Anda di halaman 1dari 3

Jiran ialah sekelompok masyarakat setempat yang tinggal berhampiran antara satu dengan lain.

Jiran
diibaratkan sebagai saudara kandung tempat kita mengadu atau mendapatkan pertolongan. Jiran yang
baik ibarat ‘cubit paha kiri paha kanan pun terasa’ amat sukar ditemui.’ Sesungguhnya, banyak
kepentingan yang diperoleh jika kita mengutamakan hubungan yang erat sesama jiran atau
mengamalkan semangat kejiranan.

Salah satu kepentingan semangat kejiranan ialah kita dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu.
Hal ini dapat dilaksanakan melalui budaya ziarah-menziarahi semasa perayaan besar seperti sambutan
Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Krismas, Hari Gawai dan Deepavali. Selain itu kita juga boleh
berkunjung ke rumah jiran ketika mereka mendapat musibah atau sakit. Kunjungan kita ke rumah jiran
mungkin dapat melegakan penderitaan yang dialami mereka dan secara tidak langsung mengeratkan
hubungan silaturahim. Selain itu, hubungan antara kaum dan agama juga dapat dieratkan.

Semangat kejiranan juga berupaya mewujudkan masyarakat yang prihatin. Hal ini boleh terjadi
seandainya jiran tetangga saling mengambil berat antara satu dengan lain. Hubungan yang terjalin akan
memudahkan kita untuk meminta bantuan ketika dalam kesusahan. Selain itu, kita juga boleh
mengharapkan jiran memerhatikan rumah kita semasa kita pulang ke kampung atau pergi melancong.
Pada masa yang lain mungkin kita pula akan dipinta oleh mereka untuk berbuat perkara yang serupa.

Tegasnya , semangat kejiranan akan melahirkan rasa prihatin dalam kalangan masyarakat.
Semangat kejiranan yang dipupuk juga memudahkan tugas yang besar dilaksanakan secara bergotong-
royong. Apabila hubungan sesama jiran sudah menjadi akrab seperti aur dengan tebing , sesuatu tugas
yang berat dan besar seperti membersihkan kawasan kampung atau perumahan dapat dilaksanakan
secara bersama-sama tanpa sebarang masalah. Oleh itu, tugas yang berat menjadi mudah laksana ‘hati
kuman sama dicecah hati gajah sama dilapah.’ Lantas suasana yang harmoni dapat dibentuk dalam
masyarakat.

Kesimpulannya , semangat kejiranan wajar dipupuk dalam masyarakat kita agar masyarakat dapat hidup
dalam keadaan harmoni. Sekiranya hal ini dapat dilakukan, maka akan tercapailah cita-cita negara untuk
membentuk masyarakat yang bersatu padu dan penyayang sebagaimana dihasratkan dalam matlamat
Wawasan 2020.
SUARAKU: Keluarga

Semangat Kejiranan
by Anne D’Oliviero

Salah satu faktor terbaik tinggal di pekan kecil adalah perhubungan yang lebih rapat dengan jiran-jiran.
Saya dengar mereka yang tinggal di Kuala Lumpur, terutamanya komuniti yang bekerja, kurang
mengenali jiran-jiran mereka.
 
Saya tinggal di kawasan kelas pertengahan di Sungai Petani, di mana kebanyakan kaum wanita adalah
surirumah sepenuh masa. Semenjak berpindah ke sini lima tahun dahulu, saya telah belajar dan
melakukan banyak perkara seperti belajar kembali bagaimana mengayuh basikal. Saya kini berbasikal ke
pasar setiap pagi dan ianya menjadi permulaan yang baik untuk memulakan perbualan dan berkawan.
 
“Anda berbasikal!” mereka yang pernah melihat saya memandu kereta berkata dengan terkejut.
Kebanyakan kita kaum wanita menjadi malas dan manja apabila kita mempunyai kereta dan enggan
menggunakan cara yang lain. Dengan itu, di samping beriadah di waktu pagi, saya juga dapat bersapaan
dan berbual-bual dengan jiran-jiran.
 
Saya lebih gemar berbasikal daripada berjalan kaki kerana ianya lebih laju dan saya gemar merasa angin
sejuk menyapa muka saya. Kegemaran saya juga turut mempengaruhi anak-anak saya dan kami sering
berbasikal mengelilingi kawasan kejiranan dan menyertai sesiapa jua untuk beriadah. Semua orang
menjadi ramah apabila saya berbasikal kerana saya juga menggambarkan perasaan yang positif. Ianya
melegakan ketegangan saya.
 
Di pasar yang tidak jauh dari rumah saya, semuanya muka-muka biasa dan mesra. Di sana ada Lee
Ayam, sebagaimana yang dikenali oleh pelanggan-pelanggannya. Lee Ayam kenal semua orang di situ.
“Selamat pagi, Kak Anne,” dia akan menyapa saya tanpa gagal. Lelaki ini benar-benar menambat hati
pelanggan dengan jenakanya. Dia juga membenarkan kami berhutang sekiranya kami kehabisan wang.
Di sana juga ada Kak Nah yang menjual nasi lemak tersedap yang pernah saya rasa, dan wanita thosai
yang tinggal jarak dua rumah dari rumah saya, dengan itu jika saya tidak menemuinya di pasar, saya
masih boleh mendapatkan thosai dari rumahnya. Penjual sayur, Ali dan Mahmud boleh berbahasa Cina
tempatan iaitu Hokien, dan saya seronok melihat tawar-menawar di pagi hari. “Apa?! 40 sen untuk
kacang panjang ini? Banyak mahallah. Kasi 30 sen,” kaum wanita akan memarahi Ali yang akhirnya
terpaksa menurut kehendak mereka.
 
Semasa saya sakit beberapa tahun yang lalu, anak perempuan saya yang kedua, yang ketika itu berada
di sekolah rendah, terpaksa ke pasar berbelanja untuk saya setiap hari dan Lee Ayam akan melayannya
dengan baik. Hari ini, dia tidak merasa takut untuk ke pasar dan berbelanja kerana dia telah belajar
kemahiran tersebut di persekitaran pasar yang mesra.
 
Selalunya saya turut berbelanja untuk Shanti, jiran saya, kerana keadaan kakinya yang sakit
menyebabkan dia terkurung di rumah. Shanti hanya beberapa tahun lebih tua daripada saya tetapi berat
badan yang berlebihan dan tiadanya senaman telah menyebabkan dia mengalami segala macam
kesakitan dan pelbagai penyakit. Apabila saya menyarankan agar dia bersenam, alasan Shanti adalah
sakit kakinya adalah penyakit keturunan dan tiada apa yang dapat dia lakukan untuk mengubahnya.
 
Saya juga telah cuba menasihati Shanti untuk tidak terlalu memanjakan kedua-dua anak perempuan
remajanya, tetapi hampa. Apabila Shanti terpaksa bekerja kerana kekurangan wang, anak-anaknya yang
berumur 16 dan 19 tahun langsung tidak tahu memasak mi. Shanti juga merungut bahawa mereka sering
meninggalkan tuala basah di atas katil dan rumah yang berselerak. Saya memberitahu Shanti agar
mengajar mereka kerja-kerja rumah yang ringkas tetapi Shanti mahu mereka belajar dengan baik untuk
menjadi doktor dan bukannya surirumah sepertinya. “Saya mahukan kehidupan yang lebih baik untuk
mereka,” dia akan berkata.
 
Saya tahu anak Shanti yang tua telah menipunya dengan mengatakan bahawa dia belajar sepanjang
masa untuk mengelakkan membuat kerja-kerja rumah, walhal sebenarnya dia sering tidur (anak Shanti
yang lebih muda memaklumkan kepada saya). Dia dengan mka tebal memberitahu saya pada satu hari,
“makcik, saya tidak perlu belajar memasak kerana saya tidak mahu berkahwin. Saya akan menjadi
seorang profesional dan mempunyai seseorang untuk membersihkan rumah saya.” Keputusan STPMnya
membuktikan sebaliknya – pencapaiannya amat teruk dan Shanti amat kecewa dan memberitahu saya,
“saya tidak tahu apa terjadi, dia belajar dengan tekun.” Saya merasa kasihan dengan Shanti dan
menasihati anaknya yang kelihatan agak kesal.
 
Anak-anak saya seronok tinggal di kawasan perumahan yang berbilang kaum, walaupun ianya agak tua
dan kelihatan usang. Oleh kerana kedudukannya berhampiran dengan sekolah, terdapat ramai kanak-
kanak di sekeliling. Setiap hari anak-anak saya dan anak-anak jiran akan berlari ke halaman rumah untuk
bermain bola, guli, hoki atau ping pong. Kadangkala mereka hanya duduk di tembok dan berbual-bual.
 
Di halaman rumah saya ada sebatang pokok rambutan yang besar, dan apabila musimnya tiba, saya
memberikannya percuma kepada semua orang kerana buahnya cukup banyak. Jiran-jiran saya membalas
dengan memberikan saya kari yang lazat.
 
Hari perayaan adalah masa kunjung-mengunjung. Oleh kerana kebanyakan jiran saya beragama Hindu,
saya dapat mengalami sendiri perayaan yang tidak pernah saya tahu sebelum ini seperti perayaan
Ponggal. Saya melihat persediaan perayaan, termasuklah memasak seperiuk nasi manis menggunakan
kayu api dilakukan di luar rumah mereka.
 
Kawasan kejiranan ini juga membuatkan saya sentiasa sihat kerana Kak Sal, seperti yang dikenali semua,
mengendalikan kelas aerobik tiga kali seminggu di pusat komuniti. Dia juga seorang juru motivasi yang
sering mengingatkan kami agar sentiasa senyum semasa membuat senaman dan melupakan segala
kebimbangan kami. Saya lebih gembira dan sihat selepas melakukan senaman yang baik. Apabila suami
Kak Sal meninggal dunia baru-baru ini, kami semua memberikan sokongan dan galakan kepada Kak Sal.
 
Semangat kejiranan di kawasan ini benar-benar kuat. Apabila saya mula-mula berpindah ke sini, saya
sentiasa bersungut mengenai rumah yang usang dan kawasan yang tidak terbela. Hari ini, lima tahun
kemudian, saya agak gembira dan berpuas hati. Saya melihat kepada perkara-perkara yang baik,
termasuk keselesaan lokasi yang berhampiran dengan sekolah, pekan dan gereja. Jiran-jiran juga sering
mengambil berat di antara satu sama lain, tolong mengambil pakaian di jemuran apabila hujan turun
atau tolong menyiram pokok-pokok di laman dan memberi makanan kepada anjing peliharaan kami
semasa ketiadaan kami.
 
Apa lagi yang saya inginkan dari kawasan kejiranan ini? Ianya mesra, aman dan lokasinya baik.
Sebenarnya, menjadi surirumah di pekan Sungai Petani ini tidaklah seburuk yang disangka.
 

Anda mungkin juga menyukai