Anda di halaman 1dari 2

Terima kasih kepada Tuan Pimpinan Majlis, kombinasi panel kehakiman pejuang neraca keadilan

seterusnya hadirin dan hadirat sekalian.

‘Kepentingan Teknologi’. Begitulah tajuk pidato yang akan saya sampaikan pada hari ini.

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘ Kepentingan ’ didefinisikan sebagai perihal keadaan atau
sifat penting, peri mustahak.

‘Teknologi ’ pula dapat diertikan sebagai aktiviti atau kajian yang menggunakan sains untuk tujuan
praktis dalam industri, pertanian, perubatan, perniagaan dan lain-lain.

Secara tuntasnya, dapatlah saya nyatakan di sini bahawa manfaat dan nilai yang diperoleh dari
penggunaan teknologi dalam pelbagai bidang kehidupan.

Hadirin dan hadirat yang dimuliakan,

Sains dan teknologi dilihat sebagai satu perkara yang penting dalam kehidupan manusia sejak memasuki
abad ke 21. Perkembangannya dilihat tumbuh ibarat cendawan selepas hujan apabila kos menggunakan
teknologi semakin berpatutan dan dikomersialkan sesuai dengan kehidupan manusia. Pelbagai manfaat
yang diperoleh kesan daripada perkembangan terhadap kehidupan manusia. Ada juga yang
mendatangkan mudarat tetapi sebagai masyarakat yang berminda kelas pertama, kita perlu membuang
yang keruh dan mengambil yang jernih.

Kata kunci saya yang pertama dalam konteks, komunikasi sejagat.

Antara kepentingannya adalah memudahkan komunikasi antara manusia. Dalam mendepani era
globalisasi ini, kita dapat berhubung dengan semua manusia di segenap pelusuk dunia. Perbezaan
bahasa yang sebelum ini perlu mengambil masa yang lama untuk dipelajari boleh diselesaikan dalam
beberapa saat sahaja. Impaknya, pelbagai ilmu, budaya dan juga perkara-perkara lain dapat dikongsi dan
dimanfaatkan bersama-sama. Selain itu, kita juga dapat berhubung antara satu sama lain tanpa mengira
masa dan jarak pada hari ini dan kesannya bukan sahaja pada sektor ekonomi malah mengubah cara
sosial masyarakat masa kini. Misalnya penggunaan aplikasi Whatsapp yang membolehkan kita
menghantar mesej atau membuat panggilan video kepada kenalan kita hasil daripada ciptaan teknologi
dan penggunaan sains yang difahami oleh manusia hari ini. Bak kata pepatah Melayu, lain dahulu lain
sekarang. Intihannya, perkembangannya membuka ruang komunikasi antara manusia yang tidak pernah
dibayangkan pada zaman dahulu.

Kata kunci saya yang kedua dalam konteks, sektor kesihatan

Isi 2 Di samping itu, hasil perkembangannya telah menyumbang kepada kemajuan industri kesihatan
secara global. Pelbagai ubat dan rawatan baharu yang dapat dihasilkan bagi merawat pesakit-pesakit
yang menghidapi pelbagai jenis penyakit. Ia juga membantu dalam mencegah penyakit-penyakit
berjangkit daripada menular. Kini, ianya telah menjadikan makmal perubatan sebuah institusi yang
penting bagi manusia untuk mengkaji dan mencari penawar kepada penyakit-penyakit yang
memudaratkan kehidupan manusia.

Selain itu, kolaborasi antara sains & teknologi juga menyumbang kepada obeservasi kesihatan kendiri
apabila jam tangan pintar berjaya dicipta. Pemakai jam tangan ini dapat melihat kadar degupan jantung
yang memberi indikasi kepada tahap kesihatan seseorang individu. Sekiranya setiap individu dapat
menggunakan jam ini dan menjaga kesihatan secara kendiri, ia pasti dapat melahirkan masyarakat yang
sihat dan sejahtera. Izharnya, pelbagai manfaat dari sudut kesihatan yang kita peroleh hasil daripada
perkembangan sains & teknologi. Kita hendaklah menyediakan payung sebelum hujan supaya tidak kesal
dikemudian hari.

Kata kunci saya yang ketiga dalam konteks, pendidikan masa kini

Kepentingan lain yang ketara hasil daripada perkembangan sains & teknologi adalah meningkatkan
sektor pendidikan. Kini, pendidikan di peringkat rendah, menengah mahu pun tinggi aktif dalam
pendidikan secara interaktif yang semakin diketengahkan supaya dapat menarik minat pelajar. Ia bukan
sahaja memberi kesan terhadap ilmu dan pengetahuan pelajar malah membantu mereka untuk berfikir
secara kreatif dan inovatif. Pada masa akan datang, tiada lagi pembelajaran yang membosankan dan
kanak-kanak dapat menikmati ilmu dan pengetahuan dalam bentuk yang mereka sukai. Justifikasinya,
dengan adanya perkembangan sains & teknologi maka pendidikan dapat ditambah baik dan memberi
kesan yang positif serta efisien kepada masyarakat. Hal ini demikian kerana, laut yang ditimba tidak akan
kering.

Kata kunci saya yang keempat dalam konteks, pemeliharaan alam sekitar

Pada waktu yang sama, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dapat direalisasikan dengan
perkembangan sains & teknologi. Saban hari kita disiarkan dengan berita para saintis telah pun
menyatakan sejak beberapa tahun dahulu bahawa ekosistem dunia menjadi tidak seimbang dek kerana
pemanasan global serta efek rumah hijau yang menggangu ekosistem bumi. Nah, lihatlah sekarang
bencana alam yang menimpa serata dunia seperti pembakaran hutan semulajadi, tanah runtuh, banjir
kilat dan ribut yang luar biasa begitu rancak di hadapan kita.

Maka, sains & teknologi adalah merupakan altenatif penyelamat kepada manusia jika ingin terus
menetap di muka bumi ini. Ciptaan teknologi yang mesra alam dan alternatif kepada sumber boleh
diperbaharui perlu disokong supaya sumber alam yang tidak boleh diperbaharui, tidak dimusnahkan.
Tamsilnya, penggunaan kereta elektrik yang mengurangkan penghasilan karbon serta menggunakan
tenaga boleh diperbaharui. Tuntasnya, perkembangan sains & teknologi penting dalam mengekalkan
khazanah alam yang kita miliki hari ini demi masa hadapan kerana generasi hari ini hanyalah
menumpang sumber dan khazanah yang dimiliki generasi akan datang.

Kesimpulannya, sains & teknologi adalah komponen yang mustahak dalam kehidupan manusia serta
memainkan peranan yang penting dalam kelangsungan hidup manusia. Sinergi antara dua komponen ini
dapat membawa ketamadunan manusia ke satu tahap yang lebih tinggi. Persis kata peribahasa Melayu,
kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Sekiranya sains & teknologi tersebut penting
untuk kebajikan manusia seperti penghasilan air bersih dan pertanian yang efisien maka ia wajar
disokong serta diberikan secara percuma atas dasar kemanusiaan. Semoga sains & teknologi menjadi
komponen yang dimanfaatkan oleh manusia untuk kebaikan dan bukannya kemudaratan.

Anda mungkin juga menyukai