Anda di halaman 1dari 9

Kiriman dengan Label ‘Ringkasan dan

pemahaman’
Punca-punca gejala sosial dalam kalangan remaja
DIkirim oleh MAB di 23/01/2011

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang punca-punca gejala sosial dalam kalangan remaja. Panjang ringkasan anda
hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan
anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Gejala sosial dalam kalangan remaja bukan sesuatu yang luar biasa dalam masyarakat hari
ini. Malah, gejala ini semakin menjadi-jadi setiap hari. Terdapat pelbagai faktor yang
mendorong fenomena ini semakin berleluasa.

Gejala kurang sihat ini berlaku kerana para remaja kurang diberi perhatian oleh ibu bapa
mereka, khususnya yang bekerja di kawasan bandar. Ibu bapa sibuk bekerja sehingga
mengabaikan tanggungjawab mereka. Akibat keletihan, mereka langsung tidak mahu
mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak, apatah lagi untuk mendengar masalah mereka.
Hal ini pasti menimbulkan rasa bosan, sekali gus menyebabkan anak-anak mencari jalan
keluar untuk menghiburkan hati.

Selain itu, mereka terjebak dalam gejala negatif akibat bergaul dengan kumpulan yang salah.
Ada sesetengah ibu bapa pula berpendapat bahawa pemberian wang yang secukupnya kepada
anak-anak sudah memadai. Mereka seharusnya tahu bahawa kasih sayang tidak dapat dibeli
dengan wang.

Ada segelintir remaja pula mengambil jalan mudah dengan melakukan perbuatan yang tidak
baik kerana hendak melarikan diri daripada masalah yang menimpa keluarga mereka,
contohnya perceraian antara ibu bapa mereka. Pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara
punca berlakunya gejala sosial di negara kita. Para remaja yang buntu dengan masalah yang
dihadapi keluar dari rumah lalu mencari kebebasan dengan bergaul dengan kumpulan yang
tidak senonoh.

Dalam hal ini, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Guru-guru, misalnya
boleh memainkan peranan penting untuk membentuk peribadi para pelajar di sekolah.
Kaunseling kepada para pelajar yang bermasalah tentunya dapat membantu mereka
mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih tenang dan rasional.

Aktiviti-aktiviti kokurikulum juga patut dijalankan dengan berkesan supaya para pelajar
dapat melibatkan diri dan mengelakkan mereka melepak. Di samping itu, pendidikan agama
haruslah diterapkan kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Langkah ini amat perlu kerana
semua agama mengajar penganutnya supaya berkelakuan baik.

Tegasnya, anak-anak muda atau golongan remaja ini haruslah dididik dan dijaga dengan baik
kerana mereka merupakan bakal pemimpin negara suatu hari nanti.
Bahagian A (ii) Pemahaman

1. Berikan maksud  tidak mahu mengambil tahu dalam petikan. [2 markah]


2. Apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk membendung gejala sosial
dalam kalangan remaja? [4 markah]
3. Pada pendapat anda, sebagai pelajar dan juga remaja apakah yang patut golongan
remaja lakukan untuk mengatasi gejala sosial ini? [4markah]

Dikirim dalam Bercampur-campur | Di tag: Ringkasan dan pemahaman | Leave a Comment »

Langkah-langkah untuk menggalakkan kitar semula


DIkirim oleh MAB di 16/01/2011

Bahagian A (i): Meringkaskan Karangan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang langkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan untuk menggalakkan kitar
semula. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda
digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Malaysia dianggarkan menghasilkan sebanyak 15 000 tan sampah dalam sehari. Jumlah ini
dijangka akan meningkat pada kadar dua peratus pada setiap tahun. Oleh itu, kerajaan telah
melancarkan program kitar semula sebagai satu cara mengelakkan pembaziran wang dan
tenaga kerja yang banyak untuk menguruskan sampah yang semakin banyak.

Selaras dengan pelancaran tersebut, pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah
meletakkan tong-tong kitar semula di tempat-tempat yang sesuai seperti di kompleks beli-
belah, sekolah dan pusat perniagaan. Setiap set tong kitar semula terdiri daripada tiga buah
tong iaitu tong coklat untuk bahan-bahan kaca, tong biru untuk kertas, serta tong jingga untuk
plastik dan logam. Selain dapat mengurangkan jumlah tapak pelupusan sampah, program
kitar semula juga bermatlamat untuk memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga alam
sekitar kepada masyarakat.

Apabila tong-tong kitar semula itu penuh, bahan-bahan yang terkumpul akan dibawa ke pusat
pengumpulan barang terpakai. Barangan kitar semula yang dibawa akan dinilai dan pusat
pengumpulan akan memberikan bayaran kepada syarikat yang membawanya. Pengguna yang
membawa barangan terpakai terus ke pusat pengumpulan akan mendapat bayaran yang
berpatutan juga. Sehubungan itu, kerajaan telah menawarkan beberapa galakan yang lain
seperti pengecualian cukai bagi mesin dan peralatan yang digunakan untuk kitar semula.

Selain pihak kerajaan, pihak swasta digalakkan turut serta dalam rangkaian aktiviti kitar
semula. Misalnya, mereka menggalakkan pekilang-pekilang menggunakan bahan kitar
semula sebagai asas dalam pembuatan produk mereka. Dalam hal ini, negara dapat juga
menjimatkan penggunaan bahan mentah.

Bahagian A(ii): Pemahaman


1. Berikan maksud rangkai kata mengambil langkah dalam petikan. [2 markah]
2. Apakah matlamat-matlamat program kitar semula? [4 markah]
3. Program kitar semula di negara tidak mendapat sambutan daripada seluruh
masyarakat. Pada pendapat anda mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]

Dikirim dalam Tingkatan 1 dan 2 | Di tag: PMR, Ringkasan dan pemahaman, Tingkatan 1,
Tingkatan 2 | Leave a Comment »

Kesan-kesan pengambilan minuman beralkohol


DIkirim oleh MAB di 16/01/2011

Bahagian A (i): Ringkasan (20 markah)

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kesan
pengambilan minuman beralkohol. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80
patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal
petikan

Arak adalah sejenis minuman yang beralkohol dan boleh memabukkan. Kandungan gula
yang tinggi dalam minuman beralkohol ini juga boleh memudaratkan dan menjejaskan
kesihatan si peminum. Oleh itu, agama Islam mengharamkan umatnya minum minuman
keras.

Jika wanita hamil minum minuman keras, maka pertumbuhan bayi dalam kandungannya turut
terbantut. Risiko bayi mengalami kecacatan atau menghidap penyakit sangat tinggi. Hal ini
demikian kerana alkohol yang mengalir ke dalam tubuh si ibu akan memberi kesan kepada
fizikal bayi serta menjejaskan kesihatannya.

Sekiranya pelajar yang minum minuman keras pula, mereka tidak mampu mengawal emosi
serta hilang keupayaan berfikir. Keadaan menjadi semakin teruk apabila pelajar mula
ketagihan minuman keras itu. Masalah tersebut akan merosakkan kesihatan pelajar sekali gus
menjejaskan pelajaran dan masa depan mereka. Pengambilan alkohol juga boleh memporak-
porandakan sesebuah keluarga jika Jika dalam sesebuah keluarga itu ada pemabuk.

Pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk setelah minum arak pula tidak
dapat memberikan tumpuan semasa memandu. Perbuatan mereka ini melanggar undang-
undang jalan raya serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Akibatnya, kemalangan mudah berlaku dan mengancam nyawa pengguna jalan raya yang
lain. Oleh sebab minuman beralkohol ini sangat berbahaya, sepatutnya kerajaan
mengharamkan penjualan dan pengedarannya di seluruh negara. Jika tindakan ini segera
dilaksanakan sudah tentu rakyat dapat menjimatkan wang. Tindakan tersebut juga dapat
mengurangkan kadar kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk. Bukan itu sahaja, rakyat
Malaysia juga hidup dengan sihat dan produktif kerana bebas daripada alkohol.  Seterusnya,
masalah sosial yang berkait rapat dengan minuman keras ini juga dapat diatasi.

Bahagian A (ii): Pemahaman (10 markah)

1. Berikan maksud hilang keupayaan berfikir dalam petikan. [2 markah]


2. Apakah kebaikan-kebaikannya jika kerajaan mengharamkan penjualan dan
pengedaran arak di seluruh negara? [4 markah]
3. Masih ramai rakyat Malaysia yang gemar minum minuman beralkohol walaupun
mereka mengetahui bahawa minum minuman beralkohol memberi kesan buruk
kepada kesihatan. Pada pandangan anda mengapakah keadaan ini berlaku?

Dikirim dalam Tingkatan 1 dan 2 | Di tag: Ringkasan dan pemahaman | Leave a Comment »

Kelebihan bayi yang menyusu susu ibu


DIkirim oleh MAB di 16/01/2011

Bahagian A (i): Meringkaskan Karangan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang kelebihan bayi yang menyusu susu ibu. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak
melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri
tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kelahiran cahaya mata dalam sesebuah keluarga diibaratkan sebagai menerima anugerah
yang paling berharga. Dalam hal ini, susu ibulah yang dapat dihadiahkan kepada bayi
sebagai minuman yang paling mujarab. Susu ibu merupakan susu yang paling baik untuk
bayi. Oleh itu, menyusukan bayi sudah diterima sebagai satu kaedah terbaik untuk
tumbesaran anak-anak.

Banyak kelebihan apabila seseorang bayi menyusu susu ibu berbanding dengan susu tepung.
Antara kelebihan bayi yang menyusu susu ibu ialah bayi dapat bernafas dengan baik semasa
menyusu. Oleh itu, otot muka bayi akan lebih kenyal berbanding dengan bayi yang menyusu
tepung dengan botol kerana bayi terpaksa menyesuaikan mulutnya dengan bentuk puting
botol susu. Kesannya, tulang pipi akan menonjol keluar dan muka bayi akan kelihatan tidak
seimbang. Ada juga sesetengah bayi yang alergi kepada susu lembu tepung sehingga boleh
menimbulkan masalah kesihatan, perkembangan terbantut dan alahan berbanding dengan
kandungan susu ibu yang terbaik untuk pertumbuhan fizikal dan perkembangan emosi bayi.

Penyusuan susu ibu juga memberikan kesan positif terhadap perkembangan rahang.
Sekiranya rahang berkembang dengan baik, ruang yang ada dapat ditumbuhi gigi susu. Gigi
susu dapat tumbuh dengan cantik seolah-olah bertunas di atas gusi dari tengah ke tepi. Oleh
itu wajah bayi akan kelihatan lebih cantik dan menawan.

Dari sudut psikologi pula, penyusuan susu ibu dapat menjalinkan hubungan yang erat antara
ibu dengan anak. Selain itu, risiko ibu tidak untuk menghidap penyakit serius seperti barah
payu dara dan barah ovari adalah tipis, tambahan pula ibu yang menyusukan bayi juga akan
kembali langsing kerana ibu tersebut dapat mengurangkan berat badan dengan lebih mudah
selepas bersalin.

Sebenarnya susu ibu sangat berharga dan tidak ada galang ganti. Ibu yang menyusukan bayi
sudah tentu dapat menjimatkan wang. Oleh sebab itu, ibu-ibu digalakkan supaya menyusukan
bayi masing-masing tanpa ragu-ragu.
Bahagian A (ii): Pemahaman

1. Berikan maksud   anugerah yang paling berharga dalam petikan. [2 markah]


2. Mengapakah menyusu susu tepung menggunakan susu botol tidak baik bagi bayi? [4
markah]
3. Kini semakin kurang ibu-ibu yang menyusukan bayi. Pada pendapat anda
Mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]

Dikirim dalam Tingkatan 1 dan 2 | Di tag: Ringkasan dan pemahaman | Leave a Comment »

Mengapa remaja perlu membaca bahan bacaan


yang bermutu?
DIkirim oleh MAB di 16/01/2011

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang mengapa remaja perlu membaca bahan bacaan yang bermutu?. Panjangnya
ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya
menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Jika remaja tidak berminat membaca mereka akan ketinggalan tentang perkembangan pesat
yang berlaku di dunia pada hari ini. Dunia pada era globalisasi ini adalah bertunjangkan
maklumat dan ilmu sebagai asas perkembangannya. Sekiranya remaja tidak gemar membaca,
tambahan pula jika mereka hanya membaca bahan bacaan yang ringan dan bercorak hiburan,
gosip, hal-hal picisan, tahayul, kisah-kisah artis dan penghibur semasa, ilmu mereka tidak
akan berkembang.

Remaja perlu membaca bahan-bahan bacaan yang bermutu untuk melatih diri supaya berfikir
dan menganalisis. Generasi yang membaca bahan bacaan yang bermutu akan dapat
menghasilkan idea-idea yang bermakna untuk diri, masyarakat dan negara. Dalam bahan
bacaan yang bermutu terkandung maklumat dan ilmu yang amat berguna untuk remaja.

Masyarakat Barat dan Jepun amat gemar membaca. Membaca bukan saja menjadi tabiat
sebahagian masyarakat mereka di segenap peringkat, tetapi juga menjadi santapan jiwa.  Bagi
mereka, mendapat bahan bacaan yang digemari ibarat mendapat teman yang sangat dikasihi.
Kalau remaja rajin membaca bahan bacaan yang bermutu nescaya pada masa hadapan mereka
mampu menempa kejayaan dan perubahan yang berguna untuk masyarakat dan negara seperti
orang Barat dan Jepun tersebut.

Tabiat membaca mesti dipupuk dan dilatih sejak kecil lagi. Anak-anak yang masih kecil patut
didedahkan dengan bahan-bahan bacaan yang bermutu supaya daya pemikiran mereka akan
berkembang dan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan. Sekiranya remaja membaca bahan
bacaan yang tidak bermutu mereka hanya berupaya memikirkan perkara-perkara yang remeh
sahaja. Justeru, apabila dewasa mereka tidak akan berupaya menghadapi desakan hidup yang
kian mencabar.
Sebagai negara yang sedang menuju tahap negara maju dan berpendapatan tinggi  Malaysia
seharusnya memiliki generasi muda yang berminat membaca kerana kemajuan negara banyak
bergantung kepada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya supaya kita tidak
akan terpinggir daripada arus maklumat, ilmu dan juga kemajuan pada era globalisasi yang
sedang kita tempuh. Proses memajukan negara harus seimbang dengan darjah kemampuan
rakyatnya berfikir.

Bahagian A (ii)

1. Berikan maksud mampu menempa kemajuan dalam petikan. [2 markah]


2. Apakah kesan-kesannya sekiranya remaja kita hanya berminat membaca bahan
bacaan yang tidak bermutu? [4 markah]
3. Kebanyakan remaja kita kini kurang gemar membaca. Pada pendapat anda
mengapakah  keadaan ini berlaku? [4 markah]

Dikirim dalam Tingkatan 1 dan 2 | Di tag: Ringkasan dan pemahaman, Tingkatan 1,


Tingkatan 2 | Leave a Comment »

Cara-cara membendung jenayah dalam kalangan pelajar


DIkirim oleh MAB di 16/01/2011

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang cara-cara membendung jenayah dalam kalangan pelajar. Panjang ringkasan
anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan
perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah yang melibatkan remaja. Hal
ini telah menggambarkan betapa seriusnya kejadian jenayah dalam kalangan mereka. Segala
jenayah ini dapat dibendung melalui pendekatan yang lebih berkesan, misalnya ibu bapa
sebagai orang yang paling rapat dengan remaja hendaklah memberikan perhatian yang lebih
kepada anak-anak ketika di rumah kerana segalanya bermula di rumah. Pendidikan agama
dan nilai-nilai murni mestilah diterapkan supaya anak-anak dapat menilai antara perkara yang
baik dan yang buruk.

Remaja juga haruslah pandai memilih rakan sebaya kerana remaja mudah terpengaruh
dengan kawan-kawan mereka, tetapi kini kebanyakan ibu bapa tidak mengambil peduli
dengan siapa anak mereka berkawan. Pengaruh hiburan melalui media massa juga hendaklah
dibendung.

Pihak sekolah pula perlu memantapkan lagi kawalan disiplin sekolah bagi menjamin kegiatan
salah laku pelajar berkurangan. Setiap kesalahan. pelajar seperti ponteng sekolah, merokok,
mengambil dadah, atau membuli pelajar lain hendaklah didenda setimpal dengan kesalahan
mereka. Masalah ini sukar dibendung kerana ibu bapa tidak mahu meluangkan masa datang
ke sekolah untuk berbincang bagi mencari pendekatan awal sebelum masalah anak-anak
mereka menjadi semakin serius. Malahan, ada juga antara ibu bapa yang sanggup mengambil
tindakan undang-undang terhadap guru-guru jika pihak sekolah mengambil tindakan disiplin
terhadap anak mereka.

Masalah ini dapat dibendung jika penguatkuasaan undang-undang hendaklah diperketat,


tamsilannya remaja bawah umur yang melakukan kegiatan jenayah berat seperti bunuh
hendaklah dikenakan hukuman mati mandatori sama seperti pesalah dewasa.

Golongan remaja adalah aset negara pada masa depan.  Kita tidak mahu mereka yang
mewarisi negara ini terlibat dengan jenayah.  Oleh itu, mereka  haruslah didedahkan kepada
isu-isu semasa melalui kempen-kempen dan perkhemah motivasi supaya mereka mengetahui
bahawa segala kes jenayah akan merosakkan masa depan mereka.

Bahagian A (ii) Pemahaman

1. Berikan maksud mudah terpengaruh dalam petikan? [2 markah]


2. Mengapakah masalah jenayah dalam kalangan pelajar sukar dibendung? [4 markah]
3. Kebanyakan masyarakat kita pada masa tidak mahu mengambil peduli tentang
masalah remaja di sekitar mereka.  Pada pendapat anda mengapakah keadaan ini
berlaku? [4 markah]

Dikirim dalam Tingkatan 1 dan 2 | Di tag: PMR, Ringkasan dan pemahaman, Tingkatan 1,
Tingkatan 2 | Leave a Comment »

Kepentingan kokurikulum kepada para pelajar


DIkirim oleh MAB di 16/01/2011

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang kepentingan kokurikulum kepada para pelajar. Panjangnya ringkasan anda
hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat
anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Aktiviti kokurikulum di sekolah dapat memupuk dan membentuk keperibadian unggul


seseorang pelajar. Misalnya, melalui kelab dan persatuan pelajar-pelajar dilatih untuk
memegang beberapa jawatan penting dan bertanggungjawab melaksanakan aktiviti yang
dirancang.

Melalui aktiviti kokurikulum pelajar-pelajar juga dilatih memahami prinsip-prinsip asas alam
pekerjaan yang akan diaplikasi sepenuhnya apabila mereka berada dalam dunia pekerjaaan
dewasa nanti. Pendedahan seumpama ini melalui aktiviti kokurikulum membolehkan mereka
bertindak dan membuat keputusan yang amat diperlukan oleh seorang pekerja yang
berwawasan.
Melalui aktiviti badan beruniform pelajar banyak belajar tentang perkara yang menyentuh
soal disiplin seperti kepekaan terhadap masa, keperihatinan terhadap rakan-rakan tanpa
mementingkan diri sendiri adalah antara nilai murni yang sentiasa diamalkan dalam setiap
aktiviti yang dijalankan.

Pengelibatan yang aktif dalam kokurikulum menyediakan pelajar untuk menyesuaikan diri
dengan corak pembelajaran di institusi pengajian tinggi yang amat berbeza dengan corank
pembelajaran di sekolah. Dalam hal ini, pelajar yang tidak aktif dalam kokurikulum
berkemungkinan kurang kemahiran berkomunikasi dan lemah dalam membuat persembahan,
sedangkan kemahiran tersebut amat  diperlukan dalam sistem pembelajaran institusi
pengajian tinggi.

Seseorang pelajar yang kurang aktif dalam kokurikulum cenderung menjadi pelajar yang
pendiam, tidak suka bergaul serta hanya mementingkan diri sendiri. Oleh itu, apabila mereka
berada dalam situasi pembelajaran di institusi pengajian tinggi nanti mereka akan
terperangkap kerana pada masa itu jumlah pangkat A yang mereka perolehi di sekolah dahulu
tidak lagi menjadi ukuran, tetapi pelajar yang aktif menyertai aktiviti kokurikulum semasa di
sekolah akan lebih mudah belajar kerana mereka sudah belajar menyiapkan sesuatu tugasan,
memahami pentingnya perpaduan, mudah bertoleransi dan ada kemahiran berfikir dan
berhujah.

Justeru, pelajar-pelajar harus melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum, kerana
pelajar yang cemerlang ialah mereka yang seimbang dari segi akedemik, mudah
berkomunikasi dan mudah bergaul.

1. Berikan maksud mudah bertoleransi dalam petikan. [2 markah]


2. Apakah keburukannya jika seseorang pelajar itu kurang aktif dalam aktiviti
kokurikulum di sekolah? [4 markah]
3. Segelintir pelajar malas  menyertai kegiatan kokurikulum? Pada pendapat anda,
mengapakah keadaan ini berlaku [4 markah]

Dikirim dalam Tingkatan 1 dan 2 | Di tag: Ringkasan dan pemahaman | Leave a Comment »

Punca-punca berlakunya pembuangan bayi


DIkirim oleh MAB di 13/01/2011

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang punca-punca berlakunya pembuangan bayi. Panjang ringkasan anda hendaklah
tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri
tanpa mengubah maksud asal petikan.

Sejak belakangan ini, kes pembuangan bayi semakin serius. Saban hari kita dikejutkan
dengan berita-berita pembuangan bayi sama ada yang masih hidup ataupun meninggal dunia
ditinggalkan di tempat-tempat tertentu seperti di dalam tong sampah, di dalam tandas, di
depan masjid dan di dalam longkang. Pergaulan bebas merupakan punca utama kes ini.

Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang melampaui batas agama boleh
menyebabkan diri mereka terjebak ke dalam kancah maksiat dan impaknya si gadis hamil
anak luar nikah.  Sikap golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab membawa titik hitam
dalam kehidupan gadis tersebut, lantas gadis yang hamil mengambil jalan mudah untuk
mengelakkan rasa malu agar perbuatannya tidak diketahui masyarakat, selain itu perasaan
buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan lalu membuang bayi tanpa belas kasihan.

Gadis yang terlanjur juga takut dimarahi atau dipulau oleh keluarga akibat keterlanjuran
dalam pergaulan. Faktor kemiskinan keluarga yang mempunyai ramai anak sedangkan suami
tidak bekerja dan kurang didikan agama juga merupakan antara  punca berlakunya kes
pembuangan bayi.

Sudahlah cetek agama, remaja yang cetek pengetahuan dalam pergaulan dan tindakan. Juga
mudah terperdaya untuk melakukan maksiat tanpa mengambil kira dosa atau pahalakerana
mereka mendapat maklumat yang tidak betul tentang cara untuk menyelesaikan masalah ini,
sebagai contoh mereka tidak mengetahui terdapat badan sukarela dan agensi tertentu yang
menerima bayi tersebut. Sebenarnya perbuatan keji juga ini berlaku kerana sikap masyarakat
yang memandang keji mereka yang beranak tanpa berkahwin.

Isu pembuangan bayi amat serius dan perlu ditangani segera. Oleh itu, ibu bapa perlu
menerapkan nilai-nilai moral dan pegangan agama yang utuh dalam kalangan anak-anak
untuk membendung masalah ini. Keluarga dan masyarakat harus bersikap membantu mangsa,
bukan menambah beban yang ditanggung. Pada waktu yang sama, ibu bapa hendaklah
prihatin dengan anak-anak mereka yang meningkat remaja, selain individu itu sendiri perlu
mempunyai kesedaran untuk menjaga tatasusila apabila berhadapan dengan masyarakat.

Bahagian A (ii): Pemahaman

1. Berikan maksud   menjaga tatasusila dalam petikan? [2 markah]


2. Apakah tindakan yang patut dilakukan untuk mengatasi masalah pembuangan bayi?
[4 markah]
3. Pelajar sekolah juga antara remaja yang terlibat  dalam kes membuang bayi. Pada
pendapat anda mengapakan keadaan ini berlaku? [4 markah]

Dikirim dalam Tingkatan 1 dan 2 | Di tag: PMR, Ringkasan dan pemahaman | 2 Komen »

 
Blog di WordPress.com. | Theme: Andreas09 by Andreas Viklund.

Anda mungkin juga menyukai