Anda di halaman 1dari 14

Hala Tuju Pendidikan Negara

1.0 PENGENALAN

Memetik kata-kata Yusof Al Qaradhawi seorang sarjana dan tokoh pemikir Islam yang tersohor
dan disegani masa kini, beliau mengatakan “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada
masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari
ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan
datang adalah sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan sebaliknya maka
bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang berlaku”. Oleh itu, untuk
melihat maju atau mundur sesebuah negara bergantung kepada genarasi mudanya. Dalam
konteks ini, pendidikan dilihat sebagai wahana terbaik dalam melahirkan generasi yang
dinamik, progresif, cemerlang, berakhlak dan berhemah tinggi.

Sememangnya sering diperkatakan bahawa anak muda merupakan pewaris kepada kepimpinan
negara di masa hadapan. Golongan ini merupakan pelapis berjiwa kental yang menjadi aset
dalam memacu kelangsungan pembangunan negara. Lantaran itu, pendidikan mampu
mematangkan golongan muda dari aspek keintelektualan ilmu, kewarasan akal, kemurnian
budi, kecerdasan minda dan keterampilan sahsiah. Rentetan itu, hala tuju dan falsafah
pendidikan harus ditekankan dan dijayakan dalam perkembangan pendidikan di Malaysia.

Jika melihat kepada sorotan sejarah pendidikan di negara ini, pastinya kita sedar bahawa
pendidikan di negara kita telah melalui pelbagai peringkat. Perkembangan pendidikan di
Malaysia jelas menunjukkan perbandingan yang ketara dalam hala tuju dan falasafah
pendidikan era sebelum merdeka dan zaman pascamerdeka. Pendidikan di Malaysia telah
melalui saat suka dan duka serta sering berlaku perubahan demi perubahan untuk
memartabatkan pendidikan di negara ini. Bermula dengan era masyarakat tradisional dan
berubah pada era penjajahan. Pihak penjajah telah memperkenalkan Sekolah Vernakular,
Sekolah Inggeris dan bagi memantapkan lagi sistem pendidikan pada masa itu beberapa
laporan di buat antaranya Laporan Barnes 1950, Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan Pelajaran
1952 dan Laporan Razak 1956. Pendidikan selepas merdeka menunjukkan perkembangan yang
ketara bermula dari tahun 1957 hingga 2010 yang memperlihatkan pelbagai usaha dalam
meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia.

2.0 HALA TUJU DAN FALSAFAH PENDIDIKAN PRAMERDEKA

Pendidikan pada Zaman Pramerdeka terbahagi kepada beberapa peringkat yang menjadi
pemangkin kepada hala tuju dan falsafah pendidikan di Malaysia. Terdapat dua peringkat iaitu
era masyarakat tradisional dan era penjajahan.

2.1 Era Masyarakat Tradisional

Era ini merupakan salah satu bentuk pendidikan yang berkisar kepada pembelajaran secara
turun-temurun yang diwariskan kepada genarasi seterusnya. Hala tuju pendidikan berdasarkan
proses pembelajaran untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berkebolehan dalam aspek
teknik dan praktikal. Pendidikan era masyarakat tradisional diajar oleh ibu bapa, ahli
keluarga dan masyarakat sekeliling. Ibu bapa khususnya memberi tunjuk ajar berdasarkan
kemahiran yang dimiliki. Jika bapa seorang nelayan sudah tentu perkara yang diajarkan
kepada anaknya adalah berkaitan dengan teknik menangkap ikan, menghadapi gelora dan
sebagainya. Di samping itu, ibu akan mengajar anaknya kemahiran memasak, mencuci dan
segala yang berkaitan dengan pekerjaan di rumah. Falsafah pendidikan lebih cenderung untuk
melahirkan generasi yang mempunyai adab sopan, hormat antara satu sama lain dan
mempunyai kemahiran yang tinggi dalam yang dipelajari. Hal ini bertepatan dengan pendapat
Hasan Langgulung (1995) yang mengatakan bahawa fungsi pendidikan adalah pengembangan
potensi yang ada pada individu supaya dapat digunakan olehnya dan masyarakat untuk
menghadapi arus perubahan.

Perkembangan pendidikan pada era ini juga telah menghasilkan Sekolah Pondok dan Madrasah
untuk mempelajari bidang ilmu yang lebih luas. Pembelajaran yang diajarkan berteraskan
kepada agama Islam seperti Tauhid, Akidah dan Akhlak. Intitusi pendidikan berpaksikan
kepada falsafah pendidikan Islam mampu melahirkan masyarakat yang menjiwai agama pada
setiap masa dan mengaplikasinya dalam kehidupan seharian. Hala tuju pengajian pada
peringkat ini berkesan untuk menjadi pendorong kemajuan manusia dalam aspek kerohanian,
pemikiran, moral dan keduniaan berdasarkan falsafah pendidikan agama melalui keunggulan
pendidikan Islam yang diterapkan dalam pembelajaran.

2.2 Era Penjajahan

Kedatangan Portugis dan Belanda ke Tanah Melayu tidak banyak mengubah sistem pendidikan
tradisional. Perubahan yang amat ketara berlaku apabila Inggeris mula menguasai negeri-
negeri Melayu. Pada zaman penjajahan Inggeris terdapat lima jenis pendidikan yang berbeza
dan masing-masing berorientasikan keperluan identiti kaum iaitu Sekolah Inggeris, Sekolah
Melayu, Sekolah Pondok, Sekolah Vernakular bagi etnik Cina dan India. Penubuhan sekolah
Melayu bermula pada tahun1821 apabila tertubuhnya Sekolah Melayu Gelugur, Pulau Pinang.
Sekolah aliran Melayu yang ditubuhkan oleh pihak penjajah menekankan kepada kurikulum
asas, iaitu pelajaran membaca, mengarang, ejaan, menulis, ilmu kira-kira, ilmu alam dan
latihan jasmani. Bentuk kemahiran asas yang diajar pula ialah perkebunan dan penternakan.
Falsafah pendidikan berbentuk kemahiran sengaja disalurkan mengikut dasar untuk
mengekalkan masyarakat Melayu sebagai kaum tani. Kurikulum sekolah Melayu tidak
berkembang lebih daripada setakat memberikan pendidikan dasar selama empat tahun,
kecuali latihan perguruan sebagai peringkat tertinggi pendidikan Melayu. Hala tuju pendidikan
semasa zaman penjajahan Inggeris bertujuan menyekat peluang orang Melayu untuk
mengembangkan bakat mereka, memisahkan mereka daripada perkembangan sosio-ekonomi
negara. Keadaan ini telah membentuk keadaan sosial yang tidak seimbang di Malaysia apabila
negara mencapai kemerdekaan.
Penubuhan sekolah vernakular Cina bermula di Melaka pada 1815. Kebanyakan sekolah Cina
yang ditubuhkan secara persendirian menggunakan premis perniagaan, rumah kediaman,
bangunan tokong yang disumbangkan oleh orang perseorangan atau persatuan yang mewakili
suku kaum Cina tertentu seperti Hakka, Hokkien dan sebagainya. Hampir semua sekolah Cina
berkembang dengan pesat di bandar besar di Pantai Semenanjung Malaysia Barat seperti
Kulala Lumpur, Johor Baharu, Ipoh serta Taiping. Kewujudan sekolah vernakular Cina
disebabkan kesedaran masyarakat Cina tentang kepentingan pendidikan dan kaedah
pendidikan yang digunakan bertulang belakangkan falsafah pendidikan moden yang berasal
dari negara China. Hala tuju pendidikan lebih cenderung untuk meningkatkan kemahiran dan
penguasaan dalam bidang matematik, sains, dan sebagainya.

Penubuhan sekolah Tamil bermula di Pulau Pinang dan Perak oleh pihak Syarikat Perladangan
Eropah. Kehadiran pihak Inggeris yang membuka ladang getah dan kopi secara besar besaran
turut merancakkan penubuhan sekolah vernakular Tamil di kawasan ladang ladang kepunyaan
mereka. Hala tuju sistem pendidikan Tamil telah mengalami perubahan kerana dasar
pemerintahan Inggeris yang memberi bantuan dan kemahiran. Buktinya, pada tahun 1925 Kod
Buruh diperkenalkan. Dalam kod tersebut terkandung bahawa setiap ladang diwajibkan
menubuhkan sekolah Tamil apabila terdapat lebih daripada 20 orang kanak-kanak India dalam
lingkungan umur persekolahan 7 hingga 14 tahun. Kesannya, pada tahun 1930 terdapat empat
jenis sekolah vernakular Tamil, iaitu dibiayai oleh pemerintah, pengurusan ladang, komuniti
India tempatan dan Persatuan Mubaligh Kristian.

Penubuhan sekolah Inggeris adalah berteraskan falsafah untuk memperkembangkan agama


Kristian dan menyebarkan ideologi penjajah Inggeris. Sekolah yang pertama ialah di Penang
Free School, Pulau Pinang (1816). Sekolah Inggeris terbahagi dua jenis, iaitu sekolah Free
School yang mendapat bantuan daripada kerajaan. Jenis kedua ialah sekolah Inggeris separa
bantuan yang ditubuhkan serta dibiayai oleh persatuan mubaligh Kristian dengan mendapat
bantuan kewangan daripada kerajaan. Hala tuju pendidikan Inggeris pada masa ini adalah
untuk melatih tenaga kerja seperti kerani dan juru teknik bagi jabatan-jabatan kerajaan.
Walau bagaimanapun, dalam memenuhi permintaan golongan bangsawan Melayu, pihak
Inggeris telah menubuhkan Maktab Melayu Kuala Kangsar (1905) yang menggunakan model
pendidikan Inggeris yang bercorak Grammar School di England. Pihak Inggeris
memperkenalkan Special Malay Class pada tahun 1930an bagi memberi lebih peluang kepada
kanak-kanak Melayu yang ingin melanjutkan pelajaran. Hal ini telah memberi implikasi besar
dalam hala tuju pendidikan masyarakat Melayu kerana menyedarkan orang Melayu dari
golongan bawahan untuk turut sama mendapatkan pendidikan Inggeris.

Pada keseluruhannya, pendidikan di zaman penjajahan Inggeris ialah bersifat bebas atau
laissez-faire kerana terdapat lima jenis pendidikan yang telah diwujudkan tidak mempunyai
keseragaman, iaitu Inggeris, Melayu, Cina, Tamil dan agama Islam. Setiap jenis sekolah itu
mempunyai falsafah dan hala tuju pengajaran dan kurikulum yang berbeza. Akibat kewujudan
sistem ini yang kurang mempunyai sistem kawalan peringkat pusat telah menyebabkan konsep
intergrasi atau perpaduan kaum sukar dilaksanakan. Sistem pendidikan pada masa
pemerintahan Inggeris telah menimbulkan situasi rumit dalam sistem pendidikan sekarang dari
segi keseragaman dan pencapaian hasrat integrasi nasional. (Sufean Hussin, 1993)
Akibat daripada ketidakseimbangan ini, pihak Inggeris telah membuat kajian. Rentetan
daripada itu, beberapa laporan telah dirangka antaranya Laporan Barnes (1950), Laporan
Fenn-Wu (1951), Ordinan Pelajaran (1952), Laporan Razak (1956). Laporan ini telah membawa
perubahan yang besar dalam hala tuju dan falsafah pendidikan di negara kita.

Laporan Barnes 1950

Laporan Barnes merupakan satu percubaan menuju ke arah perpaduan negara apabila
mengusulkan agar matlamat pendidikan hendaklah membentuk satu rupa bangsa yang
berasaskan berbagai kaum. Sistem vernakular yang berasingan hendaklah dibubarkan dan
digantikan dengan satu jenis sekolah yang sama untuk semua kaum iaitu sekolah nasional
(kebangsaan). Laporan ini bertujuan untuk mempertingkatkan kepentingan bahasa Inggeris di
samping mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan di sekolah. Namun begitu,
laporan ini telah ditentang hebat oleh orang bukan Melayu terutama orang Cina kerana
mereka khuatir sekolah Cina akan hilang.
Laporan Fenn-Wu 1951

Laporan Fenn-Wu diperkenalkan ekoran ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat Cina.
Di samping mempertahankan kedudukan bahasa Cina, laporan ini juga ditugaskan untuk
memberi nasihat tentang penyediaan buku teks sekolah Cina yang berorientasikan kepada
Tanah Melayu sebagai satu cara untuk mendekatkan masyarakat Cina dengan situasi
kehidupan Tanah Melayu.

Ordinan Pelajaran 1952

Pihak Inggeris kemudiannya telah menyatukan kedua-dua laporan itu dan dijadikan Ordinan
Pelajaran 1952. Ordinan ini telah menetapkan bahawa penubuhan dua jenis aliran
persekolahan, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Selain itu, Bahasa Cina dan tamil akan diajar
sebagai bahasa ketiga jika terdapat permintaan daripada ibu bapa dengan syarat terdapat 15
orang dalam sebuah bilik darjah dan Sekolah Cina dan Tamil tidak diterima sebagai sistem
pelajaran kebangsaan. Walau bagaimanapun, Ordinan ini tidak dapat dijalankan kerana
menghadapi pelbagai masalah. Namun begitu Jawatankuasa Khas telah dilantik untuk
menguruskan dasar yang tercatat dalam Ordinan 1952 melalui tiga objektif, iaitu:
1. Penggunaan dua bahasa secara beransur-ansur di sekolah vernakular Melayu dan
penggunaan tiga bahasa di sekolah Cina dan Tamil, supaya sekolah itu akan secara beransur-
ansur dapat diserapkan ke dalam sistem sekolah kebangsaan.
2. Mengehadkan kadar kemasukan murid ke sekolah kebangsaan Inggeris seperti sediakala.
3. Penubuhan pendidikan menengah vokasional.
Namun begitu, sehingga tahun 1956, Ordinan 1952 tidak menghasilkan perubahan yang besar
kepada kepada hala tuju dan falsafah pendidikan yang boleh memberikan kepuasan kepada
semua pihak. Manakala kaum Cina terus menguruskan pendidikan mereka sendiri tanpa
campur tangan kerajaan dan struktur persekolahan Melayu tinggal seperti sediakala.

Laporan Razak 1956

Objektif Laporan Razak ialah untuk melahirkan sekolah yang berjiwa Tanah Melayu dengan
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Laporan Razak melambangkan
Tanah Melayu telah melaksanakan dasar bertolak ansur, dasar perpaduan kaum, dasar
demokrasi dan dasar kesejagatan. Laporan ini juga telah menunjukkan sistem pendidikan
telah bertambah maju apabila bertambahnya bilangan murid, guru dan sekolah. Sebagai asas
untuk melaksanakan usul Laporan Razak, suatu undang-undang diluluskan iaitu Ordinan
Pelajaran 1957. Laporan Razak telah menjadi asas perkembangan pendidikan di Malaysia
selanjutnya.

3.0 HALA TUJU DAN FALSAFAH PENDIDIKAN SELEPAS MERDEKA

Pendidikan di Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan dan perubahan bagi merealisasikan
matlamat kerajaan menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia. Terdapat pelbagai
peringkat pada pascamerdeka iaitu era 1957-1970, era 1971-1990, era 1991-2000 dan era
2001-2010.

3.1 Era 1957-1970

Selepas Malaysia merdeka dari penjajahan Inggeris satu dasar telah dibentuk bagi
memantapkan hala tuju dan falsafah pendidikan yang sedia ada. Oleh itu, Ordinan Pelajaran
1957 telah dibentuk yang mencakupi peraturan-peraturan pelajaran (disiplin sekolah) 1959.
Hal ini merupakan sejarah Malaya pada waktu itu kerana perancangan pendidikan dirangka
untuk meliputi semua kaum dalam masyarakat Malaya serta meliputi semua aspek struktur
dan perkembangan pendidikan Malaya.

Kesedaran yang tinggi terhadap masa depan pendidikan di Malaysia, Laporan Rahman Talib
dirangka yang mencadangkan supaya Bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib selain
Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu mesti diajar dari darjah satu di semua jenis sekolah rendah
dan syarat lulus dalam Bahasa Melayu bagi calon-calon ke sekolah menengah, dan pusat
latihan guru. Cadangannya juga termasuk pemberian insentif kepada guru-guru supaya
mendapat kelulusan yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Rentetan itu, Akta
Pelajaran 1961 dibentuk dan dirangka agar mampu melonjakkan bidang pendidikan di negara
ini.

Kesannya, pada tahun 1962 pendidikan percuma kepada semua pelajar dilaksanakan
bertujuan agar semua rakyat tidak kira miskin atau kaya berhak mendapat pendidikan. Selain
itu, berkuatkuasa pada tahun 1964 setiap pelajar berhak mendapat pendidikan selama 9
tahun iaitu dari darjah 1 hingga tingkatan 3. Pada masa yang sama Rancangan Malaysia
Pertama telah diperkenalkan dari 1966 hingga 1970 berobjektif untuk menjaga kebajikan
seluruh rakyat, dan meninggikan taraf hidup kawasan luar bandar terutamanya dalam
kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

Kesimpulannya, hala tuju pendidikan era ini lebih becorak kepada penyatuan semua kaum
melalui pengenalan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib bagi memudahkan interaksi
antara kaum. Selain itu, falsafah pendidikan yang bersifat sama rata tanpa menyisihkan kaum,
darjat dan agama memangkinkan lagi perkembangan pendidikan di negara Malaysia. Era ini
menunjukkan anjakan paradigma yang proaktif dalam sistem pendidikan negara.
3.2 Era 1971-1990

Selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, Malaysia telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB)
bagi mengurangkan jurang sosio-ekonomi antara kaum di negara ini. DEB dilaksanakan melalui
Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975 (RMK2), RMK3 1976-1980, RMK4 1981-1985, RMK5 1986-
1990. Di samping itu, bagi mengelakkan kecelaruan antara kaum di Malaysia, Bahasa Melayu
diperkenalkan sebagai bahasa pengantar utama dan kerajaan telah membuat semakan
terhadap Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979 dan melaksanakan pembaharuan dalam
meningkatkan kualiti Pendidikan Negara.
Kerajaan telah melaksanakan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) untuk golongan pelajar miskin
yang tidak mampu untuk membeli buku teks dan Rancangan Makanan Tambahan(RMT)
bertujuan untuk memberi makanan yang seimbang kepada pelajar terutamanya yang berasal
dari keluarga yang kurang berkemampuan. Usaha ini menunjukkan kerajaan begitu komited
dalam membela nasib pelajar yang kurang berkemampuan.

Pada tahun 1982, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan di peringkat
percubaan atau lebih dikenali sebagai rintis. Agenda ini diteruskan dengan pelaksanaan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1988 apabila pelajar dalam KBSR
telah melangkah masuk ke tingkatan 1 dan menggunakan empat matapelajaran sebagai rintis
iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

Dalam era ini juga Falsafah Pendidikan Negara (FPN) diperkenalkan. Falsafah Pendidikan ini
menjurus ke arah mencirikan insan dan warganegara yang baik dengan mengemukakan ciri-ciri
seperti percaya dan patuh kepada Tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab, berbakti dan memberi sumbangan kepada diri, masyarakat, agama,
bangsa dan negara serta memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu. Selaras dengan FPN
yang disuratkan pada tahun 1987 berbunyi:

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat dan negara" (Falsafah Pendidikan Negara, 1987)
Apabila FPN diperkenalkan, hala tuju pendidikan nampak jelas dan nyata untuk melahirkan
insan yang cemerlang dari segi emosi, jasmani, intelek dan rohani. Penambahbaikkan yang
dijalankan mengakibatkan sistem pendidikan kita semakin sistematik. Oleh itu, falsafah
pendidikan yang digunapakai akan merealisasikan matlamat kerajaan untuk mencapai
masyarakat majmuk yang bersifat sejagat.
3.3 Era 1991-2000
Era ini memperlihatkan negara telah melangkah maju kehadapan melalui RMK6 1991-1995 dan
RMK7 1996-2000 bagi memastikan kemajuan negara terus terancang. Dalam pada itu,
kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Pembangunan Negara yang mempunyai
pengetahuan tentang tujuan, rasional, konsep, pelaksanaan dan kesan-kesan pembangunan
yang telah dilaksanakan oleh kerajaan seperti Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Bersih,
Cekap dan Amanah serta Pelan Integriti Nasional.
Dasar Pembangunan Nasional adalah bertujuan menyatupadukan rakyat untuk
memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik serta pembangunan ekonomi yang
berterusan. Kerajaan turut memperkenalkan Dasar Bersih, Cekap dan Amanah yang
berobjektifkan mewujudkan etika kerja dan sikap berkhidmat untuk peningkatan hasil dan
mutu kerja. Selain itu, pelancaran Pelan Integriti Nasional dengan matlamat untuk
memantapkan nilai-nilai etika dan integriti serta membudayakan nilai-nilai tersebut dalam
diri setiap anggota masyarakat.
Pada tahun 1992 kerajaan telah memperkenalkan pendidikan umum selama 11 tahun iaitu
setiap rakyat Malaysia diwajibkan mengikuti sesi persekolahan bermula dari tahun 1 sehingga
tingkatan 5. Sementara itu, pemurnian dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah kepada
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dengan menggunakan akronim yang sama iaitu KBSR.
Usaha ini dilihat mampu meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia
dalam menetukan hala tuju pendidikan di masa hadapan.
Pada era ini juga telah mempelihatkan perubahan yang pesat dalam falsafah dan hala tuju
pendidikan negara. Asas perundangan bagi melancarkan lagi pembangunan pendidikan
diperkukuhkan melalui penggubalan dan pindaan akta berikut:
1. Akta Pendidikan 1996- Menggantikan Akta Pelajaran 1961 khususnya peruntukan kuasa-
kuasa Menteri Pelajaran da penginstitusian prasekolah.
2. Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) 1996- Bermatlamatkan menjadikan Malaysia
Pusat Kecemerlangan Pendidikan.
3. Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996- Membolehkan penubuhan sebuah majlis yang
menentukan dasar dan menyelaras pembangunan pendidikan tinggi.
4. Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara 1996- Menyediakan peruntukan
pinjaman pelajar dan skim tabungan bagi meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi.
5. Akta Universiti dan Kolej Unversiti (AUKU) (pindaan) 1996- memperluas autonomi dalam
pengurusan dan kewangan kepada universiti awam bagi menentukan program ke arah
kecemerlangan dalam pendidikan.
6. Akta Lembaga Akreditasi Negara (LAN) 1996- Memastikan tahap akademik yang tinggi,
jaminan kualiti tinggi dan kawalan mutu pendidikan terpelihara dalam penyediaan pendidikan
swasta.
7. Akta Institusi Teknologi MARA (ITM) (Pindaan) 2000- Membolehkan ITM dinaiktaraf menjadi
universiti.
8. Akta PTPTN (Pindaan) 2000- Membenarkan pinjaman kepada pelajar di Institusi Pengajian
Tinggi Awam (IPTA) dan swasta
Jika diteliti, perubahan demi perubahan dalam sistem pendidikan negara telah
mengadaptasikan satu hala tuju pendidikan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
3.4 Era 2001-2010
Pada abad ke-21, negara telah menghadapi cabaran globalisasi iaitu dunia tanpa sempadan
menyebabkan Malaysia harus bersaing dalam memperkasakan pembangunan pendidikan dalam
aspek politik, ekonomi dan sosial. Penambahbaikan telah dijalankan bagi meneliti semula
projek dan program yang dirancang. Hal ini bertepatan dengan hala tuju dan falsafah
pendidikan untuk melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan celik ICT, berkemahiran
dan berakhlak mulia.
Pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21 menyebabkan penambahbaikan dan pemantapan
hala tuju dan falsafah pendidikan diperhebatkan dalam perundangan, dasar dan program
utama berikut:
1. Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002) memperuntukan pendidikan wajib bagi pendidikan
rendah yang dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 1 pada 1 Januari 2003.
2. Program Bimbingan dan Kaunseling diperkukuhkan dengan memperuntukan seorang
kaunselor bagi setiap 500 orang pelajar bermula dari tahun 2003 (Keputusan Jemaah Menteri,
2002)
3. Pada tahun 2003, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
diperkenalkan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan
(BISP) turut diperkenalkan.
4. Pemberian bantuan one-off RM120 kepada murid sekolah rendah daripada keluarga miskin
pada tahun 2002-2003 bagi melaksanakan pendidikan wajib (Bajet 2002 dan 2003). Pada tahun
2004 bantuan ini digantikan dengan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).
5. Pada tahun 2004, Skim Baucer Tuisyen (SBT) diperkenalkan untuk memberi bantuan tuisyen
kepada murid sekolah rendah Tahun 4 hingga 6 yang miskin dan pencapaian rendah dalam
mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
6. Mata pelajaran Vokasional (MPV) diperkenalkan di Sekolah Menengah Harian pada tahun
2004. (Berasaskan Program Sekolah ke Kerjaya di bawah Pembiayaan Bank Dunia, 1998-2003)
7. Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi
memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain apabila
tamat sekolah rendah (Keputusan Jemaah Menteri, 2003)
8. Pada tahun 2006 aktiviti kokurikulum diperbaiki dengan penambahan peruntukan per kapita
pelajar daripada RM2.50 kepada RM10 untuk sekolah rendah dan RM12 untuk sekolah
menengah (Keputusan Jemaah Menteri, 2005). Di samping itu, aktiviti kokurikulum dijadikan
syarat kelayakan ke IPTA mulai 2006 (Keputusan Jemaah Menteri, 2005)
Pada era ini juga, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP) diperkenalkan untuk
memartabatkan hala tuju dan falsafah pendidikan di negara Malaysia. Antara yang termaktub
dalam PIPP ialah berdasarkan kepada enam teras iaitu membina negara bangsa,
membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang
pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi
pendidikan. Pada peringkat ini hala tuju pendidikan negara lebih bersifat untuk melahirkan
masyarakat yang mampu bersaing di peringkat global berdasarkan kepada falsafah pendidikan
yang dicanangkan dalam sistem pendidikan di Malaysia.
4.0 PERBANDINGAN HALA TUJU DAN FALSAFAH PENDIDIKAN SEBELUM DAN SELEPAS
KEMERDEKAAN
Pendidikan di negara kita telah mengalami perubahan dalam sistem pendidikan. Perubahan ini
memperlihatkan perbandingan antara sebelum dan selepas kemerdekaan dari aspek hala tuju
dan falsafah pendidikan. Oleh itu, terdapat perbandingan yang jelas hasil dari perkembangan
sistem pendidikan di negara ini.
4.1 Perbandingan dari aspek falsafah pendidikan
Falsafah berasal daripada perkataan Yunani Tua iaitu Philosophia yang bermaksud “cinta
kepada ilmu pengetahuan atau hikmah”. Falsafah pendidikan negara mempunyai perbezaan
yang jelas sebelum dan selepas kemerdekaan. Sebelum kemerdekaan falsafah pendidikan kita
lebih bercorak tradisional. Hal ini disebabkan masyarakat lebih mementingkan kecerdasan dan
kemahiran untuk meneruskan hidup dengan bekerja yang bersesuaian dengan kemahiran yang
dimiliki. Falsafah pendidikan masyarakat tradisional lebih cenderung kepada aspek-aspek
kerohanian, akhlak dan moral. Hal dibuktikan berdasarkan penubuhan sekolah-sekolah pondok
dan madrasah yang memberi pengajaran dan pembelajaran seperti membaca al-Quran dan
tajwid, Tafsir al-Quran, Hadis, Fiqah dan Tauhid (Awang Had Salleh, 1980).
Pada zaman penjajahan falsafah pendidikan lebih tertumpu kepada menjaga kepentingan
British di Tanah Melayu. Era ini telah memaparkan pendidikan yang diperkenalkan oleh
penjajah telah melebarkan jurang pendidikan, perpaduan dan integrasi antara kaum. Sistem
ini mengakibatkan masyarakat Melayu terus berada di Kampung, Cina menguasai bandar dan
India akan bermastautin di ladang-ladang. Pendidikan yang diperkenalkan adalah bertujuan
untuk mengelakkan peningkatan taraf hidup masyarakat pribumi. Pihak penjajah
memperkenalkan pendidikan bebas untuk mengelakkan berlakunya penentangan dalam
masyarakat pribumi.
Pada era selepas kemerdekaan, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) diperkenalkan yang
menekankan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan
rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Di samping itu, FPN
merupakan roh, nadi dan penjana kepada keutuhan sistem dan dasar pendidikan negara. FPN
merupakan perkara penting untuk dijana demi memastikan generasi pelapis yang merupakan
aset terpenting negara di masa hadapan mampu untuk berperanan di tengah-tengah
gelombang kemodenan dan arus globalisasi yang kian mencabar. Pembentukan masyarakat
madani yang diimpikan memerlukan percambahan dan pemupukan nilai-nilai agama, moral
dan etika. Kesemua elemen-elemen tersebut penting agar segala cita-cita murni yang sering
dicanangkan benar-benar dapat direalisasikan ke arah mencapai wawasan negara untuk
menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Jelaslah menunjukkan bahawa terdapat
perbandingan yang nyata antara falsafah pendidikan negara sebelum dan selepas
kemerdekaan.

4.2 Perbandingan dari aspek dasar pendidikan


Dasar membawa maksud bahagian yang terpenting, asas atau pokok sesuatu perkara (Kamus
Dewan Edisi Ketiga, 2002). Dasar pendidikan di negara kita mempunyai perbandingan yang
ketara antara sebelum dan selepas merdeka. Pada era penjajahan, pihak kolonial Inggeris
telah memperkenalkan dasar pendidikannya tersendiri. Antaranya ialah dasar penyekatan
yang bersifat menghalang kemajuan orang Melayu. Pihak Inggeris lebih cenderung untuk
memastikan masyarakat Melayu kekal sebagai petani, nelayan dan memuliakan kerja buruh
(Awang Had Salleh, 1974). Menurut Sufean Hussin (1996) dasar sekatan ini bertujuan untuk
mengongkong dan membendung moboliti dan pemikiran tradisional serta primitif atau
kekampungan orang-orang Melayu. Hal ini menyebabkan pembelajaran di sekolah vernakular
Melayu adalah sekadar membasmi buta huruf pada tahap minimum. Kesan langsung dari dasar
ini mewujudkan satu fenomena status dalam pendidikan yang menyebabkan golongan yang
mampu mendapatkan pendidikan dan masyarakat bawahan terus disisihkan kerana dasar yang
diperkenalkan tidak menyedarkan masyarakat tentang kepentingan pendidikan.
Kesedaran yang tinggi terhadap sistem pendidikan kolonial yang ditinggalkan penjajah
mendorong kerajaan merangka dasar pendidikan yang lebih baik untuk menyelesaikan
ketidakseimbangan dalam pendidikan antara kaum di Malaysia. Langkah utama yang dilakukan
oleh kerajaan Perikatan selepas merdeka ialah membetulkan dan menyusun semula sistem
pendidikan yang diwarisi dari penjajah. Dasar yang dirangka diperkukuhkan oleh
perlembagaan dan undang-undang untuk memastikan setiap dasar yang dilaksanakan berkesan
dan manpan.
Antara dasar yang dirangka ialah Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berfokuskan kepada satu
sistem pelajaran yang dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan
kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Selain itu, dasar kesejagatan dan penyeragaman
yang berfungsi untuk menggunakan satu sukatan pelajaran dan peperiksaan yang sama untuk
kepelbagaian etnik, bahasa, budaya, agama dan latar belakang geografi. Salah satu tindakan
yang diambil untuk memperkasakan dasar ini adalah melalui pelaksanaan Bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar agar memudahkan perhubungan antara masyarakat. Justeru, bagi
memantapkan lagi sistem pendidikan yang sedia ada dasar demokrasi diperkenalkan. Dasar ini
bertujuan untuk mengembangkan potensi individu itu sendiri dengan memberi keutamaan
kepada pelajar yang mempunyai kemajuan tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa dan
bahasa. Jelaslah bahawa terdapat perbezaan hala tuju dan falsafah pendidikan dari aspek
dasar pendidikan di Malaysia sebelum dan selepas kemerdekaan.
4.3 Perbandingan dari aspek pembentukan perpaduan
Perpaduan merupakan elemen penting dalam pembentukan sebuah masyarakat yang pelbagai
kaum di Malaysia. Jika diperhatikan perbandingan yang jelas wujud dalam sistem pendidikan
sebelum dan selepas kemerdekaan dalam pembentukan perpaduan etnik yang pelbagai iaitu
Melayu, Cina dan India. Masyarakat majmuk di negara ini mampu merencatkan perpaduan jika
tidak ditangani dengan betul dan berhemah. Menurut Sanusi Osman (1985) masalah sebenar
yang kita hadapi bukan berpunca daripada berbagai kumpulan etnik yang ada di negara ini,
tetapi yang lebih penting ialah perasaan perkauman dalam kalangan rakyat di negara ini
terlalu dibesar-besarkan.
Sejarah telah membuktikan sebelum mencapai kemerdekaan perpaduan sukar dicapai kerana
dasar pendidikan penjajah yang berbeza untuk setiap kaum di Malaya pada ketika itu. Setiap
bangsa dibahagikan kepada kurikulum pendidikan yang berbeza. Melayu diajarkan teknik
penternakan dan pertanian di samping membaca, mengira dan menulis. Kaum Cina mengambil
sistem kurikulum dan guru dari negara China manakala kaum India, kurikulum mereka
berdasarkan Kod Buruh. Pendidikan bersifat bebas yang diperkenalkan oleh British
menyebabkan perpaduan sukar dicapai. Dasar pecah dan perintah yang diperkenalkan oleh
British melebarkan lagi jurang perpaduan antara masyarakat dan akhirnya membawa kepada
tradegi hitam dalam sejarah negara iaitu rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan kerajaan telah merangka beberapa pelan dasar
pendidikan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum di
Malaysia. Kesedaran terhadap tradegi rusuhan kaum yang mampu membantutkan perpaduan,
maka DEB telah diperkenalkan untuk merapatkan jurang sosio-ekonomi masyarakat. Selain
itu, kerajan telah telah menggubal Akta Pelajaran 1961 yang menggariskan Bahasa Melayu
sebagai pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan
peperiksaan yang sama untuk semua pelajar. Di samping itu, dasar pendemokrasian
pendidikan dilaksanakan pada tahun 1962 dengan memberi pendidikan percuma untuk semua
pelajar. Dasar ini diperluas dengan perubahan dasar untuk melanjutkan pendidikan universal
dari 9 tahun kepada 11 tahun pada tahun1992. Kesamarataan dan peluang pendidikan kepada
semua masyarakat yang diperkenalkan oleh kerajaan mampu membentuk perpaduan yang
utuh. Hal ini berdasarkan pendapat Azyumardi Azra (2006) yang menyatakan bahawa
pendidikan yang tidak seimbang dan tidak memberi peluang kepada semua masyarakat untuk
menonjolkan kebolehan harus dilenyapkan kerana pendidikan seperti ini gagal dalam
menjalankan fungsinya untuk menyatupadukan rakyat. Jelaslah bahawa hala tuju dan falsafah
pendidikan kita dalam membentuk perpaduan kaum mempunyai perbezaan mengikut zaman
dari dahulu hingga kini.
4.4 Perbandingan dari aspek pembangunan modal insan
Pembangunaan modal insan merupakan salah satu hala tuju dan falsafah utama pendidikan.
Menurut Becker (1987), modal insan ialah yang berkaitan dengan pengetahuan, maklumat,
idea-idea, kemahiran dan tahap kesihatan yang dimiliki oleh individu dalam menjalankan
tugas dan tanggungjawab. Persoalannya, sejauh manakah pendidikan sebelum dan selepas
kemerdekaan memberi implikasi terhadap pembangunan modal insan? Pada peringkat awal,
sistem pendidikan di negara kita hanya berteraskan pendidikan oleh ibu bapa dan ahli
keluarga. Sistem ini berdasarkan konsep warisan. Ibu bapa akan mengajar segala kemahiran
yang dimiliki kepada anak-anak. Oleh itu, modal insan yang dilahirkan hanya mempunyai
kemahiran yang diberikan oleh ibu bapa mereka. Masyarakat tradisional ini juga menerapkan
pendidikan agama dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah pondok dan madrasah.
Kesedaran ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud:
“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan
hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu”. (Surah Fatir, 28)
Pendidikan semasa era penjajahan dilihat kurang signifikan dalam membangunkan modal
insan. Hal ini disebabkan hala tuju dan falsafah pendidikan Inggeris tidak memberi peluang
kepada masyarakat Melayu khususnya untuk mengembangkan bakat dan kebolehan. Selain itu,
jenis pendidikan yang bersifat bebas menyebabkan terdapat perbezaan jurang dalam
pendidikan yang akhirnya membantutkan pembangunan modal insan.
Perbandingan yang jelas dapat dilihat pada zaman pascamerdeka. Hala tuju dan falsafah
pendidikan pada ketika ini lebih bercorak untuk membangunkan modal insan. Hal ini selaras
dengan ucapan YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sempena Hari Pekerja (2000) menyeru
rakyat berganding bahu agar pendidikan negara mampu melahirkan modal insan yang kekal
relevan dengan kehendak industri dan pasaran semasa serta mampu bersaing dengan di
peringkat antarabangsa. Antara usaha-usaha yang berjaya melahirkan modal insan adalah
penubuhan universiti. Tujuan penubuhan universiti ini adalah untuk memberi sumbangan
kepada negara mengeluarkan tenaga terlatih dalam beberapa bidang yang relevan, khususnya
bagi pembangunan modal insan yang mampu memberi sumbangan kepada masyarakat. Di
samping itu, kerajaan juga memperkenalkan j-QAF untuk memastikan pelajar mempunyai
kemahiran dalam tulisan jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain untuk melahirkan insan
yang cemelang akademik dan sahsiah. Komitmen kerajaan untuk melahirkan modal insan
terserlah melalui pelancaran PIPP yang mengariskan pembangunan modal insan sebagai teras
kedua untuk memperkukuhkan hala tuju dan falsafah pendidikan negara.
4.5 Perbandingan dari aspek membasmi kemiskinan
Pendidikan merupakan langkah yang proaktif bagi meningkatkan taraf hidup dan
membolehkan individu keluar dari kepompong kemiskinan. Hal ini dibuktikan melalui Duke
(1985), Coombs dan Manzoor (1974) yang mengatakan bahawa cara yang terbaik bagi
menyerang dan membasmi kemiskinan ialah melalui pendidikan dan latihan. Walau
bagaimanapun, hala tuju dan falsafah pendidikan di negara kita memperlihatkan
perbandingan yang jelas dari aspek membasmi kemiskinan antara sebelum dan selepas
kemerdekaan.
Pada era masyarakat tradisional falsafah pendidikan yang diterapkan tidak mampu untuk
membasmi kemiskinan kerana sistem pendidikan pada masa itu yang bersifat warisan iaitu
anak-anak akan mewarisi pekerjaan ibu bapa. Walau bagaimanapun, kehadiran pengajian
agama Islam telah membuka minda masyarakat Tanah Melayu pada masa itu tentang peri
pentingnya pendidikan seterusnya melonjakkan hala tuju pendidikan maju selangkah ke
hadapan. Namun kekangan yang dihadapi ialah sebelum abad ke-20 masih tiada sistem dan
organisasi pendidikan berbentuk formal dan sistematik di negeri-negeri Tanah Melayu.
Perubahan sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh penjajah semakin memburukkan
keadaan kerana falsafah pendidikannya lebih bersifat bebas. Masyarakat Melayu khususnya
masih dihimpit kemiskinan kerana sistem pendidikan penjajah yang tidak memberi peluang
kepada masyarakat Melayu untuk menonjolkan bakat. Menurut Sufean Hussin (1996) kegagalan
pendidikan berfungsi membasmi kemiskinan pada era penjajahan disebabkan kurang
kesedaran masyarakat Melayu ketika itu perihal kepentingan celik huruf dan pendidikan
disebabkan oleh dasar pendidikan penjajah. Selain itu, tiada sistem pengangkutan yang baik
dan kesempitan pemikiran orang Melayu ketika itu menyatakan bahawa hala tuju sekolah-
sekolah kerajaan adalah untuk menyebarkan ideologi sekular yang bertentangan dengan
ajaran Islam telah menghambat perkembangan pendidikan.
Setelah mencapai kemerdekaan, ketidakseimbangan dalam sosio-ekonomi masyarakat telah
memaksa kerajaan memperkenalkan DEB sekaligus untuk meningkatkan pendapatan
Bumiputera dan membasmi kemiskinan tegar. Kebanyakan dasar kerajaan yang diperkenalkan
adalah bertujuan untuk membantu golongan miskin. Antaranya ialah memberi pinjaman buku
teks kepada pelajar berpendapatan rendah, RMT, Akta PTPTN, pemberian one-off RM 120
kepada murid sekolah rendah daripada keluarga miskin, pengagihan KWAPM dan Skim Baucer
Tuisyen. Langkah ini membuktikan bahawa hala tuju pendidikan pada era pascamerdeka
menitikberatkan pembasmiaan kemiskinan bagi merealisasikan matlamat kerajaan untuk
mencapai kemiskinan sifar menjelang tahun 2020.
4.6 Perbandingan dari aspek pembangunan negara
Dunia telah menyaksikan dan sejarah telah membuktikan bahawa sejak zaman awal generasi
manusia, ilmu memainkan peranan penting di dalam menentukan jatuh bangunnya sesuatu
tamadun. Justeru, pendidikan mempunyai peranan penting dalam menentukan pembangunan
sesebuah negara. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT bahawa manusia dan jin tidak
akan dapat menguasai dunia dan seisinya melainkan dengan kekuasaan ilmu (Surah Ar-
Rahman, 33). Persoalannya sejauh manakah hala tuju dan falsafah pendidikan yang diamalkan
di Malaysia sama ada sebelum dan selepas kemerdekaan mampu memainkan peranannya
dalam membangunkan negara?
Sorotan sejarah telah memaparkan bahawa falsafah dan hala tuju pendidikan pada peringkat
awalnya hanya bersifat tidak formal dan tidak mampu menjadi penggerak ke arah
pembangunan negara. Namun, setelah sistem pendidikan kolonial diperkenalkan tidak
dinafikan bahawa sistem ini telah mempengaruhi pembangunan negara yang masih dikuasai
oleh penjajah pada masa itu. Hal ini berdasarkan kepada sistem pendidikan kolonial telah
mengurangkan kadar buta huruf di tahap minimum. Pengurangan ini telah membantu
membangunkan negara kerana petani yang menerima 4 tahun persekolahan rendah lebih
proaktif sebanyak 20.4% daripada petani buta huruf (Jamison dan Lan, 1982)
Hala tuju dan falsafah pendidikan pascamerdeka mempunyai ciri-ciri unggul yang mampu
untuk memartabatkan pembangunan negara. Pendidikan pada era ini mempunyai kapasiti
untuk membasmi kemiskinan melalui hala tuju dan falsafah yang diperkenalkan oleh kerajaan
iaitu menyediakan pendidikan kepada semua anggota masyarakat tanpa mengira bangsa,
agama dan latar belakang. Selain itu, hasil pembelajaran akan membentuk pengetahuan,
kemahiran, inovasi dan nilai yang menjadi anjakan kepada pembangunan sumber tenaga yang
melonjakkan pembangunan negara. Peningkatan pengetahuan ilmu seperti menguasai
maklumat, fakta, prinsip, konsep, kepercayaan, kebiasaan, sikap dan kemahiran mampu
dijadikan asas kukuh dalam pembangunan negara (Abdul Rahman Md. Aroff dan Zakaria Kasa,
1994).
Apabila falsafah pendidikan telah diterapkan dan hala tuju pendidikan yang berinovasi maka
sistem pendidikan mampu meningkatkan kemahiran dan mengubah nasib seseorang individu.
Perubahan ini akan menjana peningkatan taraf hidup dan mobiliti sosial masyarakat.
Peningkatan ini akan memberi impak positif terhadap ekonomi negara khususnya dalam
peningkatan guna tenaga yang akhirnya meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Lantaran itu, sememangnya tidak dapat disangkal bahawa falsafah dan hala tuju pendidikan
yang terancang memainkan peranan penting dalam membangunkan negara dari segi ekonomi,
politik dan sosial.
5.0 Penutup
Kesimpulannya, hala tuju dan falsafah pendidikan telah mengalami perubahan demi
perubahan mengikut zaman dalam usaha untuk memartabatkan sistem pendidikan sebagai
agen ke arah pembangunan negara. Oleh itu, pendidikan yang berorientasikan falasafah untuk
melahirkan insan yang berjiwa besar dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan
intelek akan menentukan hala tuju pendidikan negara di masa hadapan. Justeru, di dalam
menguruskan hala tuju dan falsafah pendidikan untuk membentuk masyarakat madani bagi
kelangsungan sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Kita seharusnya bangkit
dari mimpi indah dan sedar bahawa sudah tiada masa untuk kita terus beretorika, bertegang
leher dan berkering tekak memperdebatkan sesuatu isu tanpa pengaplikasian resolusi menjadi
realiti. Ingatlah, jatuh bangunnya generasi mendatang adalah impak terbesar dari generasi
yang beraksi di tika ini.
Akhirnya, marilah kita bersama-sama merenung firman Allah yang bermaksud; “Tidak
sepatutnya bagi orang-orang yang berilmu itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa
tidak pergi bagi tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk mendalami
pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila
mereka telah kembali kepada mereka, supaya mereka itu mendapat memelihara diri
mereka.” ( Surah at-Tawbah, 122 ). Sesungguhnya pendidikan berkesan tunjang ke arah
pembentukan negara maju.

Bibliografi
Abdul Rahman Ahmad, 2006. Pembangunan Modal Insan: Apa dan Kenapa Perlu Dalam Konteks
Organisasi di Malaysia. Kuala Lumpur, Penerbit Human Resources Academy.
Abdul Rahman Aroff dan Zakaria Kasa, 1994. Falsafah dan Konsep Pendidikan. Selangor,
Penerbit Fajar Bakti.
Adnan Haji Awang (Penyunting), 1985. Pendidikan dan Kewarganegaraan di Malaysia. Kuala
Lumpur, Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung.
Al-Quran dan Terjemaahan, 2005. Bandung, Penerbit Diponegoro.
Azyumardi Azra, 2006. Paradigma Baru Pendidikan Nasional. Jakarta, Penerbit Buku Kompas.
Awang Had Salleh, 1980. Pendidikan ke Arah Perpaduan: Sebuah Perspektif Sejarah. Kuala
Lumpur, Penerbit Fajar Bakti.
Hasan Langgulung, 1995. Manusia dan Pendidikan: Suatu Analisa Psikologi dan Pendidikan.
Jakarta, Penerbit PT. Al Husna Zikra.
http://www.moe.gov.my.
http://www.scribd.com.
Kamarudin Kachar, 1989. Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur, Penerbit Teks
Publishing sdn. Bhd..
Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2002. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Kamal Hassan, 1988. Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu. Kuala
Lumpur, Penerbit Nurin Enterprise.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006-2010. Kuala Lumpur, Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Sufean Hussin, 1996. Pendidikan di Malaysia: Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur,
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mustakim Bin Suhaili at 7:33 AM

No comments:
Post a Comment


Home

View web version


Powered by Blogger.

Anda mungkin juga menyukai