Anda di halaman 1dari 2

Pendahuluan

Mutakhir ini, isu pendatang asing sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat akan kesan
kemasukan mereka. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan dasar yang membenarkan kemasukan
pendatang asing untuk bekerja dalam sektor tertentu bagi menampung kerancakan pembangunan
negara. Langkah tersebut adalah bagi menarik kehadiran pelabur asing untuk melabur dalam bidang
perindustrian, perkilangan dan pembinaan di samping menyediakan tenaga kerja separa mahir pada
kos yang menguntungkan. Disebabkan nilai mata wang negara yang lebih besar berbanding negara
mereka, pekerja daripada Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Kemboja sanggup untuk
bekerja di Malaysia yang menawarkan gaji yang lumayan. Namun begitu, kemasukan pendatang asing
dilihat menjadi semakin tidak terkawal dan langkah-langkah pengawalan perlu dilakukan segara agar
kesejahteraan rakyat Malaysia terjamin.

Isi 1
Sejak dasar ini diperkenalkan, terdapat golongan yang menentang inisiatif ini kerana mereka
berasa akan berlaku kesan yang negatif dalam jangka masa panjang terhadap negara. Kesannya
adalah kemasukan pendatang asing akan mengancam keselamatan, kesihatan dan sosial masyarakat
dalam negara. Pendatang asing yang tidak diawasi oleh majikan mereka bebas untuk bergerak dalam
negara dan ia sedikit sebanyak telah menyebabkan kadar jenayah meningkat dalam negara.
Kehadiran pendatang asing juga menimbulkan rasa kurang selesa diantara golongan wanita yang
menjadi mangsa gangguan seksual di tempat-tempat awam seperti di dalam bas dan LRT. Selain itu,
pendatang asing juga berpotensi membawa penyakit-penyakit berjangkit. Maka sekiranya kerajaan
ingin meneruskan dasar ini, langkah kawalan harus diperketatkan agar kesejahteraan rakyat terjamin.

Isi 2
Selain itu, kemasukan pendatang asing menyebabkan peluang pekerjaan kepada masyarakat
tempatan tersekat. Hal ini kerana, kos untuk menggaji pekerja asing adalah lebih murah berbanding
pekerja tempatan. Implikasi ini menjejaskan pertumbuhan ekonomi tempatan di mana golongan
muda atau pekerja separa mahir dalam negara ditindas hanya disebabkan syarikat-syarikat lebih
gemar menggunakan pekerja asing berbanding pekerja tempatan. Hal ini amat tepat dengan
peribahasa yang berbunyi, “kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan”. Kerajaan sepatutnya
memikirkan dasar yang membantu mengurangkan kadar pengangguran rakyat yang meningkat dari
hari ke hari. Penggubalan dasar yang mendukung kesejahteraan rakyat pasti mendapat sokongan
yang padu serta mampu meningkatkan semangat cinta akan negara dalam kalangan masyarakat.
Secara tidak langsung, masyarakat akan tinggal dan bekerja dalam negara dan menyuburkan lagi
ekonomi negara secara sihat.

Isi 3
Bagi mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin, tindakan utama yang perlu dilaksanakan
adalah penguatkuasaan undang-undang. Sikap seperti melepaskan batuk di tangga tidak seharusnya
diamalkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Terdapat kes di mana pekerja asing terdiri daripada
pendatang haram yang menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu. Perairan negara juga
harus dikawal dengan lebih cekap untuk mengelakkan mereka menyusup masuk ke dalam melalui
jalan laut. Oleh itu, masyarakat juga sepatutnya menjadi mata-mata kepada pihak berkuasa dengan
melaporkan aktiviti-aktiviti yang meragukan melibatkan pendatang asing. Pihak berkuasa juga
hendaklah bersifat penuh intergriti dalam menjalankan tugas dan menjauhi amalan rasuah. Jika
semua pihak yang berkenaan memainkan tanggungjawab secara berkesan, tidak mustahil masalah
kemasukan pendatang asing dapat diatasi dari akar umbinya.

Isi 4 Langkah seterusnya adalah pihak majikan perlu mengehadkan kebergantungan kepada buruh
asing. Pengambilan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu hendaklah mengikut prosedur yang
diluluskan oleh kerajaan. Pihak berkuasa akan mampu memantau kehadiran dan pergerakan warga
asing di dalam negara sekiranya setiap pengambilan pekerja asing mengikut prosedur yang
ditetapkan. Dengan mengehadkan penyertaan pekerja asing dalam sektor tertentu, mudah bagi
rakyat serta pihak berkuasa mempersoal dan mengambil tindakan segera ke atas kehadiran rakyat
asing yang bekerja di tempat yang tidak sepatutnya. Jelasnya, pihak ejen dan majikan yang mengambil
pekerja asing perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan sekali gus membuka
peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Penutup Sebagai penutup wacana, tegas bahawa kedatangan buruh asing memberikan implikasi
positif dan negatif kepada negara kita. Walaupun segelintir berpendapat bahawa kemasukan buruh
asing ke dalam negara mampu memacu pembangunan negara, namun kita perlu melihat kesan
negatif sekiranya tindakan ini berlarutan. Pihak kerajaan dan masyarakat perlulah berganding bahu
bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini daripada bermaharajalela. Para majikan harus
mengubah sikap dengan mempertimbangkan dan memberi keutamaan kepada rakyat tempatan.
Sudah tiba masanya negara Malaysia mengurangkan ke bergantungan kepada pekerja asing dan
mengalihkan tumpuan kepada teknologi yang lebih tinggi untuk memajukan negara. Justifikasinya,
sebelum nasi sudah menjadi bubur, eloklah masyarakat Malaysia dan pihak kerajaan bermuafakat
supaya Malaysia memanfaatkan buruh asing dan mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin.

Anda mungkin juga menyukai