Anda di halaman 1dari 11

Nota 2 :

TEORI DAN FALSAFAH ILMU SEJARAH

KONSEP DAN MAKNA SEJARAH, DAN MENGAPA ILMU SEJARAH


PERLU DIPELAJARI DI SEKOLAH?
Pendahuluan

Apakah yang dimaksudkan dengan sejarah? Menurut Kamus Dewan edisi keempat,
sejarah bermaksud asal usul keturunan dan salasilah. Sejarah juga bermaksud peristiwa yang
benar-benar berlaku pada masa lampau, kisah serta riwayat. Ia juga ditakrifkan sebagai kajian
atau pengetahuan mengenai peristiwa-peristiwa yang lalu. Jadi, Sejarah adalah penyelidikan pada
masa lalu, kisah, peristiwa dan pengalaman. Akhirnya pengalaman dan peristiwa dahulu boleh
dijadikan iktibar dan panduan dalam menjalani kehidupan pada masa akan datang.Sejarah
merupakan satu cabang ilmu pengetahuan yang berkembang. Semua peristiwa masa lampau
yang menjadi inti cerita Sejarah dapat dibuktikan kebenaranya. Peristiwa lampau menunjukkan
proses perjuangan manusia untuk mencapai kehidupan kehidupan yang lebih sempurna. Sejarah
juga merupakan gambaran tentang peristiwa lampau yang dialami manusia, disuse secara ilmiah,
yang meliputi urutan masa yang mudah difahami (Sartini, 2011).Laungan kemerdekaan oleh
Mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tungku Abdul Rahman merupakan sebuah
catatan peristiwa yang sangat penting kepada seluruh rakyat Malaysia. Sejarah adalah suatu
catatan peristiwa lampau.

Di Malaysia semua pelajar diwajibkan mempelajari subjek Sejarah. Persoalannya apakah


semua pelajar sedar mengenai kepentingan mempelajari sejarah negara? Sejarah membolehkan
kita mengingati kegemilangan masa silam yang mana jika ada kesedaran, kegigihan dan
kesungguhan di kalangan pemimpin dan rakyat, keagungan tersebut mampu diulangi malah
mungkin lebih cemerlang. Malaysia kini mengecapi pelbagai kecemerlangan dalam pelbagai
bidang dan menjadi antara negara membangun yang paling maju di dunia. Dengan kegigihan
pemimpin dan rakyatnya, tidak mustahil Malaysia mampu mengecapi kegemilangan dan
mengulangi semula zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15. Oleh itu,
sejarah adalah amat penting dalam kehidupan. Dengan mempelajari sejarah , akan dapat
mengembangkan idea, pemikiran serta kebolehan khususnya dalam kalangan pelajar. Peristiwa
lampau boleh dijadikan sebagai paduan dan iktibar dalam menempuh kehidupan pada masa akan
datang.

1
Nota 2 :
TEORI DAN FALSAFAH ILMU SEJARAH

Sejarah menurut Bury ialah sains iaitu tidak kurang dan tidak lebih. Beliau lebih kepada fahaman
positivism iaitu menolak nilai dalam pendidikan Sejarah. Memfokuskan kaedah emperikal serta
menggunakan kaedah yang sistematik iaitu kesahan yang tidak boleh diabaikan. Untuk
mempelajari sejarah, mesti dikaji dengan teliti dan dibuat laporan bagi memastikan kesahan.

E. H. Carr (1961) pula menyatakan bahawa sejarah memberikan pengetahuan mengenai manusia
pada masa lampau. Kefahaman ini akan dijadikan panduan dan iktibar untuk menjalani
kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan. Sejarah merupakan dialog antara perkara berlaku
pada masa lalu dan kini. Sejarah juga adalah satu proses yang tidak putus-putus antara ahli
sejarah dengan fakta. Dalam konteks ini, ahli sejarah dan fakta adalah penting antara satu sama
lain. Oleh itu, kepentingan fakta dan ahli sejarah menjadikan sejarah itu istimewa dan boleh
mempengaruhi. Sejarah juga merupakan proses yang berterusan dan tidak berkesudahan di
antara masa kini dan masa lampau. Manusia yang mempelajari sejarah adalah manusia yang
berpengetahuan luas.

2
Nota 2 :
TEORI DAN FALSAFAH ILMU SEJARAH

R. G. Collingwood menyatakan bahawa sejarah merupakan satu bentuk ilmu pengetahuan.


Oleh itu, mengetahui dan mempelajari Sejarah merupaka suatu perkara yang wajar. Sejarah
boleh dianggap sebagai penyelidikan atau penyiasatan atau catatan dan pengalaman manusia
yang sekaligus dapat memberikan pengajaran dan dijadika sebagai pedoman hidup.
Pengetahuan Sejarah dijadikan sebagai sumber kesedaran bagi memperbaiki segala
kelemahan yang ada serta menilai kesilapan berkenaan untuk kehidupan yang lebih pada
masa hadapan kelak. Jadi, sejarah merupakan pengetahuan manusia tentang masa lampau dan
berdasarkan pengetahuan ini, akan dapat dijadikan panduan dan pedoman hidup (Ahmad. A,
2017). Pemikiran Collingwood adalah berteraskan idealism. Collingwood juga berpendapat,
kebolehan sejarah itu untuk berkembang adalah dengan penafsiran bahan bukti atau sumber.
Bukti pula dilakukan melalui siasatan. Menurut Collingwood tujuan asas mempelajari sejarah
dalah untuk mendapatkan pengetahuandari manusia.Kita sebagai manusia seharusnya
mengetahui siapakah kita dan apakah kekuatankita.Jika sejarah tidak diberi perhatian yang
sepatutnya dan tidak menjadikan ia sebagai alatuntuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan
kita,maka sudah pasti kita akan lupa akan asal.

3
Nota 2 :
TEORI DAN FALSAFAH ILMU SEJARAH

Konsep Sejarah

Sejarah merupakan satu cabang ilmu kemanusiaan yang tidak asing pada masa ini.
Walaubagaimanapun, subjek sejarah sering dipertikaian, akan tetapi, pelbagai usaha telah
dilakukan untuk menjadikan sejarah sebagai satu bidang ilmu yang setandig dengan bidang ilmu
lain.

1. Konsep Sejarah sebagai peristiwa

Sejarah adalah peristiwa pada masa lampau dan dianggap sebagai fakta, kejadia ataupun
kenyataan yang benar terjadi pada masa lampau.Peristiwa masa lampau inilah akan dijadikan
panduan dan iktibar dalam menjalani kehidupan pada masa akan datang. Setiap peristiwa yang
telah berlaku itu ada kebaikan dan keburukannya,maka generasi akan datang yang akan
menentukan kehidupan yang akan datang. Contohnya ialah adat masyarakat pada zaman dahulu
masih lagi diamalkan walaupun terdapat perubahan sedikit daripada yang asalnya.Jadi boleh kita
katakan bahawa adat tersebut diketahui melalui sejarahnya.Daripada persoalan inilah,maka sejarah
perlu dipelajari agar sesuatu yang dipusakaiakan terus kekal diwarisi dan tidak hilang daripada
ingatan masyarakat zaman moden.

2. Konsep Sejarah sebagai ilmu

Sejarah sebagai ilmu suatu susunan pengetahuan tentang peristiwa dan cerita yang terjadi dalam
masyarakat manusia pada masa lampau yang disusun secara sistematik. Sejarah dikatakan sebagai
ilmu kerana merupakan pengetahuan masa lampau yang disusun secara sistematik dengan metod
kajian secara ilmiah untuk mendapatkan kebenaran mengenai peristiwa masa lampau.

Kepentingan ilmu Sejarah dipelajari di sekolah

Bila disebut sahaja perkataan Sejarah, mungkin ramai yang akan mengeluh dan mula memikirkan
persepsi-persepsi kurang enak. Bukan menjadi satu rahsia, subjek sejarah yang diajar di sekolah
merupakan antara subjek yang paling kurang diminati oleh kebanyakan pelajar. Pelbagai alasan
diberikan, yang tipikal adalah seperti susah, banyak yang perlu diingat, tidak minat, dan lain-lain
alasan yang menghalalkan mereka untuk mengelak daripada mempelajari subjek ini. Dalam pada
itu, ada juga segelintir pelajar mempersoalkan mengapa perlu belajar Sejarah? Perlukah Sejarah
untuk bekerja nanti? Daripada ini dapat kita lihat betapa subjek ini kurang diminati oleh para
pelajar. Guru berperanan penting dalam menerapkan minat belajar Sejarah dalam kalangan pelajar.
Guru hendaklah menerapkan kemahiran pemikiran Sejarah, imaginasi serta menitikberatkan
empati para pelajar agar mereka dapat menyelami peristiwa terdahalu. Menerapkan nilai cinta
akan negara dan bukannya menekankan kepada pembelajaran untuk lulus peperiksaan semata-
mata. Langkah kerajaan melalui Kementerian Pelajaran yang mewajibkan subjek Sejarah menjadi
salah satu mata pelajaran yang wajib lulus merupakan satu langkah yang bijak. Memang benar,
sejak isu ini dibangkitkan, ramai yang telah memberikan komen, kritikan yang menyokong malah
ada yang membantah cadangan ini.

4
Nota 2 :
TEORI DAN FALSAFAH ILMU SEJARAH

Adakah dengan mewajibkan Sejarah lulus pada peringkat SPM telah membebankan murid? Jika
dilhat dari sudut lain, mewajibkan matapelajaran Sejarah lulus peringkat SPM bukanya
membebankan pelajar dengan menghafal fakta semata-mata. Tetapi, sebagai meningkatkan
semangat cinta akan negara dalam kalangan pelajar. Objektif matapelajaran ini jelas dan guru
hendaklah berperanan dalam meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran Sejarah sekaligus
mempelbagaikan pedagogi pengajaran bagi meningkatkan minat pelajar mempelajari Sejarah.
Menurut Mok Soon Sang (1998), selain daripada perkembangan potensi individu secara
menyeluruh dan seimbang, adalah diharap juga, melalui proses pendidikan, Malaysia dapat
mencapai matlamat pendidikannya seperti melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan boleh
memenuhi kewajipannya sebagai seorang warganegara, melahirkan rakyat yang taat setia kepada
Raja dan cinta kepada negara, melahirkan rakyat yang memahami serta mengamalkan prinsip-
prinsip Rukun Negara dan bersikap toleransi, demi wujudnya perpaduan rakyat berbilang kaum
dan sebagainya.

1. Sejarah membantu mengenali asal-usul sesuatu perkara.

Mengetahui dari mana peristiwa atau sesuatu perkara itu datang adalah penting kerana ia
memberi kita satu keyakinan kerana kita tahu mengapa, di mana dan siapa yang melakukannya.
Kita tidak akan mudah percaya kepada kata-kata, hasutan orang lain jika kita tahu dan faham
sebab-musabab sejarah sesuatu perkara itu. Contoh mudah, ketika kontroversi lagu Negaraku
dahulu dikatakan lagu ciplak, maka ramailah rakyat Malaysia yang bulat-bulat percaya dan mula
memberi komen yang negatif kepada negara sendiri, tanpa mengkaji terlebih dahulu. Ini
memberi peluang kepada musuh-musuh luar untuk menggoyangkan keyakinan kita, dan
seterusnya menggugat keselamatan negara dan diri sendiri.

2. Sejarah dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan

Sejarah dapat mengelakkan diri kita daripada melakukan kesilapan, terutamanya kesilapan yang
boleh merosakkan akhlak dan melanggar orma masyarakat. Sudah tercatat dalam Sejarah bahawa
banyak kesilapan manusia berlaku kerana tidak mengambil iktibar daripada sejarah terdahulu.
Contohnya, melihat kepada perkembangan politik semasa negara,terdapat tindakan sesetengah
pemimpin yang tidak bertanggungjawab, tidak kira yang memerintah mahupun membangkang
ataupun yang bercanggah. Perkara ini berlaku kerana tidak faham dan tidak belajar Sejarah
ataupun tidak mengambil iktibar daripada sejarah terdahulu. Begitu juga dengan masyarakat
pada masa kini, ada yang tidak mengambil iktibar dari sesuatu peristiwa yang telah berlaku,
terutama peristiwa yang kurang enak dan menyayat hati. Misalnya, peristiwa rusuhan yang
berlaku di Plaza Low Yat lebih kurang sama dengan Peristiwa Rusuhan Kaum pada 13 Mei
dahulu. Walaupun peristiwa rusuhan di Low Yat bukan berdasarkan rusuhan kaum, tetapi
peristiwa ini tetap mengembalikan suasana peristiwa yang terdahulu. Keadaan ini
menggambarkan tidak mengambil iktibar daripada peristiwa terdahulu sehingga boleh
mencetuskan rusuhan yang menyebabkan ketidaksefahaman.

5
Nota 2 :
TEORI DAN FALSAFAH ILMU SEJARAH

3. Sejarah membantu berfikir secara kritikal dan kreatif

Kita sedia maklum bahawa Sejarah berkenaan dengan peristiwa pada masa lampau yang
memberikan iktibar dan pengajaran dalam menjalani kehidupan pada masa akan datang. Dalam
pada itu, sejarah turut membantu bertindak secara bijak dan berfikir secara kritikal dan kreatif.
Timbul persoalan seperti adakah Sejarah berguna atau perlu semasa bekerja ataupun melakukan
perkara yang bukan bercorak akademik? Sudah terang lagi bersuluh bahawa Sejarah itu tidak
terbatas kepada ruang lingkup ketika peristiwa yang disebutkan itu berlaku. Ini bermakna,
sejarah adalah rantaian peristiwa yang berterusan dan berkembang. Oleh itu, dapat disimpulkan
bahawa sejarah itu bukanlah bersifat statik. Sebagai contoh, peristiwa pemisahan Singapura
dari Malaysia umpamanya. Intipati yang diperoleh daripada peristiwa ini sememangnya amat
berguna dan boleh dijadikan iktibar da pengajaran dalam kehidupan seharian. Sifat pentingkan
diri Singapura telah menyebabkan pemisahan ini. Moral daripada peristiwa ini ialah, kadang
kala kawan boleh jadi lawan. Semangat setiakawan dan berpasukan, toleransi dan
persefahaman perlu ada untuk mengelakkan perpecahan dan saling bermusuhan. Amalan ini
boleh dipraktikkan semasa di tempat kerja dan dalam masyarakat kerana amalan sebegini amat
penting untuk dipratikkan khususnya di negara yang berbilang kaum supaya memupuk
persefahaman dan silaturahim yang utuh sekaligus mengeratkan perpaduan.

4. Melahirkan murid yang berjiwa patriotik

Malaysia sememangnya terkenal dengan masyarakat majmuk yang berbilang kaum, bangsa dan
agama. Sejarah telah banyak mengajar erti perjuangan tokoh-tokoh tanah air terdahulu yang
berjuang mempertahankan negara dan bangsa daripada musuh, peristiwa kemerdekaan di mana
perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan dan banyak lagi telah banyak mengajar erti
semangat patriotik. Peristiwa masa lalu dijadikan pengajaran dan panduan dalam hidup.
Melalui mata pelajaran Sejarah, akan memberi pendedahan kepada pelajar untuk menyelami
perjuangan tokoh negara terdahulu dalam mempertahankan negara serta dapat memupuk
semangat cintakan negara. Bukan sekadar menghafal fakta ataupun untuk lulus semata-mata,
tetapi mata pelajaran ini perlu difahami dengan lebih mendalam supaya menimbulkan empati
dalam diri pelajar serta panduan dalam menempuhi kehidupan seharian. Dalam pada itu,
Sejarah juga memberikan pendedahan menganalisis dan menilai fakta secara matang.
Contohnya kandungan mata pelajaran Sejarah disusun secara kronologi yang membincangkan
pengenalan sejarah awal negara, kedaulatan negara dan kemakmuran negara. Melalui kronologi
sebegini, pelajar akan dapat menganalisis serta menilai fakta dengan cepat tanpa mudah keliru.
Seterusnya, imaginasi dan empati akan menimbulkan rasa seronok pelajar untuk belajar
Sejarah. Tambahan pula, pedagogi guru yang berubah ke arah pembelajaran abad ke-21 akan
menimbulkan lagi minat pelajar belajar Sejarah.

6
Nota 2 :
TEORI DAN FALSAFAH ILMU SEJARAH

Isu dan Cabaran Pendidikan Sejarah

1. Objektif kurikulum sejarah sekolah rendah

Sejak mata pelajaran sejarah menjadi mata pelajaran teras yang wajib diambil oleh murid
sekolah menengah sehinggalah mata pelajaran sejarah diangkat martabatnya menjadi mata
pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia terdapat pelbagai perubahan yang
berlaku dalam kurikulum sejarah itu sendiri. Jika dahulu kurikulum sejarah adalah terangkum
dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan dan Kurikulum Standard Sekolah
Menengah (KSSM) untuk sekolah menengah. Transformasi kurikulum Sejarah yang telah
dilaksanakan mulai 2014 ialah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) untuk sekolah
rendah dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) untuk sekolah menengah. Di
sekolah rendah,Mata pelajaran Sejarah mula diajar kepada murid tahap dua iaitu tahun 4
(Baharuddin, M. H. et al, 2016). Kurikulum Standard Sekolah Rendah mata pelajaran Sejarah
membolehkan murid memahami tingkah laku manusia, sebab dan akibat, keunikan sejarah tanah
air dan kegemilangan negara bagi melahirkan warganegara yang patriotik dan menjunjung
amalan demokrasi di Malaysia. (KPM, 2014). Matapelajaran sejarah diperkenalkan untuk
memberi penekanan kepada pembangunan insaniah murid di samping pemupukan nilai-nilai
murni dan semangat kewarganegaraan. Kurikulum Sejarah dalam KSSM pula adalah lebih
kepada pengetahuan dan pemahaman sejarah Malaysia, pembinaan negara bangsa dan sejarah
negara luar. Pendekatan kronologi digunakan untuk pengkajian sejarah bermula dari zaman
prasejarah sehingga masa kini yang disusun berdasar rentetan peristiwa. Transformasi dilakukan
dari segi reka bentuk kurikulum, organisasi kurikulum, kandungan kurikulum dan penekanan
kepada kemahiran abad ke-21 (Baharuddin, M. H. et al, 2016).

2. Pengajaran dan pembelajaran abad ke-21

Sistem pendidikan Malaysia perlu ditransformasikan secara menyeluruh bagi memenuhi hasrat
dan aspirasi membangunkan modal insan kelas pertama sebagai persediaan menghadapi cabaran
abad ke-21. Tambahan pula, Sejarah merupakan mata pelajaran wajib lulus di peringkat SPM
dan sering dikatakan subjek yang susah dan membosankan dalam kalangan pelajar. Oleh itu,
bagi menarik minat pelajar belajar Sejarah, corak pengajaran mestilah berubah selaras dengan
perkembangan abad sekarang. Dewasa kini, pelajar lebih terdedah kepada penggunaan teknologi
yang canggih. Oleh itu, pendekatan pembelajaran abad ke-21 sememangnya bersesuaian dalam
pengajaran dan pembelajaran Sejarah. Menurut Baharuddin, M. H. et al (2016), menggariskan
kemahiran belajar abad ke-21 adalah seperti kemahiran maklumat dan komunikasi, kemahiran
berfikir dan menyelesaikan masalah serta kemahiran interpersonal dan arah kendiri. Kemahiran
berkomunikasi dan literasi maklumat serta media merupakan perkara yang penting dalam
pembelajaran abad ke-21. Kebanyakan pelajar arif dengan menggunakan teknologi dan ini
merupakan satu langkah yang bijak untuk berkomunikasi dengan pelajar seperti membincangkan
sesuatu topik pembelajaran melalui aplikasi seperti google plus, telegram, whatssapp dan
facebook group. Pelajar yang malu bertanya di dalam kelas mempunyai kelebihan dalam
perbincangan melalui alam maya kerana komunikasi ini tidak bersua muka.Pembelajaran abad

7
Nota 2 :
TEORI DAN FALSAFAH ILMU SEJARAH

ke-21 seperti kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah merupakan satu langkah yang bijak
dalam menarik perhatian pelajar (Baharuddin, M. H. et al, 2016). Kemahiran berfikir dapat
menyuntik idea pelajar serta meningkatkan kreativiti mereka dalam menyelesaikan masalah.

Seterusnya, guru abad ke-21 seharusnya mempunyai ciri-ciri seperti PPIK (Pengetahuan
Pedagogi Isi Kandungan), mengesan perkembangan murid-murid dan menyokong mereka,
memahami psikologi pembelajaran (Cognitive Psychology), memiliki kemahiran kaunseling, dan
menggunakan teknologi terkini (Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM, 2014). Guru
hendaklah mempunyai kemahiran seperti ini agar dapat menggalas pedagogi pembelajaran abad
ke-21. Kemahiran penggunaan teknologi terkini serta kaunseling merupakan pendekatan yang
terbaik dalam menarik minat pelajar belajar Sejarah. Manakala, Shulman (1987) menyatakan
bahawa pengetahuan pedagogi isi kandungan (PPIK) merupakan satu jenis pengetahuan yang
unik bagi seseorang guru dan ia berdasarkan kepada guru mengaitkan pengetahuan pedagogi
(pengetahuan tentang cara mengajar) yang dimiliki kepada pengetahuan isi kandungan (apa yang
perlu diajar). Integrasi kedua-dua jenis pengetahuan tersebut menghasilkan pengetahuan
pedagogi isi kandungan. Konsep PPIK adalah untuk membolehkan seorang guru mengajar
dengan berkesan dan ianya memerlukan satu siri pengetahuan dan kemahiran khas. Mempunyai
pengetahuan isi kandungan yang mendalam merupakan syarat utama yang mesti dipatuhi semua
guru.

3. Kualiti guru Sejarah

Pembangunan modal insan yang berkualiti adalah melalui keberhasilan pendidikan. Modal insan
yang dibangunkan tidak seharusnya dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran
semata-mata, tetapi hendaklah diperkukuh dengan akhlak terpuji dan nilai-nilai murni. Di
peringkat sekolah, faktor yang menjadi penentu kepada keberhasilan seseorang murid adalah
bergantung pada kualiti seorang guru. Guru yang berkualiti dan bersedia menghadapi cabaran
abad ke-21 menjadi sandaran KPM untuk merealisasikan transformasi pendidikan negara seperti
di hasrat melalui PPPM 2013-20251. Guru mempunyai tanggungjawab dan amanah yang besar
kerana peranan dan komitmen yang tinggi amat diperlukan untuk menggalas tugas yang lebih
mencabar bagi menghadapi keperluan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21. Bagi mencapai
hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad-21, seseorang
guru perlu menguasai pelbagai bidang. Perkara ini di tegaskan oleh Zamri Mahamod et al.
(2013), penguasaan pelbagai aspek seperti mengikuti perkembangan tentang dasar dan isu
pendidikan, penguasaan subjek iaitu kandungan kurikulum, mahir dan berketerampilan dalam
pedagogi untuk proses pengajaran dan pembelajaran, menggunakan teknologi terkini dan
menerapkan nilai-nilai murni bagi tujuan pembentukan akhlak dan sahsiah yang baik perlu
diutamakan.Aspek berikut perlu dikuasai oleh setiap guru termasuk guru sejarah untuk
menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, menyeronokkan, kreatif dan inovatif.
Anuar Ahmad et al.(2009), keberkesanan mata pelajaran Sejarah bergantung kepada perancangan
dan kualiti guru Sejarah. Guru Sejarah yang baik akan menunjukkan kebolehan dan keupayaan
dari segi kualiti diri, sosial dan profesional.

4. Menguasai pedagogi abad ke-21

8
Nota 2 :
TEORI DAN FALSAFAH ILMU SEJARAH

Cabaran kepada pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 juga bertumpu kepada kemahiran
pengajaran guru. Penguasaan terhadap kaedah, pendekatan, teknik dan strategi pengajaran atau
pengetahuan pedagogi perlu ditingkatkan oleh semua guru termasuklah guru sejarah.
Penggunaan pelbagai teknik dan pendekatan untuk menyampaikan pengajaran kepada murid
mestilah sesuai dan lebih berkesan supaya matlamat pengajaran dan pembelajaran sejarah dapat
dicapai. Kemahiran guru dalam menyampaikan pengajaran amat mempengaruhi pencapaian
akademik dan kefahaman pelajar dalam mata pelajaran Sejarah. Kepelbagaian teknik pengajaran
akan membangkitkan perasaan positif murid terhadap pembelajaran. Pedagogi abad ke-21 lebih
berpusatkan murid, guru berperanan sebagai fasilitator pembelajaran dan pembekal maklumat.
Antara pedagogi abad ke-21 yang perlu diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran abad
ke-21 seperti kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) , penggunaan teknologi, refleksi serta
penialaian. Menurut Pushpalatha Sivamugam (2006), mengajar sejarah menggunakan KBAT
dapat membantu murid meningkatkan kemahiran pemikiran sejarah seperti memahami
kronologi, meneroka bukti, dan membuat interpretasi, imaginasi serta rasionalisasi. Penyampaian
isi pengajaran secara kreatif, aktif dan komunikatif akan memberi makna dan membantu
meningkatkan prestasi pelajar.

5. Kemahiran penggunaan media dan teknologi maklumat terkini

Guru abad ke-21 perlu lebih proaktif dengan melengkapkan diri supaya lebih berketerampilan
dengan menguasai kemahiran menyampaikan ilmu dengan menggunakan teknologi terkini.
Tujuan pembelajaran abad ke-21 adalah untuk melahirkan modal insan kelas pertama yang mahir
dalam komunikasi, mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi serta mahir dalam penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Pengajaran sejarah yang pasif tanpa berbantukan
teknologi maklumat terkini semestinyaakan membosankan pelajar. Terdapat pelbagai kajian
yang dilakukan yang mencadangkan transformasi dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah
dengan mempelbagaikan penggunaan sumber teknologi berasaskan multimedia (Mohamad Johdi
Salleh &Ariegusrini Agus. 2009). Guru abad ke-21 tidak boleh lari daripada menggunakan ICT
dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kajian lepas menunjukkan penggunaan sumber
berasaskan multimedia iaitu sumber digital sejarah seperti rakaman audio dan video, imej, dan
filem sejarah dilihat dapat menimbulkan minat mereka terhadap mata pelajaran Sejarah dan
meningkatkan kreativiti murid untuk mencari maklumat atau sumber sejarah seperti dokumen,
rekod bertulis, foto dan artifak (Renuka Ramakrishnan et al. 2013). Pengajaran dan pembelajaran
yang berbantukan laman sosial seperti aplikasi Facebook, Whatsapp, Telegram, Instagram,
Google Plus, Blogdan sebagainya perlu ditingkatkan dan diaplikasikan secara meluas. Pelajar
perlu digalakkan melayari internet bagi pencarian maklumat baru berkaitan topik pengajaran
semasa. Penggunaan laman sosial dalam pengajaran dan pembelajaran menunjukkan
keberkesanan dalam meningkatkan motivasi dan kefahaman pelajar mengenai sejarah.

6. Penguasaan subjek (kandungan kurikulum)

9
Nota 2 :
TEORI DAN FALSAFAH ILMU SEJARAH

Berhadapan dengan pelajar abad ke-21 penuh dengan cabaran kerana mereka akan sentiasa
bertanya dan cuba membandingkan fakta atau sumber maklumat yang mereka peroleh dengan
pengetahuan guru. Pelajar pada alaf 21 ini lebih pantas mengakses maklumat kerana mereka
lebih terdedah kepada kepesatan teknologi. Cabaran baru bagi guru sejarah kini adalah berkaitan
dengan fakta-fakta baru sejarah yang timbul. Oleh itu guru sejarah perlu bersedia dengan
penguasaan subjek terutamanya kandungan kurikulum sejarah itu sendiri untuk berhadapan
dengan situasi seperti ini. Melalui kajian oleh (Baharuddin, M. H. et al (2016) di dalam Kamarol
Baharen & Johan @ Eddy Luaran(2011),menegaskan bahawa penguasaan kandungan kurikulum
perlu ditingkatkan oleh guru sejarah supaya dapat memberi maklum balas yang positif dan
memenuhi keperluan ingin tahu murid. Gurumata pelajaran Sejarah harus menguasai
pengetahuan yang mendalam dan pelbagai dalam bidang ini untuk memastikan proses
pengajaran dan pembelajaran sejarah abad ke-21 dapat dilaksanakan dengan lancar.

Langkah menggalakkan minat pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah

1. Meningkatkan profesionalisme guru

Cabaran abad ke-21 memerlukan guru sejarah bersedia untuk menerima idea-idea baru dengan
pemikiran yang positif. Tahap profesionalisme guru sejarah perlu ditingkatkan mengikut
keperluan semasa. Antara aspek untuk meningkatkan profesionalisme, guru perlu sentiasa peka
dengan setiap perubahan dasar yang berlaku dalam sistem pendidikan serta memahami matlamat,
visi dan misi yang ingin dicapai.Selain itu, guru sejarah harus menjadi lebih kreatif dengan
mencipta inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran seiring dengan keperluan abad ke-21.
Tahap profesionalisme juga dapat dipertingkatkan dengan menghadiri kursus, seminar, bengkel,
lawatan dan sebagainya. Melalui cara ini pengetahuan dan kemahiran dalam proses pengajaran
dan pembelajaran dapat ditingkatkan dari masa ke semasa.

2. Menyediakan latihan serta meningkatkan infrastruktur

Guru merupakan golongan pelaksana maka setiap perubahan dasar yang berlaku memerlukan
sokongan yang padu daripada mereka. Persediaan dari segala aspek perlu dilakukan agar
perubahan yang dirancang dapat dijayakan. Oleh itu, pihak KPM perlu menyediakan latihan
yang memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 terutamanya dari aspek
pedagogi, kokurikulum, penyelidikan, ICT, kemahiran generik dan sebagainya. Proses
pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 yang berorientasikan kemahiran ICT menggalakkan
penggunaan komputer, notebook atau tab untuk mencari maklumat serta komunikasi secara atas
talian (online). Oleh itu, pihak kerajaan dan pihak sekolah perlu bekerjasama untuk
meningkatkan kemudahan ICT dan rangkaian jalur lebar serta kemudahan yang diperlukan
dalam bilik darjah abad ke-21. Seterusnya, sokongan daripada pihak ibu bapa juga diperlukan
dan mereka juga perlu peka terhadap perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan supaya
segala perancangan yang dilakukan oleh pihak sekolah dapat dijayakan dan pelajar turut
memperoleh manfaat daripadanya.

10
Nota 2 :
TEORI DAN FALSAFAH ILMU SEJARAH

3. Penyusunan semula kurikulum Sejarah

Penyusunan dan penstrukturan semula kurikulum sejarah perlu dilakukan untuk meningkatkan
taraf profesionalisme guru dengan menggunakan kaedah dan strategi pengajaran terkini yang
bersesuaian dengan keperluan pelajar abad ke-21. Langkah ini dilakukan untuk menyediakan
pelajar yang mempunyai kecekapan berkomunikasi, penerapan kemahiran berfikir, penggunaan
teknologi maklumat dan mengembangkan potensi pelajar. Isi kandungan pelajaran sejarah tidak
diubah cuma penyusunan semula kurikulum dilakukan supaya kurikulum yang sedia ada dapat
diselarikan dengan keperluan kemahiran abad ke-21 seperti kemahiran menggunakan ICT,
KBAT, dan kemahiran insaniah. Kurikulum sejarah yang lebih menjurus kepada penghafalan
fakta dan menggunakan kaedah konvensional itu perlu diubah kepada pendekatan yang lebih
menarik untuk menggalakkan murid berfikir secara kritis dengan membuat perkaitan terhadap
sesuatu peristiwa.

Kesimpulan

Hidup dikelilingi sejarah. Sejarah adalah satu rekod, rekod yang sentiasa bergerak. Sejarah boleh
dijadikan iktibar dan pengajaran untuk panduan masa kini dan masa hadapan. Dengan
mempelajari sejarah, generasi kita dapat memupuk semangat patriotisme serta bangga akan
negara sendiri. Disamping itu, sejarah juga membantu kita menghargai serta memelihara
kemerdekaan dan kedaulatan negara. Pendidikan abad ke-21 yang diterapkan adalah bersesuaian
dengan konteks tempatan supaya dapat membentuk pelajar yang mempunyai jati diri kuat dan
menjadi warganegara yang baik. Oleh itu, Sejarah merupakan matapelajaran yang penting diajar
di sekolah, selain dapat memberi ilmu pengetahuan, sejarah juga berperanan sebagai panduan
dalam menjalani kehidupan. Hal ini kerana, generasi muda dewasa kini banyak terlibat dengan
pelbagai masalah. Oleh itu, adalah penting pelajar perlu memahami Sejarah supaya tidak
mengulangi perbuata yang sama serta dapat menjadikan sejarah sebagai iktibar dalam kehidupan.

11

Anda mungkin juga menyukai