Anda di halaman 1dari 3

PENYAKIT paling kritikal diperkatakan di seluruh negara dan dunia ialah wabak

COVID-19 yang mula dikesan di Wuhan, China sekitar pertengahan Disember tahun
lalu.

Namun, penyakit ini mula menjadi isu paling serius di negara ini ekoran gelombang
keduanya yang turut mencatatkan dua kematian pada hari 17 Mac lalu.

Disebabkan kritikalnya wabak itu, kerajaan mengambil tindakan dengan


mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula 18 Mac lalu
sehingga 31 Mac ini bagi membendungnya daripada terus merebak.

Namun, tanpa memahami tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan, ia ‘disalah


guna’ apabila ada menganggap kerajaan memberi ‘cuti’ kepada rakyat.

DISYORKAN UNTUK ANDA


Apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah
Kawalan Pergerakan, rakyat mula membanjiri Terminal Bas Selatan (TBS) untuk
pulang ke kampung tanpa memikirkan kemungkinan besar mereka akan dijangkiti
virus COVID-19 kerana bersesak-sesak dan seterusnya menjadi pembawa virus
berkenaan dan merebak pula di kampung halaman masing-masing.

Sehinggakan Perdana Menteri terpaksa membuat perutusan khas pada hari


berikutnya dan merayu berkali-kali supaya rakyat mengawal serta mengurangkan
pergerakan supaya COVID-19 tidak terus merebak kepada orang lain.

Ramai juga artis seperti Siti Nurhaliza membantu kerajaan dalam memberikan
khidmat sosial masyarakat dengan merayu supaya rakyat Malaysia terus ‘stay at
home’ dan tidak pulang ke kampung.

Tidak kurang dengan itu, doktor dan jururawat tidak henti-henti merayu supaya
masyarakat dapat membantu dengan tidak menambah bilangan kes di hospital.
Pihak media sama ada melalui radio, televisyen, akhbar dan media sosial sudah
memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan dalam menwar-
warkan kempen ‘stay at home’ demi untuk mengurangkan penambahan kes positif
jangkitan COVID-19.

Namun, dimanakah peranan dan tanggungjawab kita sebagai rakyat bagi membantu
dalam membasmi penularan wabak COVID-19 ini?

Kerajaan hanya mengarahkan rakyat untuk kekal berada di rumah masing-masing


dan mengurangkan pergerakan selama 14 hari sahaja, selain menjaga kebersihan
diri sebagai langkah pencegahan. Perkara begitu mudah mengapa sukar untuk
rakyat fahami dan ikuti arahannya? Masih ada segelintir rakyat yang membuka gerai
untuk jualan, bersukan dan bersiar-siar. Di manakah peranan kita sebagai rakyat
yang prihatin bagi menyokong tindakan kerajaan dalam membasmi virus ini?

Jangan bersikap pentingkan diri kerana kita fikir sihat tetapi tanpa sedar kita
pembawa kepada virus itu.

Mahukah kita menjadi rakyat prihatin? Mudah sahaja, ikuti saranan yang berikut.

Pertama: Lakukan Saringan

Sila datang dan membuat saringan kesihatan secara percuma di pusat kesihatan
tanpa perlu dicari. Bantulah kerajaan dengan tampil secara sukarela dan menjalani
pemeriksaan saringan yang ditetapkan terutama kepada mereka yang pergi ke
perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling.

Kedua: Kuarantin diri

Sekiranya anda baru pulang daripada mana-mana negara terutamanya China, Korea
Selatan, Itali, Jepun dan Iran, anda dinasihatkan untuk melaporkan kepada pusat
kesihatan dan melakukan kuarantin diri selama 14 hari berturut-turut.

Sila rujuk ke klinik atau hospital terdekat sekiranya anda mendapat gejala seperti
batuk, demam, selsema, sakit tekak dan kesukaran untuk bernafas.

Ketiga: Memakai topeng muka

Sekiranya anda tidak sihat seperti batuk atau selsema, pakailah topeng muka dan
segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital. Jangan menggunakan
topeng muka yang sama berulang-ulang kali, sebaiknya keraplah menukar topeng
muka dari masa ke semasa.

Keempat: Kekal berada di dalam rumah atau ‘Stay at Home’

Dengan kekal berada di rumah dapat menghindarkan diri kita daripada dijangkiti
virus COVID-19. Inilah masa terbaik untuk meluangkan masa yang berkualiti
bersama keluarga. Ibu bapa boleh menjadi kreatif dengan melakukan pelbagai
aktiviti bersama anak-anak seperti membersihkan rumah, bertukang, memasak,
berkebun dan bersukan yang bersifat dalaman dan tidak perlu keluar.

Kelima: Tingkatkan kebersihan diri dan kawasan rumah

Sentiasa mengutamakan kebersihan diri seperti kerap mandi dan kerap mencuci
tangan dengan betul menggunakan sabun atau menggunakan bahan pencuci tangan
(hand sanitizer). Selain itu, disinfeksi kawasan rumah juga sangat digalakkan untuk
membasmi virus.
Campurkan satu penutup peluntur dan sembilan penutup air sahaja dan mula
disinfeksi tempat yang kerap disentuh seperti tombol pintu, suis lampu, telefon, alat
kawalan, kepala paip dan pintu peti ais.

Keenam: Jaga jarak 1 meter

Sekiranya memerlukan anda untuk keluar seperti membeli barang atau ke tempat
kerja atas urusan yang tidak dapat dielakkan, pastikan anda menjaga jarak satu
meter supaya tidak bersentuhan.

Selain itu, kita juga digalakkan untuk menjaga kesihatan dengan baik seperti makan
makanan yang berkhasiat dan melakukan senaman ringkas di dalam rumah.

Alternatif lain aktiviti yang boleh dirancang semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini
adalah seperti mengisi masa dengan aktiviti keagamaan seperti berdoa dan
membaca kitab.

Kerajaan sudah memainkan peranan mereka untuk membasmi virus COVID-19


dengan seriusnya, maka marilah kita menyokong usaha kerajaan untuk memulihkan
keadaan supaya boleh kembali kepada sedia kala dengan hanya kekal berada di
rumah selama 14 hari sahaja.

Diharapkan dalam tempoh ini, negara kita akan pulih dan wabak ini boleh dikawal.
Bayangkan kita akan berpuasa tidak lama lagi, bagaimana rutin berpuasa di siang
hari dalam keadaan tidak selamat dan bagaimana pula hendak berterawih pada
malam hari sedangkan masjid ditutup seperti sekarang.

Bayangkan juga bagaimana kita bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri sekiranya
wabak ini masih tidak ditangani dengan baik. Tiada kemeriahan dan kunjung
mengunjungi antara satu sama lain dan kita semua kekal berada di dalam rumah
semasa Hari Raya.

Pilihan di tangan anda!

Anda mungkin juga menyukai