Anda di halaman 1dari 2

Contoh surat rasmi

Roziah binte Abdul Jamal


Blk 234 East Coast Road
#10-789
Singapura 4000234

31 Julai 2008

Tuan Pengurus
Butik Anak Emas
#02-04 Suncity Plaza
1 Jalan Pelangi Merah
Singapura 800234

Tuan

Penghargaan Kepada Jurujual

Merujuk perkara di atas, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kejukuran


jurujual tuan yang bernama Sofia binti Ahmad.

Pada 8hb. Julai 2008, saya berkunjung ke Butik Anak Emas kerana saya amat tertarik
dengan hiasan butik tuan yang unik. Semasa berada di butik tuan, saya telah tertinggal
dompet di kaunter butik semasa membuat pembayaran. Saya tidak sedar akan
kehilangan dompet itu sehingga jurujual tuan dating ke rumah saya untuk
memulangkannya selepas masa kerjanya. Saya sangat menghargai keikhlasan dan
kejujuran jurujual itu. Pada pendapat saya, tindakan Sofia menunjukkan bahawa dia
orang yang amanah.

Di samping itu, Sofia juga memiliki peribadi yang ramah. Ketika di butik tuan, saya telah
disambut oleh Sofia dengan baik. Senyuman dan layanannya membuat saya selesa,
seakan-akan kami telah lama berkenalan. Sofia menggalakkan saya melihat-lihat produk
yang dijual dan sedia memberikan bantuan apabila diperlukan. Sofia juga
berpengetahuan dan sedia memberikan maklumat tambahan tentang produk di butik
tuan. Saya amat berpuas hati dengan layanan yang saya terima.

Saya mengucapkan tahniah atas keprihatinan tuan memilih kakitangan yang jujur,
amanah, berbudi bahasa, cekap, berpengetahuan dan memiliki daya inisiatif dalam
menjalankan tugas. Saya harap perkhidmatan yang baik seperti ini dapat dikekalkan.

Sekian, terima kasih.

Yang benar
Roziah A Jamal
Roziah binte Abdul Jamal
Contoh Surat Tidak Rasmi

Roziah binte Abdul Jamal


Blk 234 East Coast Road
#10-789
Singapura 4000234

31 Julai 2008

Menemui Farah binte Hairi


Dengan selamatnya

Saudari,

Semoga saudari berada dalam keadaan sihat dan sejahtera semasa membaca warkah
ini. Saya di sini sihat-sihat sahaja, Alhamdulillah.

Tujuan saya menulis warkah ini ialah untuk menceritakan kepada saudari tentang
pengalaman saya membuat kerja kebajikan tempoh hari di rumah anak yatim Darul Ihsan. Kami
sekelas telah bersepakat untuk menjadi sukarelawan di rumah anak yatim itu setelah membaca
tentang kisah mereka di akhbar minggu lalu.

Sebelum ke sana, kami telah memungut derma daripada ahli keluarga dan teman-teman
yang lain. Sumbangan yang dapat kami kumpulkan amat memberangsangkan, iaitu sebanyak
$400. Kami juga telah membelikan beberapa barangan asas seperti biskut, minuman dan
sebagainya sebagai hadiah kepada anak-anak yatim itu. Selain itu, kami telah diminta untuk
mempersembahkan sebuah tarian untuk menghiburkan kanak-kanak di sana.

Pada hari yang ditetapkan, kami sampai di rumah tumpangan itu seawal pukul 9 pagi.
Pertama sekali, kami telah memperkenalkan diri masing-masing kepada kanak-kanak itu. Kami
juga telah menjalankan beberapa permainan untuk menghiburkan mereka. Beberapa hadiah
diberikan dan kanak-kanak di sana sangat terhibur dengan kegiatan-kegiatan yang kami
anjurkan.

Kami juga telah meluangkan masa untuk membacakan buku cerita kepada kanak-kanak
itu. Setelah sesi membaca buku, kami mempersembahkan tarian kami. Mereka juga telah
melakonkan sebuah sketsa untuk kami semua.

Di penghujung lawatan kami, saya dan teman-teman lain telah memberikan wang derma
yang dikumpulkan kepada penyelia rumah kebajikan itu. Mereka sangat terharu dan berterima
kasih di atas bantuan kami. Mereka juga menyeru agar kami dapat kerap melawati rumah
tumpangan itu dan membimbing kanak-kanak yang menetap di situ.

Demikianlah pengalaman saya di rumah anak yatim Darul Ihsan. Saya berharap saudari
juga berminat untuk berganding bahu dengan saya dan teman-teman yang lain untuk membantu
dan membuat amal kebajikan seperti ini.

Setakat di sini warkah saya kali ini. Sehingga kita bertemu lagi di lain kesempatan, saya
ucapkan selamat maju jaya untuk peperiksaan saudari yang bakal menjelang.

Sekian, terima kasih.

Yang benar
Roziah A Jamal

Anda mungkin juga menyukai