Anda di halaman 1dari 13

Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562)

2023, Volume 8, Issue 4, e002244


DOI: https://doi.org/10.47405/mjssh.v8i4.2244

Persepsi Guru Novis Bahasa Melayu Terhadap Pengaplikasian Peta


Pemikiran I-Think dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa
Melayu

(Novice Malay Teacher’s Perception in Application of I-Think Thinking


Map in Teaching and Learning of Malay Language)

Akmal Idrus1 , Crispina Gregory K Han2*


1Sekolah Kebangsaan Mesapol, Peti Surat 54, 89857, Sipitang, Sabah, Malaysia.
Email: akmalidrus@gmail.com
2Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah, 88400, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.

Email: crispina@ums.edu.my

ABSTRAK
CORRESPONDING Pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)
AUTHOR (*): melalui Program i-Think telah berjalan selama lebih
Crispina Gregory K Han daripada sepuluh tahun. Pendedahan kepada peta
(crispina@ums.edu.my) pemikiran i-Think pada peringkat sekolah melibatkan
semua peringkat guru termasuklah guru novis. Peta
KATA KUNCI: pemikiran i-Think juga diperkenalkan bagi tujuan
Peta Pemikiran pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk semua mata
i-Think pelajaran. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengenal
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi pasti persepsi guru novis bahasa Melayu terhadap
Guru Novis Bahasa Melayu pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam PdP bahasa
Melayu. Kajian ini dijalankan secara kualitatif dengan
KEYWORDS: kaedah kajian kes yang menggunakan pensampelan
Thinking Map bertujuan yang melibatkan lima orang informan di dua
i-Think buah sekolah rendah di daerah Sipitang, Sabah. Dapatan
Higher Order Thinking Skills kajian yang diperoleh mendapati bahawa terdapat tiga
Novice Malay Teacher dapatan utama yang menunjukkan persepsi positif guru
novis bahasa Melayu terhadap pengaplikasian peta
CITATION: pemikiran i-Think dalam PdP bahasa Melayu. Persepsi
Akmal Idrus & Crispina Gregory K Han. tersebut adalah berkaitan kebaikan, keberkesanan dan
(2023). Persepsi Guru Novis Bahasa Melayu
Terhadap Pengaplikasian Peta Pemikiran I- kewajaran menggunakan peta pemikiran i-Think bagi
Think dalam Pengajaran dan Pembelajaran tujuan PdP. Pendedahan kepada pemikiran i-Think sangat
Bahasa Melayu. Malaysian Journal of Social
Sciences and Humanities (MJSSH), 8(4),
penting dalam usaha meningkatkan kemahiran berfikir aras
e002244. tinggi dalam kalangan murid.
https://doi.org/10.47405/mjssh.v8i4.2244

ABSTRACT
The implementation of Higher Order Thinking Skills (HOTS)
through i-Think Program has been running for more than
ten years. Exposure to the i-Think thinking map at the
school level involves all levels of teachers including novice
teachers. I-Think thinking map also being introduced for
teaching and learning (T&L) for all subjects. Thus, this
study aims to explore the perceptions of novice Malay
teachers (NMT) when applying the i-Think thinking map in
T&L. This study was conducted qualitatively with a case

© 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative
Commons Attribution 4.0 International License (CC BY).
2
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562)

study method using purposive sampling which involves five


informants in two primary schools in Sipitang, Sabah. The
findings of the the study show three main themes which
show positive perspective of novice Malay teachers in the
application of i-Think thinking map in Malay T&L. The
perception includes the goodness, effectiveness, and
propriety of using the i-Think thinking map for T&L
purposes. Exposure to the i-Think thinking map is very
important in the effort to improve HOTS among students.

Sumbangan/Keaslian: Kajian ini menyumbang kepada literatur sedia mengenai


persepsi guru terhadap peta pemikiran i-Think dengan memberi fokus kepada
persepsi guru novis bahasa Melayu terhadap pengaplikasian peta pemikiran i-Think
dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

1. Pengenalan

Pendidikan di Malaysia pada hari ini menekankan pemikiran secara kritis dan kreatif.
Melalui Transformasi Kurikulum Pendidikan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan
(PPPM 2013-2025), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan
satu program yang dikenali sebagai Program i-Think. i-Think merupakan innovative
thinking yang bertujuan untuk meningkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir
dalam kalangan murid ke arah melahirkan insan yang mempunyai pemikiran kreatif,
kritis dan inovatif pada masa yang akan datang. Program tersebut merupakan hasil
kerjasama antara KPM dan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dengan sepuluh buah sekolah
telah dipilih sebagai sekolah rintis dalam pelaksanaan awal program i-Think sebelum
program tersebut disebarluaskan ke semua institusi pendidikan seluruh negara.

Program i-Think memperkenalkan peta pemikiran i-Think sebagai alat mahupun bahan
bantu mengajar kepada guru-guru dan murid-murid seterusnya membawa manfaat ke
arah memudahkan penyampaian ilmu pengetahuan serta turut membantu guru mata
pelajaran bahasa Melayu dalam proses PdP bahasa Melayu yang berkesan. Kajian ini
memberi fokus kepada guru novis bahasa Melayu (GNBM). GNBM merupakan guru
pengkhususan bahasa Melayu baharu yang ditempatkan oleh KPM di sekolah seluruh
negara. Guru novis yang turut dikenali sebagai guru permulaan juga perlu memantapkan
diri dengan pengetahuan, kemahiran dan motivasi agar kompeten dan mampu
melahirkan murid yang mampu berdaya saing pada peringkat global. Pengaplikasian
peta pemikiran i-Think dalam PdP bahasa Melayu adalah satu perkara yang berguna
serta membawa impak positif ke arah pemantapan ilmu pengetahuan dalam kalangan
GNBM.

Pendedahan kepada peta pemikiran i-Think semasa dalam kursus praperkhidmatan


seharusnya membantu guru-guru baharu amnya dan GNBM khasnya dalam
mengaplikasikan ilmu mengenai peta pemikiran i-Think semasa proses PdP berlangsung.
Penggunaan peta pemikiran i-Think dalam proses PdP membantu guru-guru dalam
mencapai objektif pengajaran. Namun begitu, isu-isu tertentu boleh menyebabkan
kurangnya keberkesanan peta pemikiran i-Think bagi tujuan PdP. Berdasarkan kajian
Nurhafizah et al. (2015), isu yang telah dikenal pasti ialah kurang pendedahan dan
kursus yang masih baharu dalam kalangan guru. Kajian tersebut dijalankan pada
peringkat awal Program i-Think diperkenalkan kepada guru-guru dalam perkhidmatan.
Oleh itu, pengaplikasian peta pemikiran tersebut dalam PdP masih belum mantap. Kajian

© 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative
Commons Attribution 4.0 International License (CC BY).
3
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562)

Roselizam et al. (2020), menunjukkan isu yang berkaitan tingkah laku guru terhadap
penggunaan peta pemikiran i-Think dalam langkah-langkah pengajaran yang berkaitan
set induksi, aktiviti pengajaran, aktiviti penilaian dan rumusan pengajaran bagi mata
pelajaran Pendidikan Islam. Hal tersebut menunjukkan guru-guru berada pada tahap
sederhana dalam mengaplikasikan peta pemikiran i-Think dalam PdP mereka.

Penerapan dan pembangunan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid
adalah amat penting di samping pemerolehan ilmu pengetahuan. Proses pemerolehan
ilmu pengetahuan hendaklah berjalan seiring dengan penerapan kemahiran berfikir
yang kreatif, kritis dan inovatif. Oleh itu, peranan guru dalam memilih pendekatan
pengajaran yang bersesuaian hendaklah diambil perhatian iaitu pendekatan yang
digunakan haruslah ke arah penggunaan gambaran, renungan atau bentuk perkataan
yang menggalakkan murid agar dapat menggunakan kemahiran berfikir (Hyerle & Alper,
2011). Manakala Abdul Rasid dan Hasmah (2013) pula menyatakan bahawa
kecenderungan guru bahasa Melayu dalam menggunakan bakat semata-mata
menyebabkan mereka kurang untuk memanfaatkan fungsi bahan bantu mengajar. Hal
yang demikian bermakna, peta pemikiran i-Think masih kurang dimanfaatkan sebagai
bahan pengajaran dan seterusnya memberi kesan impak terhasap penerapan KBAT
dalam kalangan murid.

Bagi pelaksanaan sesuatu pengajaran dan kemahiran pula, kompetensi pedagogi juga
merupakan suatu perkara penting yang perlu diberi perhatian. Dalam kajian ini,
kompetensi pedagogi merujuk pada pengetahuan pengaplikasian peta pemikiran i-Think
dalam kalangan GNBM. Menurut Lokman et al. (2014), guru novis berdepan dengan
masalah dalam mengaplikasikan ilmu yang diperoleh secara teori semasa dalam
pengajian di institusi pengajian tinggi ke dalam situasi sebenar apabila telah bekerja.
Transisi daripada guru praperkhidmatan kepada guru permulaan memerlukan mereka
berhadapan dengan situasi sebenar guru yang bukan sahaja melaksanakan tugas hakiki
iaitu mengajar, malah tugas-tugas sampingan yang lain yang tidak hanya tertumpu
kepada PdP di dalam bilik darjah. Walaupun secara teorinya, semua guru novis
termasuklah guru novis bahasa Melayu telah mendapat latihan yang sebaiknya daripada
institusi latihan masing-masing, namun penerapan teori ke dalam situasi sebenar
bukanlah suatu perkara yang mudah

2. Sorotan Literatur

Pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam PdP merupakan salah satu pengintegrasian
elemen kemahiran abad ke-21 dalam bilik darjah. Penggunaan peta pemikiran i-Think
menggalakkan murid untuk menggunakan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.

Kajian yang dilaksanakan Roselizam et al. (2020) menunjukkan persepsi guru-guru


terhadap keberkesanan penggunaan peta pemikiran i-Think semasa menjalankan proses
PdP di dalam bilik darjah. Melalui kajian tersebut, responden yang terdiri daripada guru-
guru Pendidikan Islam mempunyai persepsi penggunaan yang positif terhadap
penggunaan peta pemikiran i-Think dalam proses pengajaran di sekolah. Bagi
menghasilkan murid yang mempunyai pemikiran kreatif dan kritis, kaedah pengajaran
yang bercirikan pembelajaran abad ke-21 adalah amat bertepatan. Dalam konteks kajian
ini, peta pemikiran i-Think boleh dimanfaatkan sebagai salah satu kaedah pengajaran
kemahiran berfikir terkini dalam sistem pendidikan negara. Pengajaran kemahiran
berfikir dalam PdP adalah sangat penting bagi menggalakkan murid agar mampu
menghasilkan pemikiran yang rasional.

© 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative
Commons Attribution 4.0 International License (CC BY).
4
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562)

Penggunaan peta pemikiran i-Think bukan sahaja dapat meningkatkan amalan


pengajaran guru, malah dapat menggalakkan peningkatan prestasi pembelajaran murid.
Kenyataan ini disokong oleh dapatan kajian Normah et al. (2018). Dapatan kajian mereka
menunjukkan peningkatan pencapaian responden iaitu murid selepas peta pemikiran i-
Think diaplikasikan PdP. Penggunaan peta pemikiran i-Think dalam PdP sebagai bahan
bantu mengajar membantu dalam meningkatkan dan mengekalkan minat murid dalam
mata pelajaran yang diajar.

Begitu juga kajian yang dilaksanakan oleh Rosnidar et al. (2015), mengenai
keberkesanan penggunaan peta pemikiran i-Think terhadap pencapaian dan minat
murid. Dapatan kajian mereka tersebut menunjukkan penggunaan peta pemikiran i-
Think dalam PdP membantu guru dalam meningkatkan pencapaian dan minat murid
bagi tajuk Sifat Bahan. Hasil kajian tersebut boleh dijadikan panduan kepada pihak-pihak
berkepentingan seperti guru, sekolah dan pemegang taruh dalam sistem pendidkan.

Kajian yang dijalankan oleh Zarina dan Wan Muna (2021) menunjukkan perspektif guru
senior bahasa Melayu dalam penggunaan peta pemikiran i-Think dalam PdP.
Berdasarkan kajian mereka, dapat dilihat persepsi yang positif terhadap penggunaan
peta pemikiran i-Think. Antaranya ialah guru-guru yang menjadi responden kajian
berpendapat bahawa peta pemikiran i-Think dapat membantu meningkatkan KBAT
murid, memudahkan murid mengingat isi pelajaran serta membawa perubahan emosi
yang positif seperti seronok dan murid lebih aktif serta memberi tumpuan. Penggunaan
peta pemikiran i-Think dilihat membawa manfaat kepada kemenjadian murid dalam
konteks pengetahuan, kemahiran dan juga sikap.

Dapatan kajian Rohaida dan Zamri (2015) juga selaras dengan dapatan kajian tersebut.
Melalui kajian mereka mengenai penggunaan peta pemikiran i-Think dalam pengajaran
penulisan, didapati bahawa alat berfikir tersebut boleh berfungsi sebagai alat
pembelajaran yang dapat membantu murid lebih memahami isi kandungan pelajaran,
meningkatkan prestasi dan minat murid dalam penulisan. Kajian tersebut menunjukkan
penggunaan kaedah peta pemikiran mampu merangsang penghasilan idea seterusnya
membantu murid menyusun idea agar dapat menghasilkan karangan yang baik dan
gramatis.

Mohd Zikri Ihsan et al. (2019) pula dalam kajian mereka telah menyimpulkan bahawa
pengajaran yang menggunakan kaedah yang bersifat terkini seperti peta pemikiran i-
Think adalah lebih berkesan daripada kaedah yang bersifat tradisional. PdP
menggunakan peta pemikiran sebagai alat bantu mengajar merupakan satu kaedah
pengajaran yang terkini dan membolehkan guru untuk berkreativiti semasa
menggunakan peta tersebut bagi memastikan PdP menjadi lebih berkesan dan menarik.

3. Metod Kajian

3.1. Reka Bentuk Kajian

Kajian ini menggunakan pendekatan penyelidikan kualitatif dengan strategi kajian kes.
Kajian kes merupakan strategi pengumpulan data dengan pengkaji turun padang dan
melihat sendiri suasana sebenar melalui pemerhatian, temu bual dan kaedah lain yang
sesuai berdasarkan tempat kajian (Siti Arni et al., 2016). Oleh itu, kaedah pengumpulan
data ini sangat bertepatan dengan konsep kajian kualitatif.

© 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative
Commons Attribution 4.0 International License (CC BY).
5
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562)

3.2. Pensampalen

Pemilihan sampel kajian adalah menggunakan sampel bertujuan yang berasaskan


kepada andaian bahawa pengkaji mahu meneroka, mengetahui dan memahami, maka
maklumat banyak boleh diperoleh daripada responden (Merriam, 2009). Dalam kajian
yang berbentuk kualitatif ini, kajian ini tidak memberi tumpuan terhadap pengumpulan
data atau maklumat yang banyak, sebaliknya kaedah penyelidikan menekankan terhadap
usaha untuk memperoleh data dan maklumat yang terbaik dengan jumlah sampel yang
sedikit (Azizah, 2004).

Dalam kajian ini, lima orang informan kajian telah dikenal pasti dan dipilih. Oleh itu,
jumlah informan yang telah ditetapkan oleh pengkaji adalah bersesuaian mengikut ciri
kajian kualitatif yang tidak memerlukan sampel yang besar, namun data yang berkualiti
yang hendak dikumpulkan bagi memenuhi objektif kajian dan menjawab persoalan
kajian. Informan yang dipilih adalah dari dua buah sekolah yang berlainan. Pemilihan
informan ini juga adalah berdasarkan kriteria ketat iaitu berkaitan pengkhususan guru
iaitu bahasa Melayu, pengalaman mengajar guru yang kurang daripada tiga tahun, masih
dalam tempoh percubaan dan belum disahkan dalam perkhidmatan.

3.3. Instrumen Kajian

Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah protokol temu bual. Temu bual
dijalankan oleh pengkaji secara lisan untuk semua peserta kajian. Temu bual dirakamkan
oleh pengkaji. Setelah temu bual dilaksanakan, semua rakaman audio semasa temu bual
ditranskripsikan secara verbatim dan dianalisis. Temu bual berbentuk separa struktur
digunakan. Soalan temu bual disediakan secara formal dan spontan berdasarkan objektif
kajian yang berkaitan dengan persepsi GNBM dalam pelaksanaan PdP bahasa Melayu
menggunakan peta pemikiran i-Think.

4. Hasil Kajian

Penyelidik menemu bual lima orang informan yang terdiri daripada guru novis bahasa
Melayu. Guru-guru tersebut dilabel sebagai Guru A, B, C, D dan E. Terdapat tiga tema
utama yang diperoleh daripada analisis kajian berkaitan persepsi GNBM dalam
mengaplikasikan peta pemikiran i-Think semasa PdP bahasa Melayu iaitu kebaikan,
keberkesanan dan kewajaran menggunakan peta pemikiran i-Think.

4.1. Kebaikan

Berdasarkan respons yang diberikan oleh para informan, didapati kesemua informan
mempunyai persepsi yang menjurus ke arah kebaikan penggunaan peta pemikiran i-
Think bagi tujuan PdP. Guru A menyatakan pandangan mengenai kebaikan dalam
menggunakan peta pemikiran i-Think yang membawa manfaat kepada murid dalam
proses PdP yang dilaksanakan. Manfaat yang dinyatakan adalah berkaitan dengan
kebaikan peta pemikiran tersebut sebagai bahan bantu mengajar yang membantu guru
melaksanakan PdP bahasa Melayu.

... Peta i-Think membantu sebagai bahan bantu mengajar.


Lagipun i-Think dianggap sebagai alat berfikir. Sesuai digunakan
untuk menyampaikan apa yang mau diajar di kelas … (Guru A)

© 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative
Commons Attribution 4.0 International License (CC BY).
6
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562)

Guru B dan guru C pula menyatakan bahawa peta pemikiran i-Think memudahkan
guru menyampaikan kandungan pelajaran yang telah dirancang sebelum
melaksanakan pengajaran yang sebenar dalam bilik darjah.

... Peta i-Think ni konsep dia macam peta minda. Cuma dia ada
fungsi Ikut jenis. Dalam BM, peta i-Think ni boleh diguna untuk
sampaikan maklumat, latihan dan memudahkan guru untuk
mengajar … (Guru B)

... Peta pemikiran i-Think ni bagi saya memang sesuai la


digunakan untuk mengajar bahasa Melayu sebab dapat
memudahkan murid untuk memahami sesuatu topik yang diajar
dengan lebih mudah selain dapat melatih murid pembelajaran
kendiri …. (Guru D)

Respons yang diberikan oleh guru C turut menunjukkan bahawa peta pemikiran i-
Think membawa kebaikan kepada proses pelaksanaan PdP bahasa Melayu.

... Pada pendapat sayalah, penggunaan peta pemikiran i-Think


dalam bahasa Melayu adalah sesuai kerana dapat meningkatkan
kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid.
Penggunaan i-Think secara tidak langsung membolehkan kita
untuk melatih serta meningkatkan KBAT murid melalui aktiviti
menjana idea, mencari maksud tersurat dan tersirat di samping
dapat membantu murid untuk memahami dengan jelas tentang
sesuatu maklumat … (Guru C)

... Murid-murid berupaya untuk terjemah kefahaman dorang


tentang satu-satu topik dalam bentuk yang lebih mudah melalui
pemilihan peta i-Think yang sesuai … (Guru C)

Kesemua informan turut memberi respons yang sama terhadap soalan temu bual
yang menjurus kepada persepsi mengenai kebaikan peta pemikiran i-Think iaitu kos
penyediaan bahan yang murah dan berpatutan.

... Penyediaan peta i-Think tidak melibatkan sebarang kos.


Paling-paling dakwat marker pen saja. Kalau guna printer, kos
kertas dengan ink printer sahaja … (Guru A)

... Penggunaan peta i-Think tidak melibatkan kos yang tinggi.


Sebab i-Think ni mudah sahaja. Kita lukis, kita suruh murid lukis.
Jadi tiada kos sangat pun keluar. Kalau mahu lagi kemas, kita
print la peta kosong … (Guru B)

... Setakat ni tidak melibatkan sebarang kos yang berjumlah


besar. Paling-paling pun guna kertas atau cetak sendiri … (Guru
C)

... Bagi saya, tidaklah melibatkan kos yang banyak pun. Kita
hanya perlu lukis di papan tulis atau paling senang, kita print
saja sebagai edaran untuk murid. Kalau edar terus yang sudah

© 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative
Commons Attribution 4.0 International License (CC BY).
7
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562)

berprint lagi cepat kerja. Sebab kita tau la kan kalau lukis sendiri
ni macam mana … (Guru D)

... Memang adalah juga kos tu. Cuma tidaklah sebesar mana.
Paling-paling guna kertas A4 sama ink printer. Kalau betul-betul
mau jimat atau cepat, suruh murid lukis sendiri … (Guru E)

Selain itu, persepsi yang timbul bagi tema kebaikan peta pemikiran i-Think kepada
guru bahasa Melayu yang menjadi informan dalam kajian ini adalah berkaitan
penyediaan bahan yang tidak membebankan. Guru C berpendapat bahawa
penyediaan bahan berkaitan peta pemikiran i-Think tidak memberi beban.

... Bagi saya, penyediaan bahan berkaitan i-Think tidak


membebankan sama sekali. Pada masa kini, kita boleh mencari
bahan yang diperlukan daripada pelbagai sumber yang melalui
teknologi maklumat. Tambahan pula peta ini boleh boleh dilukis
oleh sendiri oleh murid-murid … (Guru C)

Kenyataan tersebut turut disokong oleh Guru D yang turut berpendapat bahawa
penyediaan bahan berkaitan peta pemikiran i-Think tidak membebankan guru-guru.

... Penyediaan bahan berkaitan i-Think ni tidaklah menbebankan


kerana contoh peta i-Think sudah ada, tinggal kita untuk lukis,
tulis ataupun mahu print sahaja. Kalau saya, saya pilih benda
yang mudah macam mau menyediakan bahan peta i-Think ni.
Yala kan, buat apa mau buat yang susah-susah kalau boleh buat
yang mudah … (Guru D)

4.2. Keberkesanan

Keberkesanan penggunaan peta pemikiran i-Think turut dikenal pasti sebagai tema
dalam melihat persepsi guru-guru novis bahasa Melayu yang dijadikan informan.
Jika dilihat pada respons yang diberikan oleh guru A, keberkesanan peta pemikiran
i-Think dalam sesi PdP adalah berdasarkan kemampuan murid menerima dan
memahami isi pelajaran.

… Pendapat sayalah, keberkesanan penggunaan peta pemikiran i-


Think adalah mengikut kemampuan murid. Ada murid yang cepat
tangkap, laju saja dia buat kerja ikut i-Think tu. Jadi kira
berkesan lah tu kan bantu mereka berfikir. Ada juga murid yang
lambat sikit, perlu dibantu sampailah mereka betul-betul
menguasai i-Think … (Guru A)

Kenyataan tersebut turut disokong oleh respons yang diberikan oleh Guru B yang
menyatakan bahawa keberkesanan peta pemikiran i-Think adalah berdasarkan
kefahaman murid.

... Kalau kira, i-Think ni berkesan ikut kefahaman murid la. Bila
murid faham sudah konsep i-Think, jadi mudahlah murid
gunakan. Peranan guru juga mau kasi faham budak ni
sebenarnya … (Guru B)

© 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative
Commons Attribution 4.0 International License (CC BY).
8
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562)

Respons yang diberikan oleh guru C, guru D dan guru E juga menunjukkan dapatan
yang hampir sama berkaitan pandangan mereka mengenai keberkesanan peta
pemikiran i-Think dalam kalangan murid adalah berdasarkan kefahaman murid
terhadap konsep peta pemikiran i-Think dan kemampuan mereka memahaminya.

… Bagi saya, itu bergantung kepada kemampuan murid yang kita


ajar tu sendiri. Bagi murid yang cerdas mereka mampu
menyelesaikan kerja yang diberi dengan lebih cepat
menggunakan peta pemikiran. Berbeza dengan murid yang tahap
sederhana atau kurang sikit. Mereka perlu dibimbing oleh guru …
(Guru C)

… Penggunaan i-Think ini bergantung kepada murid juga. Ada


sesetengah murid yang dapat menjana idea sendiri berdasarkan
bahan yang diberi dan mengolah bahan tersebut dalam bentuk i-
Think tetapi ada sebahagian murid yang agak lambat untuk
mengolah bahan tersebut ke dalam bentuk lain … (Guru D)

... Keberkesanan i-Think ni bergantung kepada pemahaman


murid tu sendiri terhadap pertama peta i-Think tu sendiri. Yang
ini maksudnya, adakah murid tu faham dan tahu guna peta i-
Think tu untuk apa. Kedua, pemahaman murid mengenai topik
yang dipelajari. Jadi sekiranya, murid memang faham konsep dan
penggunaan peta I-Think yang betul dan juga dapat
mengaplikasikan i-Think tu mengikut topik yang diajar oleh guru,
kira berkesan la penggunaan i-Think tu semasa proses
pengajaran … (Guru E)

4.3. Kewajaran

Melalui respons yang diberikan oleh kesemua informan, tema kewajaran turut
dikenal pasti dalam persepsi GNBM terhadap pengaplikasian peta pemikiran i-Think
dalam PdP bahasa Melayu. Kewajaran dalam konteks ini adalah merujuk kepada
kewajaran peta pemikiran i-Think untuk digunakan dan diteruskan penggunaannya
dalam PdP bahasa Melayu. Kesemua informan menunjukkan persepsi yang sama
mengenai kewajaran peta pemikiran i-Think untuk digunakan dan diteruskan
penggunaannya dalam PdP bahasa Melayu. Misalnya, respons yang diberikan oleh,
guru C dan guru D.

... Bagi saya wajar diteruskan. Sebab dapat memudahkan murid


untuk faham apa yang dipelajari dalam bentuk yang lebih mudah
dengan syarat guru hendaklah memahami dengan jelas setiap
fungsi setiap jenis peta pemikiran itu. Di samping itu, dapat
membimbing murid untuk mengenali kaedah yang mudah
untuk mereka mencatat maklumat. Penggunaan peta pemikiran
ini bukan sahaja digunakan dalam pendidikan semata-mata. Tapi
murid juga boleh mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian
… (Guru C)

... Peta i-Think ni wajar diteruskan dalam PdP untuk

© 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative
Commons Attribution 4.0 International License (CC BY).
9
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562)

meningkatkan KBAT dalam kalangan murid. Peta i-Think ni alat


berfikir yang diperkenal KPM. Jadi mesti benda ni bawa manfaat
kepada murid-murid kan kalau kita gunakan dalam sesi PdP. Kita
dapat latih KBAT supaya lagi kritis dan kreatif … (Guru D)

Berdasarkan temu bual ke atas kelima-lima orang informan tersebut, dapatlah


dikenal pasti bahawa persepsi guru terhadap pengaplikasian peta pemikiran i-Think
dalam PdP bahasa Melayu adalah sangat positif. Penggunaan peta pemikiran tersebut
mengikut pandangan guru novis bahasa Melayu dilihat membawa kebaikan kepada
guru dalam menyampaikan isi pelajaran dan turut memudahkan murid untuk
memahami perkara yang diajarkan oleh guru. Bahan pengajaran yang digunakan bagi
menghasilkan peta pemikiran i-Think pada peringkat perancangan dan penyediaan
juga tidak melibatkan kos yang besar dan tidak membebankan guru.

Persepsi guru-guru yang ditemu bual turut menunjukkan bahawa mereka bersetuju
bahawa penggunaan peta pemikiran i-Think mempunyai keberkesanan yang
berbeza-beza yang bergantung kepada kefahaman dan juga kemampuan murid.
Setiap murid mempunyai kefahaman dan kemampuan yang berbeza dalam
menerima suatu pengetahuan, maklumat dan informasi yang baharu. Justeru,
keberkesanan pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam kalangan murid adalah
tidak sama mengikut individu. Seterusnya, kesemua informan turut bersetuju
bahawa penggunaan peta pemikiran i-Think yang boleh dimanfaatkan sebagai alat
berfikir wajar untuk diteruskan penggunaannya bagi tujuan PdP atas impak positif
dan keperluan untuk membudayakan KBAT dalam kalangan murid.

5. Perbincangan Kajian

Peta pemikiran i-Think adalah satu kaedah pengajaran terkini yang boleh digunakan
guru dalam melaksanakan sesi PdP. Dapatan kajian berdasarkan perspektif GNBM
memberi gambaran umum mengenai penggunaan peta pemikiran i-Think diterima
secara positif dalam kalangan guru. Dapatan kajian menunjukkan terdapat respons
mengenai kebaikan peta pemikiran i-Think. Peta pemikiran i-Think membawa manfaat
sebagai bahan bantu mengajar yang membantu guru semasa proses PdP bahasa Melayu.

Dapatan kajian ini selaras dengan dapatan kajian Mohd Zikri Ihsan et al. (2019). Dapatan
kajian tersebut menunjukkan bahawa pengajaran menjadi lebih efektif dengan
penggunaan peta pemikiran i-Think berbanding pengajaran yang menggunakan kaedah
tradisional. Proses PdP yang memanfaatkan peta pemikiran i-Think membolehkan guru
untuk lebih berkreativiti semasa PdP. Penggunaan peta pemikiran tersebut secara kreatif
dan disesuaikan mengikut topik pengajaran membolehkan guru mengaplikasikannya
sebagai bahan atau alat bantu mengajar yang membawa manfaat kepada proses
pemerolehan ilmu pengetahuan yang bermakna kepada murid-murid.

Seterusnya, dapatan kajian pengkaji berkaitan persepsi GNBM juga menunjukkan


kebaikan peta pemikiran i-Think yang membantu memudahkan guru dalam
menyampaikan kandungan pelajaran yang telah dirancang sebelum melaksanakan
pengajaran yang sebenar dalam bilik darjah. Dapatan tersebut selaras dengan dapatan
kajian Zarina dan Wan Muna (2021). Dapatan kajian mereka menunjukkan bahawa guru-
guru yang menjadi peserta kajian memberi respons yang positif mengenai penggunaan
peta pemikiran i-Think yang membantu guru dalam proses PdP dan seterusnya
membantu dalam meningkatkan KBAT murid, memudahkan murid mengingat isi

© 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative
Commons Attribution 4.0 International License (CC BY).
10
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562)

pelajaran serta membawa perubahan emosi yang positif seperti seronok dan murid lebih
aktif serta memberi tumpuan semasa PdP.

Dapatan kajian Zarina dan Wan Muna (2021) turut selaras dengan dapatan kajian
pengkaji bagi konteks kebaikan peta pemikiran i-Think membantu memudahkan proses
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Hal yang demikian menunjukkan
bahawa penggunaan peta pemikiran i-Think dalam proses PdP membolehkan
berlakunya proses PdP yang lebih berimpak positif kerana fungsi peta pemikiran i-Think
dapat memudahkan penyampaian isi serta kandungan pelajaran dengan lebih efektif
berbanding pengajaran menggunakan kaedah tradisional.

Seterusnya, dapatan kajian Zarina Ashikin et al. (2021) pula menunjukkan dapatan yang
bertentangan dengan dapatan kajian pengkaji mengenai kebaikan peta pemikiran i-
Think yang membantu memudahkan guru dalam menyampaikan isi pelajaran. Dapatan
kajian tersebut menunjukkan bahawa terdapat responden dalam kajian tersebut yang
merasakan peta pemikiran i-Think adalah membebankan. Dapatan kajian yang
bertentangan tersebut tidaklah menggambarkan keburukan penggunaan peta pemikiran
i-Think secara keseluruhan. Persepsi yang positif atau negatif adalah mengikut individu
masing-masing dan tidak sama antara individu yang berbeza.

Dapatan kajian pengkaji yang seterusnya mengenai persepsi GNBM adalah berkaitan
keberkesanan peta pemikiran i-Think tersebut dalam PdP bahasa Melayu. Keberkesanan
penggunaan peta pemikiran i-Think dalam sesi PdP adalah berdasarkan kemampuan dan
kefahaman murid terhadap perkara yang diajarkan oleh guru. Dapatan kajian tersebut
selaras dengan dapatan kajian Rosnidar et al. (2015).

Dapatan kajian yang diperoleh daripada kajian tersebut menunjukkan peta pemikiran i-
Think berkesan dalam membantu meningkatkan pencapaian dan minat murid.
Kemampuan dan kefahaman murid memahami konsep peta pemikiran i-Think
membolehkan pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam PdP menjadi lebih efektif
seterusnya meningkatkan pencapaian murid dan minat murid terhadap mata pelajaran
yang diajar. Dalam konteks ini, kemampuan dan kefahaman murid terhadap konsep peta
pemikiran i-Think berkait rapat dengan kaedah yang digunakan oleh guru dalam
mengaplikasikan peta pemikiran tersebut dalam pengajaran dalam bilik darjah. Setiap
guru mempunyai kaedah mereka yang tersendiri dalam melaksanakan sesi PdP. Oleh itu,
guru memainkan peranan yang sangat penting dalam memilih kaedah pengajaran yang
sesuai dengan mengaplikasikan peta pemikiran i-Think secara optimum agar sesi PdP
berjalan lancar dan objektif pembelajaran tercapai pada akhir sesi PdP.

Dapatan kajian pengkaji yang terakhir berkaitan persepsi GNBM terhadap


pengaplikasian peta pemikiran i-Think ialah berkaitan kewajaran peta pemikiran i-Think
dalam PdP bahasa Melayu. Peta pemikiran i-Think sesungguhnya wajar untuk digunakan
dan diteruskan dalam sesi PdP bahasa Melayu. Dapatan tersebut selaras dengan dapatan
kajian Nik Rosnizasuzila et al,. (2015). Dapatan kajian tersebut menunjukkan bahawa
Program i-Think wajar untuk dilaksanakan supaya pemikiran murid dapat dirangsang
sesuai dengan pendidikan pada masa kini. Keberkesanan peta pemikiran i-Think dalam
sesi PdP tidak dapat dinafikan dengan melihat kepada dapatan kajian-kajian lepas.
Dapatan daripada kajian tersebut turut menyatakan bahawa peta pemikiran i-Think
sangat penting dan harus diteruskan pada masa yang akan datang. Peta pemikiran i-
Think boleh dijadikan sebagai alat berfikir dan bermanfaat dalam meningkatkan KBAT.
Pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam sesi PdP bahasa Melayu wajar untuk

© 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative
Commons Attribution 4.0 International License (CC BY).
11
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562)

diteruskan lantaran kebaikan yang boleh diperoleh dalam membantu guru dalam proses
PdP seterusnya membantu dalam penyaluran ilmu berkaitan bahasa dapat
dimaksimumkan.

6. Implikasi

Implikasi daripada kajian, persepsi yang positif dapat dilihat dalam kalangan guru
mengenai peta pemikiran i-Think yang telah diaplikasikan ke proses pengajaran dan
pembelajaran bahasa Melayu. Peta pemikiran tersebut merupakan satu kaedah yang
diperkenalkan oleh KPM dalam usaha bagi membantu guru untuk menerapkan KBAT
dalam kalangan murid. Dengan itu, kemahiran berfikir murid akan dapat dikembangkan
dengan lebih berkesan. Bagi memudahkan proses PdP yang merangkumi semua mata
pelajaran, peta pemikiran i-Think yang mempunyai pelbagai fungsi mengikut jenis
pemikiran merupakan satu kaedah yang boleh dipertimbangkan untuk diaplikasikan di
dalam bilik darjah. Hal yang demikian bermakna, guru perlu bijak dan kreatif dalam
menggunakan peta pemikiran mengikut cara dan kefahaman mereka agar fungsi peta
pemikiran i-Think sebagai alat atau bahan bantu mengajar dapat dimanfaatkan sebaik
mungkin. Oleh itu, guru perlu mempunyai memiliki kesedaran dan kemahuan untuk
menambah baik kemahiran dan pengetahuan pedagogi agar keberkesanan proses
pengajaran dapat dilihat dengan jelas seperti mana yang diinginkan. Kajian ini turut
memberi impikasi bahawa wujudnya kepelbagaian kaedah pengaplikasian peta
pemikiran i-Think yang boleh diaplikasikan guru secara kreatif. Dengan pengalaman
budaya berfikir yang tinggi dalam kalangan guru, sudah semestinya membantu para guru
untuk mengaplikasikan peta pemikiran i-Think mengikut kaedah mereka tersendiri.
Kaedah pengajaran yang bergerak seiring dengan keperluan pendidikan yang
menekankan kepada kemahiran berfikir seperti peta pemikiran i-Think perlu diteruskan
dan dibudayakan agar KBAT dalam kalangan murid dapat ditingkatkan.

7. Kesimpulan

Secara keseluruhannya, KPM telah memperkenalkan peta pemikiran i-Think sebagai satu
alternatif dalam mempelbagaikan kaedah PdP bagi semua mata pelajaran amnya dan
mata pelajaran bahasa Melayu khasnya. Peta pemikiran i-Think yang berfungsi sebagai
alat berfikir dalam Program i-Think sesungguhnya masih relevan untuk digunakan bagi
PdP pada hari ini walaupun telah lama diperkenalkan sejak tahun 2013 lagi. Dalam
konteks persepsi guru semasa mengaplikasikan peta pemikiran i-Think bagi tujuan
pengajaran, kita perlu sedar bahawa setiap individu mempunyai persepsi yang berbeza
sama ada berbentuk positif mahupun negatif. Hal tersebut bergantung kepada
pengalaman yang dilalui semasa menggunakan peta pemikiran tersebut semasa
mengajar yang seterusnya memberikan guru sudut pandang mereka yang tersendiri.
Guru perlu bijak dalam menyesuaikan jenis peta pemikiran i-Think mengikut topik
pengajaran dalam bilik darjah. Peta pemikiran i-Think dalam Program i-Think
sesungguhnya mempunyai kebaikan dan kelemahannya yang tersendiri. Konklusinya,
manfaat peta pemikiran i-Think dalam memudahkan proses PdP guru tidak boleh
dinafikan atas dasar kepentingan penerapan kemahiran berfikir yang berkualiti yang
seterusnya membawa impak positif ke atas pembelajaran murid.

© 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative
Commons Attribution 4.0 International License (CC BY).
12
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562)

Kelulusan Etika dan Persetujuan untuk Menyertai Kajian

Para penyelidik menggunakan garis panduan etika penyelidikan yang disediakan oleh
Jawatankuasa Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaysia Sabah. Semua prosedur
yang dilakukan dalam kajian ini yang melibatkan subjek manusia telah dijalankan sesuai
piawaian etika jawatankuasa penyelidikan institusi. Kebenaran dan persetujuan
mengikuti kajian turut diperoleh daripada semua peserta kajian dan turut mendapat
kebenaran daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP,
KPM)

Penghargaan

Terima kasih diucapkan kepada para peserta kajian, pentadbir sekolah dan penyelia
yang telah banyak membantu dalam menjayakan dan menyempurnakan kajian ini.

Kewangan

Kajian ini tidak mendapat sebarang bantuan kewangan atau sebarang tajaan daripada
mana-mana pihak.

Konflik Kepentingan

Penulis tidak mempunyai sebarang konflik kepentingan dalam menjalankan dan


penerbitan artikel ini.

Rujukan

Azizah Hamzah. (2004). Kaedah Kualitatif dalam Penyelidikan Sosiobudaya. Jurnal


Pengajian Media Malaysia, 6(1), 1-10.
Abdul Rasid Jamian & Hasmah Ismail (2013). Pelaksanaan Pembelajaran
Menyeronokkan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Jurnal
Pendidikan Bahasa Melayu, 3(2), 49-63.
Hyerle, D., & Alper, L. (2011). Student Sucess With Thinking map Second Edition (second
edition). United States of America: Corwin A SAGE Company.
Lokman Mohd Tahir, Mohd Nihra Mohd Said, Roslee Ahmad, Khadijah Daud, Bambang
Sumitono & Suhana Yusoff. (2014). Exploring the Induction Program for Novice
Teachers. Life Science Journal, 11(8), 394-406.
Merriam, S. B. (2009). Qualitative research: A guide to design and implementation. San
Fransisco: Jossey-Bass.
Mohd Zikri Ihsan Mohamad Zabhi, Shamsudin Othman, Abdul Rasid Jamian & Azhar Md.
Sabil. (2019). Penggunaan Peta Pemikiran Dalam Pembelajaran Cerpen Komsas
Tingkatan Lima. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 9(1), 47-55.
Nik Rosnizasuzila Nik Hassan, Azlina Mohd Kosnin & Zakiah Mohamad Ashari. (2015).
Keperluan Modul i-Think dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Sekolah.
In:2nd International Education Postgraduate Seminar, 20-21 Dis, 2015, Johor
Bahru, Johor.
Normah Zakaria, Azita Ali, Nur Izeanty Hamidon & Suhaili Abd Rasap. (2018.) Aplikasi
Peta Pemikiran i-Think dalam Meningkatkan Kemahiran Berfikir ArasTinggi
(KBAT). Online Journal for TVET Practitioners, 3, 19-26.

© 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative
Commons Attribution 4.0 International License (CC BY).
13
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562)

Nurhafizah Zaidi, Roslinda Rosli, & Mohamed Yusoff Mohd Nor. (2015). Aplikasi Peta
Pemikiran i-Think Dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran Matematik. World
Academic And Research Congres 2015.
Rohaida Yusop & Zamri Mahamod. (2015). Keberkesanan Peta Pemikiran (I-Think)
dalam Meningkatkan Pencapaian Penulisan Bahasa Melayu Pelajar Tahun 6. Jurnal
Pendidikan Bahasa Melayu, 5(2), 31-37.
Roselizam Daud, Roslan Ab Rahman & Noradilah Abdul Wahab. (2020). Sikap dan
Tingkah Laku Guru Terhadap Penggunaan Peta Pemikiran i-Think dalam Proses
Pengajaran Pendidikan Islam di Sekolah. Asian People Journal (APJ), 3(2), 24-35.
Rosnidar Mansor, Haeidatul Nashrah Hassan, Norazilawati Abdullah & Nik Azmah Nik
Yusof. (2015). Keberkesanan Penggunaan i-Think Terhadap Pencapaian dan Minat
Murid dalam Tajuk Sifat Bahan, Sains Tahun 4. Jurnal Pendidikan Sains &
Matematik Malaysia, 5(2), 98-116.
Siti Arni Basir, Nurul Syafiyah Mohd Noor, Mohd Zaidi Abd Rahman & Monika @
Munirah Abd Razzak. (2016). Peranan Pemimpin dalam Pelaksanaan Etika Kerja
Islam: Kajian Kes di Johor Corporation (JCorp). Jurnal Usuluddin, 44, 45-84.
Zarina Abu Baker & Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad. (2021). Keberkesanan
Penggunaan peta i-Think Dalam Kalanngan Guru Senior Bahasa Melayu Sekolah
Kebangsaan Di Daerah Seremban. Jurnal Dunia Pendidikan, 3(2), 32-43.
Zarina Ashikin Zakaria, Norhana Abdullah, Normazla Ahmad Mahir, Suzannah Selamat &
Kharyati Md Bahir. (2021). Kesan Penggunaan Peta Pemikiran Dalam Program i-
Think Terhadap Peningkatan Tahap Penguasaan Pelajar Dalam Mata Pelajaran
Pendidikan Islam. Jurnal Sains Insani, 6(1), 150-154.

© 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative
Commons Attribution 4.0 International License (CC BY).

Anda mungkin juga menyukai