Anda di halaman 1dari 3

RELEVANKAH TERAPI FIZIKAL?

Oleh: Nur Hidayah Abdul Rahman

Terapi fizikal atau lebih dikenali sebagai Physiotherapy dalam kalangan masyakarakat
merupakan pendekatan komprehensif kepada penjagaan kesihatan yang dijalankan
oleh jurupulih perubatan anggota yang bertauliah bagi tujuan mengembalikan
kefungsian fizikal pesakit pada tahap optimum pelbagai peringkat umur daripada bayi
sehinggalah warga emas. Kefungsian fizikal yang dimaksudkan adalah meliputi
keseluruhan aspek anggota tubuh di luar mahupun di dalam tubuh termasuklah,
masalah pernafasan yang berkaitan dengan paru-paru dan kahak, kecederaan otot dan
ligamen, strok, kepatahan tulang, distrofi otot dan sebagainya. Rawatan yang
diberikan oleh ahli fisioterapi juga dipantau oleh pegawai perubatan meskipun terapi
yang diberikan kepada pesakit adalah dirancang oleh ahli fisioterapi sendiri sama ada
dibantu oleh peralatan senaman atau mesin fisioterapi khas. Dalam kata lain, terapi
fizikal ialah penjagaan rehabilitasi yang ditawarkan di samping pemulihan melalui
ubat-ubatan dan pembedahan yang dipertanggungajwabkan kepada pegawai
perubatan. Justeru, sudah terang lagi bersuluh, terapi fizikal adalah jauh dari kata
‘tidak relevan’ kerana perkhidmatan tersebut adalah salah satu pendekatan bagi
mempercepat proses pemulihan pesakit disamping mempertingkatkan tahap kesihatan
pesakit bagi menjalankan aktiviti kehidupan seharian.

Umum sedia maklum, pemulihan menerusi terapi fizikal adalah tidak melibatkan
penggunaan jarum mahupun pisau bedah. Kelebihan ini memberikan terapi fizikal
nilai tambah dan kelebihan berbanding penggunaan ubat-ubatan yang mempunyai
kesan sampingan terhadap organ lain dan risiko semasa dan selepas pembedahan.
Oleh itu, terapi fizikal adalah alternatif lain penyembuhan bagi pesakit yang ingin
cepat pulih di samping meminimakan jangka masa penggunaan ubat serta sakit
pembedahan. Dalam masa yang sama, kos pembedahan dapat dikurangkan. Hal ini
membantu pesakit yang tidak berkemampuan dari segi kewangan memperoleh
rawatan pemulihan yang lebih murah dan efektif. Rawatan terapi fizikal oleh ahli
fisioterapi juga tidak terhad di hospital tetapi juga melibatkan klinik-klinik kesihatan
dan lawatan ke rumah pesakit. Maka, darjah ketersampaian pesakit yang kurang
berkemampuan atau tidak memiliki pengangkutan ke hospital untuk mendapatkan
perawatan dengan ahli fisioterapi boleh ditingkatkan. Maka, tiada alasan rawatan
fisioterapi tidak sesuai untuk digunapakai atas alasan rawatan fisioterapi
menyusahkan pesakit untuk berulang-alik ke hospital.

Seiring dengan kemajuan teknologi, bidang terapi fizikal juga tidak ketinggalan dalam
menggunapakai kelengkapan moden dan canggih yang direka khas untuk terapi fizikal
bagi mempertingkatkan lagi kadar pemulihan pesakit disamping penggunaan kaedah
rawatan pasif menggunakan alatan senaman biasa. Antaranya ialah mesin Biodex
yang berfungsi dalam membantu pesakit yang tidak mempunyai keupayaan untuk
melakukan senaman dengan cara membantu menggerakkan anggota pesakit yang
terlibat disertakan kekerapan yang boleh diselaraskan. Penggunaan mesin-mesin
canggih dengan teknologi terbaru terbukti berjaya memulihkan pesakit dengan lebih
pantas. Hasil ini sekaligus menyangkal dakwaan bahawa rawatan terapi fizikal hanya
terhad kepada senaman pasif menggunakan alatan senaman biasa yang juga boleh
didapati di gimnasium. Terapi fizikal juga menawarkan pemulihan menggunakan arus
eletrik yang lebih dikenali sebagai elektroterapi. Elektroterapi adalah merupakan satu
bentuk terapi yang menggunakan arus eletrik bagi merangsang tisu yang mengalami
kecederaan atau ketidakupayaan untuk kembali berfungsi. Kaedah ini terbukti mampu
memulihkan kefungsian fizikal pesakit dengan lebih efektif berbanding dengan
menunggunya sembuh dengan sendiri melalui ubat-ubatan. Dalam bidang sukan pula,
ahli fisioterapi bertanggungjawab dalam memberikan rawatan kepada atlet yang
tercedera agar mereka boleh kembali bermain seperti sediakala. Jarang diketahui
umum, selain membantu atlet yang tercedera, ahli fisioterapi juga terlibat dalam
meningkatkan keupayaan atlet-atlet sukan seperti pemain bola sepak dan ahli
gimnastik membentuk postur tubuh mereka dan cara mereka berjalan ketika beraksi
melalui terapi fizikal. Jelaslah bahawa, terapi fizikal bukanlah cabang rehabilitasi
yang membosankan kerana hanya bergantung dengan rawatan senaman semata-mata.
Terapi fizikal menawarkan pelbagai kaedah rawatan yang sesuai bagi pesakit untuk
mendapatkan hasil yang terbaik.

Anggota terapi fizikal iaitu ahli fisoterapi bukan sahaja bertanggungjawab dalam
aspek pemulihan semata-mata. Bidang terapi fizikal juga bertanggungjawab dalam
aspek pencegahan dan pendidikan dalam masyarakat. Kesedaran masyarakat terhadap
kesihatan fizikal yang melibatkan keupayaan optimum anggota fizikal masih berada
di tahap yang rendah. Sebagai contoh, masyarakat beranggapan bahawa imobilisasi
ketika usia semakin meningkat adalah perkara biasa dan tidak perlu dititikberatkan.
Hal ini sama sekali adalah tidak benar. Imobilisasi memang disebabkan oleh faktor
usia tetapi ada kaedah dan rawatan yang mampu meningkatkan mobiliti seseorang
walaupun sudah berusia. Keupayaan fizikal yang optimum boleh dimiliki oleh sesiapa
sahaja tidak mengira usia. Selain itu, ahli fisioterapi juga bertanggungjawab dalam
memberikan pendidikan kepada masyarakat tentang penyakit yang boleh menjejaskan
keupayaan fizikal seperti masalah berkaitan tulang yang mengganggu postur badan
seperti scoliosis dan bent knees ketika berdiri dan berjalan. Selain itu, rawatan terapi
fizikal juga membantu kebergantungan pesakit terhadap doktor semata-mata. Pesakit
juga boleh membuat rujukan kepada ahli fisioterapi yang juga bertanggungjawab
terhadap keadaan pesakit. Oleh itu, negara memerlukan pakar-pakar dalam bidang
terapi fizikal bagi membantu pegawai perubatan dalam usaha mengembalikan
keupayaan pesakit sesuai dengan visi dan misi Kementerian Kesihatan Malaysia
untuk mengembleng tenaga ke arah tahap kesihatan yang lebih baik.

Kesimpulannya, bidang terapi fizikal adalah masih relevan dan akan kekal relevan
pada masa akan datang. Hal ini kerana, bidang terapi fizikal masih mampu
memberikan peluang kedua kepada pesakit untuk sembuh dengan lebih pantas. Terapi
fizikal juga menawarkan pelbagai bentuk rawatan dan perkhidmatan bagi memastikan
mekanisme pemulihan adalah lebih efektif. Selain itu, anggota terapi fizikal juga
bertanggungjawab dalam memberikan pendidikan berkaitan kesejahteraan fizikal
sama ada untuk tujuan pencegahan mahupun pemulihan. Jelaslah bahawa, terapi
fizikal bukan hanya senaman ringan dan rawatan urut semata-mata tetapi juga adalah
salah satu alternatif yang perlu digunapakai dalam masyarakat bagi memningkatkan
tahap mobiliti pesakit untuk menjalankan kehidupan seharian dengan lebih baik.
Tidak dapat dinafikan, ada sesetengah masyarakat masih beranggapan bahawa terapi
fizikal adalah satu bentuk terapi yang memenatkan. Mereka menyangka, pengunaan
ubatan sudah memadai untuk sembuh. Namun, seiring dengan berjalannya waktu,
terapi fizikal pasti akan semakin mendapat perhatian masyarakat melalui pendedahan
yang lebih signifikan oleh pihak yang berkaitan.

Anda mungkin juga menyukai