Anda di halaman 1dari 7

NABI MUHAMMAD SAW CAHAYA PETUNJUK AKHIR ZAMAN

Di kala Aminah melahirkan bayinya,


Dunia terang bermandikan cahaya,
Cahaya yang amat kita perlukan,
Petunjuk jalan kebahagian.
(Syair Al-Abbas bin Abdul Mutalib)

Kelahiran
Keheningan pagi Isnin, 12 Rabiulawal, Tahun Gajah bersamaan 20 April 571 Masihi seisi alam
Makkah al-Mukarramah dikejutkan dengan suara tangisan seorang bayi lelaki. Lahirnya
diterangi dengan cahaya petanda dirinya bakal menerangi seluruh alam sebagai Rasul terakhir.
Begitulah istimewanya kelahiran putera Siti Aminah dan Abdullah.
Fatimah al-Thaqfiyah yang menyaksikan kelahiran nabi junjungan berkata, Saya saksikan
ketika Siti Aminah melahirkan bayi yang kemudian ternyata menjadi pemimpin dunia. Saya lihat
rumah tempat bayi itu dilahirkan bermandikan cahaya. Bintang-bintang kelihatan sangat dekat,
sehingga saya bimbang kalau-kalau bintang itu jatuh di atas kepala saya.
Kelahiran Nabi Muhammad SAW disambut dengan gembira oleh keluarganya terutamanya
Abdul Muttalib. Seminggu kemudian, datuknya Abdul Muttalib mengadakan jamuan sempena
memberi nama seperti yang dimimpikan oleh Siti Aminah iaitu Muhammad yang membawa
maksud orang yang terpuji.
Oleh kerana keturunan Baginda adalah mulia di kalangan Quraisy, kita tidak temui isi keturunan
menjadi bahan celaan mereka terhadap Baginda. Kaum Quraisy tidak menafikan betapa
tingginya darjat dan susur galur keturunan baginda. Ini disebabkan kemuliaan keturunan Baginda
cukup jelas kepada mereka. Banyak riwayat menceritakan Quraisy telah mencela baginda dengan
banyak isu yang direka-reka tetapi bukan membabitkan isu keturunan.

Salasilah ringkas keturunan Rasullullah SAW (klik untuk pembesaran imej)


Nabi Muhammad kemudiannya disusui oleh jariah (hamba perempuan) Abu Lahab, bernama
Thuwaibah al-Aslamiyah. Selepas beberapa hari, Nabi Muhammad S.A.W diserahkan pula
kepada Halimatusaadiah dari perkampungan Bani Saad. Kampung itu jauhnya kira-kira 50 km
dari Makkah ke arah Taif. Adat menyerahkan bayi kepada ibu susu ini merupakan kebiasaan
bangsawan Arab. Nabi Muhammad S.A.W berada di bawah jagaan Halimatusaadiah sehingga
usia nabi mencecah empat tahun.
Baginda menghabiskan empat tahun pertama zaman kanak-kanak di padang pasir, di
perkampungan Bani Saad. Oleh itu Baginda membesar dengan tubuh yang kuat, jasmani yang
sejahtera, lidah yang bersih, jiwa yang berani dan mampu menunggang kuda dengan baik sekali
pun masih kecil usianya. Bakat-bakat baginda terasah dalam kemurnian dan keheningan padang
pasir di bawah kilauan pancaran matahari dan udara bersih.
Sepanjang masa Muhammad tinggal bersama-samanya, hidup Halimatusaadiah sekeluarga
menjadi senang, rezekinya bertambah, kambingnya membiak dan kebunnya menjadi. Malah,
dikisahkan Halimah sendiri merasa hairan kerana kambingnya tiba-tiba saja menjadi gemuk
semenjak kedatangan Muhammad. Itulah keajaiban Tuhan, memberi petanda bahawa
Muhammad itu bukan insan biasa sebaliknya bakal pembawa cahaya dan kebenaran.
Muhammad pula begitu sihat dan cerdas. Dia hidup di kalangan masyarakat yang tidak
terpengaruh dengan amalan menyembah berhala dan melakukan maksiat. Muhammad dapat
mempelajari bahasa Arab yang tulen. Dia juga dapat mempelajari cara hidup masyarakat desa
yang hidup bertani dan menternak kambing serta kaya dengan budi bahasa dan beradab.

Dada Rasulullah Dibedah Jibril A.S

Tempoh dua tahun telah berlalu, tiba sudah saat Baginda dikembalikan kepada Siti Aminah.
Namun berat sekali rasanya untuk Halimatusaadiah melepas anak susuannya pergi. Lantas
dipujuk Siti Aminah agar dapat memberi keizinan memelihara Nabi barang setahun dua lagi.
Tambahan pula, rasa kasih pada Muhammad sudah melebihi anak sendiri. Akhirnya,
Halimatusaadiah berjaya memujuk Siti Aminah untuk terus memelihara walaupun anak
susuannya itu telah habis tempoh penyusuannya, iaitu dua tahun.
Dikatakan ketika baginda berusia dalam lingkungan empat atau lima tahun maka berlakulah
peristiwa ajaib iaitu dada baginda dibedah oleh malaikat.
Muslim meriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah pernah didatangi malaikat Jibril ketika
baginda masih kanak-kanak dan sedang bermain dengan kanak-kanak sebaya yang lain.
Jibril yang lazimnya muncul dalam rupa seperti manusia telah menangkap baginda lalu tanpa
membuang masa, dada Nabi Muhammad telah dibelah terutama di bahagian organ hati lalu
dikeluarkan organ itu.
Daripada organ itu, Jibril telah mengeluarkan sebuku darah, sesetengah riwayat mengatakan
sebuku darah itu berwarna hitam lalu mereka berkata: Inilah bahagian syaitan yang ada
padamu!
Lalu organ hati itu dimasukkan ke dalam sebuah tembikar emas lalu dibasuhkan hati itu dengan
air zam zam. Hati yang telah dicuci bersih itu kemudiannya dikembalikan semula ke tempat
asalnya dan dada Rasulullah dicantumkan semula. Rasulullah SAW dikatakan terpinga-pinga
dengan kejadian yang menimpa baginda itu. Tetapi berbeza dengan mereka yang menyaksikan
bagaimana Nabi Muhammad telah ditangkap dan dibedah dadanya itu.
Belum sempat mereka menyaksikan kejadian itu sehingga habis dan Jibrail hilang dari
pandangan, dalam serba ketakutan rakan-rakan Rasulullah itu kemudiannya berlari kepada ibu
susu baginda, Halimah dan memberitahu bahawa Nabi Muhammad telah dibunuh oleh seorang
lelaki. Mereka berkata dengan cemas: Muhammad telah dibunuh! Muhammad telah dibunuh!
Lalu apabila mereka kembali semula ke tempat kejadian, didapati Nabi Muhammad berada
dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan. Kejadian yang penuh makna itu,
bagaimanapun telah menimbulkan kebimbangan di hati Halimah. Beliau begitu bimbangkan
mengenai soal keselamatan Nabi Muhammad dan jika terjadi sebarang yang tidak diingini tentu
sahaja beliau tidak dapat melindungi anak yatim itu.
Ini menyebabkan Halimah merasakan sudah tiba masanya beliau terpaksa juga berpisah dengan
Rasulullah demi kebaikan anak itu sendiri. Walaupun perpisahan itu bakal mencalarkan
kebahagiaan beliau selama ini kerana dapat membesarkan seorang anak yang sebaik Rasulullah.
Namun beliau sedar anak susuannya perlu kembali ke tempat asal usulnya di mana baginda
dilahirkan dahulu.
Mulianya tingkah laku Nabi Muhammad S.A.W seawal kecil sudah jelas terpancar apabila dia
pernah menolong budak yang diusik oleh budak-budak nakal dan diajaknya ke rumah ibu

susunya. Dia merelakan bajunya diberikan kepada budak yang malang itu. Ketika usianya lima
tahun dia dikembalikan kepada ibunya, Siti Aminah.
Berpisahlah Halimatul Saadiah dengan anak susuan yang selama ini menjadi penyeri hatinya.
Sudah bertaut kasih dan sayang di hatinya terhadap Muhammad sehingga kalau boleh tidak ingin
lagi mereka terpisah. Bagi Nabi Muhammad, jasa ibu susuannya itu tetap dikenang sehingga
baginda pernah bersabda yang bermaksud; Bahawa dia (Halimatus Saadiah) adalah ibuku
setelah ibuku sendiri

Kehilangan Bonda Tercinta


Baginda membesar sebagai anak yatim. Bapa Baginda, Abdullah meninggal dunia ketika ibu
baginda baru mengandungkan baginda dua bulan. Abdullah telah meninggal dunia semasa dalam
perjalanan pulang berniaga dari Syam.
Tinggallah Nabi Muhammad SAW bersama ibunya. Baginda diasuh oleh ibunya dengan belaian
kasih sayang. Apabila usianya menjangkau enam tahun ibunya membawanya pergi ke Yathrib
(Madinah) dengan tujuan menziarahi saudara maranya yang mendiami Yathrib, agar Nabi
Muhammad S.A.W dapat berkenalan dengan saudara-saudaranya. Di samping menziarahi kubur
ayahnya iaitu Abdullah yang dikebumikan di sana. Inilah kali pertama, Nabi bakal bertemu
dengan ayah yang amat dirinduinya. Meski hanya melihat tanah kuburan tetapi itu sudah cukup
bagi menghilangkan kesepian hati seorang anak yatim yang tidak pernah menerima kasih sayang
seorang ayah.
Pemergian mereka berdua turut diiringi oleh Ummu Aiman. Dalam perjalanan pulang ke
Makkah, Siti Aminah jatuh sakit dan meninggal dunia lalu dikebumikan di Abwa. Saat paling
menyedihkan sekali lagi menimpa nabi. Ibunya pula menyusul pergi menghadap Ilahi. Tiada apa
yang mampu dikatakan anak sekecil itu ketika melihat ibu sendiri menghembuskan nafas di
depan mata. Ketika sakit tenat, Aminah sempat berpesan kepada anak kesayangannya Ya
Muhammad, kun rajullan, li annanni saamutu. (Wahai Muhammad, jadilah seorang lelaki sejati
kerana sesungguhnya aku akan mati).
Pesanan itu amat bermakna walau Nabi masih kecil untuk mengerti. Bayangkan kesedihan yang
terpaksa ditanggung oleh nabi. Usianya baru saja enam tahun, masih inginkan pelukan manja dan
perhatian sempurna daripada ibu tercinta. Apakan daya, Allah SWT nyata ingin menguji
kesabaran Nabi.
Maka pulanglah Nabi Muhammad SAW bersama Ummu Aiman ke Makkah. Nabi Muhammad
SAW kini sudah menjadi yatim piatu. Kasih ayah tidak dirasainya, kasih ibu sebentar sahaja.
Hanya kasih Allah kekal abadi terhadapnya.
Setelah ibunya meninggal dunia, Nabi kemudiannya dijaga oleh datuknya, Abdul Muttalib.
Kasih sayang Abdul Muttalib kepada cucunya melimpah ruah. Sangat sedih dihatinya apabila
mengenang cucu kesayangan kini sudah tiada belaian ayah dan bonda. Sayu sekali rasanya setiap
kali melihat Muhammad termenung apabila sesekali teringatkan ibunya Aminah yang sudah
pergi. Kerana itu, Abdul Muttalib sangat melebihkan Muhammad di dalam setiap layanannya.

Bagi Muttalib, Muhammadlah buah hati utama, pengarang jantung di kala suka dan duka. Jika
boleh, ingin diberinya kasih sayang yang melimpah ruah agar Muhamamad tidak merasa
kekurangan dirinya yang yatim piatu. Begitu sekali kasih sayang Abdul Muttalib kepada Nabi
Muhammad SAW.
Bagi Abdul Muttalib, Nabi Muhammad SAW adalah cucunya yang paling istimewa sehinggakan
Nabi Muhammad SAW diberi tempat yang terhormat dalam majlis-majlis yang diadakan. Pernah
Abdul Muttalib menyuruh anak-anaknya memberikan tempat duduk mereka kepada Nabi
Muhammad SAW.
Kamu mesti mendudukkan Muhammad semula ke tempatnya, di tengah-tengah. Muhammad
buah hati, belahan jiwaku, beritahu Abdul Muttalib.
Keunggulan baginda telah dikatakan sejak kecil lagi. Tampak pada raut wajahnya tanda-tanda
kecerdikan yang menimbulkan rasa sayang kepada sesiapa yang melihat baginda. Apabila Nabi
datang ke majlis datuknya semasa kanak-kanaknya, baginda duduk di atas tilam datuknya.
Sedangkan jika datuknya duduk di atas tilam itu, tiada seorang anak-anaknya (bapa saudara nabi)
akan duduk di atasnya. Oleh itu bapa saudara baginda cuba menariknya daripada tilam tersebut.
Lantas Abdul Muttalib berkata ,Biarkan cucuku ini. Demi Allah dia memiliki keistimewaan.
Semasa di bawah asuhan datuknya, Nabi Muhammad menunjukkan sikap terpujinya. Dia pernah
membantu orang yang lapar dan miskin mendapatkan bantuan daripada datuknya, walapun orang
itu memasuki rumahnya (ibunya) tanpa izin. Malahan baginya orang itu dianggapnya sebagai
tetamunya.
Nabi Muhammad SAW tidak terpengaruh dengan cara hidup orang Makkah yang suka berpesta
dan berfoya-foya. Dia hanya menghargai sesuatu yang bermutu misalnya pidato Qis. Dalam
pidato itu Qis memperingatkan orang akan erti hidup dan mati.
Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Begitu juga dengan Abdul Muttalib yang sudah tua.
Bimbang sekali hatinya memikirkan bagaimana nasib Muhammad setelah ketiadaannya. Cepatcepat Abdul Muttalib menyampaikan wasiat kepada Abu Talib agar kelak dapat menjaga
Muhammad. Akhirnya perpisahan itu tiba juga. Abdul Muttalib meninggal dunia ketika berusia
95 tahun. Ketika itu Nabi Muhammad S.A.W berusia lapan tahun. Sekali lagi perpisahan dengan
orang tersayang dirasai Nabi. Kesedihannya terpaksa ditanggung sendiri. Datuk yang selama ini
menatangnya bagai minyak yang penuh juga sudah pergi.

Di bawah Didikan Abu Talib


Selepas pemergian datuknya, Abdul Muttalib, bapa saudaranya Abu Talib menerima wasiat
Abdul Muttalib untuk menjaga Nabi Muhammad SAW. Dia menerima wasiat itu dengan penuh
rasa tanggungjawab dan Abu Talib ikhlas menjaga Nabi Muhammad S.A.W walaupun anakanaknya sendiri sudah ramai.
Tinggallah Nabi Muhammad SAW di rumah bapa saudaranya itu. Nabi bukanlah seorang yang
suka menumpang dan duduk berdiam diri. Malah Baginda seorang yang ringan tulang kerana

sentiasa membantu saudara-saudara sepupunya membuat kerja rumah. Malah baginda


mengambil upah menjaga kambing orang lain untuk membantu meringankan perbelanjaan
keluarga Abu Talib. Sikapnya yang begitu menjadikan Abu Talib begitu sayangkannya.
Bukan sekadar itu sahaja, Nabi Muhammad SAW sanggup mengharungi padang pasir yang
panas semasa mengikuti rombongan dagangan Abu Talib ke Syam. Padahal perjalanan itu tidak
mudah dan begitu jauh, sedangkan usianya baru 12 tahun.
Ketika kafilah dagangan itu berhenti di Busra, Pendeta Bahira memberitahu Abu Talib akan
tanda-tanda kerasulan yang ada pada Nabi Muhammad S.A.W. Katanya kepada Abu Talib,
Bawalah pulang anak saudaramu ini. Jangan sampai dia ditemui oleh Yahudi, nanti dibunuhnya.
Anak ini kelak akan menjadi Nabi akhir zaman.

Peperangan Fijar
Sewaktu Nabi Muhammad SAW berusia kira-kira 14 tahun, tercetus peperangan Fijar.
Dinamakan Fijar kerana ia terjadi dalam bulan haram iaitu bulan Zulhijjah, Zulkaedah, Muharam
dan Rejab. Peperangan ini sememangnya dicela kerana tidak menghormati bulan-bulan yang
mulia ini.
Peperangan itu terjadi di antara suku Quraisy dan Kinanah dengan suku Hawazin dan Thaqif.
Suku Quraisy Bani Hasyim dipimpin oleh al-Zubair bin Abu Muttalib; dibantu oleh Abu Talib,
Hamzah dan al-Abbas. Manakala suku Hawazin dipimpim oleh Qais. Nabi tidak menyukai
peperangan itu. Nabi Muhammad SAW tidak mahu terlibat dalam peperangan tersebut.
Bagaimana pun setelah dipujuk dengan alasan membantu mempertahankan diri dan kaum
Quraisy yang bertahan tidak menyerang, Nabi Muhammad SAW hanya melibatkan dirinya
bersama-sama budak lain untuk mengumpulkan anak panah musuh. Anak panah itu diberikan
kepada bapa-bapa saudaranya untuk dipanahkan semula ke arah musuh. Peperangan ini
berlarutan sehingga empat tahun.

Sumpah Setia Damai


Peperangan ini mengundang kekesalan di kalangan pembesar suku kaum Quraisy. Mereka mula
mencari jalan untuk berdamai. Zubair Bin Abdul Muttalib antara pembesar yang mahukan jalan
perdamaian.
Nabi Muhammad SAW yang turut bersuara menyatakan baginda tidak menyukai peperangan dan
kekejaman serta membayangkan untuk mengadakan perdamaian di kalangan penduduk Makkah.
Pandangan baginda disambut baik oleh al-Zubair.
Justeru al-Zubair menyeru ketua-ketua suku kaum Quraisy untuk berkumpul dan membuat
persetujuan bersama untuk hidup dalam aman damai dan tiada lagi peperangan. Perjanjian ini
diadakan di rumah Abdullah bin Judan. Perjanjian ini dinamakan `Hilf al-Fudul

Berniaga di Syam

Usia Nabi Muhammad SAW kini mencecah 25 tahun dan baginda sudah mempunyai pelbagai
pengalaman dalam hidup. Baginda mahu berdikari dan terlibat di dalam dunia perdagangan.
Begitupun Baginda tidak mempunyai sebarang harta untuk diperdagangkan. Namun jiwanya
sungguh besar dan mempunyai sifat dan keperibadian yang sungguh mulia. Berbekalkan jiwa
dan sifat mulia dan luhur itu, Baginda menerima amanah dari Khatijah binti Khuwailid untuk
memimpin kafilah dagangannya ke Syam. Kunjungannya ke Syam merupakan kunjungan kedua.
Baginda ditemani Maisarah.
Nabi Muhammad SAW mengawal barang-barang dagangan yang dibawanya dengan berhati-hati.
Setelah sampai ke Syam dia memilih tempat yang strategik untuk menjual barang-barang
dagangannya.
Cara-cara Nabi Muhammad SAW menjual barang amat menarik. Dia menjelaskan keadaan
sebenar barang-barang yang dibawanya dan membubuh tanda harga. Dia melayan pelanggan
dengan mesra jujur dan ikhlas. Kerana sifat mulia itulah, Nabi akhirnya menjadi orang
kepercayaan kepada Khadijah. Sifatnya yang amanah itu nyata sukar ditemui pada orang lain dan
bermulalah gelaran al-Amin buat Nabi Muhammad SAW.
Begitulah antara cebisan kisah Rasul junjungan mulia kita dari kelahirannya sehingga berusia 25
tahun. Sejak kecil lagi, baginda sudah diuji dengan ujian yang sangat berat sehinggakan sukar
sekali bagi kita membayangkan bagaimana baginda boleh membesar dengan begitu sempurna.
Permulaan hidupnya yang dipenuhi kisah sedih adalah permulaan yang akhirnya membentuk
Nabi Muhammad dengan sahsiah mulia dan bersemangat waja. Moga-moga kita mendapat
pengajaran berharga daripada kisah ini.

Anda mungkin juga menyukai