Anda di halaman 1dari 10

SK DATUK HAJI BAGINDA

MERLIMAU MELAKA.

SILA CATATKAN DALAM FAIL NILAM


BATU BELAH BATU BERTANGKUP
Terdapat sebuah keluarga yang tinggal di hujung kampung. Mereka
ialah Mak Tanjung serta anak-anaknya, Melur dan Pekan.

Mak Tanjung terinign makan telur ikan tembakul. Dia pergi menyauk
ikan tembakul di sungai.

Mak Tanjung dapat menangkap seekor ikan tembakul. “Telur ikan


tembakul amat sedap. Aku tidak sabar makan telurnya,” kata Mak
Tanjung.

Dia pun membawa ikan tembakul itu pulang ke rumah. Mak Tanjung
meminta Melur memasak gulai ikan manakala telurnya pula digoreng.
Kemudian Mak Tanjung ke hutan untuk mencari kayu api.

Bau gulai ikan tembakul menyebabkan Pekan berasa lapar. Pekan


berjumpa kakaknya. Dia mengadu yang dia berasa lapar.

Pekan menjerit-jerit mahu makan kerana lapar. Melur merasa kasihan


melihat Pekan yang kelaparan. Akhirnya dia mengalah.

Pekan makan semua telur ikan tembakul. Melur berasa sangat


terkejut.Melur tidak tahu bagaimana hendak memberitahu perkara itu
kepada emaknya.

Tidak lama kemudian Mak Tanjung balik ke rumah. “Sampai hati kamu
berdua buat emak begini,” rungut Mak Tanjung. Air mata Mak Tanjung
mengalir tidak berhenti-henti.

Mak Tanjung berlari ke arah batu belah batu bertangkup. Batu itu
berpuaka. “Emak, jangan tinggalkan kami,” jerit Melur dan Pekan
sambil mengejar emak mereka.

“Wahai batu, telanlah aku. Aku tidak dapat makan telur ikan
tembakul,” kata Mak Tanjung. Batu itu pun menelan Mak Tanjung.
Melur dan Pekan menyesal kerana tidak mendengar pesan emak
mereka.
BAWANG MERAH, BAWANG PUTIH
Bapa Bawang Merah sudah meninggal dunia. Bawang Merah
tinggal bersama ibu dan adik tirinya, Bawang Putih.

Bawang Merah dipaksa oleh ibunya melakukan kerja-kerja


rumah yang berat. Bawang Putih pula hanya bermain-main.

Bawang Merah sering menangis berdekatan sebuah perigi.


Dia selalu teringat kepada ibunya. Dia memanggil-manggil
ibunya kerana dia tiada tempat untuk mengadu.

Tiba-tiba, seekor ikan kaloi muncul di permukaan air. “Nak,


akulah ibumu,” kata ikan kaloi. “Oh, ibu. Patutlah ibu tidak
pulang. Puas aku mencari ibu,” kata Bawang Merah. Tanpa
disedari rupanya ibu tiri Bawang merah ternampak
perbuatannya itu.

Ibu tiri Bawang Merah sentiasa berniat jahat. Dia mendapat


akal. Dia telah menangkap ikan kaloi itu. Dia memberi
Bawang Merah makan gulai ikan kaloi itu tanpa disedarinya.

Pada malam itu, Bawang Merah bermimpi bertemu ibunya.


Ibunya menyuruh dia mencari tulang ikan kaloi itu dan
menanamnya di belakang rumah.

Tidak lama kemudian, Bawang Merah terkejut melihat


sepohon beringin tumbuh di situ. Pada pohon beringin itu, ada
sebuah buaian yang cantik.

Sejak hari itu, Bawang Merah bermain buaian sambil


menyanyi. Suaranya amat merdu sehinggakan dapat
menarik perhatian seorang Putera yang sedang berburu.

Putera menyuruh pengawal-pengawalnya menyiasat suara


itu. Mereka mendapati itu adalah suara Bawang Merah.
Akhirnya, putera pun berkahwin dengan Bawang Merah.
RAJA BERSIUNG
Negeri Kedah diperintah oleh Raja Bersiung. Baginda
mempunyai rupa yang garang dan sangat ditakuti rakyatnya.
Setiap kemahuan Raja Bersiung mesti dipenuhi. Tiada sesiapa
pun yang berani membantah kemahuan Raja Bersiung.

“Cepat masakkan beta makanan,” titah Raja Bersiung yang


kelaparan kepada tukang masak. Tukang masak pun
memasak sayur dengan cepat. Tiba-tiba dia terhiris jarinya.
Darah tukang masak menitis ke dalam sayur bayam.

“Beta tidak pernah makan sayur bayam seenak ini,” titah Raja
Bersiung. Baginda pun memanggil dan bertanya kepada
tukang masak, mengapa sayur itu sangat sedap.

Tukang masak sangat takut.Dia menceritakan kejadian yang


berlaku kepada Raja Bersiung. “Sayur bayam tuanku
bercampur dengan darah patik,” kata tukang masak.

Sejak hari itu, Raja Bersiung sanggup membunuh rakyatnya


untuk memenuhi seleranya. Gigi taring Raja Bersiung
bertambah panjang. Baginda menjadi semakin zalim.

Pada suatu hari, pembesar-pembesar istana bersidang.


Pembesar-pembesar tidak mahu rakyat hidup dalam
ketakutan lagi. Pembesar-pembesar mengajak rakyat
menyerang istana.

“Rakyat beta sudah memberontak lebih baik beta melarikan


diri sebelum dibunuh,” kata Raja Bersiong.

Raja Bersiong tidak berani pulang ke istana. Sejak itu Negeri


Kedah aman damai. Rakyat hidup dengan gembira.
SI TANGGANG
Si Tanggang tinggal bersama-sama ibunya di sebuah pulau. Mereka
hidup miskin. Si Tanggang berasa kasihan akan ibunya. Dia ingin
mencari kerja untuk membantu ibunya.

Pada suatu hari, Si Tanggang terjumpa seorang kelasi kapal yang


sedang berehat di tepi pantai itu. Kelasi kapal itu mengajaknya
bekerja bersama. Nakhoda dan kelasi kapal menjaga Si Tanggang
dengan baik. Si Tanggang menjadi anak angkat nahkoda tersebut.
Si Tanggang amat gembira.

Beberapa tahun kemudian, Nakhoda menyerahkan kapal kepada


Si Tanggang. Kini Si Tanggang menjadi seorang Nakhoda yang
berani. Dia sentiasa melawan lanun-lanun yang ingin menahan
kapalnya. Lanun- lanun tidak berani lagi menahan kapal Si
Tanggang.

Si Tanggang juga seorang ahli perniagaan yang bijak. Dia menjadi


kaya raya. Si Tanggang berkahwin dengan seorang puteri. Dia
sudah melupakan ibunya. Si Tanggang sering membawa isterinya
belayar.

Pada suatu hari, ribut berlaku. kelasi-kelasi kapal berusaha untuk


menyelamatkan kapal daripada karam. Ribut membawa kapal Si
Tanggang ke kampung asalnya.

Penduduk kampung ternampak Si Tanggang. Mereka memberitahu


ibunya tentang kepulangan Si Tanggang.
”Aku tidak sabar untuk bertemu anakku,” kata ibu Si Tanggang. Si
ibu menaiki sampan untuk ke kapal Si Tanggang.

Si Tanggang berasa sangat malu melihat keadaan ibunya yang


miskin itu. Dia tidak mengakui itu ibunya. “Kamu turun dari kapal ini.”
tengking Si Tanggang.

”Sampai hati kamu membuat ibu begini,” kata ibu Si Tanggang


sambil menangis. Ibu Si Tanggang pun berdoa kepada tuhan.
Tiba-tiba kilat memancar di langit. sedikit demi sedikit tubuh Si
Tanggang bertukar menjadi batu. Si Tanggang anak derhaka
tenggelam bersama-sama kapalnya.
PUNGGUK RINDU AKAN BULAN
Di bulan, terdapat seorang putera yang kacak bernama
Putera Pungguk. Putera Pungguk ingin berkahwin dengan Puteri
Bulan yang cantik rupawan.

Putera Pungguk sangat sayang akan isterinya. Segala


kemahuan Puteri Bulan akan dituruti.

Pada suatu hari, Puteri Bulan berkata, “ Adinda mahu


sekuntum bunga putih di bumi.” “Bolehkah kanda ambilkan
untuk adinda,” kata Puteri Bulan lagi.

Putera Pungguk terkejut akan permintaan itu. Bumi sangat


jauh dari bulan. Putera Pungguk pun memberitahu
ayahandanya yang dia akan turun ke bumi.

Ayahanda Putera Pungguk terkejut mendengar permintaan


anakandanya itu. “Kamu akan terkena sumpahan jika turun ke
bumi,” kata ayahandanya.

Putera Pungguk tetap mahu pergi ke Bumi. Dia ingin


menunaikan janjinya kepada Puteri Bulan.

Putera Pungguk pun turun ke bumi. Dia segera mencari-cari


bunga yang diminta oleh Puteri Bulan. Putera Pungguk berasa
hampa.

Tiba-tiba, tubuh Putera Pungguk semakin mengecil dan


ditumbuhi bulu. Kini dia telah bertukar menjadi seekor burung
pungguk. Putera berasa sedih. Dia tidak dapat pulang ke
bulan lagi.

Sejak hari itu, Putera Pungguk sentiasa merindui Puteri Bulan.


Setiap kali apabila bulan mengambang, Putera Pungguk akan
merenung ke bulan.
PUTERI BUNIAN
Awang mencari rezeki dengan menangkap ketam. Awang
menangkap ketam menggunakan bubu. Dia akan meletakkan
bubuh di dalam sungai.

Hari ini nasib Awang sungguh malang. Sepanjang hari menunggu,


seekor ketam pun belum dapat ditangkapnya. Dia berasa hairan.

Tiba-tiba Awang teringat akan bubunya yang sebuah lagi di hulu


sungai. Awang pun pergi ke sana dan berharap bubu itu dapat
menangkap beberapa ekor ketam.

Apabila bubu diangkat, Awang berasa terkejut. Terdapat seekor


ketam yang sangat berat terperangkap di dalamnya.

Ketika menarik bubu keluar. Tiba-tiba ketam itu berkata, “Wahai


tuan hamba. Tolonglah lepaskan hamba.” “Hamba akan memberi
apa-apa sahaja kepada tuan hamba. Tolonglah lepaskan hamba”
rayu ketam lagi.

Awang berasa kasihan kepada ketam. Dia pun segera


melepaskan ketam itu. Kemudian dia pulang.

Setibanya di rumah, Awang berasa amat terkejut. Rumahnya


yang buruk telah bertukar menjadi rumah yang cantik. Awang
berasa begitu gembira.

Pada malamnya, Awang bermimpi. Seorang tua berjubah putih


memberitahu Awang bahawa ketam besar itu sebenarnya
seorang Puteri Bunian yang disumpah. Sumpah itu akan berakhir,
jika Awang sanggup mematuhi syaratnya untuk berkahwin
dengan tuan puteri tersebut.

Setelah terjaga daripada tidurnya. Awang terus ke hulu sungai. Dia


menyatakan hasratnya untuk mengahwini puteri itu. Tiba-tiba
seorang puteri yang sangat jelita muncul.

Sejak berkahwin dengan Puteri Bunian kehidupan Awang


bertambah selesa. Mereka berdua hidup aman bahagia. Awang
tetap merendah diri. Dia membantu penduduk kampung yang
miskin.
IKAN SEMBILANG
Terdapat sebuah tasik di pinggir kampong. Di dalam tasik itu
ada banyak ikan. Namun begitu tiada sesiapa pun yang
berani menangkap ikan di tasik itu

Dikatakan sesiapa sahaja yang cuba menangkap ikan di


situ akan ditimpa bencana.

Suri baru berpindah ke kampung itu. “Mustahil menangkap


ikan boleh membawa bencana kepada aku,” kata Suri.

Ketika bulan mengambang, Suri pergi ke tasik itu. Dia


membawa serawan jala dan beras sebagai umpan.

Suri menabur beras ke dalam tasik. Ikan di dalam tasik itu,


berebut-rebut untuk makan beras. Setelah berjaya
menangkap sembilan ekor ikan, Suri pun pulang. Dia pun
menyiang ikan- ikan itu. Kemudian dia memasak ke semua
ikan- ikan itu sebelum dimakan.

Keesokkan paginya, Suri berasa sakit perut. Dia menjerit


meminta tolong. Jiran-jirannya datang untuk membantu.
Namun tiada siapa dapat menolongnya.

Tiba-tiba terdengar suara dari mulut Suri. Kamu telah makan


sembilan ekor ikan. Sekarang, sebagai balasan kamu
disumpah menjadi ikan sembilang.

Inilah balasan kepada orang yang degil dan suka bertindak


sesuka hati.
NYAMUK JELMAAN
Di sebuah kampung terdapat seorang yang kaya. Dia digelar
Orang Kaya Dali.

Pada suatu hari, pekerja-pekerja Orang Kaya Dali


terkejut. Mereka melihat beberapa ekor kambing mati. Cara
kematian haiwan ternakan itu amat ganjil.

Terdapat lubang besar pada leher bangkai kambing itu.


Kambing itu mati disebabkan darahnya telah dihisap sehingga
kering

”Kamu semua mesti cari pembunuh haiwan ternakan kita,”


kata Orang Kaya Dali. Dia merasa marah kepada para
pekerjanya kerana cuai.

”Kami tidak cuai,” kata para pekerjanya. Kami mengawal


siang dan malam. Orang Kaya Dali mahu menyiasat sendiri
punca kejadian itu. Dia membiarkan seekor kambing meragut
rumput manakala dia pula mengintip dari belakang sepohon
pokok.

Orang Kaya Dali mendengar bunyi dengungan. ”Rupa-


rupanya bukan manusia yang membunuh ternakanku,”
katanya. Rupa makhluk itu sangat aneh.

Orang Kaya Dali memukul makhluk itu dengan sebatang


kayu berkali-kali sehingga mati. Bangkai makhluk itu dibuang
ke dalam sungai.

Selang beberapa hari, beribu-ribu ekor serangga kecil


menjelma daripada bangkai makhluk itu. Serangga itu
membiak dengan cepat. Serangga itu sangat merbahaya
kepada manusia. Serangga kecil itu dikenali sebagai
nyamuk. Nyamuk menghisap darah manusia Sebagai balasan
perbuatan Orang Kaya Dali.
Panduan Catatan Nilam.

2 4
5
3
1

1. Judul atau tajuk cerita. (Boleh tulis untuk ke semua tajuk cerita)
2. Tandakan (/) pada bahagian ini. (Petikan cerpen ini bukan buku)
3. Tandakan (/) pada bahagian ini. (Cerita ini di dalam Bahasa Melayu)
4. Tuliskan 1 untuk ke semua tajuk cerita.
5. Contoh aktiviti yang bersesuaian dengan anak-anak ialah mengeja,
bercerita semula atau mencari makna perkataan. (Aktiviti dipilih
mengikut kesesuaian tahap penguasaan murid).

Selamat Membaca.
Terima kasih.

Puan Hazatuladawia Habu Hassan.


Guru Bahasa Melayu
SK Datuk Haji Baginda.

#PerintahKawalanPergerakan
#DudukdiRumah
#COVID-19

Anda mungkin juga menyukai