Anda di halaman 1dari 7

Manfaat teknologi nuklear untuk masa hadapan

Dalam meneladani arus pascamodenisasi yang semakin mencabar dan pantas

bertolak bagai ketil dibelut ekor saban hari, negara kita semakin utuh dan terkenal di

persada antarabangsa. Ini jelas menunjukkan bahawa pembangunan di negara kita

semakin rancak bak cendawan tumbuh selepas hujan dan boleh dikatakan dapat duduk

sama rendah, berdiri sama tinggi dengan blok kapitalis yang lain. Sedarsawasa ini

sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini

tentang isu teknologi nuklear yang lazimnya berkaitan dengan senjata moden yang

bakal memusnahkan ataupun membawa kecelakaan kepada manusia dan alam

sejagat. Kontradiksinya, seiring dengan dunia yang dilingkari kemajuan sains dan

teknologi ini, teknologi nuklear tidak lagi terhad dalam membawa bahana kepada kita

malah juga dapat membawa manfaat dalam pelbagai bidang kerjaya di segenap

negara. Penggunaan teknologi nuklear dalam heterogen bidang kerjaya seperti bidang

pertanian, perubatan dan sebagainya tidak pernah lekang daripada menghiasi dada-

dada akhbar arus perdana kini. Berdasarkan Wikipedia, teknologi nuklear boleh

ditakrifkan sebagai teknologi yang melibatkan reaksi inti atom sama ada pereputan

nuklear ataupun gabungan nuklear. Persoalan yang sering melontar dalam lensa

pemikiran kita ialah benarkah teknologi nuklear ini dapat membawa manfaat kepada

kita ataupun ia hanya omong kosong sahaja? Oleh itu, kebaikan teknologi nuklear yang

mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan

bersama.
Laba signifikan yang tidak dapat kita diketepikan ialah teknologi nuklear dapat

menjadi salah satu sumber tenaga elektrik. Daripada realiti kehidupan kita yang boleh

dikatakan serba canggih ini, sumber tenaga elektrik merupakan salah satu keperluan

asas yang tidak dapat dipisahkan oleh masyarakat sejagat. Kebanyakan prasarana dan

peralatan harian telah memerlukan sumber tenaga elektrik agar dapat berjalan dengan

lancar tamsilnya telefon pintar, komputer, lampu dan sebagainya. Sumber tenaga

nuklear dapat membekalkan tenaga elektrik dalam tempoh masa yang panjang dan

merupakan salah satu sumber tenaga hijau yang membebaskan gas-gas rumah hijau

dengan kadar yang lebih kecil. Pada masa ini, sumber tenaga yang biasa digunakan

dalam negara kita dan negara-negara sejagat ialah sumber petroleum, gas asli dan

arang batu yang merupakan sumber yang tidak dapat diperbaharui dan akan

membebaskan gas-gas rumah hijau yang banyak berbanding dengan sumber tenaga

nuklear. Sebagai contoh, pembakaran petroleum, arang batu, gas asli untuk menjana

elektrik akan mengeluarkan banyak gas- gas yang akan menipiskan lapisan ozon yang

melindungi bumi daripada pancaran sinaran UV ataupun dikenali sebagai sinaran ultra

ungu seperti gas karbon monoksida, karbon dioksida, sulfur monoksida dan

sebagainya. Fenomena ini akan menyebabkan sinaran UV yang terdapat dalam sinaran

matahari dapat menembusi lapisan ozon dan memancar ke bumi. Ini secara tidak

langsung akan memudaratkan keadaan bumi yang telah sedia parah ini dan akan

mengundang pelbagai penyakit kulit terhadap penghuni bumi seperti kanser kulit,

penyakit fotodermatitis dan sebagainya. Tambahan pula, sumber tersebut akan diguna

habis dalam tempoh yang singkat malah memerlukan tempoh yang panjang untuk

dihasilkan semula. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa penggunaan sumber tenaga
nuklear dapat mengelakkan senario tersebut berlaku malah juga dapat membekalkan

sumber tenaga elektrik yang banyak dalam jangka masa yang lebih panjang. Sebagai

analoginya, tenaga yang dihasilkan oleh atom uranium menerusi proses penguraian

dapat dibekalkan selama 4.47 bilion tahun. Lantaran itu, penggunaan sumber tenaga

nuklear dalam negara kita dan negara-negara lain dapat membantu menggurangkan

kesan rumah hijau yang melanda di atas bumi yang dicintai dan menggelakan

kehabisan sumber yang tidak dapat diperbaharui pada masa yang akan datang.

Pada waktu yang sama, teknologi nuklear juga dapat memberikan impak yang

mengagumkan dalam bidang perubatan. Umum yang mengetahui bahawa penggunaan

teknologi nuklear dalam bidang perubatan yang dikenali sebagai perubatan nuklear

telah dijadikan sebagai salah satu kaedah rawatan di negara maju seperti Amerika

Syarikat, Jepun dan Eropah malah juga dijadikan trend di negara kita. Melalui

perubatan nuklear, perawat dapat memperolehi maklumat pesakit dengan lebih mudah

dan efektif. Perawat dapat mendiagnosis penyakit yang dialami oleh pesakit

berdasarkan imej atau pun keputusan peperiksaan yang menggunakan teknologi

nuklear. Analoginya, perawat dapat merawat dan mendiagnosis penyakit yang terdapat

dalam pesakit seperti kanser, gangguan tiroid, penyakit jantung dan sebagainya melalui

mesin CT Scan. Berbanding dengan perubatan pada masa tok nadur berkajang kain,

perawat hanya boleh menggunakan perubatan tradisional yang tidak sebegitu efektif

dan perlu bersusah payah mencari herba yang sesuai untuk merawat penyakit. Malah

risiko perawat yang mengamalkan perubatan tradisional tersilap diagnosis penyakit

yang dialami oleh pesakit juga lebih tinggi berbanding dengan perawat yang
mengamalkan perubatan nuklear. Fenomena ini dikatakan sedemikian kerana

perubatan tradisional memerlukan perawat yang berpengalaman dan pakar agar dapat

membezakan jenis penyakit yang mempunyai ciri-ciri penyakit yang sama. Dari

perspektif yang berbeza, melalui perubatan nuklear, perawat dapat mengenal pasti

jenis penyakit berdasarkan keputusan yang diperolehi dan dapat menentukan kaedah

rawatan yang sesuai dengan pesakit. Hal ini akan mempercepatkan pesakit sembuh

daripada penyakit tersebut. Malah terdapat penyakit contohnya penyakit buah

pinggang, penyakit hati dan barah otak yang sukar dikenal pasti melalui kaedah biasa

juga dapat dikesan dan dirawat dengan pantas dan cekap melalui perubatan nuklear.

Sementelahan itu, perubatan nuklear ini merupakan salah satu rawatan yang selamat

bagi pesakit kerana bahan-bahan kimia yang disuntik dalam badan pesakit tidak dapat

diserap dalam badan dan akan dikumuhkan oleh badan pesakit melalui sistem

perkumuhan dalam tubuh badan pesakit selepas satu hingga dua hari. Secara tidak

langsung, hayat umat manusia akan lebih panjang dan nescaya akan mengelakkan

umat manusia daripada dibelenggu oleh pelbagai penyakit. Jadi, sudah terang lagilah

bersuluh bahawa teknologi nuklear dapat mengesan penyakit-penyakit kronik pada

peringkat awal malah juga dapat merawat penyakit dengan lebih efisien, malahan juga

dapat memanjangkan hayat umat manusia.

Dalam zaman yang serba maju dan canggih ini, teknologi nuklear telah

digunakan dalam memajukan bidang pertanian. Sebagaimana kita telah maklumi,

negara kita merupakan salah satu negara yang mengamalkan sektor primer seperti

sektor pertanian, penternakan, pembalakan dan lain-lain disebabkan faktor iklim, cuaca
dan taburan hujan yang sesuai telah menggalakkan pertumbuhan flora dan fauna di

negara kita. Pada hemat saya, penggunaan teknologi nuklear dapat melakukan

penambahbaikan terhadap tanaman terutamanya dalam meningkatkan penghasilan

dan kualiti tanaman. Biar kita lihat, tanaman seperti kacang tanah, kacang soya dan

benih padi yang berlaku mutasi melalui sinaran gamma yang dihasilkan oleh atom

Cobalt-60 akan mengeluarkan hasil tanaman yang bermutu tinggi pada waktu yang

sama juga dapat menghasilkan pulangan yang banyak dalam jangka masa yang

pendek. Sementelahan pula, tanaman-tanaman hiasan tamsilnya pokok bunga raya,

pokok lidah jin, pokok siantan dan sebagainya telah melalui mutasi secara in-vitro agar

menghasilkan tanaman yang renek, perubahan bunga ataupun daun yang menarik dan

berbau harum. Fenomena ini dapat menjana ekonomi negara apabila hasil tanaman

yang berkualiti tinggi dan pokok hiasan mempunyai ciri-ciri pokok yang menarik telah

dieksport ke luar negara dan pada waktu yang sama akan mengharumkan nama

negara dalam persada dunia pada masa hadapan. Untuk makluman semua, teknologi

nuklear bukan sahaja dapat menghasilkan baka tumbuhan yang lebih baik dan bermutu

tinggi malah teknologi ini juga mampu membasmi serangga perosak dengan

menghalang pembiakannya. Menerusi teknologi nuklear, serangga perosak di sekitar

tanaman dapat dikawal dan penggunaan racun serangga yang bahaya dan akan

memudaratkan kesihatan dapat dikurangkan. Tambahan pula, pencemaran air di

sekitar tempat pertanian dapat dikurangkan sekiranya penggunaan racun serangga

telah dikurangkan. Fenomena ini secara tidak langsung akan mengelakkan hidupan

akuatik yang terdapat di sekitar lokasi pertanian tersebut daripada diracuni oleh racun

serangga yang mengalir ke sungai dan mengelakkan kepupusan flora dan fauna
akuatik yang terdapat dalam sungai. Sudah terang lagi bersuluh bahawa penggunaan

teknologi nuklear dalam bidang pertanian dapat menghasilkan pulangan yang lebih

berkualiti malah dapat menjamin keselamatan hasil tanaman dan secara tidak langsung

akan menjamin kesihatan pengguna pada waktu yang akan datang.

Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, teknologi nuklear

sememangnya tidak dapat disangkal membawa seribu satu kemaslahatan sekiranya

diimplementasikan dalam kehidupan yang akan datang. Intihanya, potongan kata

Steven Jobs, pengasas syarikat teknologi Apple bahawa teknologi baru tidak

semestinya menggantikan teknologi yang lama, tapi akan memperbaharuinya wajar kita

hayati. Lantas, semua pihak perlu menjalinkan sinergi bak aur dan tebing, persis isi dan

kuku, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama diturun dalam usaha penggarapan

teknologi nuklear seiring dengan pembangunan fizikal negara kerana bulat air kerana

pembetung, bulat kata kerana muafakat. Selanjutnya, Malaysia mampu dijulang sebagai

salah satu negara maju bukan sahaja dari aspek pembangunan fizikal malahan akhlak

rakyat negara kerana terbangnya belon bukan kerana warnanya tetapi kerana

kandungan gasnya selaras dengan hasrat dan aspirasi negara untuk bersukat sama

paras, bertimbang sama berat dengan negara- negara maju yang lain. Pihak berkuasa

seperti Kementerian Sains Teknologi dan Maklumat seharusnya mengambil pelbagai

inisiatif untuk menggalakkan penggunaan teknologi nuklear dalam negara kita seperti

mengadakan kempen secara besar-besaran tentang kebaikan dan manfaat teknologi

nuklear kepada negara dan masyarakat agar segenap lapisan masyarakat dapat

memahami dan mengetahui kepentingan teknologi nuklear demi pembangunan negara


serta melibatkan diri tanpa batasan usia, warna kulit, bahasa dan budaya demi

mencapai impian tersebut. Inisiatif ini haruslah dipraktikkan secara konsisten dan bukan

sahaja hangat-hangat tahi ayam ataupun melepaskan batuk di tangga. Dengan keizinan

Tuhan yang maha Esa, kita yakin dan percaya bahawa sekiranya harapan tersebut

menjadi realiti dan bukan sekadar ilusi yang terngiang-ngiang di kotak pemikiran Mat

Jenin, hasrat dan aspirasi negara untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan

negara- negara maju yang lain mampu digamit dan direalisasi. Akhir kata, demi

merealisasikan visi kudsi Wawasan 2030, marilah kita bersama-sama membulatkan

tenaga dan azam bagi membanggunkan negara yang berteknologi maju ! Kalau bukan

kita, siapa lagi?

Anda mungkin juga menyukai