Anda di halaman 1dari 5

Faedah Melaksanakan Kempen Bumi Hijau

Alam sekitar semakin tercemar sehingga menimbulkan impak negatif terhadap manusia dan
hidupan lain di muka bumi ini. Oleh itu, kerajaan telah melaksanakan Kempen Bumi Hijau bagi
mengurangkan kadar pencemaran tersebut.

         Kempen  Bumi Hijau dilaksanakan bertujuan untuk mengurangkan suhu bumi yang semakin


tinggi. Kerajaan telah menyediakan hutan simpan agar flora dan fauna di bumi kita ini tidak
mengalami kepupusan. Selain itu, kempen ini dapat mengurangkan pencemaran udara serta lain-lain
bencana seperti kejadian tanah runtuh, hujan asid dan hakisan tanah.

         Kempen ini juga dapat meningkatkan ekonomi negara dalam sektor pelancongan. Hutan
yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan yang subur akan menjadi tarikan pelancong untuk
melawat tempat-tempat tersebut. Kempen Bumi Hijau ini juga dapat mewujudkan suasana yang
nyaman dan tenang.

Konklusinya, Kempen Bumi Hijau merupakan satu usaha murni pihak kerajaan untuk
memastikan bumi kita terselamat daripada kemusnahan.
Beri pendapat anda tentang faedah bercucuk tanam. (PMR)

Isu kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga barang kini menjadi isu yang hangat
dibincangkan dalam kalangan masyarakat. Salah satu jalan penyelesaian terhadap masalah ini adalah
dengan menjalankan aktiviti bercucuk tanam. Kerajaan sentiasa menggalakkan masyarakat bercucuk
tanam di sekitar kawasan rumah. Antara tanaman yang boleh diusahakan termasuklah cili, serai dan
sayur-sayuran seperti kacang panjang, terung dan sawi. Hakikatnya, banyak faedah yang diperoleh
daripada aktiviti sedemikian.

Salah satu faedah bercucuk tanam ialah penjimatan kos perbelanjaan keluarga. Jika
sesebuah rumah terletak jauh dari pasar atau dari kedai runcit, pasti kos perbelanjaan terpaksa
ditambah kerana perlu mengira kos perjalanan. Harga barang keperluan yang sentiasa meningkat
turut membebankan keluarga yang berpendapatan rendah. Apabila bercucuk tanam di sekitar
kawasan rumah, suri rumah tidak perlu kerap ke pasar untuk membeli sayur-sayuran. Pada waktu
yang sama, langkah berjimat cermat dalam perbelanjaan dapat diambil bagi menjamin
kesejahteraan hidup. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, “beringat sebelum kena, berjimat
sebelum habis”.

Selain itu, aktiviti bercucuk tanam dapat mengelakkan tanah daripada terbiar. Seperti yang
dimaklumi, tanah yang terbiar selalunya didiami oleh haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking.
Dengan bercucuk tanam, haiwan berkenaan tidak berpeluang berkeliaran atau membiak, sekali gus
keselamatan ahli keluarga tidak terancam. Apabila sekitar kawasan rumah dibersihkan dan ditanam
dengan pelbagai tanaman hijau, sudah semestinya menyegarkan setiap mata yang memandang. Hal
ini menggambarkan kerajinan tuan rumah dan akan mendorong orang lain supaya bercucuk tanam. 

Bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah juga dapat dijadikan aktiviti berfaedah bagi
mengisi masa senggang. Pada waktu yang sama, aktiviti ini dapat menyihatkan tubuh badan
seseorang. Ibu bapa yang bercucuk tanam bersama-sama dengan anak-anak dapat menambahkan
kemesraan sesama ahlikeluarga dan dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat dengan aktiviti
yang tidak sihat seperti melepak tanpa arah, vandalisme dan lumba haram. Ibu bapa juga dapat
mengawasi pergerakan anak-anak mereka.

Amalan kerjasama dalam kalangan ahli keluarga juga dapat diterapkan melalui aktiviti
bercucuk tanam ini. Jika aktiviti dilakukan bersama-sama dengan anak-anak, pengagihan kerja
biasanya dilakukan agar tanaman hidup subur dan mengeluarkan hasil yang banyak. Mereka juga
perlu memastikan tanaman tidak dirosakkan oleh serangga perosak. Lebih bermakna lagi,
persefahaman antara ahli keluarga dapat dibentuk dan nilai kekeluargaan bertambah kukuh.

Sebagai kesimpulan, sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti bercucuk tanam di sekitar
kawasan rumah banyak mendatangkan faedah. Oleh hal yang demikian, jika saranan  ini diaksanakan
oleh setiap anggota masyarakat, maka masalah kekurangan bekalan makanan dapat diatasi.
Sesungguhnya, benar kata orang tua-tua dahulu, “berbudi kepada tanah, lambat-laun akan
mendatangkan kebaikan kepada kita.”
Waktu lapang yang dihabiskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain
diisi dengan menonton rancangan hiburan di kaca televisyen, tidur dan bersosial melalui
maya, anda juga boleh melakukan aktiviti pertanian.  Manfaatnya cukup besar kepada diri
sendiri dan orang sekeliling.

Bagi yang tinggal di kawasan perumahan strata seperti pangsapuri, flat dan
kondominium, anda masih boleh menggunakan ruang terhad di laman belakang atau
balkoni  untuk menanam sayuran, sama ada secara hidroponik atau menyemai tumbuhan
herba dan ulam-ulaman.  Apatah lagi jika anda tinggal di rumah teres, banglo atau di
kampung.

Berbudi kepada tanah walaupun secara kecilan akan dapat juga hasilnya selain
menjadi terapi jiwa.  Anda tidak perlu lagi membeli sayuran di kedai, hanya petik di
belakang rumah.  Semuanya terjamin kebersihan dan kesegarannya tanpa racun serangga.

Berbekalkan teknologi tanaman hidroponik misalnya, tanaman sayuran hijau seperti


bayam, kangkung dan cili boleh  diusahakan.  Hidroponik adalah kaedah tanaman  secara
takungan air dan baja.  Ia tidak perlu disiram walaupun pemiliknya bekerja di luar kawasan
lebih daripada seminggu.  Pokok juga sihat kerana mendapat zat makanan yang cukup.

Hari ini ramai peniaga agro-hidroponik menyedia perkhidmatan secara atas talian
dengan menawarkan pakej kit tanaman hidroponik dan khidmat perundingan bagi anda
yang baharu berjinak-jinak dengan tanaman kecil-kecilan ini.

Kosnya mampu milik dengan hasil dapat dilihat sepantas 30 hari bergantung kepada
jenis tanaman. Kesannya, perbelanjaan keperluan harian dapat dijimatkan dan disimpan, di
samping menghijaukan kawasan sekitar.

Daripada Anas bin Malek r.a., baginda Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 
“Seseorang Muslim yang menanam sesuatu tanaman yang berbuah lalu dimakan oleh
manusia atau binatang, mereka akan mendapat pahala sedekah.”  (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah SAW menegaskan bahawa tanaman yang


berbuah akan mendapat pahala kebajikan seperti pahala sedekah. Ini termasuk orang yang
bercucuk tanam atau menanam pohon kayu kemudian dimakan oleh manusia atau
binatang. Juga pohon yang tidak berbuah, yang memberi faedah kepada manusia dan
binatang umpamanya, digunakan untuk membuat sesuatu seperti rumah atau
mengindahkan landskap.

Pohon-pohon di taman bunga ataupun bunga yang indah menarik dapat


menceriakan mereka yang mencari  ketenangan. Ia turut menjadi tempat perlindungan dan
berteduh, tempat burung berkicauan dan berterbangan. Selagi pohon itu berfaedah kepada
manusia dan binatang, dan ditanam dengan tujuan kebajikan bukan untuk kerosakan, maka
semuanya itu akan mendapat pahala sedekah.

Sesungguhnya apa sahaja yang berlaku hari ini perlu dilihat sebagai hikmah yang
tersembunyi. Anda bukan sahaja perlu merenungi apa yang berlaku dengan wabak COVID-
19 sebagai ujian Allah SWT, tetapi sewajarnya  sudah  mula sedar akan hikmah di sebaliknya.
Berbudi kepada tanah sedikit sebanyak dapat membantu meneruskan perancangan
kewangan peribadi untuk masa hadapan yang lebih baik.

LANGKAH MEMELIHARA ALAM SEKITAR

Salah satu langkah yang efektif dalam penjagaan alam sekitar adalah dengan menggalakkan
tanaman hijau. Tanaman pokok seperti pokok-pokok bunga dan sayur-sayuran sangat berguna
dalam kehidupan manusia. Kepentingan pokok terhadap alam sekitar umpama aur dengan
tebingiaitu saling memerlukan. Sebagai contohnya, pihak ibu bapa atau pihak sekolah boleh
menggalakkan aktiviti penanaman pokok seperti pokok-pokok bunga di kawasan persekitaran untuk
menyahut seruan atau menyokong kempen penanaman pokok yang dijalankan pihak kerajaan bagi
memulihara alam sekitar. Kesannya, alam sekitar yang hijau dapat memberikan udara yang nyaman
dan segar kepada penghuninya sekali gus dapat menghijaukan alam sekitar. Tegasnya, galakan
dalam aktiviti penanaman pokok dapat memelihara alam sekitar kita daripada tercemar.

Selain itu, penjagaan kebersihan sungai juga dapat memelihara alam sekitar. Usaha ini
penting kerana sungai sungai merupakan nadi kehidupan kita kerana sungai merupakan sumber
bekalan air yang utama kepada manusia dan haiwan. Untuk memastikan sungai terpelihara daripada
sebarang aktiviti pencemaran, semua anggota masyarakat perlulah melibatkan diri secara aktif dan
kolektif dalam menjayakan Kempen Cintai Sungai Kita yang dianjurkan oleh pihak berautoriti. Aktiviti
membersihkan sungai perlulah dijalankan secara berkala dan bukannya hangat-hangat tahi ayam.
Masyarakat juga perlulah mengelakkan tabiat membuang sampah ke dalam sungai kerana
perbuatan terkutuk itu akan mendatangkan kemudaratan kepada semua makhluk Tuhan. Kesannya,
sungai yang bersih dapat menjamin kesihatan yang baik di samping dapat menjaga alam sekitar
daripada berlakunya bencana alam seperti banjir kilat. Izharlah bahawa pemeliharaan alam sekitar
dapat dicapai melalui kerjasama menjaga kebersihan sungai.
Seperkara lagi, langkah yang juga praktikal ialah semua rakyat perlu mengamalkan kitar
semula barang terpakai. Program kitar semula memainkan peranan yang penting bagi pengurusan
alam sekitar dan sumber semula jadi yang mapan. Sebanyak 40 peratus sampah sarap seperti tin,
besi buruk, botol, kertas dan barangan plastik boleh dikitar semula. Contohnya, jika kertas dapat
dikitar semula secara maksimum kita dapat mengurangkan 4,360 tan sampah sehari yang bersamaan
78,000 batang pokok. Impaknya, kita dapat menyelamatkan alam sekitar seperti pokok dan dapat
pula mengurangkan kos sumber tenaga serta menambah pendapatan keluarga. Hal ini dikatakan
sambil menyelam minum air. Pendek kata, amalan kitar semula yang dipraktikkan oleh semua rakyat
Malaysia dapat memelihara alam sekitar di negara kita.

Sebagai intihanya, pemeliharaan alam sekitar dapat dilaksanakan dengan pelbagai langkah
yang diambil oleh pelbagai pihak kerana memelihara alam sekitar merupakan tanggungjawab
bersama. Sesungguhnya alam sekitar ini merupakan harta paling berharga yang perlu dijaga
kepentingannya. Oleh itu, semua pihak perlu bersendel bahu dan bergabung tenaga ibarat ke bukit
sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk memikul amanah menjaga dan memelihara alam sekitar
kita. Hal ini bersesuaian dengan pesanan Mantan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar,
Tan Sri Joseph Kurup yang menyeru semua pihak tanpa mengira umur, sektor swasta atau kerajaan
perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing  bagi memelihara dan memulihara alam sekitar yang
semakin terancam pada hari ini sehingga menyebabkan banjir,tanah runtuh dan pelbagai bencana
alam yang lain. Diharapkan komitmen jitu daripada pelbagai pihak dapat melestarikan keindahan
alam sekitar yang menjadi platform kepada kesihatan rakyat di negara kita. Hal ini bersesuaian
dengan cogan kata ‘Negara Bersih, Rakyat Sihat’.

Anda mungkin juga menyukai