Anda di halaman 1dari 2

KEPENTINGAN SAINS DAN TEKNOLOGI DALAM

KEHIDUPAN
Darsawarsa ini, dunia telah berkembang dengan pesat di mana pembinaan
bangunan-bangunan pencakar langit tidak lagi asing di mata kita semua.
Pembinaan ini sudah semestinya sejajar dengan pembangunan teknologi yang
semakin maju dalam mengejar zaman yang serba moden. Hal ini telah banyak
mempengaruhi kehidupan manusia terutamanya dalam bidang sains dan
teknologi. Sains merupakan kajian sistematik terhadap fenomena semulajadi
manakala teknologi pula ialah ciptaan manusia untuk menyelesaikan sesuatu
masalah secara saintifik. Pelbagai manfaat yang dapat kita perolehi daripada
kesan perkembangan teknologi sains ini. Persoalannya apakah kepentingan
sains dan teknologi dalam kehidupan manusia?
Antara kepentingannya adalah teknologi dan sains dapat memudahkan
komunikasi antara manusia yang tidak terbatas oleh jarak dan masa lagi. Jika
kita mengimbau pada zaman lampau, komunikasi sesama manusia adalah
perkara yang amat sukar untuk dilakukan tetapi teknologi telah banyak
membantu kita dalam memudahkan kehidupan seharian manusia. Sebagai
contoh kita dapat berkomunikasi dengan orang dari luar dengan menggunakan
bahasa mereka. Hal ini mustahil untuk dilakukan disebabkan teknologi yang
telah dicipta bagi memudahkan penterjemahan bahasa asing dengan hanya
dihujung jari. Sesebuah bahasa asing juga dapat dipelajari dan dikuasai oleh
sesiapa sahaja dengan menggunakan aplikasi-aplikasi yang hanya perlu dimuat
turun di internet. Tegaslah bahawa teknologi memainkan peranan yang
penting dalam memudahkan komunikasi sesame manusia
Selain itu, teknologi dan sains juga menyumbang kepada perkembangan
industri kesihatan dunia. Pelbagai ubat dan rawatan telah banyak dihasilkan
bagi merawat pesakit-pesakit yang menghidapi pelbagai jenis penyakit tidak
kira yang ringan ataupun berat. Saintis-saintis dan juga pakar teknologi telah
banyak mengerah keringat dan menghabiskan masa mereka di dalam makmal
demi menghasilkan teknologi yang mampu dimanfaatkan. Sebagai contoh,
penciptaan jam tangan pintar dimana kolaborasi antara teknologi dan sains ini
mampu melihat kadar degupan jantung manusia membolehkan kita untuk
terus mengawasi tahap kesihatan diri pada bila-bila masa sahaja bak kata
pepatah sediakan payung sebelum hujan. Hal ini dapat meningkatkan kadar
kesihatan manusia di dunia. Sesungguhnya, teknologi dan sains dapat
menyumbang kepada perkembangan industri kesihatan.
Tidak dinafikan lagi sains dan teknologi dapat memulihara dan memelihara
alam sekitar dengan perkembangannya. Kita selalu disiarkan berita-berita
tentang bencana alam yang melanda seluruh dunia dimana perkara ini harus
dititikberatkan oleh kita semua. Contohnya seperti banjir kilat, tanah runtuh,
pembakaran hutan dan sebagainya. Oleh sebab itu, ciptaan teknologi yang
mesra alam dan alternatif kepada sumber tidak boleh diperbaharui perlu
disokong supaya sumber alam dapat dipelihara seperti hutan-hutan dan paya
bakau. Penggunaan kereta elektrik amatlah digalakkan kerana kereta tersebut
dapat mengurangkan penghasilan karbon serta menggunakan tenaga yang
boleh diperbaharui. Tuntasnya, sains dan teknologi dapat memelihara
khazanah alam demi generasi akan datang.
Kesimpulannya, sains dan teknologi ini adalah kombinasi yang memainkan
peranan yang penting dalam memastikan kelangsungan hidup manusia. Sinergi
antara dua komponen ini dapat membawa tamadun manusia ke tahap yang
lebih tinggi lagi bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung manakan
dapat sagunya. Sebagai manusia yang bertanggungjawab kita haruslah
menjalankan peranan masing-masing tanpa mengira darjat atau pangkat untuk
terus membantu dalam memastikan perkembangan teknologi tidak terbantut.
Saya berharap negara kita akan terus bersaing dalam perlumbaan
perkembangan teknologi diantara negara-negara yang maju seperti Amerika
Syarikat dan Jepun.

(504 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai