Anda di halaman 1dari 10

Persepsi Guru Sejarah Terhadap Penggunaan ICT

Dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah

Abstrak
Kajian tinjauan ini dilakukan adalah untuk melihat persepsi guru-guru Sejarah terhadap
penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah menengah. Terdapat tiga aspek yang mendasari kajian ini iaitu
penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah, kemudahan prasarana ICT
yang disediakan dan digunakan oleh guru Sejarah dan halangan atau kekangan yang dihadapi
dalam menggunakan kemudahan ICT. Sampel untuk kajian ringkas ini terdiri daripada 12 orang
guru Sejarah di sekolah menengah di sekitar darah Tampin. Kajian ini menggunakan instrumen
soal selidik dan protokol temu bual untuk melihat persepsi para guru terhadap penggunaan
kemudahan ICT. Analisis terhadap data kajian ini dibuat dengan menggunakan ‘Microsoft Excel
2013’ dan analisis peratusan. Dapatan kajian menunjukkan penggunaan ICT dalam kalangan
guru Sejarah mencatatkan tahap peratusan yang sederhana manakala tahap kemudahan prasarana
ICT menunjukkan peratusan yang agak baik.
Kata kunci : ICT, pengajaran dan pembelajaran, pedagogi Sejarah

Pengenalan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information Communication and Technology
(ICT) merupakan salah satu daripada enam elemen penting yang telah menjadi teras kepada
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 sebelum ini bagi melahirkan tenaga
kerja yang kompeten dalam bidang sains dan teknologi. Sebagai lonjakan ke arah meningkatkan
lagi peranan ICT dalam dunia pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menetapkan hala tuju dan
pendekatan ICT dalam meningkatkan kualiti pembelajaran di negara ini menerusi anjakan PPPM
2013-2025 yang ketujuh.
Menerusi PPPM 2013-2025, KPM telah memberi tumpuan untuk mewujudkan
persekitaran pembelajaran secara maya melalui pengenalan 1BestariNet bagi semua sekolah di
seluruh negara menjelang tahun 2013 yang lalu. Hal ini membolehkan murid dan guru
memperoleh akses kandungan yang lebih luas, menarik dan interaktif kepada rangkaian 4G di
sekolah melalui 1BestariNet ini. Kemudahan ini mampu mendorong kepada pembelajaran secara
maya yang bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh murid dan guru, bahkan juga golongan ibu
bapa dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran secara interaktif dan berkomunikasi secara maya
(Kementerian Pendidikan Malaysia : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025).
Situasi seperti ini dapat dilihat kepada minat murid itu sendiri yang merupakan golongan
muda yang tergolong dalam Generasi Y yang cenderung untuk mengakses internet dan
mempunyai laman web peribadi seperti facebook, blog, instagram dan sebagainya. Oleh itu,
adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dan guru untuk membimbing generasi muda kini ke
arah penguasaan medium ICT yang betul dan seterusnya golongan guru dapat mempelbagaikan
bahan bantu mengajar yang sedia ada untuk meningkatkan motivasi dan minat murid dalam
proses pembelajaran di sekolah (Liew 2007 ; Sharifah Nor 2011).

Pernyataan Masalah
Isu yang cuba dibincangkan melalui kajian ini adalah untuk melihat persepsi terhadap
penggunaan ICT dalam kalangan guru Sejarah di sekolah menengah. Hal ini adalah kerana
kebanyakan guru masih menggunakan kaedah ‘chalk and talk’ dalam proses pengajaran dan
pembelajaran Sejarah. Perkara ini dibuktikan melalui kajian Nor Muslaili Mokhtar et.al(t.th)
terhadap sekumpulan pensyarah di Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, Politeknik Kuala
Terengganu yang masih menggunakan kaedah konvensional dalam pengajaran kursus
Matematik. Ini diperkukuhkan lagi melalui kajian Subadrah Nair (2005) yang dipetik oleh Lee
Bih Ni et.al (2013) bahawa kaedah paling popular dalam proses pengajaran dan pembelajaran
guru Sejarah ialah kaedah berkhutbah atau kaedah kuliah manakala bentuk penyampaian pula
masih berpusatkan guru.
Isu ini perlu diperbahaskan kerana menurut kajian oleh Azhar Ahmad et.al (2008)
terhadap guru bahasa Arab mendapati penggunaan teknologi pengajaran merupakan aspek yang
didapati masih kurang digunakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam
bahasa Arab. Selain itu, kajian KPM pada tahun 2010 pula mendapati bahawa lebih kurang 80%
guru menggunakan ICT kurang daripada satu jam seminggu sahaja (Kementerian Pendidikan
Malaysia : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025).
Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran sudah menjadi satu
fenomena dalam perkembangan sistem pendidikan di negara kita. Malah, banyak kajian yang
telah dijalankan bagi melihat manfaat penggunaan ICT di dalam bilik darjah. Antaranya, kajian
Abdul Rahman (2000) mendapati bahawa penggunaan ICT sangat penting dalam meningkatkan
dan menambahbaik proses pengajaran guru di dalam bilik darjah.
Namun begitu, hakikatnya masih banyak yang perlu diatasi bagi meningkatkan
kemahiran penggunaan ICT dalam kalangan guru. Ini dibuktikan melalui kajian Mohammed Sani
et.al (2004), Noor Awanis, Nora dan Nurazariah (2006) dan Megat et.al, (2008) yang dinyatakan
oleh Johan @ Eddy Luaran dan Kamarol Baharen, (2014) terhadap halangan yang sering
dihadapi oleh guru dalam melaksanakan pengajaran berteraskan ICT seperti faktor jarak, lokasi,
kemudahan telekomunikasi serta kedudukan sekolah yang terletak jauh di kawasan luar bandar
dan pedalaman.
Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk melihat persepsi guru Sejarah di sekolah
menengah terhadap penggunaan kemudahan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran
dalam mata pelajaran Sejarah.

Objektif Kajian
i. Mengenal pasti kekerapan penggunaan ICT oleh guru Sejarah dalam proses pengajaran dan
pembelajaran mata pelajaran Sejarah.
ii. Mengenal pasti kemudahan prasarana ICT sedia ada yang sering digunakan oleh guru Sejarah
dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah.
iii. Mengenal pasti halangan yang dihadapi oleh guru Sejarah dalam menggunakan kemudahan
ICT semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

Batasan Kajian
i. Kajian ini hanya melibatkan seramai 12 orang guru mata pelajaran di sekolah menengah
sahaja, iaitu 6 orang guru lelaki dan 6 orang guru perempuan.
ii. Tumpuan soal selidik dan temu bual untuk kajian ini adalah berkaitan persepsi terhadap
penggunaan kemudahan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah serta
kemudahan prasarana ICT yang disediakan sahaja.
Kajian Perpustakaan
Banyak kajian terdahulu yang telah dijalankan untuk mengkaji kepentingan kemudahan
ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kebanyakan kajian terdahulu
berfokus pada aspek kemahiran, persepsi dan kesediaan guru-guru dalam memanfaatkan
kemudahan ICT di sekolah.
Kajian yang dijalankan oleh Kang Hwa Choo pada tahun 2005 dalam kalangan guru
pelatih Maktab Perguruan di Sabah mendapati bahawa tahap kemahiran ICT berada pada tahap
yang sederhana. Kemahiran mereka mampu mempengaruhi kesediaan untuk menerapkan kaedah
pengajaran berteraskan ICT apabila ditempatkan mengajar. Namun, berbeza dengan dapatan
kajian yang diperoleh oleh Haji Ahmad Kamar (2008) terhadap guru-guru penyelaras ICT
sekolah rendah dalam zon Paloh, di Kluang, Johor kerana dari aspek pengetahuan dan
kemahiran, kebanyakan guru mempunyai tahap penguasaan yang lebih baik terhadap ICT.
Malah, hasil kajiannya juga mendapati tahap pengetahuan guru mampu mempengaruhi sikap
mereka terhadap penggunaan ICT.
Selain itu, berdasarkan kajian Wan Mohamad Wan Ibrahim (2002), terdapat lebih 80%
guru sekolah mempunyai persepsi yang positif terhadap penggunaan ICT dalam profesion
mereka di sekolah. Hal ini banyak dipengaruhi oleh pendapat guru-guru sendiri bahawa
penggunaan ICT banyak membantu mereka mendapatkan maklumat yang lebih luas dan
pelbagai. Kajian oleh Nor Muslaili Mokhtar et.al (t.th) terhadap persepsi penggunaan ICT dalam
kalangan pensyarah Matematik di Politeknik Kuala Terengganu pula membuktikan bahawa
penggunaan ICT dalam kalangan pensyarah agak rendah walaupun mereka sering menggunakan
internet untuk mencari rujukan tambahan. Dalam dapatan kajiannya juga mendapati kemudahan
ICT yang kurang lengkap di bilik kuliah menyukarkan proses pengajaran para pensyarah.
Kekangan dari aspek kemudahan yang diperoleh daripada kajian Nor Muslaili Mokhtar
et.al (t.th) itu turut disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Roslaili Awang Nik (2007)
terhadap guru pelatih yang membuktikan bahawa tahap penggunaan ICT turut dipengaruhi oleh
prasarana di tempat mereka menjalankan praktikal mengajar. Kebanyakan guru pelatih tersebut
mengalami kesukaran untuk menggunakan ICT kerana sistem yang tidak tersedia dan lain-lain
kekangan yang wujud.
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji terdahulu, dapat diandaikan
bahawa salah satu faktor yang mempengaruhi keberkesanan penggunaan kemudahan ICT dalam
proses pengajaran dan pembelajaran berkait rapat dengan persepsi, kesediaan dan kemahiran
guru-guru.

Metodologi Kajian
Responden dan Sampel Kajian
Responden yang terlibat dalam kajian ini ialah seramai 12 orang guru mata pelajaran
Sejarah di sekolah menengah yang terdiri daripada guru lelaki dan perempuan serta mengajar
dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.

Instrumen Kajian
Instrumen kajian yang digunakan terdiri daripada borang soal selidik bagi memperoleh
data yang berkaitan dengan tujuan kajian. Soal selidik ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu
bahagian A mengandungi maklumat dan latar belakang responden, bahagian B berkaitan dengan
penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah, manakala bahagian C melibatkan
kemudahan penggunaan ICT dalam pengajaran Sejarah oleh responden di sekolah menengah.
Borang soal selidik ini dibina dengan menggunakan skala Ya atau Tidak. Seterusnya, untuk
protokol temu bual seramai lima orang guru Sejarah telah dipilih secara rawak dan ditemubual
untuk mengenal pasti halangan yang dihadapi dalam menggunakan kemudahan ICT semasa
proses pengajaran dan pembelajaran.

Analisis Data
Soal selidik yang telah lengkap diisi oleh responden dianalisa dengan menggunakan
Microsoft Excel 2013. Bahagian A dianalisa untuk mengetahui latar belakang responden secara
deskriptif manakala bahagian B dan bahagian C pula dianalisa dalam bentuk kekerapan dan
peratusan.
Jangkaan Keputusan

Demografi Responden
Jumlah responden yang terlibat dalam kajian ini ialah seramai 12 orang, iaitu 6 orang
guru lelaki dan 6 orang guru perempuan yang mengajar mata pelajaran Sejarah di sekolah
menengah. Majoriti responden berkelulusan sarjana muda dan hanya seorang sahaja guru yang
berkelulusan sarjana. Selain itu, majoriti responden terdiri daripada mereka yang telah
mempunyai pengalaman mengajar dalam tempoh 10 tahun ke bawah manakala selebihnya terdiri
daripada responden yang mempunyai pengalaman mengajar lebih daripada 10 tahun.

Penggunaan ICT Dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah


Dapatan kajian mendapati bahawa tahap penggunaan ICT dalam kalangan guru Sejarah
terhadap proses pengajaran dan pembelajaran berada pada tahap yang sederhana. Peratusan yang
tinggi dalam hasil soal selidik disumbangkan oleh sikap guru Sejarah yang telah mengambil
inisiatif untuk mencari sumber rujukan tambahan di internet sebagai persediaan untuk mengajar,
menggunakan slaid power point dalam pengajaran serta penggunaan projektor LCD sebagai
bahan bantu mengajar. Guru Sejarah juga cenderung untuk menggunakan media interaktif dalam
pengajaran mereka. Namun, tahap pengaplikasian Frog-VLE untuk memuat naik nota dan
tugasan dalam kalangan guru Sejarah masih berada pada tahap yang rendah. Situasi ini mungkin
disebabkan oleh faktor kekurangan pendedahan dan pengetahuan para guru Sejarah terhadap
aplikasi pembelajaran secara maya serta faktor masa pengajaran dan pembelajaran Sejarah yang
agak terhad.

Kemudahan Prasarana ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah


Hasil soal selidik mendapati bahawa semua guru Sejarah memperakui terdapat
kemudahan capaian internet yang disediakan di sekolah dan penyediaan projektor LCD untuk
kegunaan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Malah, guru-guru juga menggunakan
komputer riba milik masing-masing secara optimum untuk tujuan pengajaran. Namun begitu,
kemudahan kamera video digital dan bahan bantu mengajar berbentuk media interaktif yang
kurang disediakan di sekolah. Secara keseluruhannya, tahap kemudahan prasarana ICT di
sekolah dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah berada pada tahap yang agak baik.
Halangan Dalam Penggunaan ICT dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran
Melalui protokol temu bual dengan lima orang guru Sejarah mengenai penggunaan
kemudahan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran mendapati bahawa mereka amat
berminat untuk melaksanakan proses pengajaran berbantukan kemudahan ICT yang disediakan.
Namun, masalah kemudahan yang amat terhad menghalang mereka untuk memanfaatkannya.
Kemudahan yang terhad ini meliputi bilangan komputer yang disediakan di makmal ICT
sekolah. Malah, guru juga terpaksa membuat tempahan penggunaan makmal terlebih dahulu bagi
satu-satu sesi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, jumlah waktu mengajar bagi mata
pelajaran Sejarah ialah sebanyak tiga waktu sahaja dalam tempoh seminggu dan ini
menyukarkan guru untuk mengimbangi masa pengajaran yang berasaskan ICT sekiranya berlaku
masalah teknikal. Dalam konteks penggunaan Frog-VLE pula, selain masalah masa dan
kemudahan yang terhad, hasil temu bual juga mendapati bahawa masalah rangkaian internet
yang terhad memberi kesukaran kepada konsep pengajaran berpusatkan murid. Malah,
sebahagian besar guru belum mendapat pendedahan dan pemahaman yang lebih meluas
berkaitan penggunaan Frog-VLE dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka.

Kesimpulan
Kepentingan ICT dalam bidang pendidikan pada masa kini tidak dapat dinafikan lagi dan
telah menjadi keperluan dalam kalangan masyarakat moden bagi meningkatkan pembangunan
intelek dan jati diri dalam era digital dan dalam era dunia tanpa sempadan kini. Oleh hal yang
demikian, usaha yang berterusan perlu dilaksanakan oleh semua pihak khususnya dalam aspek
pendedahan dan kesedaran terhadap manfaat ICT dalam kalangan guru serta kemudahan
prasarana yang lebih luas di setiap institusi pendidikan. Dalam jangka masa yang panjang, aspek
ini bukan sahaja dapat membantu negara menjadi sebuah negara yang maju, tetapi juga produktif
dalam perkembangan ICT yang bergerak pantas menjelang tahun 2020. Melalui usaha pihak
kementerian sehingga ke peringkat pelaksana dasar iaitu golongan guru, murid-murid akan
dibentuk dan dibimbing supaya menjadi warganegara yang bermaklumat, berkompetensi,
mempunyai jati diri yang kuat serta seimbang yang bakal menepati hasrat dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Rujukan
Abdul Manaf Bohari. (2006). Teknologi maklumat dan komunikasi sebagai alat bantu dalam
pendidikan era maklumat. Petaling Jaya : Prentice-Hall, Pearson Malaysia Sdn. Bhd.
Abdul Rahman Daud. (2000). Faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaan alat teknologi
pendidikan (ATP) dalam pengajaran Matematik di kalangan guru sekolah rendah.
Procedings of the International Conference on Teaching and Learning : Strategising
Teaching and Learning in the 21st Centurty. Vol. 2, hlm. 772-784
Azhar Ahmad, Hossen Marip dan Morsalin Pawi. (2008). Kajian tinjauan pelaksanaan
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab sekolah menengah di Sarawak. Prosiding
Wacana Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan Siri ke-6 : Pendidikan Islam Teras
Pembangunan Modal Insan. hlm. 635-645.
Esah Sulaiman. (2003). Amalan profesionalisme perguruan. Skudai : Universiti Teknologi
Malaysia.
Haji Ahmad Kamar. (2008). Pengetahuan, kemahiran dan sikap guru penyelaras ICT di
sekolah-sekolah rendah zon Paloh, Kluang. Tesis Sarjana Muda. Fakulti Pendidikan.
Tidak diterbitkan.
Johan @ Eddy Luaran dan Kamarol Baharen Mohd. Rom. (2014). Perkembangan, cabaran
dan aplikasi teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan
Sejarah. Dlm. Rosy Talin dan Mazlan Abdullah (pnyt.). Hala tuju memperkasakan
Pendidikan Sejarah dan Geografi. Penerbitan Multimedia.
Kang Haw Choo. (2005). Tahap kemahiran ICT dalam kalangan guru pelatih Maktab
Perguruan di Sabah dan hubungannya dengan gaya pembelajaran. Tesis Sarjana Muda.
Fakulti Pendidikan UTM. Tidak diterbitkan.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2007) : Kad Laporan Pelaksanaan Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Kuala Lumpur : Percetakan Nasional.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013) : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) 2013-2025.
Liaw, S.S Huong, H.M. dan Chen, G.D. (2007). Surveying instructor and learner attitude
towards e-learning. Journal of Computer and Education, 49 : hlm. 1066-1080.
Lee Bih Ni (2013). ICT dan pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah. Seminar
Pendidikan Sejarah dan Geografi UMS. 29-30 Ogos 2013. hlm. 106-115.
Liew Kiong. (2007). ICT in education : An action learning approach using soft system
methodology.
Megat Aman Zahiri Megat Zakaria, Baharuddin Aris dan Jamalludin Harun. (2008).
Kemahiran ICT di kalangan guru-guru pelatih UTM : Satu tinjauan. Kertas kerja
dibentangkan dalam Konvensyen Pendidikan Tekonologi Antarabangsa Malaysia
Kali Pertama. 28 Ogos 2008.
Mohammed Sani, Nordin, M. dan Roslee, M. (2004). Budaya ICT di kalangan guru-guru
sains dan matematik. Trend dan Isu : Jurnal Pendidikan 7. hlm. 15-24.
Noor Awanis Muslim, Nora Dato Yahya dan Nurazariah Abidin. (2006). Persepsi guru-
guru terhadap penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Kertas kerja
pembentangan Seminat SITMA. Terengganu. 19-20 Ogos.
Nor Muslaili Mokhtar, Normi Ismail dan Zailawati Othman. (t.th). Persepsi pensyarah
terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran kursus matematik di Politeknik Kuala
Terengganu.
Roslaili Awang Nik. (2007). Penggunaan ICT di kalangan guru pelatih UTM semasa
latihan mengajar. Tesis Sarjana Muda. Fakulti Pendidikan UTM. Tidak diterbitkan.
Sharifah Nor Puteh dan Kamarul Azman Abd. Salam. (2011). Tahap kesediaan penggunaan
ICT dalam pengajaran dan kesannya terhadap hasil kerja dan tingkah laku murid
pra sekolah. Jurnal Pendidikan Malaysia. 36(1). hlm. 25-34.
Siti Fatimah Ahmad dan Ab. Halim Tamuri. (2010). Persepsi guru terhadap penggunaan
bahan bantu mengajar berdasarkan teknologi multimedia dalam pengajaran J-Qaf.
Journal of Islamic and Arabic Education. 2(2). hlm. 53-64
Subadrah Nair. (2005). Penggunaan model konstruktivisme lima fasa NEEDHAM dalam
pembelajaran Sejarah. Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Jil. 20, hlm. 21-41.
Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia.
Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan dan Abdul Aziz Abdul Shukor. (2008). Psikologi
pendidikan. Oxford Fajar.
Wan Mohamad Wan Ibrahim, Hazlina Awang Kah, Zakaria Jusuh dan Zari Ibrahim. (2002).
Tahap keperluan pengetahuan dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi di
kalangan guru-guru di beberapa buah sekolah di jajahan Kota Bharu, Kelantan.
Zainuddin Abu Bakar, Mohd. Safarin Noordin dan Aide Hatib. (t.th). Penguasaan kemahiran
ICT dalam kalangan guru : Suatu analisis kritikal kepustakaan.

Anda mungkin juga menyukai