Anda di halaman 1dari 4

PEMBENTUKAN IMBUHAN MeN...kan dan MeN...

Pembentukan imbuhan kerap kali mengelirukan pelajar. Dalam penggunaan imbuhan MeN...kan dan
MeN...i, pelajar sering kali membuat kesilapan dengan menggunakan imbuhan tersebut secara
bertukar ganti seolah-solah kedua-dua imbuhan tersebut membawa maksud yang sama. Dalam bab
ini, kita akan melihat dan meneliti secara lebih mendalam pembentukan dan perbezaan imbuhan
MeN...kan dan MeN...i dalam Bahasa Melayu yang kerap menimbulkan kekeliruan kepada pelajar.

Pembentukan Imbuhan MeN...kan

Imbuhan MeN...kan membentuk kata kerja transitif yang terbit daripada kata dasar yang terdiri
daripada beberapa jenis golongan kelas kata. Penggunaan golongan kata tertentu akan
menunjukkan makna yang tertentu apabila menerima imbuhan MeN...kan.

Pembentukannya akan dibincangkan secara ringkas kerana yang penting ialah meneliti perbezaan
maknanya dengan imbuhan MeN...i. Teliti beberapa jenis golongan kata berikut yang menunjukkan
beberapa maksud yang berbeza:

Kata Dasar Imbuhan MeN...kan Maksud

Buku (kata nama) Membukukan Menjadikan buku


Darat (kata nama) Mendaratkan Membawa ke darat
Gemuk (kata adjektif) Menggemukkan Menjadikan gemuk
Jatuh (kata kerja) Menjatuhkan Menyebabkan jatuh
Beli (kata kerja) Membelikan Membeli untuk
Tindih (kata kerja) Menindihkan Menggunakan alat
Pagar (kata kerja) Memagarkan Menjadikan sebagai
Dua (kata bilangan) Menduakan Menjadikan dua
Untuk memahami lebih jelas lagi maksud yang terbentuk daripada kelas kata tersebut lihat beberapa
contoh ayat berikut:

Ayat Contoh;

1. Pemain pertahanan pasukan itu telah menjatuhkan penyerang pasukan lawan dalam kawasan


penalti.

2. Lelaki itu telah menduakan isterinya dengan berkahwin lagi.

3. Dia telah membukukan pengalamannya semasa zaman pemerintahan Jepun.

4. Mereka telah membasahkan kepala masing-masing dengan air sungai itu.

5. Ahmad melontarkan basikal adiknya ke dalam kolam.

Analisis

Semua ayat yang menerima imbuhan MeN...kan menunjukkan maksud bahawa objek tepatnya (kata
nama selepas kata kerja) kena secara langsung oleh perbuatan iaitu kena ‘jatuhkan’, kena ‘duakan’,
kena ‘bukukan’ kena ‘basahkan’ dan kena ‘lontarkan’.

Maksud Dalam Imbuhan MeN...kan

Secara umum, imbuhan apitan MeN...kan menunjukkan dua maksud yang kerap dikelirukan.

i) Maksud sesuatu perbuatan itu dilakukan secara langsung kena ke atas objek tepat dalam ayat
dan menjadi alat atau bahan untuk melakukan perbuatan ke atas objek sipi
Contoh:

Amin melontarkan sepotong kayu  ke arah lembu  itu.

(objek tepat) (objek sipi)

Dalam konteks ayat di atas Amin menggunakan ‘sepotong kayu’ (objek tepat) untuk melakukan
perbuatan ke atas ‘lembu itu’ (objek sipi).

Teliti contoh ayat berikut yang sama maksud pembentukannya dengan ayat di atas.

Ayat contoh;

1. Petani itu memagarkan kawat berduri ke seluruh ladangnya.

2. Orang tua itu memukulkan sebatang tongkat ke atas anaknya.

3. Dia menghadiahkan rantai mutiara kepada isterinya.

4. Kanak-kanak itu membalingkan bola kepada rakannya.

5. Sultan Selangor telah berkenan mengurniakan bintang kebesaran kepada ahli sukan tersebut


sempena Hari Keputeraan baginda.

ii) Maksud sesuatu perbuatan dilakukan ‘untuk’ objek tepat

Hal ini bermaksud sesuatu perbuatan itu dilakukan untuk orang lain iaitu pelaku melakukan
perbuatan untuk objek tepat manakala objek sipi merupakan sesuatu yang dilakukan perbuatan ke
atasnya.

Contoh:

Amin membacakan adiknya buku cerita itu.

(objek tepat) (objek sipi)

Dalam konteks ayat di atas bermaksud Amin membaca buku untuk adiknya bukan untuk dirinya,
manakala buku iaitu objek sipi merupakan alat yang dibaca dan adiknya sebagai objek tepat
merupakan penerima perbuatan Amin.

Jika buku cerita mahu dijadikan objek tepat, maka akhiran ‘kan’ mesti digugurkan seperti dalam ayat
berikut:

Contoh:

Amin membaca buku cerita itu untuk adiknya.

(objek tepat) (objek sipi)

Untuk lebih jelas, teliti ayat-ayat berikut:

Ayat contoh;

1. Ibu menjahitkan kakak sehelai baju kurung sutera.

(maksud menjahit untuk kakak)

2. Rahim mencarikan isterinya buah mempelam muda


(maksud mencari buah mempelam muda untuk isterinya)

3. Dia melukiskan adiknya sekeping gambar helang.

(maksud melukis gambar helang untuk adik)

Ringkasnya imbuhan MeN...kan menunjukkan maksud objek tepat sebagai alat atau bahan untuk
melakukan perbuatan ke atas sesuatu. Selain itu, juga membawa maksud sesuatu perbuatan itu
dilakukan untuk benda lain iaitu ‘untuk objek tepat’, manakala perbuatannya dilakukan ke atas
‘objek sipi.

Pembentukan Imbuhan MeN...i.

Imbuhan MeN...i juga terbentuk daripada beberapa kelas kata dasar dan membawa makna yang
tertentu. Teliti pembentukannya secara ringkas dan cuba buat perbandingan dengan pembentukan
imbuhan MeN...kan.

Kata Dasar Imbuhan MeN...i Maksud
Pagar Memagari Meletakkan sesuatu
(kata Nama) sebagai pagar
Pukul Memukuli Melakukan perbuatan
(kata kerja) berkali-kali pada objek
Duduk Menduduki Melakukan perbuatan
(kata kerja) pada objek
Kirim Mengirimi Menyebabkan objek
(kata kerja) menerima sesuatu
Untuk memahami lebih jelas lagi maksud yang terbentuk daripada kelas kata tersebut lihat beberapa
contoh ayat berikut:
Ayat contoh;
1. Dia akan mengirimi bapanya sepucuk surat pada setiap bulan.
2. Jepun telah menduduki Tanah Melayu selama lebih kurang empat tahun.
3. Dia memukuli lembu yang memasuki kebunnya dengan sebatang kayu.
Analisis

Dalam ketiga-tiga ayat di atas, semua objek kena secara tidak langsung. Objek-objek tersebut
menerima sesuatu daripada perbuatan yang dilakukan oleh pelaku. Contohnya dalam ayat (1) ‘bapa’
sebagai objek tepat menerima surat bukannya benda yang dikirimkan kepada seseorang.

Maksud Imbuhan MeN...i

Secara umum, imbuhan apitan MeN...i, menunjukkan maksud objek tepat menerima sesuatu
daripada pelaku perbuatan, manakala benda yang diterima daripada perbuatan itu dinyatakan
sebagai objek sipi.

Maksud ayat juga menunjukkan bahawa objek tepat tidak bergerak tetapi objek sipi yang bergerak
menuju ke arah objek tepat. Lihat dan teliti contoh ayat-ayat di bawah;

Ayat contoh;

1. Petani itu memagari ladangnya dengan kawat berduri.

2. Orang tua itu memukuli anaknya dengan sebatang tongkat.

3. Dia menghadiahi isterinya seutas rantai mutiara.

4. Kanak-kanak membalingi rakannya dengan sebiji bola.


5. Sultan Selangor telah berkenan mengurniai ahli sukan itu bintang kebesaran sempena Hari
Keputeraan baginda.

Bandingkan ketiga-tiga ayat yang menerima apitan MeN...i dengan ayat-ayat yang menerima apitan
MeN...kan seperti yang dibincangkan terdahulu.

Adakalanya apitan MeN...i menunjukkan maksud perbuatan yang berulang-ulang dilakukan ke atas


objek tepat. Teliti ayat (2) yang menunjukkan maksud anaknya menerima pukulan berulang
kali.Dalam konteks ayat (1), (3), (4) dan (5) ladangnya menerima kawat berduri, isterinya menerima
rantai mutiara, rakannya menerima balingan dan ahli sukan menerima kurniaan.

Perbezaan Makna Dalam Imbuhan MeN...kan dan 


Imbuhan MeN...i

Sekiranya pelajar meneliti pembentukan kedua-dua imbuhan tersebut, pelajar akan mendapati
terdapat perbezaan yang ketara di antara kedua-dua imbuhan itu.

Perbezaan yang paling ketara ialah apabila kedua-dua imbuhan apitan ini menggunakan kata dasar
yang sama dan menerima dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi. Lihat contoh ayat berikut untuk
pemahaman yang lebih jelas.

Ayat contoh;
1. Amin melontarkan sepotong kayu ke arah lembu itu.
(objek tepat) (objek sipi)
2. Amin melontari  lembu itu dengan sepotong kayu.
(objek tepat) (objek sipi)
3. Amin membacakan adiknya buku cerita itu.
(objek tepat) (objek sipi)
4. Amin membaca buku cerita itu untuk adiknya.
(objek tepat) (objek sipi)
Ulasan ringkas:

Ayat (1) dan (2) menggunakan kata dasar yang sama iaitu lontar (kata kerja) tetapi menggunakan
apitan yang berbeza. Oleh itu pembentukan objek dan maknanya juga berbeza. Perkataan
‘melontarkan’ menunjukkan maksud ‘sepotong kayu’ sebagai objek tepat menjadi alat atau bahan
yang digunakan untuk melakukan perbuatan. Manakala perkataan ‘melontari’ menunjukkan maksud
‘lembu itu’ sebagai objek, menjadi penerima perbuatan ‘melontari’. Oleh itu jika ayat (1) menerima
apitan MeN...kan, maksudnya menunjukkan lembu itu menjadi alat atau bahan untuk perbuatan
melontar, ini pasti mustahil kerana tidak mungkin Amin mampu mengangkat lembu itu dan
melontarkannya.

Rumusan

Kekeliruan yang kerap berlaku di kalangan pelajar dari segi pembentukan kedua-dua apitan tersebut
disebabkan para pelajar kurang memahami maksud perkataan yang digunakan dan kekeliruan
membezakan objek tepat dan objek sipi. Oleh itu, para pelajar perlu meneliti imbuhan apitan
MeN...kan dan MeN...i dengan meneliti kesesuaian maksud ayat dengan penggunaan objek tepat
dan objek sipi yang dinyatakan dalam ayat.

Para pelajar juga perlu meneliti logik ayat dari segi maksud sama ada sesuai atau tidak.

Anda mungkin juga menyukai