Anda di halaman 1dari 1

KEPENTINGAN DAN KESAN NEGATIF

TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (TMK)

Era globalisasi yang melanda dunia tidak akan lengkap tanpa kewujudan perkembangan
teknologi maklumat. Tidak dinafikan bahawa teknologi maklumat membawa dimensi baru yang
pelbagai pada corak kehidupan manusia. Penyebaran maklumat secara besar-besaran sudah
tentu akan mempercepat usaha kita untuk mencapai status negara maju. Hal ini disebabkan
teknologi ini akan membawa kita ke arah perkembangan yang berkaitan dengan pelbagai cara
menerima dan menyampaikan maklumat secara elektronik.

Dalam konteks pendidikan, peranannya bukan setakat mampu membantu memudahkan


tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, malah berpotensi sebagai alat untuk memperluas
persekitaran pengajaran dan pembelajaran. Budaya persekolahan seharusnya diubah daripada
sesuatu yang berdasarkan memori kepada yang berpengetahuan, berpemikiran, kreatif dan
penyayang dengan menggunakan teknologi terkini. Berdasarkan alasan inilah pihak kerajaan
melalui Kementerian Pelajaran mewujudkan Sekolah Bestari yang sekali gus bertindak mengisi
agenda perancangan dan pelaksanaan Koridor Raya Multimedia. Dengan penggunaan teknologi
maklumat, pelajar lebih mahir membuat kajian dan lebih berfikiran secara kritikal.

Selain itu, kemajuan teknologi maklumat membolehkan pakar-pakar perubatan


berinteraksi tentang teknik-teknik pembedahan dan diagnosis yang terkini. Dalam
kehidupan seharian pula, pembayaran pelbagai bil dapat dilakukan dengan mudah dan cepat.
Jadi, kesesakan lalu lintas dan tekanan kerja dapat dielakkan dengan mudah. Di samping itu,
pendidikan jarak jauh juga dapat dijalankan dengan adanya kemudahan teknologi maklumat.
Melalui konsep e-pembelajaran yang diperkenalkan ini, guru dan murid tidak perlu lagi melakukan
interaksi empat mata, sebaliknya proses berinteraksi berupaya dilakukan pada jarak yang tiada
sempadan dan kekangan, iaitu hanya perlu menggunakan komputer dan internet sebagai
medium. Dalam sesebuah organisasi, teknologi ini dapat berfungsi sebagai alat latihan yang
berkesan dan efisien. Latihan secara teknik audio visual, penggunaan perisian komputer, dan
arahan kerja secara elektronik merupakan sebahagian daripada penggunaan teknologi
komunikasi yang dapat dipraktikkan berulang kali.

Walau bagaimanapun, teknologi yang dibangunkan bersama-sama dengan arus


kemodenan ini turut digunakan untuk tujuan yang tidak wajar. Sekalipun dari sudut lain, teknologi
maklumat membawa kebaikan dalam hidup manusia, namun kewujudannya dieksploitasikan pula
oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan begitu rakus untuk pelbagai matlamat.
Menerusinya, teknologi canggih internet ini telah digunakan untuk melakukan pelbagai
jenayah tradisional dalam bentuk moden seperti memeras ugut, menipu, dan menyebarkan fitnah.
Perkembangannya yang begitu pantas juga mungkin akan mewujudkan sindrom ketagihan dalam
kalangan pengguna internet. Virus komputer yang begitu dibimbangi sejak belakangan ini juga
disebarkan melalui internet untuk menghapuskan data-data penting dan mengakibatkan
kerosakan komputer. Situasi ini akhirnya akan mengakibatkan operasi sesebuah syarikat atau
agensi kerajaan lumpuh kerana sistem komputer tidak berfungsi dan data-data tidak dapat
diakses.
(394 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai