkan Rasulullah. Lalu beliau mencabutnya dengan gigi kacipnya. Beliau menggigit kuat mata
rantai yang pertama dan mencabutnya dengan perlahan sehingga mata rantai itu tercabut dan
mengakibatkan giginya lerai ke bumi. Abu ‘Ubaidah melakukan perkara yang sama untuk mencabut
mata rantai yang kedua dan sekali lagi gigi kacipnya terlerai jatuh ke bumi.

Abu Bakar berkata “Abu ‘Ubaidah merupakan manusia rongak paling baik”

Seorang yang perkasa lagi amanah

Diceritakan oleh Muhammad bin Ja’far:

Rombongan Kristian dating mengahadap Rasulullah dan berkata ”Wahai Abu Qasim (gelaran kepada
Rasulullah) utuskan bersama kami kalangan sahabatmu yang kamu berpuas hati dengannya. Agar beliau
boleh menghakimi kami dalam kes-kes harta dan pertelingkahan kami. Lantaran pada kami, kamu orang
Islam, merupakan golongan yang diredhai.”

Rasulullah bersabda “Datanglah bertemu saya pada petang ini. Saya akan utuskan bersama kamu
seorang yang perkasa lagi amanah.”

‘Umar al-Khattob berkata “Saya bergegas awal untuk menunaikan sembahyang zohor. Sebenarnya saya
tidak suka untuk menjawat jawatan. Namun pada hari tersebut saya berharap mahu menjadi leaki yang
disifatkan Rasulullah itu. “

“Setelah Rasulullah selesai sembahyang zohor bersama-sama kami, Baginda memerhati ke kiri dan ke
kanan. Saya menjengul-jengulkan diri saya agar Baginda melihat kea rah saya. Namun Rasulullah tetap
meninjau-ninjau di kalangan kami sehiggalah Rasulullah melihat Abu ‘Ubaidah , lalu memanggilnya dan
bersabda “ Pergilah bersama mereka. Adili mereka dengan benar dalam kes yang mereka perselisihi.”

“Sedikit terkilan kerana saya bukan lelaki yang dimaksudkan. Nampaknya Abu ‘Ubaidah telah berjaya
memenangi keperibadian ini” Jelas ‘Umar.

Saat-saat akhir hidup beliau

Pada zaman Khalifah ‘Umar al-Khattob memerintah, Abu ‘Ubaidah diutuskan ke Syam untuk memimpin
bala tentera Islam. Dengan Izin Allah tentera Islam dapat menawan seluruh bumi Syam. Ketika itu
tentera Islam sampai ke tepi sungai Furat di sebelah timur dan Asia Minor di sebelah utara.

Dalam pada masa yang sama, Syam sedang dilanda wabak taun yang tidak pernah berlaku sebegitu
teruk sebelum ini. Ramai nyawa yang terkorban akibat mengidap penyakit itu. Mendengar situasi
tersebut, Khalifah menghantar utusan untuk bertemu Abu ‘Ubaidah dan di dalam perutusan itu Khalifah
berkata “ Nampaknya saya mempunyai satu urusan yang amat memerlukan bantuan kamu. Saya tidak
dapat menyelesaikannya tanpa kamu. Jika perutusan saya ini sampai kepadamu pada waktu malam,
sebelum subuh hendaklah kamu berangkat bertemu saya. Jika perutusan ini sampai pada waktu siang,
sebelum petang hendaklah kamu berangkat bertemu saya.”
Abu ‘Ubaidah berkata selepas membaca perutusan Khalifah “Saya tahu tujuan Amirul Mukminin
terhadap saya. Beliau ingin saya terus hidup sedangkan tiada siapa yang boleh kekal hidup.”

“Wahai Amirul Mukminin, saya sedia maklum permintaanmu terhadap saya. Sesungguhnya saya
merupakan sebahagian anggota tentera Islam. Oleh itu saya tidak ingin menjaga diri saya daripada
bencana (taun) yang telah menimpa mereka. Saya tidak akan berpisah meninggalkan mereka sehingga
Allah membuat keputusan-Nya untuk menyelamatkan saya dan mereka. Sama ada Dia mencabut nyawa
atau menyelamatkan kami. Maka apabila surat ini sampai kepadamu, gugurkanlah tuntutanmu terhadap
saya. Izinkan saya untuk terus kekal di sini.” Balas Abu ‘Ubaidah kepada utusan Khalifah.

Tatkala ‘Umar membaca surat tersebut, air mata beliau mengalir. Lalu para sahabat yang ada bersama
beliau bertanya “ Apakah Abu ‘Ubaidah telah meninggal dunia wahai Amirul Mukminin?”

“Tidak, namun beliau hampir menemui kematian” jawab ‘Umar teresak-esak.

Jangkaan ‘Umar tidak meleset. Setelah beberapa ketika Abu ‘Ubaidah diserang penyakit taun. Sedang
beliau nazak, beliau berpesan kepada tentera-tenteranya.

“Saya berpesan kepada kamu semua, jika kamu menerimanya, kamu akan sentiasa memperoleh
kebajikan. Dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat, berpuasalah di bulan Ramadhan, bersedekahlah,
tunaikan Haji dan Umrah, salinglah berpesan dan memberi nasihat kepada pemimpinmu. Jangan kamu
memperdayakan mereka. Jangan kamu dilalaikan oleh dunia. Lantaran jika seseorang mampu hidup
1000 tahun, dia tetap akan menuju kematian seperti yang kamu lihat saya sekarang. Sesungguhnya Allah
Taala telah menjanjikan kematian kepada anak Adam. Oleh itu mereka pasti mati. Manusia yang paling
bijak ialah mereka yang paling taat kepada Tuhannya dan paling banyak melakukan amalan sebagai
persediaan untuk hari kebangkitan. Wassalamualaikum wa Rahmatullah.”

Kemudian Abu ‘Ubaidah berpaling kepada Mu’az bin Jabal “Wahai Mu’az, imamkan mereka.”

Apabila Abu ‘Ubaidah meninggal dunia, Mu’az pun bangun dan berucap “ Wahai manusia, sesungguhnya
kamu telah ditimpa kesedihan disebabkan kematian lelaki ini. Demi Allah! Saya tidak pernah kenal lelaki
yang lebih berhati mulia dan jauh daripada hasad dengki, terlalu cinta dengan mati dan paling
menunaikan tanggungjawab berbanding lelaki ini. Doakanlah kerahmatan untuknya, pasti Allah akan
merahmati kamu semua.”

Anda mungkin juga menyukai