Anda di halaman 1dari 13

Tajuk: Pengenalan Kepada Pembelajaran Kooperatif

Pengenalan

Matlamat sesi pembelajaran dapat disusun untuk menggalakkan usaha kooperatif,


kompetitif atau inidvidualistik. Dalam setiap kelas, aktiviti pengajaran ditujukan untuk
mencapai tujuan dan dilakukan di bawah struktur matlamat. Matlamat pembelajaran
boleh juga untuk membentuk masa depan yang diinginkan dalam usaha untuk
menunjukkan kecekapan atau penguasaan dalam bidang pelajaran yang dipelajari.
Struktur matlamat menentukan cara di mana pelajar perlu berinteraksi antara satu
sama lain dan juga interaksi antara para pelajar dengan guru semasa dalam sesi
pembelajaran dan pengajaran (Johnson & Johnson, 1989, 1999). Dalam suasana bilik
darjah yang ideal, setiap murid akan belajar bagaimana untuk bekerjasama dengan
murid lain, bersaing untuk keseronokan dan juga kesenangan serta bagaimana untuk
bekerja secara kendiri. Bagi mencapai matlamat ini, guru memainkan peranan penting
untuk memutuskan struktur matlamat mana yang akan dilaksanakan dalam setiap sesi
pembelajaran samada kooperatif, kompetitif atau individualistik.

Kerjasama adalah bekerja bersama-sama dalam satu kumpulan untuk mencapai


matlamat dan tujuan yang sama. Dalam situasi kerjasama, individu perlu berusaha
untuk mendapatkan hasil yang bukan sahaja bermanfaat kepada diri sendiri, tetapi
juga yang bermanfaat untuk ahli kumpulan yang lain. Pembelajaran kooperatif adalah
proses membahagikan para pelajar dalam satu kelas kepada beberapa kumpulan
kecil supaya mereka dapat mempelajari sesuatu perkara baharu dan secara tidak
langsung dapat saling membantu antara satu sama lain dalam sesi pembelajaran.
Ianya berbeza dengan gaya pembelajaran kompetitif di mana para pelajar perlu
bersaing antara satu sama lain, sebagai contoh untuk mengejar matlamat akademik
seperti gred A. Ia juga berbeza dengan kaedah pembelajaran individualistik di mana
para pelajar perlu bekerja sendiri untuk mencapai tujuan pembelajaran yang tidak
berkaitan dengan objektif pelajar lain.

Idea pembelajaran kooperatif ini sebenarnya telah lama wujud sejak beberapa dekad
yang lalu. Namun begitu, kaedah ini tidak bergitu mendapat perhatian sebagaimana
kaedah pembelajaran campuran (blended learning) dan juga kaedah berbeza arahan
(differentiated instruction). Sebelum Perang Dunia Kedua, ahli teori social seperti
Allport, Watson, Shaw dan Mead mula mewujudkan teori pembelajaran kooperatif
setelah mendapati bahawa bekerja dalam satu kumpulan menjadikan kumpulan
tersebut lebih efektif dan efisien dari segi kualiti, kuantiti dan juga produktiviti jika
dibandingkan dengan belajar dan bekerja secara sendirian (Gilles & Adrian, 2003).
Namun begitu, idea ini dikedepankan oleh May dan Doob pada tahun 1937 yang
mendapati bahawa matlamat dan hasil lebih mudah dicapai sekiranya dilakukan
dalam kumpulan berbanding secara sendiri. Idea tersebut kemudiannya dipopularkan
dan dikembangkan oleh ahli-ahli falsafah dan juga pakar psikologi seperti John
Dewey, Kurt Lewin dan Morton Deutsh pada tahun 1930-an dan 1940-an (Sharan,
2010). Dewey percaya bahawa penting bagi para pelajar untuk mengembangkan
pengetahuan dan kemahiran sosial agar dapat dipraktikkan dalam kehidupan di luar
kelas terutamanya dalam kalangan masyarakat demokratik.

Pada tahun 1994, Johnson dan Johnson mengeluarkan lima elemen yang penting
untuk menjadikan pembelajaran berkumpulan lebih efektif serta meningkatkan
kemahiran sosial, insaniah dan juga kognitif yang lebih tinggi dalam diri para pelajar
seperti membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan merancang serta mengatur
tugas-tugas yang diberikan. Elemen-elemen tersebut adalah kebergantungan positif
(positive interdependence), akauntabiliti individu (individual accountability), interaksi
secara bersemuka (face-to-face interaction), kemahiran sosial (social skills) dan juga
pemprosesan (processing). Untuk elemen kebergantungan positif, para pelajar
hendaklah mengambil bahagian dan berusaha sepenuhnya dalam kumpulan mereka.
Selain itu, seluruh ahli kumpulan mempunyai tugas atau peanan oleh itu, mereka
perlu bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka dan pembelajaran kumpulan
itu. Bagi elemen interaksi secara bersemuka, ahli kumpulan hendaklah menggalakkan
dan bergembira dengan kejayaan masing-masing. Pelajar perlu menerangkan apa
yang sedang mereka belajar dan saling membantu menyelesaikan tugasan bersama-
sama. Elemen akauntabiliti individu pula memerlukan pelajar untuk menunjukkan
penguasaan terhadap kandungan pelajaran dan setiap pelajar bertanggungjawab atas
kerja-kerja dan tugasan mereka. Kemahiran sosial pula merujuk kepada kemahiran
yang diperlukan untuk menjayakan pembelajaran kooperatif. Antara kemahiran-
kemahiran yang dituntut adalah kemahiran komunikasi, interpersonal dan kumpulan
yang berkesan seperti membuat keputusan, kepimpinan, membina kepercayaan,
komunikasi dan pengurusan konflik. Bagi elemen prmprosesan kumpulan pula, ia
berlaku apabila satu proses refleksi terhadap tindakan-tindakan ahli kumpulan yang
bermanfaat serta membuat keputusan berkenaan tindakan mana yang perlu diubah
atau diteruskan.

Pembelajaran kooperatif bukan sahaja berdasarkan kepada kerja berkumpulan, malah


lebih daripada itu. Para pelajar juga secara tidak langsung dapat bersosial diantara
mereka semasa bekerja dalam proses pembelajaran kooperatif. Walaubagaimanapun,
hal ini dapat memberikan impak positif dan juga negatif di dalam kelas bergantung
kepada keadaan kelas tersebut dan cara guru mengendalikan kelas tersebut.
Pengalaman bermain atau belajar sambal bersosial di dalam kelas dapat membantu
pelajar membina kemahiran insaniah dalam diri mereka. Matlamat utama
pembelajaran kooperatif adalah untuk menunjukkan kesan positif konsep
kebergantungan selain menekankan kepentingan sikap bertanggungjawab dalam diri
setiap pelajar. Hal ini berlaku secara semula jadi semasa dalam proses pembelajaran
di mana para pelajar perlu bekerjasama antara satu sama lain tetapi dalam masa
yang sama mereka perlu melaksanakan tugas individu mereka bagi mencapai objektif
pembelajaran. Kunci kepada pembelajaran kooperatif adalah dengan memastikan
para pelajar sibuk dengan tugas masing-masing (Zook, 2018). Para pelajar
terutamanya pelajar sekolah rendah mudah lari dari topik yang dipelajari dan bersosial
sesama sendiri dan bukannya bekerjasama dalam suasana sosial. Justeru, penting
bagi para guru untuk terus mengawasi para pelajar mereka semasa dipecahkan
kepada beberapa kumpulan.

Jenis Pembelajaran Kooperatif

Terdapat tiga jenis pembelajaran kooperatif yang diutarakan iaitu jenis pembelajaran
kooperatif formal, pembelajaran kooperatif tidak formal dan juga pembelajaran
kooperatif kumpulan asas.

1) Pembelajaran kooperatif formal.

Pembelajaran kooperatif formal terdiri daripada pelajar yang bekerjasama samada


untuk tempoh satu kelas sahaja atau untuk beberapa minggu, untuk mencapai tujuan
dan hasil yang sama dan menyelesaikan tugas bersama-sama (Johnson et al., 2008).
Pelbagai jenis bahan atau tugasab kursus yang dapat disesuaikan dengan jenis
pembelajaran kooperatif formal ini. Kumpulan boleh terdiri dari 2-6 orang dengan
perbincangan berlangsung dari beberapa minit sehinggalah ke seluruh tempoh yang
diberikan. Pembelajaran kooperatif formal merangkumi teknik jigsaw, tugasan yang
melibatkan masalah kumpulan dan membuat kepurusan, tugasan makmal atau
eksperimen serta menyemak kerja rakan sekumpulan.

2) Pembelajaran kooperatif tidak formal.

Pembelajaran kooperatif tidak formal melibatkan kerjasama para pe;ajar untuk


mencapai tujuan pembelajaran di dalam satu kumpulan sementara untuk tempoh
beberapa minit atau tempoh satu masa di dalam kelas. Semasa proses pembelajaran,
pembelajaran kooperatif tidak formal dapat digunakan untuk memusatkan perhatian
pelajar pada bahan yang akan dipelajari, mengatur suasana yang kondusif untuk
belajar, membantu menetapkan apa yang akan dibahaskan dalam kelas, memastikan
pelajar memproses dan mempraktikkan semula bahan yang diajar secara kognitif,
meringkaskan apa yang dipelajari serta meringkaskan apa yang dipelajari di akhir sesi
pembelajaran. Peranan guru semasa sesi pembelajaran kooperatif tidak formal adalah
untuk memastikan pelajar terlibat dengan aktif secara intelektual semasa
perbincangan samada sebelum atau selepas sesi pembelajaran dan juga
perbincangan di antara ahli kumpulan semasa sesi berlangsung.

3) Pembelajaran kooperatif kumpulan asas.

Pembelajaran kooperatif kumpulan asas adalah kumpulan pembelajaran kooperatif


bagi jangka masa panjang dengan ahli kumpulan yang tetap. Tanggungjawab utama
ahli kumpulan adalah untuk memastikan semua ahli kumpulan mencapai kemajuan
akademik yang baik, saling bertanggungjawab untuk berusaha dalam pelajaran dan
saling memberi sokongan, dorongan dan bantuan kepada ahli kumpulan yang lain
dalam menyelesaikan masalah. Untuk memastikan kumpulan ini berfungsi secara
berkesan, guru haruslah mengajar kemahiran sosial yang diperlukan dan membuat
kumpulan tersebut memproses seberapa berkesan kumpulan tersebut berfungsi
secara berkala. Kebiasannya, kumpulan asas kooperatif adalah heterogen dalam
keahlian (terutama dari segi motivasi pencapaian dan orientasi tugas), bertemu
secara berkala dan berlangsung selama satu tempoh yang panjang (satu semester
atau setahun). Agenda kumpulan asas boleh merangkumi tugas sokongan akademik
(seperti memastikan semua anggota menyelesaikan kerja rumah mereka dan
memahaminya), tugas sokongan peribadi (seperti saling mengenali dan saling
membantu menyelesaikan masalah bukan akademik) , tugas rutin (seperti mengambil
kehadiran), dan tugas penilaian (seperti memeriksa pemahaman antara satu sama
lain mengenai jawapan untuk soalan ujian ketika ujian pertama kali diambil secara
individu dan kemudian diambil semula dalam kumpulan asas).

Matematik Dan Kaedah Pembelajaran Kooperatif

Matematik diajar sebagai salah satu mata pelajaran utama di sekolah samada sekolah
rendah atau sekolah menengah, di kolej dan juga di universiti. Matematik juga
dianggap sebagai ratu semua pelajaran sains (Queen of Science). Namun begitu,
kebanyakan pelajar tidak begitu menggemari mata pelajaran ini dan kadang-kadang
ianya tidak diajar dengan secara berkesan oleh guru-guru di dalam kelas. Majoriti
para pelajar merasakan mata pelajaran matematik adalah satu mata pelajaran yang
sukar dan ianya hanya dapat difahami oleh pelajar yang pintar. Buat masa ini, majoriti
guru-guru di sekolah menggunakan kaedah tradisional dalam menajar mata pelajaran
matematik di sekolah. Apa yang diperlukan adalah pendekatan berpusatkan pelajar
untuk membolehkan mereka bekerja sendiri dengan sedikit dorongan dan sokongan
daripada guru mereka. Semasa guru menjalankan proses pengajaran di dalam kelas,
pelajar cenderung untuk menjadi pendengar yang pasif (Battistich et al., 1993).

Para guru boleh menggunakan dan mengaplikasi pelbagai kaedah dalam


memudahkan pembelajaran kooperatif dalam mata pelajaran matematik. Dalam
merancang persekitaran pembelajaran kooperatif bagi mata pelajaran ini, perhatian
khusus perlu diberikan kepada isu-isu berikut iaitu struktur kumpulan kooperatif,
interaksi para pelajar dalam kumpulan, interaksi antara kumpulan yang berbeza, tugas
dan peranan guru di dalam kelas dan akhir sekali adalah penilaian terhadap proses
pembelajaran tersebut. Lima kriteria ini mempengaruhi jenis tetapan pembelajaran
koooperatif yang berlaku di dalam dan keberkesanan kaedah pembelajaran tersebut.

Antara pendekatan yang boleh digunakan oleh guru dalam kaedah pembelajaran
kooperatif bagi mata pelajaran matematik adalah pendekatan pertukaran
pengetahuan (exchange of knowledge). Reka bentuk ini memenuhi matlamat
pembelajaran yang disarankan oleh Good, Mulryan dan McCaslin dan memberi
peluang kepada para pelajar untuk mendapatkan pengalaman daripada beberapa
bahan pembelajaran dan seterusnya menjelaskan kepada pelajar lain di dalam
kumpulannya. Kaedah ini dikembangkan berdasarkan garis panduan untuk
pembelajaran kooperatif dalam kelas matematik (Arhipova & Sokolov, 1988).
Pendekatan ini boleh digunapakai dan diaplikasikan untuk mengajar pelbagai topik
dalam mata pelajaran matematik samada kepada pelajar sekolah rendah atau sekolah
menengah dan sesuai untuk pelajar yang berlainan tahap kemampuan dalam subjek
ini (Leikin, 1993; Leikin & Zaslavsky, 1997).

Pendekatan pertukaran pengetahuan ini mempunyai ciri yang hampir sama dengan
kaedah jigsaw di mana ia memberi peluang kepada para pelajar untuk memainkan
peranan sebagai seorang guru dan mereka dikehendaki memberikan penjelasan
kepada rakan-rakan mereka (Aronson et al., 1978). Walau bagaimanapun, kaedah
pertukaran pengetahuan ini juga membolehkan para pelajar bekerja secara individu
apabila sesuai dengan keadaannya. Guru perlu merancang sesi pembelajaran untuk
memastikan bahawa setiap pelajar berpeluang untuk sama-sama belajar dan
mengambil bahagian menggunakan setiap jenis bahan pembelajaran yang
disediakan. Kaedah ini diaplikasikan menggunakan kad belajar dan dijalankan seperti
berikut:

 Kebiasaannya pelajar akan belajar secara berpasangan ataupun empat orang


dalam satu kumpulan.
 Setiap pelajar diminta untuk menjelaskan kepada pasangannya bagaimana
menyelesaikan contoh soalan yang berjaya diselesaikan dan kemudian
mendengar pula penjelasan dari pasangannya menyelesaikan masalah yang
berbeza.
 Setiap pelajar perlu menyelesaikan permasalahan yang hampir sama dengan apa
yang telah diperjelaskan oleh pasangannya.
 Setelah menyelesaikan kedua-dua permasalahan yang terdapat pada sepasang
kad belajar tersebur, pelajar boleh bertukar pasangan dalam kumpulan yang
sama dan mengulangi rutin tersebut menggunakan kad permasalahan yang lain.

Setiap set kad meruapakan satu unit pembelajaran. Setiap set mempunyai dua,
empat atau enam kad pembelajaran. Susunan kad-kad tersebut dan urutan
penggunaannya tidak penting. Setiap kad terdiri daripada dua atau tiga bahagian.
Bahagian 1 terdiri daripada contoh yang telah dibuat. Sejauh mana penjelasan pada
kad tersebut bergantung kepada tahap kemahiran para pelajar dan sejauh mana
mereka belajar dalam topik tersebut. Bahagian 2 merangkumi masalah yang serupa
dengan contoh yang telah dibuat pada bahagian pertama kad untuk diselesaikan oleh
pelajar. Sekiranya sesuai, bahagian 3 boleh ditambah bagi merangkumi masalah
tambahan yang harus diselesaikan oleh pelajar untuk lebih maju. Contoh kad belajar
adalah seperti dalam Rajah 1, 2 dan 3 di bawah. Untuk tugasan ini, pembelajaran
kooperatif ini akan digunakan ke atas para pelajar tahun 1 agar mereka lebih
meminati mata pelajaran matematik sejak dari kecil lagi.

Rajah 1: Kad Belajar 1


Rajah 2: Kad Belajar 2

Rajah 3: Kad Belajar 3


Rajah 4: Kad Belajar 4

Kedudukan pelajar di dalam kumpulan pula adalah seperti di dalam rajah 5.

Rajah 5:Kedudukan Pelajar Semasa Kaedah Pembelajaran Kooperatif


Katakan pelajar C, yang memperoleh kepakaran dalam bahan pembelajaran yang
ditunjukkan dalam kad 1, K1, sedang belajar secara berpasangan dengan pelajar A,
yang memperoleh kepakaran dalam kad 2, K2.

1. C menerangkan kepada A bahagian 1 kad 1 kerana dia bekerja sebagai guru yang
menerangkan contoh yang telah dibuat dan beliau akan memberikan soalan kepada A
mengenai penyelesaiannya, mengesahkan pemahaman A mengenai penyelesaian itu
dapat diterima, dan menjawab soalan A.

2. A menerangkan kepada C bahagian 1 kad 2 dengan cara yang sama.

3. Semasa A dan C menyelesaikan penjelasan mereka, mereka harus menyelesaikan


bahagian 2 kad baru secara serentak. Mereka boleh saling bertanya dan saling
menolong sekiranya diperlukan.

4. Apabila mereka selesai menyelesaikan masalah dari bahagian 2 kad, A dan C


saling memeriksa penyelesaian dan menyemaknya.

5. Sekiranya kedua-duanya menerima penyelesaian pasangan mereka dengan betul,


kerja pasangan ini selesai.

6. Dalam pada masa yang sama B dan D bekerja dengan kad 3 dan kad 4 (K3, K4).
Apabila kedua-dua pasangan menyelesaikan kerja mereka dan setiap pelajar telah
memperoleh kepakaran dalam dua kad, mereka memulakan peringkat seterusnya dan
bergerak untuk bekerja dengan pasangan yang baru.

7. C bekerja dengan D manakala A bekerja dengan B menggunakan kad yang mereka


terima pada peringkat awal. Apabila pelajar telah menyelesaikan kerja mereka dengan
pasangan ini, mereka kembali ke rakan mereka yang sebelumnya tetapi dengan kad
yang baharu.

8. A akan bekerja dengan C semula tetapi dengan kad belajar yang baharu iaitu kad 3
dan kad 4. Begitu juga dengan B akan bekerja dengan D tetapi meggunakan kad 1
dan kad 2 pula. Apabila pelajar menyelesaikan kerja mereka dengan pasangan pada
fasa ini, unit ini telah selesai sesi pertukaran pengetahuan di dalam kaedah
pembelajaran kooperatif.

Di peringkat akhir kaedah ini, para pelajar telah bekerja dengan semua kad
pembelajaran, belajar dari contoh satu masalah, menerima penjelasan mengenai tiga
tugas yang lain dan menyelesaikan semua masalah secara individu. Tugasan ini
menunjukkan bahawa persekitaran pembelajaran kooperatif kumpulan kecil
memudahkan aktiviti pembelajaran pada tahap yang lebih tinggi. Pemerhatian yang
dilakukan di dalam kelas menunjukkan peningkatan dalam aktiviti dan penyertaan
para pelajar dalam mata pelajaran matematik. Secara keseluruhan, pelajar banyak
menghabiskan masa untuk terlibat secara aktif dalam persekitaran kooperatif yang
bersifat eksperimental.

Rumusan

Kaedah pembelajaran kooperatif mengatasi banyak kebimbangan yang dimiliki oleh


guru dan memberi mereka cara baharu untuk menangani masalah yang mereka
hadapu di dalam bilik darjah mereka. Selain itu, para akademik telah menekankan
bahawa kaedah pembelajaran kooperatif telah memberikan sumbangan yang besar
dalam bidang akademik dan sosial (Artzt & Newman, 1990; Davidson, 1990a;
Davidson 1990b; Davidson & Kroll, 1991; Kroll, Masingila, & Mau, 1992; Slavin, 1985;
Weissglass, 1990). Kajian-kajian mereka telah menunjukkan bahawa pelajar yang
mempunyai tahap kemampuan yang berbeza lebih mudah terlibat dalam interaksi
berkaitan dengan tugasan mereka hasil daripada sesi pembelajaran kooperatif di
sekolah. Selain itu, sikap para pelajar di sekolah juga menjadi lebih berdisiplin dan
lebih positif. Semasa kelas mata pelajaran matematik dalam suasana pembelajaran
kooperatif, pelajar sering meningkatkan kemampuan menyelesaikan masalah mereka,
menyelesaikan masalah matematik yang lebih asbtrak dan mengembangkan
kemahiran matematik mereka dalam keadaan yang lestari. Berkenaan dengan
pencapaian matematik, tugasan ini telah membuktikan bahawa para pelajar lebih
mudah untuk menerima dan meningkatkan pencapaian akademik mereka dalam
subjek tersebut. Kaedah pertukaran pengetahuan yang diaplikasikan di dalam
tugasan ini memberikan contoh persekitaran pembelajaran kooperatif yang berstruktur
bagi memudahkan sesi pembelajaran para pelajar. Selain meningkatkan kemampuan
akademik para pelajar, kaedah ini juga secara tidak langsung telah memudahkan
proses komunikasi antara para pelajar di dalam kelas tersebut.
Rujukan

Arhipova, V., & Sokolov, A. (1988). Seminar for Teachers of Mathematics:


Cooperative Learning Methods. Octyabrskaya Magistral, 64.

Aronson, E., Nancy, B., Cookie, S., Jev, S., & Matthew, S. (1978). The Jigsaw
Classroom. Beverly Hills, Calif: Sage Publications.

Artzt, A. F., & Claire, M. N. (1990). Implementing the Standards: Cooperative


Learning. Mathematics Teacher 83, 448-52.

Battistich, V., Solomon, D., & Delucchi, K. (1993). Interaction Processes and Student
Outcomes in Cooperative Learning Groups. The Elementary School Journal, 94(1),
19-32.

Davidson, N. (1990). Cooperative Learning in Mathematics: A Handbook for Teachers.


Menlo Park, Calif: Addison Wesley Publishing Co.

Davidson, N. (1990). Small-Group Cooperative Learning in Mathematics. In Teaching


and Learning Mathematics in the 1990s: 1990 Yearbook of the National Council of
Teachers of Mathematics (NCTM), edited by Thomas J. Cooney & Christian R. Hirsh,
52-61. Reston, Va: NCTM.

Davidson, N., & Kroll, D. L. (1991). An Overview of Research on Cooperative Learning


Related to Mathematics. Journal for Research in Mathematics Education 22, 362-65.

Gilles, R.M., & Adrian, F. (2003). Cooperative Learning: The social and intellectual
Outcomes of Learning in Groups. London: Farmer Press.

Johnson, D. W. & Johnson, R. T. (1994). Learning together and alone, cooperative,


competitive, and individualistic learning. Needham Heights, MA: Prentice-Hall.

Johnson, D. W., & Johnson, R. T. (1989). Cooperation and competition: Theory and
research. Edina, MN: Interaction Book Company.

Johnson, D. W., & Johnson, R. T. (1999). Learning together and alone: Cooperative,
competitive, and individualistic learning (5th Ed.). Boston: Allyn & Bacon.

Johnson, D. W., Johnson, R. T., & Holubec, E. J. (2008). Cooperation in the


classroom (8th Ed.). Edina, MN: Interaction.
Kroll, D. L., Masingila, J. O., & Mau, S. T. (1992). Cooperative Problem Solving: But
What about Grading? Arif Ametic Teacher 39, 17-23.

May, M. and Doob, L. (1937). Cooperation and Competition. New York: Social
Sciences Research Council.

Sharan, Y. (2010). Cooperative Learning for Academic and Social Gains: valued
pedagogy, problematic practice. European Journal of Education, 45(2), 300–
313. doi:10.1111/j.1465-3435.2010.01430.x

Slavin, R. E. (1985). An Introduction to Cooperative Learning Research. In Learning to


Cooperate, Co-operating to Learn, edited by Robert Slavin, Shlomo Sharan, Spencer
Kagan, Rachel Hertz-Lazarowitz, Clark Webb, & Richard Schmuck, 103-24. New York:
Plenum Press.

Weissglass, J. (1990). Cooperative Learning Using a Small Group Laboratory


Approach: Cooperative Learning in Mathematics. In Cooperative Learning in
Mathematics: A Handbook for Teachers, edited by Neil Davidson, 295-335. Menlo
Park, Calif.: Addison Wesley Publishing Co.

Zook, C. (2018). What Is Cooperative Learning and How Does It Work? Applied
Educational Systems. https://www.aeseducation.com/blog/what-is-cooperative-
learning-and-how-does-it-work#:~:text=Cooperative%20learning%20is%20the
%20process,blended%20learning%20or%20differentiated%20instruction.

Anda mungkin juga menyukai