Anda di halaman 1dari 4

Detik penting dalam perkembangan bayi:

Berjalan
Semakan terakhir: September 2013

Highlights

 Belajar berjalan
 Bila kebolehan berjalan berkembang
 Bagaimana kebolehan berjalan berkembang
 Apa perkembangan seterusnya
 Peranan anda
 Bila harus bimbang

Belajar berjalan
Belajar berjalan adalah langkah yang besar ke arah berdikari, ianya salah satu perkembangan
yang paling penting dalam hidup anak anda. Apabila dia beralih dari berdiri berpegang pada
perabot ke berjalan terhuyung-hayang menuju tangan anda yang terbuka luas hinggalah ke
berlari dan melompat dengan penuh keyakinan, dia sudah meninggalkan zaman bayinya.

Bila kebolehan berjalan berkembang


Pada tahun pertamanya, koordinasi dan kekuatan otot-otot badan bayi anda akan beransur-ansur
menjadi lebih baik. Dia akan belajar duduk, meniarap dan merangkak sebelum boleh menarik
dirinya naik dan berdiri pada sekitar usia lapan bulan.

Dari situ, dia hanya memerlukan keyakinan dan keseimbangan – kebanyakan bayi membuat
langkah pertama mereka di antara usia sembilan dan 12 bulan, dan pandai berjalan apabila
mereka berusia 14 atau 15 bulan.

Jangan risau jika anak anda mengambil masa yang lebih lama, kerana ramai kanak-kanak yang
normal juga tidak berjalan sehingga mereka berusia 16 atau 17 bulan.

Bagaimana kebolehan berjalan berkembang


Dalam beberapa bulan yang pertama, apabila anda mengangkat bayi anda dengan memegang
bawah ketiaknya, dia akan menendang mana-mana permukaan yang disentuh kakinya, hampir
kelihatan seperti berjalan. Tetapi ini cuma tindakan refleks – kakinya tidak cukup kuat untuk
menampung berat badannya – dan tindakan refleks ini akan hilang selepas dua bulan.

Apabila bayi anda berusia lima bulan, jika anda memegangnya dengan kakinya tersentuh paha
anda, dia akan terenjut-enjut turun naik. Mengenjut-enjut akan menjadi aktiviti kegemarannya
untuk beberapa bulan yang akan datang. Otot kaki bayi anda akan terus berkembang sewaktu dia
belajar meniarap, duduk dan merangkak.

Pada sekitar usia lapan bulan, bayi anda akan menarik dirinya naik untuk berdiri sambil
berpegang pada perabot. Jika anda sandarkannya bersebelahan sofa, dia akan berpaut pada sofa
sekuat-kuat hatinya. Selepas beberapa minggu apabila dia sudah biasa dengan kemahiran ini, dia
akan mula bergerak ke sana-sini secara tegak dengan berpegang pada perabot – dan mungkin
juga boleh melepaskan tangan dan berdiri tanpa sokongan. Sebaik sahaja dia sudah boleh berdiri,
dia akan cuba mengambil langkah untuk berjalan ketika dipegang dan dia mungkin akan cuba
mengutip mainannya dari posisi berdiri.

Pada usia sembilan atau 10 bulan, bayi anda akan mula belajar membengkokkan lututnya dan
belajar bagaimana caranya untuk duduk selepas berdiri (sebenarnya lebih sukar daripada yang
anda sangka!).

Pada usia 11 bulan, bayi anda mungkin sudah mahir berdiri sendiri, membongkok dan
mencangkung. Dia mungkin akan berjalan sambil memegang tangan anda, namun dia tidak akan
berjalan tanpa dipimpin buat beberapa minggu lagi. Kebanyakan kanak-kanak membuat langkah
awal mereka berjengket-jengket dengan kaki mereka terhala ke luar.

Pada usia 13 bulan, tiga perempat daripada semua kanak-kanak sudah boleh berjalan sendiri –
walaupun terhuyung-hayang. Jika anak anda masih berjalan berpaut pada perabot, ini hanya
bererti dia akan mengambil sedikit masa lagi sebelum boleh berjalan sendiri. Sesetengah kanak-
kanak tidak berjalan sehingga mereka berusia 16 atau 17 bulan, atau lebih lambat lagi.

Apa perkembangan seterusnya


Selepas langkah pertama ke arah berdikari, kanak-kanak akan mula mengasah kemampuannya
untuk bergerak:
 Pada usia 14 bulan, anak anda patut berupaya berdiri sendiri, boleh membongkok ke
bawah dan berdiri tegak semula, dan mungkin sudah mula belajar berjalan mengundur.
 Biasanya kanak-kanak pada usia 15 bulan sudah pandai berjalan dan suka menolak dan
menarik mainan ketika berjalan.
 Pada usia sekitar 16 bulan, anak anda akan mula berminat menaiki dan menuruni tangga
– namun dia tidak dapat menguasai kemahiran ini untuk beberapa bulan lagi.
 Kebanyakan kanak-kanak 18 bulan sudah mahir berjalan. Ramai boleh naik tangga
dengan sedikit bantuan (tetapi mereka memerlukan pertolongan untuk turun tangga
selama beberapa bulan lagi) dan gemar memanjat perabot. Anak anda mungkin akan cuba
menendang bola, tetapi tidak akan selalu berjaya, dan mungkin dia juga suka menari jika
mendengar muzik.
 Pada usia 25 atau 26 bulan, langkah anak anda akan menjadi lebih sekata dan dia lebih
selesa dengan pergerakan tumit ke jari kaki seperti orang dewasa. Pada usia ini juga dia
akan lebih mahir melompat.
 Apabila hari jadi anak anda yang ketiga tiba, kebanyakan pergerakan asasnya sudah
menjadi kebiasaan. Dia tidak lagi perlu memfokuskan tenaganya pada berjalan, berdiri,
berlari atau melompat, tetapi sesetengah aksi seperti berjengket atau berdiri atas sebelah
kaki, mungkin masih memerlukan konsentrasi dan usaha.

Peranan anda
Semasa bayi anda belajar berdiri, dia mungkin memerlukan sedikit bantuan untuk belajar cara
kembali duduk. Jika dia tersangkut dan memanggil anda, jangan hanya mengangkat dan
mendudukkannya sahaja. Sebaliknya, tunjukkan cara bagaimana membengkokkan lututnya
supaya dia boleh duduk tanpa terjatuh, dan biarkan dia mencubanya sendiri.

Anda boleh menggalakkan bayi anda berjalan dengan berdiri atau berlutut di depannya sambil
menghulurkan tangan anda, dengan memegang kedua-dua tangannya dan membantunya bergerak
ke arah anda, atau dengan membeli sebuah mainan yang dia boleh pegang dan tolak supaya
berjalan (dapatkan mainan yang stabil dan bertapak sokongan luas).

Oleh kerana walker bayi terlalu mudah digerakkan, ia akan menghalang otot paha anak anda
berkembang dengan betul, jadi sesetengah pakar tidak menggalakkan penggunaannya.

Anda juga boleh tangguhkan memakai kasut sehingga bayi anda sudah biasa berjalan di luar
rumah atau atas permukaan yang kasar dan sejuk; berkaki ayam menolong memperbaiki
keseimbangan dan koordinasinya.

Seperti biasa, pastikan bayi anda ada persekitaran yang lembut dan selamat untuk memupuk
kemahiran barunya. Ikuti garis panduan biasa menjadikan rumah selamat untuk kanak-kanak dan
jangan biarkan bayi anda tanpa pengawasan, sekiranya dia terjatuh atau memerlukan pertolongan
anda.

Bila harus bimbang


Seperti yang telah dikatakan di atas, sesetengah kanak-kanak yang normal tidak berjalan
sehingga mereka mencapai usia 16 atau 17 bulan. Perkara yang penting ialah kemajuan
kemahirannya; jika bayi anda lambat meniarap dan merangkak, kemungkinan dia juga akan
lambat berjalan. Walau bagaimanapun, selagi dia masih belajar kemahiran baru, anda tidak perlu
terlalu bimbang.
Perkembangan setiap bayi adalah berbeza, ada yang lebih cepat berbanding yang lain. Tetapi jika
bayi anda kelihatan jauh ketinggalan, bincangkanlah dengan doktor anda. Ingatlah bahawa bayi
pramatang mungkin akan mencapai tahap ini serta tahap-tahap yang lain lebih lambat berbanding
bayi lain.

http://www.babycenter.com.my/a1040467/detik-penting-dalam-perkembangan-bayi-
berjalan#ixzz2ljJ6InD9

Anda mungkin juga menyukai