Anda di halaman 1dari 4

KARNIVAL BAHASA MELAYU 2022

SR PIDATO

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam pidato Karnival Bahasa Melayu

pembuka arena.

Sejambak kasih, seharum mawar mekar lambang ucap buat saudara/saudari

peneraju majlis, barisan kehakiman yang berpaksikan kesaksamaan, guru-guru

penggerak modal insan yang cemerlang serta warga dewan yang berkarisma.

Arena pidato hari ini, saya buka dengan sebuah pidato yang bertajuk Bahasa

Melayu Tonggak Perpaduan. Keunggulan Bahasa Melayu sebagai suatu wadah

perpaduan dalam sebuah negara yang berbilang bangsa bukanlah satu perkara

baharu. Bahasa Melayu telah diperakukan mempunyai karismanya yang tersendiri

sehingga universiti – universiti di luar negara menawarkan kursus Bahasa Melayu ini

buat pelajar mereka. Namun, skop penghujahan saya dalam arena pidato pada hari

ini adalah berfokus kepada Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan.

Sebelum lancang menuju ke muara, sebelum kita membelah bicara, sebelum

isi menyusur hujah, izinkan saya menjelaskan frasa yang membina tajuk agar jelas

hala tuju penghujahan pada hari ini.

Agar yang lindap tidak teraba-raba,

Agar yang redam tidak terpinga-pinga,

Agar yang labang tidak soal-bersoal.


Bahasa Melayu yang diberikan taraf istimewa berbanding bahasa-bahasa lain

seperti yang termaktub dalam perkara 152 Perlembangaan Malaysia diiktiraf sebagai

bahasa rasmi bagi negara Malaysia. Akta ini secara langsung menuntut agar bahasa

Melayu dipelihara, dibina, dikembang, dipupuk dan dibudayakan dalam situasi rasmi.

Oleh sebab yang demikian, setiap warganegara yang berikrar dengan rukunegara

wajiblah menguasai bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dalam

pertuturan mereka. Tanpa mengira agama, bangsa dan etnik, seluruh warganegara

yang cinta akan negara harus menguasai dan menggunakan bahasa Melayu dalam

urusan seharian. Ini jelas mengangkat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa

perpaduan di Malaysia yang menyatukan semua warganegaranya.

Para hakim yang berkarisma dan para hadirin yang mulia,

Arena pidato ini saya lanjutkan dengan hujah pertama saya. Bahasa Melayu

merupakan asas pembinaan negara dan kebudayaan masyarakat. Perkara 152

Perlembagaan Persekutuan telah memainkan peranan penting menjadikan Bahasa

Melayu sebagai asas pembinaan negara. Sesungguhnya Perkara 152 ini telah

mengiktiraf dan mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta

bahasa rasmi negara. Perkara ini termaktub dalam Perkara 152 (1). Sebagai sebuah

negara berbilang bangsa, adalah sangat perlu mengiktiraf satu bahasa sebagai

bahasa rasmi yang menjadi pedoman setiap warganegaranya. Bahasa rasmi ini

mesti difahami dan diguna pakai secara wajib dalam urusan-urusan rasmi seharian

seperti urusan-urusan rasmi pihak kerajaan di pelbagai peringkat. Maka, dengan

pengiktirifan yang termaktub dalam perkara 152 tadi, wajarlah bahasa Melayu

menjadi wadah lisan utama bagi setiap warganya.


Penghujahan hari ini saya teruskan dengan hujah kedua saya. Bahasa

Melayu ialah Bahasa Perpaduan. Saya pasti tertimbul-timbul dan tertanya-tanya

dalam ruang minda hadirin, lebih kurang sama hujahan kedua saya dengan tajuk.

Mari saya huraikan. Perpaduan sangatlah penting dalam masyarakat yang berbilang

bangsa. Tanpa perpaduan negara akan kucar-kacir dan musnahlah sebuah negara

berdaulat. Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa

kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak dijadikan sebagai asas

Ordinan Pelajaran 1957. Menurut penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat

digunakan sebagai alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan

antara penduduk yang berbilang kaum. Maka, bahasa ini wajib diketahui oleh setiap

kaum kerana bahasa ini menjadi bahasa utama dalam konteks hubungan antara

kaum. Bahasa perpaduan bermaksud bahasa yang digunakan sebagai tali pengikat

kemuafakatan antara anggota masyarakat. Hal ini kerana, masyarakat kita adalah

masyarakat majmuk yang berbeza kepercayaan, amalan, budaya, agama dan

bahasa. Bangsa yang bermaruah ialah bangsa yang mempunyai bahasa

kebangsaannya sendiri. Tidaklah digelar manikam tanpa mengetahui tentang

jauhari, tidaklah digelar bangsa Malaysia tanpa menguasai bahasa Melayu.

Para hakim yang berkarisma dan para hadirin yang mulia,

Hujah saya yang ketiga pada hari ini ialah Bahasa Melayu, bahasa pembinaan

negara bangsa Malaysia. Bahasa yang berkuasa memperlihatkan sebuah bangsa

yang berkuasa. Ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa” itu sendiri menunjukkan bahawa

sesuatu bahasa itu mempunyai nilai prestijnya tersendiri dan menjadi lambang

sebuah bangsa. Daripada banyak faktor, bahasa merupakan salah satu faktor yang

dominan dan daripada begitu banyak bahasa, Bahasa Melayu yang terpilih sebagai

bahasa kebangsaan dan seterusnya menjadi wahana perpaduan masyarakat


majmuk di negara Malaysia. Pengiktirafan yang diberi kepada Bahasa Melayu ini

tentulah kerana Bahasa Melayu memiliki keistimewaan tersendiri sehingga berupaya

mengangkat bahasa ini sebagai Teras Perpaduan Bangsa Malaysia.

Setelah frasa demi frasa tajuk pidato ini saya kupas, ingin saya membuat

penggulungan hujahan. Bahasa Melayu merupakan suatu alat perpaduan yang

tidak boleh disangkal lagi. Dengan peletakan Bahasa Melayu pada suatu tingkat

tersendiri di semua agensi kerajaan mahu pun swasta, jelaslah bahawa bahasa

Melayu adalah tonggak perpaduan. Penggunaannya pada semua papan tanda rasmi

dalam negara, dalam bacaan berita-berita di corong radio dan di visual televisyen,

dalam komunikasi rasmi kerajaan dan yang paling jelas sebagai bahasa pengantar

utama pendidikan dalam negara cukup membuktikan bahasa Melayu tonggak

perpaduan negara.

Bahasa Melayu itu maruah bangsa.

Bahasa Melayu itu bukti dari sebuah perjuangan air mata.

Kitalah yang memegang amanah memeliharanya.

Kitalah yang menjadi paksi keampuhannya.

Kitalah yang menyebar kuasanya melayari lautan bijaksana.

Kitalah jua yang mendaulatkan martabatnya di mata dunia.

Saya akhiri pidato dengan memohon maaf jika ada kelancangan yang membekas

pada hati yang mendengar.

Sekian, Salam Perpaduan. Salam Pejuang Bahasa.

Anda mungkin juga menyukai