Anda di halaman 1dari 2

Daun kari merupakan elemen penting dalam masakan kari dan akan lebih

memudahkan sekiranya daun kari hanya dipetik di tepi rumah sekiranya ingin
memasak. Daun kari malah akan lebih segar sekiranya dipetik dari pokok
berbanding dengan daun kari yang dibeli dari pasar. Jadi, perlu menanam pokok kari
supaya lebih mudah untuk diambil sekiranya perlu.
Pokok kari selalunya dibiakkan melalui biji benih, anak pokok dan keratan batang.
Namun, adalah lebih mudah ditanam melalui anak pokok kerana telah ianya sudah
mempunyai akar. Berikut merupakan langkah-langkah mudah untuk menanam
pokok kari.

1. Pemilihan Anak pokok


Anak pokok kari selalunya tumbuh di sekeliling pokok kari yang matang, melalui biji
benih yang dikeluarkan setelah daun berbunga. Bagi pertumbuhan yang baik,
pastikan memilih anak pokok yang tidak terlalu kecil atau terlalu besar.
Hal ini kerana anak pokok kari yang terlalu kecil mungkin sukar untuk mengambil
nutrien kerana perubahan tempat akan mengganggu sistem akar yang masih muda.
Pokok kari yang terlalu tua pula mempunyai akar tunjang yang panjang. Jadi,
pemilihan anak pokok yang baik amatlah penting.
Pastikan ambil anak pokok dengan berhati-hati supaya tidak merosakkan akar atau
tidak memutuskan akar tunjang. Sekiranya anak pokok kari diambil dengan cara
yang salah iaitu akar pokok terpotong terlalu banyak, berkemungkinan anak pokok
tersebut tidak dapat tumbuh dengan sempurna dan mati.
Maka, anak pokok kari perlu diambil dengan teliti, boleh menggunakan cangkul dan
cangkul terlebih dahulu sekeliling anak pokok dan sebaiknya ambil anak pokok
bersama tanah di sekeliling akar. Hal ini selain dari menjaga keadaan akar, juga
membantu mengekalkan kelembapan pada anak pokok supaya tidak cepat layu
sebelum dipindahkan.

2. Tanam di polibeg atau tanah


Setelah anak pokok diambil, perlu ditanam terus supaya anak pokok tidak layu dan
kekeringan. Pokok kari boleh ditanam di dalam polibeg ataupun di tanah. Akan
tetapi, lebih digalakkan untuk tanam di tanah kerana sistem akar tunjang pokok kari
memerlukan kedalaman tanah yang agak dalam.
Sebaiknya pilih tempat tanaman yang tidak mengganggu kawasan lain dan tanam
kekal anak pokok tersebut. Pokok kari akan tumbuh dan membesar tanpa gangguan
sistem akar. Jika ditanam di dalam pasu atau polibeg, pastikan pilih pasu atau
polibeg yang bersaiz besar supaya akar mempunyai ruang yang cukup untuk
membesar.
Selain itu, disyorkan agar pemindahan anak pokok kari dilakukan pada waktu petang
bagi meminimakan pendedahan cahaya matahari bagi mengelakkan pokok menjadi
layu dan kekeringan. Setelah anak pokok dipindahkan, pokok perlulah disiram bagi
mempercepatkan percambahan anak pokok.
Penanaman pokok kari di sudut tepi rumah.

3. Pembajaan
Pokok kari merupakan pokok yang agak lasak. Tidak memerlukan pembajaan yang
sistematik. Namun, digalakkan untuk memberi baja organik supaya pokok
mempunyai nutrien untuk membesar dengan subur.
Pemberian baja NPK Hijau juga boleh dilakukan bagi tumbesaran pokok yang lebih
sihat. Adalah penting untuk menyiram pokok setelah diberi baja kerana proses ini
akan memudahkan baja untuk diresap ke dalam tanah dan diambil oleh akar.
Pembajaan boleh diberi setelah dua atau tiga minggu setelah anak pokok ditanam.

4. Penyakit dan Perosak


Pokok kari tidak terlalu terdedah kepada penyakit dan perosak kerana baunya yang
agak kuat. Namun, terdapat juga penyakit yang boleh dijangkiti seperti reput batang
atau daun bergulung. Bagi mengelakkan penyakit reput batang, elakkan menyiram
pokok dengan air yang terlalu banyak sekiranya kawasan pokok tidak mempunyai
saliran air yang baik.
Maka penting untuk memilih kawasan penanaman yang baik. Penyakit daun
bergulung pula disebabkan oleh kumbang putih. Sekiranya terdapat simtom
tersebut, tangkai tersebut perlu dibuang dan pastikan kawasan persekitaran pokok
dijaga bagi mengelakkan penyakit dan perosak menyerang.

5. Tuaian hasil
Penuaian hasil dari pokok kari tidak sama dengan tuaian hasil pokok-pokok sayuran
kerana yang diambil hanyalah beberapa tangkai. Sekiranya pokok kari sudah
mencapai tahap ketinggian dan kesuburan yang baik seperti dahan yang tegap dan
daun yang hijau tua, maka daun tersebut telah boleh mula dipetik.
Penanaman pokok yang penting dalam masakan bukan sahaja memudahkan urusan
di dapur, malah aktiviti berkebun boleh dijadikan satu terapi minda. Adalah amat
digalakkan bagi surirumah ataupun sesiapa sahaja untuk mencuba berkebun dan
menjalani aktiviti masa lapang yang sihat.

Anda mungkin juga menyukai