Anda di halaman 1dari 2

Karangan jenis Syarahan.

PENERANGAN.

1. Karangan syarahan atau pidato merupakan karangan berformat. ( kata aluan, kata
panggilan hormat dan terima kasih)

2. Karangan ini biasanya disampaikan untuk pertandingan.

3. Jika dibandingkan dengan ucapan, karangan jenis ini membicarakan tajuk yang lebih formal
seperti karangan fakta. Cuma formatnya sahaja berbeza.

4. Karangan jenis ini memerlukan kata alu-aluan sebagai tanda hormat kepada hadirin. Jika
untuk pertandingan, perlu menyebut ungkapan “para hakim”. Contoh:

Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis. Yang dihormati Tuan Guru besar, guru-guru
penolong kanan, para hakim yang adil, guru-guru dan rakan sekalian. Selamat sejahtera saya
ucapkan.

5. Gunakan ungkapan “hadirin yang dikasihi” atau yang seumpama dengannya untuk
mewujudkan suasana bersyarah.

6. Kata alu-aluan dianggap pendahuluan. Lafaz “terima kasih” pada akhir syarahan
dianggap penutup. Murid perlu mencari empat idea lagi untuk ditulis dalam empat
perenggan.

7. Perenggan kedua, iaitu idea pertama biasanya menyatakan hasrat untuk menyampaikan
syarahan dan sedikit keterangan tentang tajuk.

8. Perenggan ketiga sehingga kelima pula merupakan idea yang menyokong kepada tajuk
syarahan atau pidato.

9. Murid boleh menyertakan kata-kata hikmah atau peribahasa yang bersesuaian dalam
syarahan.

CONTOH SOALAN :

Amalan berjimat cermat wajar menjadi budaya hidup kita. Kamu diminta menyampaikan syarahan
yang bertajuk “Cara-cara Melahirkan Sikap Berjimat Cermat”. Sediakan teks syarahan tersebut
selengkapnya.
Cara-cara Melahirkan Sikap Berjimat Cermat.

Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Dihormati Tuan Guru Besar, guru-guru penolong
kanan, guru-guru, dan rakan sekalian. Assalamulaikum dan salam sejahtera saya ucapkan.

Pada pagi ini, saya ingin menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Cara-cara
melahirkan Sikap Berjimat Cermat”. Amalan berjimat cermat membawa maksud berhemat dalam
perbelanjaan. Amalan ini bertentangan dengan sikap boros yang boleh mendatangkan kepapaan.

Hadirin yang dikasihi,

Salah satu cara untuk berjimat cermat adalah dengan mengawal nafsu ketika berbelanja. Kita
seharusnya bijak mengutamakan barangan keperluan berbanding keinginan. Sebagai contoh
mengutamakan barang keperluan sekolah berbanding barang mainan.

Selain itu, ibu bapa pula hendaklah mengajar anak-anak mereka akan pentingnya berjimat
cermat sejak anak kecil lagi. Contohnya, ibu bapa boleh memberikan tabung kepada anak-anak. Oleh
itu, anak-anak akan tahu wang lebihan yang mereka ada perlu disimpan di dalam tabung dan
seterusnya disimpan di dalam bank.

Hadirin sekalian,

Di samping itu, menggalakkan anak-anak membawa bekal ke sekolah merupakan satu cara
berjimat. Cara ini dapat menjimatkan perbelanjaan. Bukan itu sahaja, makanan anak-anak juga lebih
terjamin kebersihan dan khasiatnya.

Sekian dahulu syarahan saya pada pagi ini. Sebelum mengakhiri syarahan ini, saya ingin
menegaskan bahawa kita seharusnya mengamalkan sikap berjimat cermat untuk kesenangan masa
hadapan.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai