Anda di halaman 1dari 1

KEJAYAAN BERMULA DENGAN LANGKAH PERTAMA

Oleh HAMDAN AHMAD

KEJAYAAN bermula dengan langkah pertama, bukan kedua, ketiga dan seterusnya.
Banyak kejayaan yang diraih oleh individu kerana ia berjaya mengatur langkah
pertama dengan baik dan berkesan.

Itu merupakan kata-kata hikmat yang selalu kita dengar daripada pakar motivasi dan
digunakan dalam banyak hal termasuk sukan.

Kalau langkah pertama kita sudah tersilap, ia sudah tentu sedikit sebanyak memberi
kesan dan boleh menjejaskan akan perjalanan dan tindak-tanduk kita seterusnya.
Kejayaan yang ingin dicapai sudah tentu tergugat dan menjadi lebih sukar.

Oleh itu, kita menerima pada dasarnya langkah pertama itu memang penting, lebih-
lebih lagi jika ia berlaku pada awal tahun. Ini sudah tentu boleh menjadi perangsang
kepada usaha seterusnya.

Kejayaan pemain golf nombor satu dunia, Tiger Woods dan ratu skuasy negara, Nicol
Ann David, telah membuktikannya. Mereka memulakan kempen tahun 2008 dengan
penuh bergaya iaitu Tiger Woods memenangi Dubai Desert Classics, Dubai dan Nicol
merangkul piala Terbuka Apawamis di Amerika Syarikat.

Memaparkan

Melihat aksi gambar Tiger Woods dan Nicol di akhbar tempatan, memaparkan
kehebatan kedua-dua jaguh sukan itu sendiri. Tidak secara langsung kita lihat kedua-
duanya mempunyai semacam persamaan iaitu memakai baju ‘T’ berwarna merah,
berseluar dan skirt gelap dan topi serta skarf berwarna hitam.

Yang membezakan kedua-dua pemain dunia ini cuma dari segi jenis peralatan sukan
yang digunakan dan jantina.

Yang jelas kedua-dua jaguh dunia ini telah memulakan prestasi hebat dengan
langkah pertama mereka dengan baik sekali. Kejayaan yang dicapai baru-baru ini
merupakan satu permulaan baik bagi tahun 2008 dan sudah tentu boleh memberi
keyakinan lebih awal untuk meraih kejayaan yang lebih banyak pada masa hadapan.

Kita percaya Tiger Woods dan Nicol mampu meraih lebih banyak lagi kejayaan pada
masa hadapan sekiranya mereka dapat mengekalkan rentak dan prestasinya dari
semasa ke semasa.

Tidak menghairankan kalau suatu hari nanti Tiger Woods dijangka memecahkan
rekod pencapaian legenda golf, Ben Hogan, begitu juga Nicol dapat berbuat sesuatu
untuk mengatasi rekod kejayaan Jahangir Khan, legenda skuasy dunia.

Kita akan lihat keupayaan sebenar mereka kerana masa dan usaha kedua-dua jaguh
dunia ini akan menentukannya sama ada impian mereka dapat dicapai.
Bagaimanapun, semuanya ini bermula dengan langkah pertama yang baik.

• HAMDAN AHMAD ialah Pemangku Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi,
Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Utusan Malaysia, Khamis 7 Februari 2007

Anda mungkin juga menyukai