Anda di halaman 1dari 2

Lima cara untuk membantu anak anda berjaya dengan mempelajari daripada

kegagalan

1. Menggalakkan anak-anak anda untuk mencuba benda baru

Melindungi anak-anak daripada bahaya merupakan satu kewajipan kepada ibu bapa.
Namun, ibu bapa perlulah cuba memberi peluang kepada anak-anak untuk
menghadapi risiko dan menerokai dunia luar sendiri. Anak-anak yang berani
mengambil risiko untuk mencuba sesuatu perkara yang baru akan dapat mengatasi
sebarang kegagalan dalam hidup sekaligus dapat membantu membina keyakinan
dalam diri masing-masing.

Bagi anak-anak yang masih kecil, berani untuk mengambil risiko dalam hidup
merupakan perkara-perkara seperti mengangkat tangan untuk menjawab soalan ketika
disoal oleh cikgu, memperkenalkan diri di hadapan rakan-rakan yang lain mahupun
membuat kawan baru di sekolah. Justeru, nilai keyakinan dan bangga akan diri dapat
dipupuk dalam diri mereka masing-masing.

2. Mendidik anak-anak mengenai kemahiran menyelesaikan sesuatu masalah

Mempunyai kemahiran untuk menyelesaikan sesuatu masalah merupakan satu aspek


yang penting dalam perkembangan kehidupan anak-anak. Ini akan memberi kesan
yang positif terhadap perhubungan antara anak-anak dengan orang lain tidak kira di
rumah mahupun di luar rumah. Mari kita mengambil contoh, apabila anak-anak
menghadapi sebarang perselisihan faham dengan rakan-rakan di sekolah, ibu bapa
perlu terlebih dahulu mendidik dan menasihati mereka tentang cara-cara untuk
menghadapi situasi sedemikian itu agar tidak memburukkan lagi keadaan tersebut.

Selain itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa kegagalan dalam melakukan sesuatu
perkara sering membuatkan kita berasa ingin berputus asa. Sebagai contoh, anak-anak
yang baru hendak belajar untuk berbasikal memang akan sering terjatuh dan
mengalami kecederaan pada kaki dan tangan sebelum mereka berjaya menguasai
teknik berbasikal. Oleh itu, ibu bapa haruslah memainkan peranan dengan menjadi
penyokong utama anak-anak dan mendidik mereka untuk terus berusaha serta bekerja
keras dalam menangani kegagalan. Secara tidak langsung, anak-anak akan berasa
bangga dengan diri mereka apabila mereka berjaya mempelajari kemahiran yang baru
setelah mengharungi beberapa kali kegagalan.

3. Membantu anak-anak menerapkan cara pemikiran yang matang


Ibu bapa patutlah memberitahu anak-anak bahawa membuat suatu kesilapan mahupun
kegagalan adalah satu perkara biasa yang berlaku kepada hampir setiap orang.
Justeru, mempunyai pemikiran yang positif dalam kalangan anak-anak adalah amat
penting kerana ini akan memberi pengaruh kepada sikap dan reaksi mereka dalam
mengharungi suatu kegagalan. Ibu bapa mestilah menasihati anak-anak bahawa
kegagalan tidak bermaksud pengakhiran, tetapi merupakan satu permulaan kerana
kegagalan adalah permulaan kepada sebuah kejayaan.
Kita perlu ingat bahawa kita semua tidak lahir dengan kepintaran. Orang yang bijak
turut akan membuat kesilapan cuma mereka merupakan golongan yang sentiasa
bekerja keras membaiki kesilapan diri. Setiap kegagalan dalam kehidupan
memberikan satu peluang kepada kita untuk belajar, memperbaiki diri dan terus maju
ke hadapan. Kegagalan memang tidak dapat dielakkan namun kita semua mampu
mengubahnya ke arah kejayaan sekiranya kita memberi tumpuan dan berani belajar
daripada kesilapan.

4. Membiarkan anak-anak menghadapi akibat


Ibu bapa perlu mendidik anak-anak untuk menghadapi sendiri kesan sesuatu perkara
itu. Contohnya, anak yang dimarahi gurunya kerana tidak menyiapkan kerja sekolah
yang diberikan. Ibu bapa perlu mengelak untuk memberi sokongan dan patut
membiarkan mereka untuk menghadapi kesan itu sendiri. Ibu bapa juga tidak
seharusnya sentiasa berada di samping anak-anak untuk menenangkan dan membantu
mereka apabila mereka gagal atau apabila mereka berasa tersisih. Setiap perkara yang
berlaku adalah merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran dan
perkembangan anak-anak itu sendiri.

5. Kongsikan pengalaman kegagalan yang pernah dihadapi


Ibu bapa harus sentiasa berkongsi kisah kegagalan yang pernah dihadapi dengan
anak-anak dan beritahu bagaimanakah cara untuk mengatasi kegagalan itu. Kegagalan
adalah sebahagian daripada kejayaan. Jika anda menginginkan kejayaan maka anda
perlu mengatasi ketakutan untuk mendapat kegagalan dan bersedia untuk menghadapi
pelbagai bentuk cabaran. Perkongsian yang dilakukan oleh ibu bapa kepada anak-
anak ini akan dapat mengajar mereka untuk sentiasa bekerja keras dalam mencapai
matlamat diri dan mengatasi rasa kekecewaan.

Anda mungkin juga menyukai