Anda di halaman 1dari 6

HUJAH BERTULIS BERSERTA GAMBAR BUKTI YANG DIKEMUKAKAN OLEH PN.

LESIUM BINTI
LUMIN

Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Arif Mahkamah Anak Negeri,
barisan penguasa Adat Anak Negeri serta semua yang hadir pada hari ini.

Seperti yang kita sudah maklum bahawa saya, Lesium Lumin telah hadir ke mahkamah ini
beberapa bulan yang lalu bagi memohon budi bicara daripada pihak Mahkamah Anak Negeri di
sini agar dapat membantu saya untuk mengamati seterusnya menyelesaikan masalah diantara
saya dan suami saya iaitu En. Ekos Maidin sepertimana yang akan saya terangkan sebentar lagi
melalui hujah bertulis yang akan dibacakan ini. Berikut merupakan kronologi tentang
permasalahan yang saya maksudkan:

1. Perkara yang akan saya bangkitkan di hadapan Mahkamah Anak Negeri pada hari ini
sebenarnya telah berlaku sejak tahun 2016 apabila suami saya iaitu En. Ekos Maidin telah
menyatakan hasratnya untuk berkahwin lagi namun saya sengaja tidak mengambil pusing
walaupun pada waktu itu saya sebenarnya sakit hati dan risau apabila memikirkan nasib yang
bakal menimpa kepada anak-anak kami.

Pada masa yang sama, tekanan saya semakin bertambah memandangkan suami seolah-olah
sengaja ingin mengeruhkan lagi masalah tersebut dengan melemparkan tuduhan tidak berasas
yang mengatakan kononnya saya telah menghempaskan telefonnya dan berniat ingin
mencederakannya dengan parang. Sebenarnya pada waktu itu (sebelah pagi, di rumah kami) saya
sedang mengejar masa untuk ke kebun bagi membersihkan kawasan sawit yang sudah semakin
semak. Walaubagaimanapun, sebelum berangkat ke kebun saya telah meminta agar suami
menjaga anak bongsu kami yang juga merupakan pemegang Kad OKU serta memerlukan
perhatian yang khusus. Tetapi setelah memanggil beberapa kali, suami saya tetap tidak menyahut
seolah-olah dia langsung tidak dengar panggilan saya sedangkan jarak kami tidaklah jauh. Setelah
masuk ke dalam rumah saya mendapatinya begitu fokus menekan telefonnya. Dengan perasaan
geram saya telah menghampirinya dan cuba merampas telefon yang sedang dipegangnya.
Sebelum saya sempat memegang telefon itu, dengan tiba-tiba suami telah menghempaskan
telefonnya ke lantai dan mengugut sambil menengking saya dengan mengatakan bahawa dia
akan menjual semua geran tanah untuk tujuan mahu berkahwin lagi lalu meninggalkan kami.

Saya beranggapan bahawa tindakannya itu dilakukan kerana tidak mahu saya mengetahui rahsia
dalam perbualannya bersama seorang perempuan sehingga menyebabkan telefon itu pecah
kerana hentakan yang kuat. Secara kebetulan sekali, saya tidak menyedari bahawa saya sedang
memegang parang yang akan saya gunakan untuk menebas di kebun sawit kami dan saya
benar-benar lupa untuk menyimpannya terlebih dahulu kerana pada awalnya saya akan terus
berangkat ke kebun sebaik sahaja memberitahu berkenaan perihal menjaga si anak bongsu.

Hal tersebut kemudian diceritakannya kepada keluarganya dengan mengatakan bahawa saya
cuba mencederakannya padahal suami langsung tidak mengalami apa-apa kecederaan
sepertimana pertuduhannya keatas saya kerana sememangnya tiada sedikitpun niat untuk mahu
mencederakannya pada ketika itu. Malah suami juga telah menyampaikan cerita yang tidak tepat
kepada keluarganya dengan menterbalikkan kejadian sebenar iaitu dengan tuduhan kononnya
saya telah merampas lalu menghempaskan telefonnya ke lantai padahal dia sendiri yang
melakukannya .
2. Selepas kejadian itu, suami telah meminta agar saya menyerahkan geran tanah yang telah
diberikan / diwariskan oleh abangnya kepada keluarga kami suatu ketika dulu. Untuk
pengetahuan, Geran tanah tersebut masih atas nama abang kepada suami saya iaitu, En. Madihil
Maidin sehingga kini. Namun, saya berkeras untuk tidak menyerahkan geran yang dimaksudkan
kerana mengingat kata-katanya yang akan menjual tanah itu sebaik sahaja selesai urusan tukar
nama pemilik geran seterusnya berkahwin lagi dan akhirnya akan meninggalkan saya serta 3
(tiga) orang anak kami dalam keadaan sehelai sepinggang tanpa apa-apa kawasan tanah sebagai
mata pencarian. Berikutan dengan itu, saya telah meminta bantuan daripada kakak saya untuk
memegang dan menyimpan geran tanah tersebut buat sementara waktu kerana khuatir suami
saya akan menjumpai geran tanah yang sengaja saya sembunyikan itu. Setelah dia mengetahui
bahawa geran berada dalam simpanan kakak saya, maka suamipun dengan membabi-buta sekali
lagi menuduh kononnya saya telah bersekongkol dengan Kakak saya menjual geran tanah
tersebut.

Berdasarkan tuduhan itu, saya ingin bertanya kepada suami saya; atas dasar apa dan dimanakah
logiknya sehingga kami dikatakan memiliki hak untuk menjual geran tanah tersebut sedangkan
penama dalam geran masih sah dimiliki oleh En. Madihil Maidin? Apakah pihak Jabatan Tanah
dengan begitu senangnya akan melepaskan hak En. Madihil Maidin kepada kami tanpa melalui
proses pertukaran nama mengikut prosedur dalam jabatan mereka? Ataukah tuduhan itu
sebenarnya sedang menunding kepada tahap pengetahuan dia sendiri berkenaan hal tersebut?
Malah tidak keterlaluan jika saya memulangkan andaian bahawa kemungkinan dia telahpun
membuat laporan polis dengan mengklasifikasikan geran tanah itu sebagai 'hilang/dicuri' agar.
Jika perkara itu telah dia lakukan maka pada hari ini saya dan kakak saya ingin menyangkalnya di
hadapan mahkamah berserta hujah-hujah saya sebelum dan selepas ini.

Walaupun terpaksa menghadapi pertuduhan tidak masuk akal itu, saya hanya masih menawarkan
untuk menyerahkan geran tanah tersebut kepadanya (Ekos Maidin) tetapi hanya selepas urusan
pertukaran penama dibuat dan juga menetapkan supaya penama di dalam geran tersebut
mestilah diganding bersama nama suami serta salah seorang anak kami namun dia tetap
menolak. Bukan itu sahaja malah suami saya sendiri pernah suatu ketika dulu menjanjikan kepada
saya agar tanah berstatus NT (Native Title) yang saya uruskan itu diberikan kepada saya
sementara geran tanah berstatus CL (Comunal Title) dalam geran kampung adalah milik suami.
Namun kini saya percaya bahawa dia akan menolak dan malah tidak akan mengakui bahawa dia
pernah menjanjikan yang sedemikian rupa. Sebaliknya menginginkan agar kedua-dua geran harus
dimilikinya seorang diri tanpa digandingkan kepada sesiapa. Perkara ini lebih menguatkan lagi
andaian saya bahawa dia benar-benar nekad mahu menjual tanah tersebut kerana sepanjang
pengetahuan saya, adalah menjadi penghalang untuk melancarkan proses penjualan tanah
sekiranya salah seorang daripada penama yang berganding dalam suatu geran itu tidak
menyetujuinya.

Untuk pengetahuan pihak mahkamah juga, geran tanah berstatus NT tersebut telah saya
usahakan dengan tanaman getah sejak awal tahun 2000 sementara lot tanah milik suami di
kawasan berasingan (termasuk dalam geran komunal kampung) telah saya usahakan dengan
tanaman sawit sejak kira-kira 7 tahun lepas dan kini sudah mengeluarkan hasil yang merupakan
sumber pendapatan keluarga terutamanya bagi menampung kos pengajian anak nombor dua
kami (Azira Ekos) yang sedang melanjutkan pelajaran di UMS pada ketika ini. Pendek kata,
kedua-dua kawasan kebun tersebut mungkin tidak akan wujud sepertimana hari ini sekiranya saya
tidak memaksa diri dengan menggandakan usaha untuk bekerja memandangkan suami lebih
memilih untuk tinggal di rumah setiap hari dengan alasan mengambil-alih tugas menjaga anak
kami meskipun dia menjaganya dalam keadaan terpaksa demi mengelak untuk bekerja di kebun.

Sememangnya saya tidak menafikan keadaan bahawa sekali sekala dia turut membantu
mengusahakan tanaman getah dan sawit yang saya maksudkan sebentar tadi. Namun jika boleh
diukur dengan ukuran angka, saya berani mengatakan bahawa usahanya hanya 2/10 sahaja
berbanding usaha yang saya lakukan selama ini sehinggalah dia turut merasakan hasilnya pada
hari ini.

Walaupun demikian, saya faham dan sedia maklum bahawa sebagai isteri sebenarnya saya tiada
hak untuk mempertahankan geran tersebut memandangkan pada kebiasaannya hak terhadap
harta keluarga diprioritikan oleh seorang suami yang adalah ketua keluarga. Namun, dalam hal ini
saya terpaksa mengambil-alih tanggungjawab tersebut dengan cara mempertahankan tanah yang
hanya sekangkang kera itu daripada dijual untuk kepentingan dirinya disamping tidak ingin segala
usaha yang saya lakukan selama ini menjadi sia-sia dan menyebabkan kami kehilangan sumber
pendapatan. Lebih-lebih lagi saya tidak ingin anak-anak saya menjadi pelarian di tempat sendiri
pada masa akan datang hanya kerana tidak mempunyai tanah untuk mereka usahakan kelak.

3. Sehingga hari ini, masalah tetap berlarutan apabila suami seolah-olah tidak lagi menjalankan
tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga sebaliknya meletakkan sepenuhnya bebanan tersebut
kepada saya. Jika sebelum ini dia masih boleh berkerjasama untuk menolong saya menjaga anak
bongsu kami sementara saya ke tebasan / kebun pada setiap hari. Namun sejak akhir-akhir ini,
saya menghadapi kesulitan untuk bergerak bagi meneruskan pekerjaan harian kerana beliau
sering tiada di rumah dan berada di pekan keningau atau Kota Kinabalu dengan alasan
menjalankan urusan penting yang tidak pernah saya ketahui. Bahkan saya menduga bahawa dia
sebenarnya sedang bersenang-lenang menemui kekasihnya memandangkan dia sendiri pernah
mengakui bahawa dia sudah mempunyai perempuan lain selain saya. Tambahan pula saya
merasakan bahawa kegiatannya itu tidak pernah dilarang oleh sebilangam ahli keluarganya malah
ada yang cuba mencadangkan kepada saya agar membenarkannya untuk berkahwin lagi.

Bukan itu sahaja malah saya juga pernah mendengar berita yang mengatakan mereka pernah
terserempak dengan suami bersama seorang perempuan yang tidak dikenali. Bahkan bukti lain
turut saya perolehi secara tidak sengaja termasuklah menangkap layar (screenshoot) perbualan
melalui WhatsApp di antara suami dan perempuan tersebut (Gambar Lampiran). Selain itu, saya
secara tidak sengaja telah mendapati bahawa dia menyimpan benda yang tidak sepatutnya (Paket
Kondom) di dalam dompet miliknya namun saya memutuskan untuk menyimpannya secara
diam-diam kerana tidak mahu menimbulkan spekulasi negatif yang pastinya akan lebih
memperbesarkan lagi masalah kami pada ketika itu.

Jika mengikutkan hati, sebenarnya saya merasa amat kecewa dan sakit hati diperlakukan
sedemikian rupa namun saya tidak akan menghalang niat buruknya itu walaupun saya tahu
bahawa rumahtangga kami sedang diambang kehancuran. Dan saya bertekad akan terus menjaga
anak-anak kami yang merupakan sumber kekuatan saya pada ketika ini tanpa menuruti perasaan
yang pastinya boleh menghancurkan saya sendiri.

4. Berikutan dengan kesemua masalah yang telah saya nyatakan di atas, telah berlaku pergaduhan
mulut antara saya dan suami pada tarikh 23 November 2021 di rumah kami. Antara hal yang
dibangkitkan suami sememangnya berkenaan geran tanah dan hal rumahtangga kami yang mana
suami saya mengatakan sambil berteriak-teriak dan kemungkinan besar disaksikan oleh jiran yang
tinggal berhampiran bahawa dia akan menceraikan saya dan seterusnya menghalau saya supaya
pulang ke rumah orang tua saya di Entilibon, Telupid.

Pada hari itu juga saya menelefon mama dan kakak saya berhubung perbuatan suami
sehinggakan dia sempat bertengkar dengan Kakak saya dalam panggilan telefon tersebut.
Berikutan dengan itu, pada 25 November 2021 Mama saya berserta beberapa adik-beradik serta
ahli keluarga saya yang berasal daripada Entilibon, Telupid telah datang ke Kg. Kipaliu Baru iaitu
tempat kami menetap sekarang bagi membincangkan permasalahan ini di hadapan ketua
kampung. Namun suami saya seolah-olah mengelak tanpa sebarang alasan yang jelas dengan
tidak menghadirkan pada hari tersebut. Satu panggilan telefon telah dibuat oleh K.K En. Patrick
Asumat kepada suami saya untuk bertanyakan berkenaan masalah kami suami-isteri. Di dalam
perbualan tersebut suami saya menyatakan bahawa dia tidak mahu masalah itu diselesaikan di
peringkat kampung malah berperilaku seolah-olah memandang rendah tugas dan fungsi seorang
Ketua Kampung dengan menyatakan bahawa masalah ini tidak akan mampu diselesaikan jika
tidak melalui mahkamah. Maka dengan itu, saya telah membawa masalah ini dihadapan Yang Arif
untuk diselesaikan pada hari ini.

PENUTUP

Walaubagaimanapun, di hadapan pihak mahkamah ini saya ingin memohon budi-bicara kepada
Yang Arif dengan menegaskan sekali lagi pendirian serta beberapa permintaan yang harus
ditunaikan oleh suami selepas proses mahkamah ini selesai. Antaranya ialah:

01. Sama ada diceraikan atau tidak setelah ini, pihak keluarga saya akan menuntut agar suami
saya menjelaskan sejumlah wang tunai yang masih belum dilunaskan iaitu segala permintaan
yang telah dipersetujui bersama semasa tunang termasuklah Sogit, Belanja Dapur dan lain²:

Catatan:

A) Belanja Dapur: _____________

B) Kotoldiban: _____________

C) Kotoldikudan: _____________

D) Sogit Kinopuunan (M) Lumin: ______________

E) Kinaldapaan: _______________

Catatan: Dalam bahagian ini merupakan permintaan saya sendiri sebagai isteri. Saya meminta
sogit kaldapaan kerana suami telah mempunyai niat untuk berkahwin lain sejak sekian lama.
Menurut kepercayaan adat turun temurun, saya percaya bahawa perkara ini telah secara tidak
langsung mendatangkan kesan yang tidak baik ke atas kesihatan saya selama ini termasuklah
keadaan yang menimpa keatas beberapa anak kami yang lahir dalam keadaan kurang sempurna
adalah disebabkan niat suami yang minadldapau (ingin berkahwin lain).

02. Sekiranya dia (Ekos Maidin) mahu berkahwin lain dan ingin menceraikan saya, maka saya
memohon kepada pihak mahkamah agar membenarkan saya bersama 3 (tiga) orang anak saya
untuk tetap tinggal di rumah yang kami diami sekarang dan secara tidak langsung suami saya
akan kehilangan hak ke atas rumah tersebut. Ini bermaksud dia dan perempuan itu harus mencari
tempat tinggal yang lain.

03. Sekiranya dia menceraikan saya, segala jenis perbelanjaan sepanjang pengajian Anak kedua
kami (Azira Ekos) yang sedang melanjutkan pelajaran di UMS adalah masih dibawah
tanggungjawab kami bersama. Suami tidak boleh melepaskan tanggungjawabnya begitu sahaja.

04. Berhubung dengan hak pemilikan geran tanah berstatus NT, saya memohon agar Anak Kedua
(Azira Ekos) saya mestilah mendapat sebahagian (6 Ekar) daripada tanah tersebut bagi
menggantikan saya sepertimana yang pernah dijanjikan oleh suami suatu ketika dahulu. Dan disini
saya ingin menegaskan bahawa tanah yang pernah saya perjuangkan dan usahakan itu tidak
sesekali boleh dijual atau dipindah milik. Sekiranya dibenarkan, saya memohon budi-bicara pihak
Mahkamah untuk menggesa semua mereka yang terlibat agar proses tukar nama dilakukan dalam
tempoh terdekat bagi mengelakkan penyelewengan berlaku dan penamaan adalah seperti yang
saya persetujui iaitu dengan menyertakan Azira Ekos selaku ganding dalam geran itu.

05. Akhir sekali, saya ingin menuntut pampasan sebanyak RM 600 setiap bulan tanpa gagal
sebagai ganti rugi segala usaha yang saya lakukan selama ini (Getah & Sawit). Sekali lagi saya
mengingatkan bahawa kedua-dua kebun tersebut tidak akan wujud sepertimana pada hari ini
sekiranya saya tidak memaksa diri untuk berhempas-pulas mengusahakannya selama ini.

Dengan itu, setakat disini sahaja dulu hujah dan penerangan yang saya pada hari ini meskipun
sebenarnya masih begitu banyak perkara yang ingin saya sampaikan. Namun saya percaya
bahawa dengan beberapa hujah utama saya tadi sudah memadai untuk dijadikan panduan dalam
menelusuri kes ini dan sentiasa bersedia untuk bekerjasama sekiranya masih terdapat data yang
diperlukan oleh pihak mahkamah setelah ini.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,

_________________
(LESIUM LUMIN)
GAMBAR BUKTI

Bukti: Telefon bimbit milik suami yang dihempaskan

Bukti: Paket Alat Pencegah Kehamilan (Kondom) yang disimpan di dalam dompet

Anda mungkin juga menyukai