Anda di halaman 1dari 2

Terima kasih pengerusi majlis, Yang dihormati Penolong kanan Pentadbiran, Penolong Kanan

HEM, Penolong Kanan Ko-kurikulum, , Guru-Guru dan para pelajar yang disayangi.

Assalamualaikum..

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan segala alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar,
Nabi Muhammad S.A.W serta para sahabatnya, Alhamdulillah saya bersyukur kehadrat Allah
kerana dengan limpah kurnianya kita masih lagi diberi peluang meneruskan tugas sebagai
hamba Allah untuk melaksanakan amalan kebaikan di muka bumi ini. Semoga dengan apa
yang dilaksanakan di bulan Ramadhan al-Mubarak ini akan mendapat keberkatan dan
keredaanNya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Panitia Pendidikan Islam mengadakan satu Program untuk
meraikan kedatangan bulan Ramadhan yang dinamakan Program Ihya Ramadhan. Program
Ihya’ Ramadhan yang membawa maksud “menghidupkan Ramadhan” yang akan berlangsung
sepanjang bulan Ramadhan, Objektifnya adalah untuk menggalakkan warga SK Rapat Setia
supaya merebut peluang untuk mempertingkatkan amal ibadat sepanjang bulan Ramadhan
secara konsisten (Istiqamah) dan berdisiplin.

Seperti mana yang kita sudah ketahui, bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang mulia
berbanding dengan bulan-bulan yang lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan.
Selain itu, bulan Ramadhan juga dinamakan Al-Mubarak yang bermaksud bulan yang penuh
dengan keberkatan di mana semua umat Islam diberi peluang untuk melipat gandakan pahala
dengan menunaikan amalan-amalan wajib dan sunat yang sangat digalakkan melakukannya
pada bulan Ramadhan ini.

Antara amalan yang wajib dilakukan sepanjang bulan Ramadhan ini adalah berpuasa dan
membayar zakat fitrah dan antara amalan sunat yang sangat digalakkan untuk melakukannya
ialah solat Trawith, bertadarus / membaca Al-Quran, bersedekah, qiamullail, beriktikaf,
memperbanyakkan berdoa, berzikir dan beristigfar. Sepanjang bulan puasa juga kita disarankan
untuk menjaga lidah, mengurangkan kata-kata dan menjauhi sifat dusta. Sabda Rasulullah
SAW: Maksudnya: “Jika seseorang daripada kamu mula berpuasa maka janganlah dia
melakukan Rafath (Perkara-perkara yang membangkitkan nafsu) dan janganlah dia bergaduh,
sekiranya seseorang mencaci atau memusuhinya maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya
aku berpuasa! Sesunggungnya aku berpuasa! [HR: Muslim]

Sejajar dengan itu semua warga SK Rapat Setia khususnya semua guru dan pelajar adalah
dialu-alukan untuk menyertai beberapa aktiviti yang telah dianjurkan oleh Panitia Pendidikan
Islam sepanjang bulan Ramadhan nanti.

Walaupun pada waktu siang kita berpuasa dan masa kita diisi dengan belajar, bekerja dan
malamnya diisi dengan pelbagai amalan sunat seperti solat sunat terawith, para pelajar
diingatkan supaya mengekalkan prestasi pelajaran walaupun sedang menjalani ibadah puasa.
Jangan jadikan alasan berpuasa untuk membolehkan para pelajar tidur dan tidak focus semasa
PdP serta aktiviti harian lain biasa dilakukan pada bulan-bulan yang lain
Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada
Panitia Pendidikan Islam kerana berjaya menganjurkan majlis pelancaran Program Ihya
Ramadhan pada kali ini dan semoga kita berjumpa di lain masa. Saya mengucapkan selama
meneruskan ibadah puasa Ramadhan Al-Mubarak ini. Semoga segala amal ibadah dan jariah
yang telah kita lakukan di bulan Ramadhan yang mulia ini akan diterima dan mendapat
keredhaan Allah S.W.T.

Dengan lafaz Bismillah….. saya merasmikan Program Ihya Ramadhan tahun 2022

Anda mungkin juga menyukai