Anda di halaman 1dari 16

 

   
Kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. Semasa Kecil (1)

  Nabi Muhammmad S.A.W. merupakan nabi dan rasul terakhir yang diutuskan Allah s.w.t
kepada seluruh umat manusia dan pembawa rahmat ke seluruh alam.

      Baginda dilahirkan di Kota Mekah pada Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan 20 April
Tahun 571 Masihi. Baginda berbangsa Arab Quraish daripada keturunan Bani Hashim.
Ibundanya bernama Aminah dan ayahandanya bernama Abdullah.

      Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. membawa sinar kepada seluruh umat manusia dan
dimuliakan oleh para malaikat di langit. Baginda telah membawa perubahan dan mengajar
manusia untuk mengenal Allah, melakukan kebaikan, dan meninggalkan kejahatan. Malah,
Baginda mengajar umatnya supaya menghiasi diri dengan akhlak yang mulia.

      Sebelum kelahiran baginda, ibunya Aminah sering bermimpi. Suatu ketika, Aminah
bermimpi melihat cahaya keluar daripada tubuhnya. Cahaya tersebut semakin lama semakin
terang sehingga Aminah dapat melihat Istana di Basrah. Pada masa yang lain, Aminah juga
pernah bermimpi ternampak malaikat Jibril.

      Aminah disuruh oleh Jibril supaya menamakan anaknya Ahmad dan memberitahunya
bahawa anak yang akan dilahirkannya itu bakal menjadi nabi. Aminah percaya dan yakin
bahawa mimpinya itu mimpi yang benar. Tambahan pula, sepanjang mengandungkan Nabi
Muhammad, Aminah tidak merasa berat ataupun sakit.

      Keajaiban terus dirasakan Aminah kerana semasa melahirkan Nabi Muhammad S.A.W.
Aminah juga tidak merasa sakit. Nabi dilahirkan dalam keadaan meniarap dan sudah
berkhatan. Nabi juga tidak menangis semasa dilahirkan, kepalanya mendongak ke atas, dua
jarinya terangkat-angkat seperti mengira sesuatu.

      Malah, semasa kelahiran Nabi, api berhala yang disembah oleh orang kafir telah padam
serta merta.

      Nabi Muhammad dilahirkan di rumah datuknya, Abdul Muttalib. Bapa baginda,


Abdullah telah meninggal dunia ketika nabi berusia dua bulan dalam kandungan ibunya.
Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan sebagai anak yatim.

      Setelah dilahirkan, Nabi Muhammad telah disusukan oleh ibunya Aminah selama tiga
hari. Kemudian baginda disusukan pula oleh ibu susuannya yang pertama, iaitu
Thuwaibatul Aslamiyah. Tempoh penyusuannya dengan Thuwaibatul Aslamiyah hanyalah
seketika sahaja, sementara menunggu ibu susuan dari desa.

      Tidak lama kemudian, Nabi Muhammad S.A.W. diserahkan kepada ibu susuannya yang
baru, iaitu Halimatun Saadiah.

      Aminah menyerahkan Nabi Muhammad S.A.W. kepada ibu susuan kerana sudah
menjadi kebiasaan orang-orang Arab pada masa itu mengupah ibu susuan untuk
menyusukan anak-anak mereka. Halimatun Saadiah telah membawa Nabi Muhammad
S.A.W. pulang ke perkampungannya, iaitu perkampungan  Bani Saad.

      Semenjak kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. perkampungan Bani Saad telah banyak
berubah.
      Sebelum Halimatun Saadiah pergi ke Mekah untuk mencari anak susuan, perkampungan
itu telah dilanda kemarau yang teruk. Ini menyebabkan berlaku kekurangan makanan,
binatang ternakannya menjadi kurus, dan tanaman mereka tidak menjadi.

      Namun begitu, setelah kedatangan Nabi, walaupun perkampungan itu dilanda kemarau,
kambing-kambing peliharaan mereka menjadi gemuk dan sarat dengan susu. Manakala
tanaman mereka pula amat subur dan mengeluarkan hasil yang banyak.

      Sungguh luar biasa! Perkampungan Bani Saad yang dahulunya tandus telah bertukar
menjadi bumi yang subur dan makmur.

      Nabi tinggal di perkampungan Bani Saad selama lima tahun.


Kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. Semasa Kecil (2)

      Ketika Nabi Muhammad S.A.W. berumur tiga tahun, telah berlaku suatu peristiwa yang
menakjubkan pada dirinya. Sewaktu Nabi Muhammad S.A.W. sedang bermain-main
dengan saudara susuan dan kawan-kawannya, tiba-tiba datang dua orang lelaki berpakaian
putih mendekati Baginda. Kedua-dua lelaki tersebut mengangkat dan menelentangkan
baginda.

      Dada dan perut Nabi telah dibelah. Hati Baginda dicucikan di dalam bekas emas yang
berisi air zam zam. Saudara susuannya terus pergi mendapatkan ibunya dalam keadaan
ketakutan dan memberitahu hal tersebut. Kejadian itu benar-benar merungsingkan
Halimatun Saadiah.

      Sebenarnya, kedua-dua lelaki tersebut adalah malaikat yang diperintahkan oleh Allah
untuk menyucikan hati Nabi Muhammad S.A.W. daripada kejahatan sebagai persediaan
untuk baginda menjadi Rasulullah.

      Setelah berusia lima tahun, tibalah masanya Nabi Muhammad S.A.W. akan diserahkan
kepada ibunya, Aminah. Halimatun Saadiah berasa sangat sedih. Keluarganya amat sayang
kepada Nabi. Selama lima tahun Nabi Muhammad S.A.W. diasuh dengan penuh kasih
sayang dan dididik dengan akhlak yang terpuji.

      Ketika tiba di Kota Mekah, Nabi Muhammad telah hilang dalam kumpulan orang ramai
yang berpusu-pusu dekat pintu gerbang Kota Mekah.

      Halimatun Saadiah berasa amat sedih dengan kehilangan tersebut, lalu menemui Abdul
Muttalib. Semua penduduk Mekah membantu mencari Nabi Muhammad. Akhirnya,
baginda ditemui oleh Waraqah bin Naufal. Ketika ditemui, Nabi sedang asyik melihat ke
langit.

      Abdul Muttalib segera mendukung nabi dan tawaf mengelilingi Kaabah. Kemudian nabi
dibawa menemuinya ibunya. Aminah berasa sangat gembira kerana dapat bertemu kembali
dengan putera kesayangannya.

      Sejak itu, tinggallah Nabi Muhammad S.A.W. bersama ibu kandungnya dan diasuh oleh
Ummu Aiman.

      Pada suatu hari, ibunya mengajak Nabi ke Yathrib untuk menziarahi pusara bapanya,
Abdullah bin Abdul Muttalib. Mereka membawa Ummu Aiman bersama. Mereka berada di
sana selama sebulan.

      Dalam perjalanan pulang ke Mekah, Aminah jatuh sakit dan meninggal dunia di Abwa'.
Aminah dikebumikan di situ. Setelah itu, pulanglah Nabi bersama Ummu Aiman ke Mekah
sebagai anak yatim piatu.

            Ummu Aiman menyerahkan Nabi Muhammad S.A.W. kepada datuknya, Abdul


Muttalib. Datuknya telah memelihara Nabi dengan penuh kasih sayang. Namun begitu,
Ummu Aiman masih lagi mengasuh Nabi. Tidak lama bersama datuknya, sekali lagi Nabi
Muhammad S.A.W. kehilangan orang tersayang apabila datuknya jatuh sakit dan meninggal
dunia. Ketika itu, Nabi berusia lapan tahun.

      Nabi Muhammad S.A.W. amat sedih dengan kejadian itu. Namun, Baginda terus tabah
menghadapi ujian dan dugaan hidup.

      Setelah datuknya meninggal, maka Nabi Muhammad S.A.W. dipelihara pula oleh bapa
saudaranya, Abu Talib. Abu Talib merupakan seorang yang dihormati dan dipandang mulia
oleh orang Quraish. Namun begitu, Abu Talib bukanlah seorang yang kaya-raya.
Kehidupannya susah dan mempunyai anak yang ramai.

      Semasa di bawah jagaan Abu Talib, Nabi Muhammad S.A.W. telah belajar mengembala
kambing dan berniaga. Baginda juga mengambil upah mengembala kambing untuk
membantu bapa saudaranya.

      Ketika berusia 12 tahun, Nabi Muhammad S.A.W. telah dibawa oleh bapa saudaranya
berniaga di Syam. Dalam perjalanan, mereka telah bertemu seorang paderi Nasrani bernama
Buhaira. Paderi itu memberitahu bahawa Muhammad bakal menjadi seorang Nabi. Dia
berpesan agar Abu Talib menjaga Nabi Muhammad S.A.W. dengan baik.

      Mulai saat itu, Abu Talib menjaga Nabi Muhammad S.A.W. dengan penuh kasih sayang
dan melindunginya sehinggalah Nabi Muhammad S.A.W. dewasa
Nabi Hud a.s. (1)
Nabi Hud a.s. ialah cucu Nabi Nuh a.s.

      Nabi Nuh a.s. mempunyai tiga orang anak. Mereka ialah Ham, Yafith, dan Sam.
Menurut riwayat, setelah Nabi Nuh a.s. wafat, Ham berhijrah ke Afrika, Yafith berhijrah ke
Eropah, dan Sam berhijrah ke bahagian Asia.

      Nabi Hud a.s. adalah keturunan daripada Sam. Beliau diutuskan oleh Allah S.W.T.
kepada kaumnya yang bernama 'Ad. Mereka menetap di sebelah utara Hadramaut dari
negeri Yaman.

      Kaum 'Ad terkenal sebagai orang yang gagah perkasa kerana mereka berbadan besar
dan tegap.

      Mereka gigih mengusahakan tanah pertanian. Mereka memiliki ladang-ladang yang luas
dan subur. Mereka dikurniakan oleh Allah S.W.T. dengan rezeki yang melimpah ruah.
Mereka juga memiliki bangunan-bangunan dan istana yang besar dan indah.

      Namun, mereka enggan menyembah Allah S.W.T., Tuhan yang Maha Esa dan Maha
Berkuasa. Mereka menyembah berhala. Mereka meminta pertolongan daripada batu berhala
yang mereka ciptakan sendiri.

      Nabi Hud a.s. mengajak mereka kembali ke jalan yang benar. Nabi Hud a.s. menasihati
mereka agar meninggalkan berhala dan menyembah Allah S.W.T., Tuhan yang Maha Esa.

      Namun, mereka tetap enggan menurut seruan Nabi Hud a.s. Mereka berdegil dan tetap
menganggap batu-batu berhala itulah Tuhan mereka.

      Dalam Al-Quran, surah Hud : Ayat 50, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud :

      "Kami telah mengutus kepada kaum 'Ad, seorang saudaranya yang bernama Hud, seraya
berkata : "Hai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, tiadalah Tuhan bagi kamu selain Dia.
Tiadalah kamu melainkan orang yang selalu mengada-ngadakan sahaja."

      Dalam Surah Hud, Ayat 51 pula, Allah S.W.T. berfirman menyatakan seruan Nabi Hud
a.s. :

      "Hai kaumku! Saya tidak meminta upah kepadamu, dan tiada yang memberi upah saya,
melainkan Allah yang menjadikan saya. Apakah kamu tidak berakal?
Nabi Hud a.s. (2)

      Dalam Surah Hud, Ayat 53 pula, Allah S.W.T. menyatakan jawapan kaum 'Ad itu
kepada Nabi Hud a.s. :

      "Meraka menjawab : "Wahai Hud! Tiada engkau mendatangkan kepada kami suatu
keterangan, sebab itu kami tidak suka meninggalkan tuhan kami dengan semata-mata
perkataan engkau itu sahaja, dan tiadalah kami percaya kepada engkau."

      Akhirnya, Allah S.W.T. menurunkan malapetaka sebagai balasan azab kepada kaum 'Ad
kerana mereka tidak mempercayai keesaan Allah S.W.T.

      Pada hari balasan azab itu, kaum 'Ad melihat awan hitam terbentang panjang di langit.
Mereka sangat gembira kerana menyangka hujan akan turun untuk menyirami tanaman
mereka.

      Mereka berkata, "Hujan akan turun. Tanaman kita akan subur. Segala haiwan ternakan
kita akan dapat minum dengan secukupnya."

      Namun, Nabi Hud a.s. berkata kepada mereka, "Itu bukanlah awan yang akan membawa
rahmat kepada kamu. Itu adalah awan yang akan membawa angin dengan penuh azab
kepada kamu. Itulah seksaan yang sepedih-pedihnya."

      Angin yang tersangat kencang bertiup selama tujuh malam lapan hari. Usahkan
manusia, haiwan, dan tumbuhan, gunung pun dihancurkan oleh angin yang sangat dahsyat
itu.

      Dalam Al-Quran, Surah Al-Haqqah : Ayat 6-8, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud
:

      "Adapun 'Ad dibinasakan dengan angin yang sangat keras, dan amat dinginnya,
ditimpakan kepada mereka tujuh malam lapan hari tidak putus-putusnya. Maka kelihatan
mereka bergelimpangan mati sebagai batang korma yang telah roboh. Habis binasalah
semuanya kerana kederhakaan mereka juga."

      Allah S.W.T. telah membinasakan kaum 'Ad dari muka bumi ini.

      Namun demikian, Allah S.W.T. menyelamatkan Nabi Hud a.s. dan para pengikutnya.
Ketika tiupan angin yang dahsyat itu berlaku, mereka terhindar daripada malapetaka
tersebut.

      Selepas peristiwa itu, Nabi Hud a.s. dan para pengikutnya berpindah ke Hadramaut. Di
sana Nabi Hud a.s. menetap sampai wafatnya.
Nabi Ibrahim a.s. (1)

      Raja Namrud ialah seorang pemerintah yang memiliki sebuah kerajaan yang besar di
Jazirah Arab. Malah, dia turut menguasai negara Rome, Parsi, Habsyi, dan Hindustan.
Demikianlah dia mempunyai empayar pemerintahan yang sangat luas dan besar. Oleh yang
demikian, dia mempunyai kekayaan dan kemewahan yang melimpah ruah.

      Namun, Raja Namrud adalah pemerintah yang sangat zalim dan kejam. Malah, dia
mengaku dirinya sebagai Tuhan. Dia memaksa sekalian rakyat menyembah dan memujanya
sebagai Tuhan. Namun, dalam masa yang sama, Raja Namrud dan sekalian rakyatnya masih
tetap mengamalkan amalan menyembah berhala.

      Raja Namrud dan sekalian rakyat jelatanya itu hidup dalam kesesatan. Mereka tidak
percaya kepada Allah S.W.T. sebagai Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Berkuasa. Pada
zaman pemerintahan Raja Namrud itulah Allah S.W.T. telah mengutuskan Nabi Ibrahim a.s.
sebagai rasul untuk menyeru mereka ke jalan yang benar.

      Sebelum kelahiran Nabi Ibrahim a.s., ahli-ahli nujum di istana Raja Namrud sudah
meramalkan bahawa kelak akan lahir seorang anak lelaki yang meruntuhkan pemerintahan
Raja Namrud. Oleh yang demikian, Raja Namrud berasa sangat bimbang. Malah, mulai saat
itulah juga dia memerintahkan tenteranya supaya membunuh setiap anak lelaki yang baru
dilahirkan.

      "Sekarang aku tidak perlu berasa bimbang lagi dan aku boleh memerintah dengan
selamat," kata Raja Namrud dengan perasaan bongkak.

      Salah seorang pekerja yang bekerja membuat berhala untuk Raja Namrud ialah bapa
Nabi Ibrahim a.s. Namanya Azar. Dia sangat mahir mengukir berhala. Selain itu, dia juga
mengukir berhala untuk dijual kepada orang ramai.

       Pada suatu masa, isteri Azar mengandung dan saatnya untuk melahirkan anak sudah
tiba. Isteri Azar lalu pergi bersembunyi dan melahirkan anaknya di dalam sebuah gua. Dia
tidak mahu anaknya dibunuh oleh tentera Raja Namrud. Akhirnya, apabila tiba saat
bersalin, dia melahirkan seorang bayi lelaki. Bayi lelaki itu ialah Nabi Ibrahim a.s.

      Nabi Ibrahim a.s. terpaksa ditinggalkan di dalam gua. Ibunya tidak mahu disyaki telah
melahirkan bayi lelaki. Jika tidak, tentulah bayi kesayangannya itu akan mati dibunuh oleh
tentera Raja Namrud.

      Seminggu kemudian, ibu Nabi Ibrahim a.s. pergi semula ke gua itu. Gua itu letaknya
sangat jauh dari perkampungannya. Hati ibu Nabi Ibrahim a.s. berdebar-debar dan sangat
sedih. Dia menyangka anak kesayangannya tentulah sudah mati. Namun, alangkah gembira
hatinya kerana anaknya masih hidup dan sihat.

      Sejak itu, ibu Nabi Ibrahim a.s. berulang-aliklah ke gua tempat persembunyian itu.
Sungguh ajaib, walaupun ditinggalkan lama dan bersendirian di dalam gua itu, namun Nabi
Ibrahim a.s. tetap sihat. Demikianlah, Allah S.W.T. Maha Berkuasa menjaga Nabi Ibrahim
a.s.

      Nabi Ibrahim a.s. ditinggalkan di dalam gua itu selama lima tahun. Sejak kecil, Nabi
Ibrahim selalu merenung keindahan alam di sekeliling tempat tinggalnya itu. Dia kagum
melihat keindahan bintang, bulan, matahari, dan sebagainya. Oleh yang demikian, dia
berasa hairan kerana tidak mengetahui siapakah yang telah menciptakan alam semesta yang
indah dan luas terbentang ini.

      Pada suatu hari, Nabi Ibrahim a.s. bertanya kepada ibunya, "Wahai ibuku! Siapakah
Tuhan yang ibu sembah?"

      Ibunya menjawab, "Tuhanku ialah Tuhan kepada ayahmu."

      "Siapa Tuhan kepada ayahku?" Nabi Ibrahim a.s. ingin mengetahui lagi.

      "Tuhan ayahmu ialah Raja Namrud," jawab ibunya.

      "Siapakah Tuhan kepada Raja Namrud?" tanya Nabi Ibrahim a.s. lagi.

      "Tuhan kepada Raja Namrud ialah bulan dan bintang," jelas ibunya.

      "Siapakah Tuhan kepada bulan dan bintang?" Nabi Ibrahim a.s. masih ingin tahu.

      "Tuhan kepada bulan dan bintang ialah matahari," terang ibunya lagi.

      Nabi Ibrahim a.s. lalu bertanya lagi, "Siapakah pula Tuhan kepada matahari?"

      Namun ibunya terdiam. Ibunya tidak dapat menjawab soalan itu.

Nabi Ibrahim a.s. (2) (ID: 1113763006510)

Pada suatu malam, Nabi Ibrahim keluar dari gua dan menyaksikan alam pada waktu malam.
Dia melihat ratusan bintang bertaburan dan berkelipan. Apabila terpandang sebuah bintang
yang paling terang, Nabi Ibrahim a.s. berfikir, "Barangkali bintang yang paling terang itulah
Tuhan."

      Keesokan malamnya, Nabi Ibrahim a.s. melihat bulan purnama terang-benderang.


Cahayanya kelihatan lebih terang daripada bulan. Nabi Ibrahim a.s. lalu berfikir, "Bintang
itu sudah tentulah bukan Tuhan kerana cahayanya dikalahkan oleh bulan. Barangkali bulan
yang terang-benderang itulah Tuhan."

      Keesokan paginya, Nabi Ibrahim a.s. melihat pula matahari terbit dan cahayanya lebih
terang-benderang. Bahkan, bulan dan bintang sudah hilang kerana matahari terbit. Nabi
Ibrahim a.s. berfikir, "Bulan dan bintang sudah kalah. Barangkali matahari itulah Tuhanku."

      Namun, setelah petang, matahari itu akhirnya terbenam dan hilang. Nabi Ibrahim a.s.
berfikir bahawa matahari itu bukanlah Tuhan kerana jatuh terbenam dan ditewaskan semula
oleh bulan dan bintang.

      Akhirnya, insaflah Nabi Ibrahim a.s. bahawa Tuhan yang sebenarnya ialah Tuhan yang
Maha Esa dan Maha Berkuasa, yakni Allah S.W.T. Dialah yang Maha Berkuasa
menciptakan matahari, bulan, bintang, dan sekalian makhluk yang terdapat di dalam alam
semesta ini.

      Di dalam Al-Quran, Surah Al-An’am: Ayat 76 - 77, Allah S.W.T. berfirman tentang
kisah Nabi Ibrahim a.s. yang bermaksud: "Ketika malam telah menjadi gelap, dia melihat
sebuah bintang, lalu berkata: "Inikah Tuhanku?" Tetapi tatkala bintang itu tenggelam, dia
berkata: "Aku tidak suka kepada yang tenggelam." Kemudian tatkala dia melihat bulan
terbit, dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Tetapi setelah bulan terbenam, dia berkata:
"Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku menjadi
termasuk orang-orang yang sesat." Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, dia
berkata: "Inikah Tuhanku? Inilah yang lebih besar." Maka tatkala matahari itu terbenam, dia
berkata: "Hai kaumku; sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu
persekutukan. Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan
langit dan bumi dengan cenderung kepada agama yang benar dan aku bukanlah termasuk
orang-orang yang mempersekutukan Tuhan."

      Allah S.W.T. telah memilih Nabi Ibrahim a.s. menjadi rasul-Nya. Nabi Ibrahim a.s.
telah diutuskan oleh Allah S.W.T. untuk menyeru kaumnya kembali ke jalan yang benar,
iaitu menyembah Allah S.W.T., Tuhan yang Maha Esa dan Maha Berkuasa. Namun
kaumnya, termasuk Raja Namrud, enggan mengikuti ajaran Nabi Ibrahim a.s. Mereka tetap
meneruskan amalan menyembah berhala.

      Raja Namrud memanggil Nabi Ibrahim a.s. ke istananya. Raja Namrud menyoal Nabi
Ibrahim a.s., "Wahai, Ibrahim! Jikalau benar ajaran agamamu itu, siapakah sebenarnya
Tuhan yang menjadikan alam semesta ini?"

      Nabi Ibrahim a.s. lalu menjawab, "Tuhan yang menciptakan alam semesta ini ialah
Allah S.W.T. Dialah Tuhan yang Maha Esa dan Maha Berkuasa. Dialah Tuhan yang dapat
menghidupkan dan mematikan segala sesuatu."

      Dengan perasaan bongkak, Raja Namrud lalu menjawab, "Aku juga berkuasa seperti
Tuhanmu itu. Aku berkuasa menghidupkan dan mematikan sesiapa sahaja yang aku mahu.
Jikalau aku perintahkan seseorang itu supaya dibunuh, tentulah orang itu akan mati. Jikalau
aku membebaskan orang itu, dia akan hidup."

      Mendengar jawapan Raja Namrud itu, Nabi Ibrahim a.s. lalu berkata lagi, "Tuhanku,
Allah S.W.T., Maha Berkuasa menerbitkan matahari dari sebelah timur dan menjadikannya
terbenam di sebelah barat. Sekarang, cubalah pula engkau menerbitkan matahari itu dari
arah sebelah barat dan menjadikannya terbenam di sebelah timur."

      Terceganglah Raja Namrud setelah mendengar hujah Nabi Ibrahim a.s. itu. Dia tahu
bahawa ia tidak berkuasa untuk berbuat demikian. Apatah lagi, untuk mencipta matahari,
bulan, dan bintang.

      Di dalam Al-Quran, melalui Surah Al-Anbiya’: Ayat 14 - 17, Allah S.W.T.  berfirman
tentang kata-kata Nabi Ibrahim a.s. yang bermaksud: "Sebenarnya kamu dan nenek moyang
kamu sudah sesat. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah. Jika kamu tidak
menghentikan penyembahan berhala itu nanti akan kuruntuhkan tuhan-tuhan kamu itu
semuanya. Bodoh sungguh kamu ini. Kamu sembah patung yang tidak dapat memberi
manfaat dan mudarat sedikit pun!" kata Ibrahim." (Al-Anbiya’ 14 - 57).

      Namun, Raja Namrud  dan kaum Nabi Ibrahim a.s. sedikit pun tidak mengendahkan
seruan tersebut. Mereka tetap menyembah berhala.
Nabi Ibrahim a.s. (3)

Tidak lupa, Nabi Ibrahim a.s. turut berdakwah kepada bapanya. Dia tidak mahu bapanya
hidup dalam kesesatan.

      Dalam Al-Quran, Surah Maryam: Ayat 41 - 45, berfirman yang bermaksud:


"Sesungguhnya Ibrahim itu seorang yang sangat benar, lagi seorang Nabi. Ketika Ibrahim
berkata kepada bapanya:

      "Wahai bapaku, mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak
melihat, dan tidak dapat menolong kamu sedikitpun? Wahai bapaku sesungguhnya telah
datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu kerana itu
ikutlah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus. Wahai bapaku,
janganlah kamu menyembah syaitan, sesungguhnya syaitan itu derhaka kepada Tuhan Yang
Maha Pemurah. Wahai bapaku, sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan ditimpa azab
daripada Tuhan Yang Maha Pemurah, maka dengan demikian kamu menjadi kawan bagi
syaitan." (S. MARYAM ayat: 41 - 45).

      Namun, nasihat Nabi Ibrahim a.s. tidak dipedulikan oleh bapanya. Malah, dia dimarahi
oleh bapanya. Bapanya enggan meninggalkan perbuatan menyembah berhala. Nabi Ibrahim
a.s. diancam akan diseksa oleh bapanya, sekira dia menghalang bapanya daripada perbuatan
menyembah berhala itu.

      Pada suatu hari, Raja Namrud dan sekalian rakyatnya pergi keluar kota untuk
mengadakan suatu upacara keagamaan. Tinggallah Nabi Ibrahim a.s. seorang diri di dalam
kota itu kerana dia tidak ikut serta dalam upacara tersebut.

      Nabi Ibrahim a.s. lalu mengambil kesempatan untuk pergi ke rumah berhala. Rumah
berhala itu merupakan satu-satunya rumah berhala terbesar di dalam kota tersebut. Di
situlah Raja Namrud dan sekalian rakyatnya sering datang menyembah berhala. Di
dalamnya terdapat sebuah berhala yang sangat besar dan beratus-ratus berhala lain yang
lebih kecil.

      Dengan menggunakan sebilah kapak, Nabi Ibrahim a.s. memukul dan menghancurkan
semua berhala itu. Satu-satunya berhala yang tidak dimusnahkannya ialah berhala yang
terbesar itu. Dia lalu menggantungkan kapak itu di leher berhala besar tersebut. Kemudian
dia cepat-cepat meninggalkan tempat itu.

      Apabila Raja Namrud dan sekalian rakyatnya pulang, mereka terus pergi ke rumah
berhala itu. Alangkah terkejutnya mereka kerana mendapati semua berhala itu sudah hancur
lebur, kecuali berhala besar itu sahaja. Raja Namrud murka bukan kapalang.

      "Ini tidak lain tentulah perbuatan Ibrahim," kata mereka.

      "Ya! Tentulah perbuatan Ibrahim. Dia sengaja memusnahkan berhala kita," kata yang
lain lagi.

      Tanpa berlengah lagi, Raja Namrud segera memerintahkan supaya Nabi Ibrahim a.s.
ditangkap. Oleh yang demikian, Nabi Ibrahim a.s segera dibawa ke istana untuk menghadap
Raja Namrud
Nabi Ibrahim a.s. (4)

"Wahai Ibrahim! Adakah engkau yang bertanggungjawab memusnahkan semua berhala


itu?" Raja Namrud menyoal Nabi Ibrahim a.s.

      "Adakah sesiapa melihat dan dapat membuktikan bahawa patiklah yang telah
merosakkan berhala-berhala itu?' Nabi Ibrahim a.s. mencabar soalan Raja Namrud.

      "Tidak! Kami memang tidak melihat engkau melakukannya," jelas Raja Namrud.

      "Kalau begitu, bagaimanakah tuanku dapat membuktikan bahawa patik telah


merosakkan berhala-berhala itu?" bahas Nabi Ibrahim a.s.

      "Tetapi kami tahu, kamu tidak mahu bertuhankan berhala-berhala kami," tegas Raja
Namrud.

      "Adakah semua berhala itu telah musnah?" Nabi Ibrahim a.s. menyoal lagi.

      "Tidak! Kami dapati berhala besar itu sahaja tidak dirosakkan. Di lehernya tergantung
sebilah kapak," ujar Raja Namrud dengan perasaan marah.

      "Kalau begitu, pergilah tanyakan berhala besar itu. Mungkin itu adalah perbuatannya.
Lagipun kapak itu tergantung di lehernya," tegas Nabi Ibrahim a.s.

      Semakin marahlah Raja Namrud apabila mendengar kata-kata Nabi Ibrahim a.s. itu. Dia
segera berkata, "Bagaimana kami dapat menyoal berhala besar itu? Engkau pun tahu,
berhala itu tidak dapat bercakap dan tidak dapat bergerak dari tempat duduknya itu."

      Selesai sahaja Raja Namrud berkata demikian, Nabi Ibrahim a.s. terus menjawab, "Jika
tuanku tahu, berhala itu tidak dapat bercakap walaupun sepatah perkataan dan berhala itu
sendiri pun tidak dapat bergerak, mengapakah tuanku dan sekalian rakyat tuanku
menyembah berhala itu? Mengapakah batu yang diukir menjadi berhala itu dianggap
sebagai Tuhan oleh tuanku dan sekalian rakyat tuanku?"

      Terdiamlah Raja Namrud apabila mendengar jawapan itu. Beberapa orang daripada
mereka insaf bahawa kata-kata Nabi Ibrahim a.s. adalah benar. Mereka mulai mempercayai
ajaran agama sebenar yang diseru oleh Nabi Ibrahim a.s. Mereka mahu mengikuti seruan
Nabi Ibrahim a.s.

      Oleh yang demikian, memuncaklah kemurkaan Raja Namrud terhadap Nabi Ibrahim a.s.
Dia segera memerintahkan supaya Nabi Ibrahim a.s. di berkas untuk dicampak ke dalam
api.

      Kayu segera dikumpulkan. Mereka menyalakan api yang besar. Kemudian, Nabi
Ibrahim a.s. segera dicampakkan ke dalam api tersebut. Namun, Allah S.W.T. Maha
Berkuasa. Allah S.W.T. menyelamatkan Nabi Ibrahim a.s. daripada bakaran api yang
dahsyat itu. Allah S.W.T. menjadikan api itu sejuk, sehingga Nabi Ibrahim a.s. menggigil
kerana sangat sejuk.

      Di dalam Al-Quran, Surah Al-Anbiya': Ayat 69, Allah S.W.T. menerangkan firman-Nya
yang bermaksud: "Wahai api, hendaklah dingin dan selamatkan Ibrahim."
      Raja Namrud dan sekalian rakyatnya tersangat hairan melihat Nabi Ibrahim a.s. bukan
sahaja tidak hangus terbakar, malah menggigil kesejukkan. Mereka menyangka Nabi
Ibrahim akan mati. Namun,  setelah api itu padam, Nabi Ibrahim a.s. dapat keluar dengan
selamat.

      Selepas peristiwa ajaib dengan kuasa Allah S.W.T. itu, Nabi Ibrahim a.s. lalu berhijrah
ke negeri Kan'an (sekarang ialah Palestin), iaitu negeri tanah suci tempat terletaknya
Baitulmaqdis.

Peristiwa Tahun Gajah (1)

      Pada setiap tahun, apabila tiba 'musim haji', beribu-ribu umat Islam pergi ke Tanah Suci
Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Salah satu rukun yang terdapat dalam fardu haji ialah
tawaf atau mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.

      Kaabah yang terletak Kota Mekah digelarkan sebagai Rumah Allah (Baitullah). Hal ini
demikian kerana pada suatu masa dahulu, Allah S.W.T. telah memerintahkan Nabi Ibrahim
a.s. supaya membina Kaabah. Nabi Ibrahim a.s. dengan bantuan puteranya, Nabi Ismail a.s.
lalu membina Kaabah tersebut. Sejak itulah Kaabah menjadi tempat untuk melakukan
ibadat tawaf.

      Namun, sesudah Nabi Ibrahim a.s. wafat, ajaran yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim
a.s. supaya menyembah dan mengesakan Allah S.W.T., lama-kelamaan diabaikan oleh
kebanyakan manusia.

      Mereka kembali menyembah patung-patung berhala, pokok, haiwan, matahari, dan lain-
lain lagi. Bahkan, di dalam Kaabah, mereka turut meletakkan berbagai-bagai jenis berhala
untuk disembah. Mereka hidup dalam kesesatan dan kejahilan yang nyata.

      Namun demikian,  Kaabah masih tetap dikunjungi oleh orang ramai yang datang dari
merata-rata tempat. Oleh yang demikian, Kota Mekah menjadi sangat masyhur dan maju
kerana di kota itu terdapat Kaabah.

      Di negeri Yaman pula, terdapat seorang pemerintah bernama Abrahah. Dia berasa
sangat iri hati kerana Kota Mekah menjadi begitu masyhur dan maju. Dia mahu negerinya
menjadi lebih masyhur dan maju daripada Kota Mekah.

      Oleh itu,  Abrahah lalu memerintahkan rakyatnya supaya mendirikan sebuah Kaabah


untuk menandingi Kaabah yang terdapat di Kota Mekah. Bahkan, 'Kaabah Yaman' jauh
lebih cantik daripada Kaabah di Kota Mekah itu. Malah,  di dalam 'Kaabah Yaman',
terdapat pelbagai peralatan dan barangan yang sangat mahal harganya.

      Namun demikian, Abrahah berasa sangat kecewa. Tidak ramai orang datang untuk
melakukan ibadat di 'Kaabah Yaman'. Malah, rakyat di negerinya sendiri pun lebih suka
mengunjungi Kaabah di Kota Mekah. Marahlah Abrahah bukan kepalang.

      'Kaabah Yaman' itu bukan sahaja tidak dikunjungi ramai, malah turut dirosakkan dan
dikotorkan dengan najis oleh orang yang berpura-pura mengunjunginya. Malah, banyak
pula peralatan dan barangan yang mahal di dalamnya telah dicuri orang. Oleh yang
demikian, kemarahan Abrahah tidak dapat dibendung lagi.

      Akhirnya, Abrahah mengambil keputusan untuk menyerang Kota Mekah. Tujuannya


ialah ingin meruntuhkan Kaabah yang terletak di Kota Mekah itu. Dia percaya, sekiranya
Kaabah di Kota Mekah itu berjaya diruntuhkan, tentulah orang ramai akan datang
mengunjungi 'Kaabah Yaman' pula.

      Tanpa berlengah lagi, Abrahah terus mengumpulkan angkatan tenteranya. Bahkan,


angkatan tenteranya sangat luar biasa kerana turut disertakan dengan kumpulan gajah. Oleh
yang demikian, angkatan tentera Abrahah ini terkenal dengan sebutan angkatan tentera
bergajah.

      Abrahah sangat yakin bahawa cita-citanya untuk meruntuhkan Kaabah di Kota Mekah
itu akan berjaya. Jumlah tenteranya sangat ramai. Tambahan pula, angkatan perangnya
mempunyai barisan gajah yang perkasa. Tentulah tiada siapa pun berani melawan angkatan
tenteranya.

      Abrahah lalu memimpin angkatan tenteranya menuju ke Kota Mekah. Di segenap


tempat yang dilalui oleh angkatan tenteranya, orang ramai bertempiaran melarikan diri.
Tiada siapa berani menghalang kemaraan angkatan tenteranya.

      Oleh yang demikian, hebohlah berita di kalangan penduduk Tanah Arab  mengenai


kedatangan angkatan tentera Abrahah. Malah, berita itu akhirnya sampai ke pengetahuan
penduduk Kota Mekah. Mereka berasa sangat cemas. Mereka sudah tentulah tidak berdaya
untuk mengalahkan angkatan tentera Abrahah. Lebih-lebih lagi kerana angkatan tentera
Abrahah turut mempunyai barisan gajah yang perkasa.

      Abdul Mutalib, iaitu datuk kepada Nabi Muhammad S.A.W., yang menjadi pemimpin di
Kota Mekah turut mengetahui berita itu. Beliau berasa sangat dukacita kerana Abrahah
mahu melanggar Kota Mekah dan meruntuhkan Kaabah. Beliau tahu, sekalian penduduk
Kota Mekah tidak akan berupaya menghalang cita-cita jahat Abrahah itu.

      Tanpa membuang masa lagi, Abdul Mutalib lalu segera mengarahkan penduduk Kota
Mekah supaya menyelamatkan diri masing-masing. "Wahai penduduk Kota Mekah!
Selamatkan diri kamu semua. Pergilah kamu semua berlindung di atas bukit," seru Abdul
Mutalib kepada para penduduk Kota Mekah.

      Penduduk kota Mekah bergegas keluar dari Kota Mekah. Mereka patuh pada arahan
Abdul Mutalib. Mereka pergi ke bukit-bukau yang terletak di tepi Kota Mekah. Mereka
cuba mencari perlindungan di atas bukit-bukau itu.

Peristiwa Tahun Gajah (2)

Akhirnya, Abrahah dan angkatan tenteranya tiba di suatu tempat berhampiran Kota Mekah.
Mereka tidak terus memasuki Kota Mekah. Mereka berehat di tempat itu. Abrahah sangat
gembira apabila mengetahui penduduk Kota Mekah sudah lari mencari perlindungan.

      Ha! Ha! Ha! Abrahah ketawa berdekah-dekah. Dia sangat sangat gembira.  "Mereka
semua adalah penakut!" ujar Abrahah. Dia membayangkan kemenangan sudah berada di
dalam genggaman tangannya. Tiada siapa akan menentangnya.

      Abrahah mengetahui pemimpin Kota Mekah itu, Abdul Mutalib, juga sudah lari
berlindung di atas bukit. "Sungguh tidak kusangka, pemimpin kaum Quraisy yang sangat
masyhur itu rupa-rupanya sangat penakut!" ujar Abrahah.
      Abrahah ingin mengambil kesempatan untuk menghina Abdul Mutalib. Dia lalu
memerintahkan beberapa orang tenteranya pergi mengambil dua ratus ekor unta milik
Abdul Mutalib.

      Berita Abrahah merampas dua ratus ekor unta itu sampai kepada pengetahuan Abdul
Mutalib. Oleh yang demikian, tanpa berlengah lagi, Abdul Mutalib bergegas pergi berjumpa
Abrahah.

      Pada mulanya, beberapa orang sahabat Abdul Mutalib melarang beliau pergi menemui
Abrahah.

      "Janganlah, tuan hamba pergi, wahai Abdul Mutalib! Abrahah itu tersangat zalim.
Nanti, tuan hamba akan dibunuhnya," kata mereka.

      Namun, Abdul Mutalib sedikit pun tidak berasa gentar. Dengan penuh berani, beliau
pergi juga menemui Abrahah.

      Abrahah turut berasa terkejut apabila diberitahu oleh para pembesarnya bahawa Abdul
Mutalib datang ingin berjumpa dengannya. Dia sama sekali tidak menyangka pemimpin
kaum Quraisy itu rupa-rupanya sungguh berani.

      "Wahai Abdul Mutalib! Sungguh berani engkau datang menemuiku. Jikalau kupancung
lehermu, engkau akan mati di sini," Abrahah berkata dengan suara yang kasar.

      Namun, Abdul Mutalib dengan tegas menjawab, "Aku tidak takut!"

      Tercenganglah Abrahah mendengar jawapan itu. Oleh itu, Abrahah ingin tahu maksud
sebenar Abdul Mutalib datang menemuinya. Dia menyangka pemimpin kaum Quraisy itu
tentulah ingin berdamai dengannya.

      "Beritahu kepadaku, apakah tujuan sebenar kedatanganmu?" Abrahah menyoal.

      "Aku mahu engkau mengembalikan semula semua untaku yang telah engkau rampas
itu," tegas Abdul Mutalib.

      Mendengar  jawapan itu, Abrahah ketawa berdekah-dekah.

      "Sungguh tidak kusangka. Aku fikir engkau datang ingin berdamai denganku supaya
tidak meruntuhkan Kaabah. Tetapi rupa-rupanya engkau mahukan unta itu sahaja," ujar
Abrahah sambil terus ketawa.

      "Unta itu adalah kepunyaanku!" tegas Abdul Mutalib lagi.

      "Jikalau begitu, Kaabah itu kepunyaan siapa pula?" Abrahah cuba menyindir Abdul
Mutalib.

      Abdul Mutalib segera menjawab, "Kaabah itu bukan kepunyaanku."

      Sekali lagi Abrahah tercengang mendengar jawapan Abdul Mutalib.

      "Kalau begitu, Kaabah itu kepunyaan siapa?" Abrahah benar-benar ingin mendengar
penjelasan daripada Abdul Mutalib.
      "Kaabah itu kepunyaan Allah. Itu adalah rumah Allah (Baitullah). Bukan kepunyaan
aku. Allah sendiri yang akan menjaga Rumah-Nya (Kaabah) itu. Bukan aku!" tegas Abdul
Mutalib lagi.

      Termenunglah Abrahah seketika setelah mendengar kata-kata Abdul Mutalib. Namun,


Abrahah tidak percaya kepada kata-kata Abdul Mutalib itu. Dia tetap ingin meneruskan
hasratnya ingin memusnahkan Kaabah.

      Abdul Mutalib lalu mengambil semua unta kepunyaannya dan terus pulang.

      Keesokkan harinya, Abrahah segera memimpin angkatan tenteranya memasuki Kota


Mekah. Penduduk Kota Mekah yang sedang berlindung di atas bukit-bukau menangis
kerana menyangka Kaabah tentulah akan dimusnahkan oleh gajah-gajah perkasa.

      Namun, suatu peristiwa ganjil berlaku. Semua gajah itu enggan melangkah untuk
meruntuhkan Kaabah. Gajah-gajah itu bertempik dan memalingkan muka dari Kaabah.
Gajah-gajah itu enggan bergerak untuk memusnahkan Kaabah.

      Walaupun dipaksa dan dipukul dengan kuat, gajah-gajah itu tetap enggan melangkah ke
arah Kaabah. Malah, sesetengah gajah itu sudah melarikan diri.

Peristiwa Tahun Gajah (3)

Kemudian, dengan tidak semena-mena, langit menjadi hitam. Rupa-rupanya ratusan burung
sedang berterbangan. Burung-burung itu ialah burung Ababil yang diutuskan oleh Allah
S.W.T. untuk menyelamatkan Kaabah.

      Burung-burung Ababil itu membawa batu-batu kecil dari Neraka. Batu-batu itu
dilemparkan ke atas angkatan tentera Abrahah. Bertempiaranlah tentera Abrahah cuba
melarikan diri masing-masing. Namun, tiada seorang pun daripada angkatan tentera
Abrahah itu terselamat daripada serangan burung Ababil.

      Mereka mati di situ dalam keadaan hina dan sangat mengerikan. Mayat mereka menjadi
seperti daun-daun yang dimakan oleh ulat.

      Demikianlah, sesungguhnya Allah S.W.T. Maha Berkuasa. Allah S.W.T. telah


menyelamatkan Kaabah daripada dimusnahkan. Peristiwa luar biasa itu disaksikan oleh para
penduduk Kota Mekah dengan perasaan takjub. Mereka tidak menyangka Allah S.W.T.
akan mengutuskan burung Ababil yang membawa batu dari Neraka untuk menyelamatkan
kesucian Kaabah.

      Peristiwa ajaib ini ada disebutkan di dalam Al-Quran. Dalam Surah Al-Fil: Ayat 1-5,
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

      "Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap


tentera bergajah?. Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka untuk menghancurkan
Ka'abah itu sia-sia? Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-
bondong. Yang melempari mereka dengan batu berasal dari tanah yang terbakar. Lalu Dia
menjadikan mereka seperti daun-daunan yang dimakan ulat."

      Sesetengah riwayat pula mengatakan, Abrahah berjaya melarikan diri. Dia pulang ke
negerinya dengan sangat ketakutan.

      Namun, ketika Abrahah sampai di istananya, tiba-tiba dia melihat ada seekor burung
Ababil sedang bertenggek di jendela istananya itu. Burung Ababil sedang menunggunya di
situ. Tahulah Abrahah bahawa rupa-rupanya dia tidak terlepas daripada balasan azab oleh
Allah S.W.T.

      Abrahah cuba melarikan diri. Namun, sia-sia sahaja. Matilah dia akibat terkena batu dari
Neraka yang dilontarkan oleh burung Ababil itu. Dia mati dalam keadaan tersangat hina dan
sungguh mengerikan di dalam istananya sendiri.

      Tahun berlakunya peristiwa ajaib ini dikenali sebagai 'Tahun Gajah'.

      Dalam tahun inilah Junjungan Besar Kita, Nabi Muhammad S.A.W. diputerakan.
Baginda dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabiul Awal (bersamaan 20 April 571 Masihi).
Baginda dipilih oleh Allah S.W.T. menjadi rasul yang terakhir diutuskan oleh Allah S.W.T.,
yakni sebagai penyudah dan pelengkap bagi sekalian rasul dan nabi.

Anda mungkin juga menyukai