Anda di halaman 1dari 4

Coretan Dunia OKU Penglihatan II

Terima kasih barisan admin untuk penyiaran confession saya yang tak seberapa ni.
Banyak juga persoalan dan kerisauan yang saya fikirkan apabila hendak berhijrah ke
dunia luar. Perjalanan yang akan datang bukan ibarat berjalan-jalan sebagai OKU
Penglihatan di luar perkarangan rumah, tetapi melibatkan satu tempat baru yang
benar-benar asing tanpa sesiapa yang menemani di sisi.

“Dah buta macam ni, apa kerja yang saya boleh buat?”
“Tak bahaya ke kalau perempuan buta hidup di bandar? Nanti kena culik, rogol,
cabul….”
“Betul ke orang buta boleh guna telefon & komputer macam biasa?”
“Macam mana orang buta nak beli barang keperluan harian walaupun di bandar?”
“Orang buta boleh masak ke? Tak melecur ke?”
“Macam mana orang buta nak bezakan duit kertas & duit syiling?”
“Nak beli baju pulak macam mana kalau dah tak nampak ni?”

Apabila terlalu overthinking perkara-perkara macam ni, saya akan jadi dilema 50-50.
Hijrah ke tak… Hijrah ke tak… Dan pada masa yang sama, saya juga memikirkan
apa yang dapat saya lakukan untuk masa depan saya 10 tahun akan datang.
Adakah hanya duduk di rumah mengharapkan belas simpati ibu bapa, adik-beradik,
saudara mara? Sampai bila hidup ini hanya bergantung pada kehendak orang lain
tanpa ada kebebasan memilih sendiri? Takkan OKU Penglihatan tak mampu hidup
berdikari? Takkan Tuhan biarkan hidup OKU Penglihatan akan selalu susah /
mengharap simpati? Masa itu saya masih belum ada kekuatan untuk hadapi dunia
luar. Saya kata pada diri, “Aku kena buktikan diri aku boleh buat semua tu bermula
dari rumah ni dulu. Aku mesti keluar daripada belenggu terkongkong ni secepat
mungkin sebelum aku dimasukkan ke hospital sakit jiwa!”. Saya mulakan dengan
mengurus diri sendiri terlebih dahulu. Saya cuba gunakan peluang sementara
sepupu saya masih cuti semester untuk bantu saya semampu mungkin. Bermula
dengan cara membasuh pakaian yang berpasang, matching pakaian, susun atur
barangan, labelkan barangan tertentu, dan melatih kepekaan deria lain selain
penglihatan. Pada awalnya, sepupu saya menyuruh saya melakukan sendiri urusan
harian yang saya biasa lakukan tanpa memberi apa-apa komen mahupun teguran.
Dia hanya memerhati dari tepi dan menulis sedikit catatan. Dia meminta saya
kemaskan katil, basuh baju, basuh pinggan, sapu rumah, lap meja, ambil makanan
yang telah dihidang (belum tiba part masak makanan sebab masih peringkat
permulaan), dan mengasingkan pakaian ikut pasangan seperti stoking. Kadang-
kadang saya terdengar dia tergelak kecil sepanjang saya melakukan semua
arahannya. Apabila ditanya mengapa gelak, dia akan membalas tak ada apa-apa.
Tapi tak lama kemudian, dia akan tergelak lagi sambil memantau setiap urusan
saya. Ada satu kisah yang diceritakan kepada saya iaitu ketika itu dia melihat saya
memakai sebelah stoking hitam, sebelah stoking putih. Hahaha! Malu betul saya….
Geram pun ada.. Nak menangis pun ada…

Setelah selesai semua aktiviti yang disenaraikan, sepupu saya akan memulakan
bimbingan satu-persatu mengikut ilmu & pengalaman yang dia miliki. Misalnya,
pasangan stoking yang dipakai kadang-kala mempunyai pelbagai warna seperti
hitam, bercorak, dan pelbagai tekstur. Selalunya deria sentuh akan digunakan untuk
membezakan tekstur pakaian. Seandainya tekstur pakaian adalah sama (contoh
cotton / satin), maka digalakkan melabel menggunakan jahitan benang sebagai
contoh. Jahitan benang pada hujung stoking tertentu akan memudahkan kita
mencari padanan setelah dibasuh. Ada juga cara yang digunakan iaitu membasuh
pakaian secara berasingan agar mudah dikenal. Misalnya, trip pertama akan basuh
pasangan stoking A bersama baju lain. Trip 2 pula akan basuh pasangan stoking B
bersama baju lain. Itu semua terpulang kepada inovasi & kreativiti masing-masing.

Seterusnya, dalam urusan mengemas rumah seperti mengelap meja, mencuci


pinggan, menyapu lantai, itu semua memerlukan kemahiran teknik secara sistematik
agar tidak berlaku sebarang kemalangan yang mengakibatkan kecederaan kepada
OKU Penglihatan. Misalnya, sebelum mengelap meja, pastikan tiada barang yang
menghalang permukaan meja dilap seperti barangan kaca dan lain-lain. Apabila
menyapu lantai, pastikan kawasan yang disapu tidak mempunyai objek yang mudah
pecah / berhati-hati di tempat berkaca. Begitu juga dengan mencuci pinggan /
peralatan mudah pecah selain menyusun semula peralatan dapur di tempatnya.
Sepupu saya akan memegang tangan saya dan menyuruh saya memegang
kedudukan peralatan serta objek yang terdapat di dalam rumah agar saya mendapat
gambaran setiap kedudukan objek tersebut. Sebab itu, penting untuk memaklumkan
kepada OKU Penglihatan setiap kali barangan dialihkan dari posisi asal hatta
walaupun hanya dialihkan dari kiri ke kanan. Contoh mudah charger telefon yang
selalu dicabut dan dialih-alihkan untuk digunakan. Saya memang bengang kalau nak
mencari cable charger telefon yang selalu berpindah tempat tanpa saya tahu
kedudukan. Kadang-kadang terpaksa pusing satu rumah semata-mata nak cari
cable charger telefon. Untuk part penggunaan telefon, akan dikongsikan pada siri
akan datang.
Dalam urusan makanan pula, sepupu mengajarkan sistem muka jam untuk
memudahkan gambaran saya mengenai makanan yang terdapat di atas meja /
dalam pinggan. Sistem muka jam ini adalah berdasarkan arah saya sebagai OKU
Penglihatan yang menghala ke arah makanan. Contohnya makan nasi lemak.
Sepupu akan memberitahu telur jam 9, ikan bilis jam 1, kacang jam 6, sambal jam
12. Boleh faham kan? Maksudnya, dari arah muka saya yang memandang ke arah
pinggan, kedudukan lauk akan disebut. Bukan dari arah pandangan orang celik yang
melihat makanan. Jangan sekali-kali beritahu orang buta istilah “Kiri. Kanan. Situ.
Sana. Atas. Bawah,”. Sebab itu semua terlalu umum untuk digambarkan dalam
pemikiran OKU Penglihatan. Atas boleh jadi atas kiri atau atas kanan. Situ boleh jadi
kiri, boleh juga jadi kanan. Jadi, walaupun saya buta dan semestinya tak nampak
makanan dalam pinggan, takkan saya nak meraba satu pinggan. Begitu juga dengan
kedudukan hidangan. Boleh juga digunakan adaptasi cara yang sama. Air sirap jam
11. Sudu jam 3. Untuk pengetahuan yang lebih lanjut, sepupu saya galakkan
masyarakat bertanya kepada guru-guru di sekolah pendidikan khas penglihatan.
Ilmu dan pengalaman mereka adalah lebih tepat berbanding ditanyakan secara
rawak. Boleh rujuk mereka sama ada di sekolah pendidikan khas penglihatan
mahupun sekolah program pendidikan khas integrasi penglihatan. Biar berguru
dengan orang yang betul.

Apa yang penting, nasihat utama daripada sepupu saya ialah hubungan kita dengan
Tuhan mesti dijaga dengan betul. Maksudnya kena selalu bersangka baik dan yakin
100% dengan Tuhan selain usaha daripada diri sendiri dalam menyelesaikan
sesuatu urusan hidup. Saya minta bantuan sepupu untuk Google dan carikan tempat
yang sesuai agar dapat mempelajari kemahiran berkaitan OKU Penglihatan dengan
sebaiknya. Memandangkan saya berada di ‘dunia baru’, maka saya langsung tidak
kenal sesiapa dalam komuniti OKU Penglihatan sebagai rakan dan tempat rujukan.
Nak percayakan orang luar, lagilah tak berani. Setelah kami membuat rujukan dan
bertanya sana sini, kami dapati terdapat banyak tempat kemahiran bagi sesi
pemulihan / rehabilitasi untuk golongan adult blind. Saya cuba berbincang dengan
ahli keluarga mengenai impian saya untuk menjadi OKU Penglihatan yang lebih
berdikari dengan berhijrah ke luar dari kawasan kampung. Pada awalnya, saya
mendapat tentangan yang sangat hebat daripada ibu dan adik-beradik. Sehinggakan
saya dicop sebagai anak derhaka, tak mengenang budi, dan macam-macam hinaan
lagi. “Kau ni memang degil! Anak derhaka! Tak habis-habis buat orang tua risau!”…
“Dah jadi buta ni pun selalu menyusahkan orang! Duduk jer kat rumah ni! Tak payah
pergi jauh-jauh!”… “Ni nanti pun kerja pengemis jual tisu kat tepi jalan! Memalukan
keluarga betul la kau ni!”…
Konflik tu memakan masa sebulan lamanya hinggakan kami langsung tak bertegur
sapa. Segala keperluan harian saya ketika itu terpaksa saya mohon bantuan sepupu
secara senyap-senyap agar isu tidak menjadi semakin panas dan saya tidak mahu
sepupu saya dilibatkan sekali dalam konflik ini. Selang beberapa ketika, Cikgu N
yang merupakan bekas guru sekolah kami datang menziarah ke rumah keluarga
saya. Cikgu N merupakan guru yang dihormati penduduk kampung kami kerana
ringan tulang dan sering membantu penduduk kampung yang dalam kesulitan. Cikgu
N berbincang dengan ibu bapa saya dan memujuk mereka membenarkan saya
belajar di salah sebuah pusat latihan kemahiran bagi golongan OKU Penglihatan.
Lebih kurang katanya pada ketika itu, “Anak OKU inilah suatu hari nanti yang akan
membantu meringankan beban kalian. Percayalah pada kata-kata saya. Dia boleh
jaga diri dan tidak akan menyusahkan kalian lagi di kemudian hari. Tuhan akan
selalu bersamanya,”… Akhirnya, setelah diyakinkan oleh Cikgu N, maka kedua
orang tua saya bersetuju membenarkan saya walaupun dengan hati yang berat.
Saya yang ketika itu hanya mendengar perbualan dari pintu bilik, terus bercucuran
air mata. Tidak tahu bagaimana rasanya jiwa saya ketika itu. Terharu. Sedih.
Gembira. Risau. Semuanya bercampur-baur.

Ada sebab kenapa saya memilih untuk belajar kemahiran vokasional berbanding
bidang akademik di IPTA / IPTS walaupun saya memiliki kelayakan akademik yang
setaraf. Di lain kesempatan, saya cuba coretkan lagi perjalanan kehidupan sebagai
adult blind yang semestinya tidak akan sama dengan perjalanan OKU Penglihatan
sejak kecil. Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam.

Anda mungkin juga menyukai