Anda di halaman 1dari 4

Bermalam di Rumah Berhantu

Saya ialah seorang mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian di sebuah


institut pengajian tinggi awam. Saya mempunyai seorang kawan baik yang
bernama Ivan. Kami berdua duduk di sebuah rumah sewa yang berdekatan
dengan universiti kami. Pada suatu hari, kami terdengar bahawa terdapat
sebuah rumah berhantu di kawasan perumahan rumah sewa kami. Saya dan
Ivan merupakan orang yang hanya mempercayai sains dan teknologi dan tidak
percaya akan perkara karut seperti hantu dan jin. “Dunia ini mana ada hantu!”
kata Ivan. Bagi membuktikan bahawa dunia ini tiada hantu, kami berdua
mengambil keputusan untuk bermalam di sana.
Pada hari itu, kami membawa sebuah khemah sederhana yang muat
untuk dua orang lelaki, sebuah komputer riba, makanan dan beberapa tin
minuman bergas. Selepas siap memasang khemah, kami pun menonton video
dengan menggunakan komputer riba sambil meminum minuman bergas.
Waktu pada ketika itu ialah pukul tujuh malam. Segalanya sangat tenang dan
kami yakin bahawa keadaan ini akan berkekalan sampailah ke keesokan
harinya. Namun, jangkaan kami jauh meleset daripada kenyataan yang bakal
kami hadapi.
Keadaan tenang yang kami rasai sebelum ini berakhir apabila jam
menunjukkan pukul 11.30 malam. Pada ketika itu, saya dan Ivan telah tidur
nyenyak di dalam khemah kami. Tiba-tiba, kami terasa angin yang dingin
masuk ke dalam khemah kami. Kami agak hairan kerana semua pintu dan
tingkap rumah ini adalah tertutup, masakan ada angin boleh masuk ke dalam
khemah kami. “Mengapa tiba-tiba cuaca menjadi sejuk?” kata saya sambil
menggosok tapak tangan untuk menghasilkan haba. Kami mengambil
keputusan untuk keluar menyiasat.
Saya dapati bahawa kipas di ruang tamu rumah itu telah terpasang
sendiri. Saya dan Ivan berasa hairan kerana rumah itu tiada bekalan elektrik
masakan kipas itu boleh terpasang sendirinya? Kipas itu berpusing dengan
semakin ligat seakan-akan hendak tercabut rasanya. Saya dan Ivan mula berasa
ada sesuatu yang tidak kena. Kami segera masuk ke dalam khemah semula.
Sebaik sahaja kami masuk ke dalam khemah, zip khemah kami pun tertutup
dengan sendirinya. Saya cuba membuka zip itu tetapi zip itu telah tersekat.
Keadaan semakin mencemaskan. Kami terdengar suatu bunyi yang
sayup-sayup. Bunyi itu seakan-akan tangisan seorang perempuan. Tangisan itu
menyeramkan dan menyebabkan bulu roma saya dan Ivan berdiri tegak. Suatu
kedinginan menyerap ke dalam darah kami menyebabkan saya dan Ivan
menggigil. Otak kami sudah tidak dapat berfungsi lagi. Pada ketika itu, kami
ternampak suatu bayang-bayang berdiri di luar khemah kami. Kami tahu hantu
itu sudah datang. Hantu itu menggunakan tangannya untuk cuba mencekik
leher kami. Tangannya yang sejuk dingin itu mencelah di kedua-dua belah
leher saya. Saya menjerit ketakutan. Dalam sekelip mata, tangan itu pun
lenyap. Saya nampak muka Ivan telah pucat dan dibasahi peluh dingin. Kami
tidak boleh berbuat apa-apa selain berdoa.
Beberapa ketika kemudian, komputer riba saya terpasang sendiri. Saya
dan Ivan terkejut. Apa yang lebih menyeramkan adalah muka hantu
perempuan itu terpapar pada skrin komputer itu. Rambutnya kusut-masai dan
mukanya dipenuhi kesan luka dan berulat. Amat menjijikkan. Kelihatan hantu
perempuan itu ingin merangkak keluar dari skrin komputer riba saya. Saya dan
Ivan menjerit ketakutan tetapi kami tidak mampu berbuat apa-apa. Hantu itu
keluar dan skrin komputer itu perlahan-lahan lalu duduk di hadapan saya dan
Ivan. Rambutnya yang panjang dan kusut-masai itu menutup mukanya. Hantu
itu duduk kaku dan hanya mengeluarkan tangisan yang sayup-sayup. Jarak saya
dan Ivan dengan hantu perempuan itu tidak sampai satu meter. Kami juga
duduk kaku.
Bunyi tangisan hantu perempuan itu semakin lama semakin kuat. Kami
hanya boleh menutup telinga kami dengan kedua-dua belah tangan kami. Tiba-
tiba, hantu perempuan itu menjerit lalu khemah kami pun meletup. Kain
kanvas khemah kami bertaburan di atas ruang tamu bagaikan sebiji belon yang
telah meletup. Kami melutut di hadapan hantu perempuan itu dan meminta
maaf kerana mengganggu ketenteraman roh hantu perempuan itu. Hantu
perempuan itu mula bangun perlahan-lahan. Setelah hantu perempuan itu
berdiri tegak, kami nampak hantu perempuan itu terbang ke atas kipas angin
yang masih ligat berpusing itu lalu tergantung di sana.
Suasana amat menyeramkan. Darah mula mengalir daripada badan
hantu perempuan itu. Jubahnya yang putih itu telah menjadi merah kerana
dibasahi dengan darah hantu perempuan itu sendiri. Hantu perempuan itu
menangis teresak-esak. Walaupun kami masih takut tetapi kami juga
mengasihani hantu perempuan itu. Tiba-tiba, hantu perempuan itu bersuara.
Dia berkata bahawa dia bukannya membunuh diri tetapi dibunuh oleh orang
lain. Emosi hantu perempuan itu semakin terganggu. Dia menjerit dengan
geram dan berkata bahawa dia akan membalas dendam. Hantu perempuan itu
ingin membunuh setiap orang yang masuk ke dalam rumah ini sehinggalah
pembunuh itu berjaya dikesan. Saya dan Ivan merayu kepada hantu
perempuan itu supaya tidak membunuh kami dan kami berjanji akan
membantu hantu perempuan itu mencari pembunuhnya. Saya meminta hantu
perempuan itu menceritakan peristiwa sebenar yang telah berlaku. Hantu
perempuan itu pun mula bersuara.
“Semua orang kata saya membunuh diri! Bohong! Kamu semua
berbohong! Berdusta!,” jerit hantu perempuan itu. “Perompak itu memukul
aku dengan kayu lalu mengikat aku pada kipas angin ini. Dia memakai topeng,
aku tak nampak mukanya,” kata hantu perempuan itu lagi lalu menangis
dengan sedih. “Aku akan membunuh semua orang yang menceroboh masuk ke
dalam rumah aku ini. Kamu berdua juga tidak akan terkecuali,” sergah hantu
perempuan itu. Hantu perempuan itu menghulurkan tangannya yang panjang
untuk mencekik leher saya dan Ivan. Kami tidak boleh bernafas. Saya ingatkan
saya akan mati kali ini. Tiba-tiba, saya terdengar bunyi ayam berkokok. Hal ini
menandakan hari sudah siang. Dengan tergesa-gesa, hantu perempuan itu pun
menghilangkan diri. Saya dan Ivan bersyukur lalu segera lari keluar dari rumah
itu. Semua barang kami masih tertinggal dalam rumah berhantu itu.
Apabila tiba di rumah sewa, saya dan Ivan masih tercungap-cungap dan
terpinga-pinga. Saya dan Ivan masih tidak dapat mempercayai pengalaman
yang kami lalui malam tadi. Kami saling berpandangan tanpa sepatah
perkataan yang terlepas daripada mulut kami. Kesan cekikan hantu perempuan
itu masih jelas kelihatan pada leher kami. Hal ini tidak pernah diungkit lagi.
Pada pukul dua belas tengah hari, masa pancaran matahari paling terik,
barulah kami pulang ke rumah berhantu itu untuk mengemaskan barang-
barang kami. Alangkah terkejutnya kami apabila kami dapati bahawa ruang
tamu rumah berhantu itu seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Khemah
kami yang telap meletup malam tadi masih kukuh terpasang di bawah kipas
angin. Komputer riba saya juga masih berfungsi seperti biasa lagi.
Setelah saya dan Ivan mengemaskan barang-barang, kipas di ruang tamu
itu berpusing perlahan-lahan. Bulu roma kami berdiri tegah sekali lagi. Kami
dapat merasai kehadiran hantu perempuan itu. Kami segera beredar dari
rumah itu. Apabila kami keluar dari rumah itu, kami terdengar suara hantu
perempuan itu berkata, “Kalau berani, datang lagi malam ini. Saya tunggu
kamu berdua!”

Anda mungkin juga menyukai