7.menual Emas
7.menual Emas
Salina Ibrahim
“CANTIK, ya abah!"
"Memang cantik."
"Inilah hasilnya berbudi kepada tanah. Kita akan menuai emas nanti!"
Inilah hasilnya jika kita berbudi kepada tanah. Ujaran abah masih
terngiang-ngiang di telinga. Dia cuba memutar pita ingatan semula. Lebih
setahun lalu, petak emas ini membuak dengan rasa geram, marah dan
dendam yang berkacuh dengan air mata pilu dan jiwa yang luka berdarah.
Dia sangka dia sudah mengalah ketika itu. Dia hampir mahu angkat bendera
putih. Apatah lagi kala melihat air mata yang luruh daripada mata layu emak.
"Apa yang nak dipertahankan sangat tanah tu? Semua orang dah
setuju. Dia seorang saja yang tak beri kata putus. Budak ini memang nak
menyusahkan orang!"
"Semua orang dah setuju, Mak Wan. Anak Mak Wan seorang saja yang
tolak tuah. Dek sebab dua petak tu, semua kerja tergendala. Mak Wan
tolonglah nasihatkan anak bujang Mak Wan ni!"
Kali ini Abang Man bersuara lembut sambil merenung wajah emak.
Ada debar bertebaran dalam dada Alif apabila melihat emak diam
membatu begitu. Entah emak berfikir, entah emak buntu, tiada siapa dapat
menduga. Semua orang tiba-tiba bagaikan disua bahang api.
"Kami semua mahukan kemajuan. Walaupun kami tak berapa muda
macam Alif ni, kami pun nak juga menikmati kemajuan. Nak tengok
pembangunan, nak melangkah ke depan. Bukannya berpatah balik ke
belakang,"
"Anak Mak Wan ini kan belajar di universiti? Dengarnya ada ijazah
ekonomi. Tak kan budak universiti macam dia nak buat kerja kampung
begini? Eh, betulkah dia tamat belajar? Entah-entah dia tak lulus periksa, itu
yang beria-ia sangat nakkan petak tu … sebab tak dapat kerja lain!"
Suara Abang Man kali ini berubah nada cabul. Terangkat kepala emak.
Terpanggung kepala Tuk Ketua.
"Beginilah, kamu semua balik dulu. Kata datang sini mahu berbincang
elok-elok. Tapi kalau sudah sudah terkeluar tajuk sampai menyakitkan hati
orang, Mak Wan rasa eloklah kamu balik dulu. Biar Mak Wan berbincang
secara anak-beranak dengan Alif!"
"Kalau emak mahu saya lepaskan dua petak tu, saya akan lepaskan."
"Saya tak mahu tengok mak sedih. Saya tak mahu tengok emak
menangis. Saya tak sanggup biarkan mak dengar orang kata saya tak lulus
universiti," kata Alif dengan nada merendah.
"Mak boleh fikir sendiri, Alif. Kan mak sendiri yang hadir waktu kamu
ambil ijazah di atas pentas tahun lepas. Cuma emak ni teringatkan arwah
abah kamu," balas emak, makin lirih.
Lalu kata-kata emak itu jadi penawar terbaik buat Alif. Dia mesti
mempertahankan dua petak tanah itu. Sekalipun terpaksa berparang bertajak
seorang mempertahankan diri, dia sudah nekad. Tak kan dia pejam mata
membiarkan dua petak itu terkorban walaupun atas nama pembangunan.
Sedangkan hasratnya yang tertanam lama dalam sanubari ini pun diluruskan
atas niat kemajuan juga.
"Niat kamu nak jadi petani memang sangat baik, Alif. Tapi apa usaha
kamu? Dua petak kita betul-betul di tengah, sedangkan petak kiri kanan
semua sudah nak dilepaskan dek tuan masing-masing."
"Ada beberapa tuan tanah yang belum setuju. Pak Nik yang berselang
dua petak dengan kita masih bersikap tunggu dan lihat. Tuk Ketua juga. Mak
Lang Munah pun masih berfikir. Kita masih boleh pujuk mereka."
Alif masih di petak emas, berembun pada pagi yang masih dingin. Dia
menyedut nafas dalam-dalam. Diri terasa kerdil di tengah petak emas yang
menguning. Tetapi jauh di ufuk batin, dia berasa syukur dan bangga kerana
semakin memahami makna kemajuan yang mahu dibawa.
"Varieti padi baru MR220 CL1 dan MR220 CL2 yang dikacukkan
daripada variety MR220 ini dijangka dapat mengawal masalah padi angin dan
rumput-rumpai yang menjejaskan tanaman padi. Kita jangka ini dapat
memberi perolehan beras 73.8 peratus dan 75.4 peratus. Tentunya ini lebih
baik daripada MR220 yang beri pulangan 61.7 peratus. Sudah terbukti dalam
uji kaji, hasilnya antara 8480 sehingga 8690 kilogram sehektar."
Dia hafal kebaikan yang bakal diperoleh daripada dua variety padi yang
diusahakan ini. Benih variety ini kebal terhadap racun rumpai imidazolonone,
dapat menjimatkan penggunaan air melalui pembanjiran sawah yang
dilewatkan, dan keadaan ini sekali gus dapat mencegah satu lagi masalah
perosak utama, iaitu siput gondang emas. Dengan kos tidak melebihi RM600
sehektar, nilai tuainya cukup berbaloi, iaitu dengan pulangan lima kali ganda.
“bayangkan pila kalua nilai ringgit jatuh dan bath melambug, tentu
teruk kita menanggung kos mengimport beras.”
Demikianlah keyakinannya yang itu. Jika ini hadiah atas sabar dan
redanya, dia amat-amat bersyukur. Jika ini nikmat, dia berterima kasih juga
amt bersyukur. Jika ini yang bakal menjadi cabaran buatnya, dia akan
bersedia menerima dan tetap bersyukur.
Sedih, tangis dan luka jiwa semakin terubat. Dia pernah dihina, dikutuk
dan dimarahi kerana beria-ia memujuk para tuan tanah supaya menolak
tawaran menjual petak masing-masing kepada syarikat pemaju perumahan.
Dia malah nyaris diparang oleh Abang Man kerana dituduh menghasut. Dia
sabar, dia reda dengan semua itu. Dia bersyukur kerana dia masih selamat.
Inilah hasil keyakinan pada doa, dan berdoa dengan yakin, dia kira.
"Puaslah hati kamu tiba-tiba mereka batalkan projek tu? Puaslah hati
kamu!"
Suara Abang Man serasa-rasa masih memetir di telinga. Petang itu, kali
kedua Abang Man dan beberapa orang jiran sekampung jadi tetamu tidak
diundang menjarah laman rumahnya.
"Tentu mereka ada sebab kenapa tiba-tiba tak jadi," balas Alif, cuba
bertenang.
"Kamu buat apa sampai mereka batalkan projek?" Abang Man masih
menuduh.
"Saya berdoa. Saya minta pada Allah agar projek itu batal. Kalau itu
salah, Abang Man laporkan kepada polis, suruh polis penjarakan saya!" Alif
nekad.
"Kami yang tua-tua ni tak terdaya nak terus bertani. Itu sebab kami
nak lepaskan daripada langsung tidak diusahakan. Sekarang syarikat itu dah
batalkan rancangan mereka, nampaknya terus tinggal terbiarlah tanah tu, jadi
tempat tikus bertandak!"
Alif menarik nafas. Dia bersabung pandang dengan mata emak. Dia
nampak emak mengejipkan mata semacam memberi isyarat. Tidak semena-
mena dia nampak wajah abah terselit dalam kerumunan orang ramai itu.
"Saya ada rancangan untuk petak-petak tu. Saya minta izin dan restu
semua tuan tanah."
"Buat apa?"
"Estet padi!"
Petak-petak itu kini menguning berbuah emas. Projek estet padi mini
berkeluasan 58.609 hektar dengan penglibatan 15 orang tuan tanah semakin
menampakkan hasil.