Anda di halaman 1dari 11

SARJANA PENDIDIKAN MOD EKSEKUTIF CUTI SEKOLAH

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA SESI 2017/2018

TUGASAN INDIVIDU
GGGB 6022 PENULISAN AKADEMIK 2

PROGRAM I-THINK DALAM PEMBELAJARAN DAN


PEMUDAHCARAAN PENDIDIKAN ISLAM

PENSYARAH:

DR. MOHD. ISA BIN HAMZAH

NAMA PELAJAR NO. MATRIK

NUR MADIHAH BINTI HAMIN GP05197

0
PROGRAM I-THINK DALAM PEMBELAJARAN DAN PEMUDAHCARAAN
PENDIDIKAN ISLAM

Oleh: Nur Madihah Binti Hamin


dustearth1811@gmail.com

Abstrak

Pelaksanaan program i-Think di sekolah bertujuan untuk mempertingkatkan dan


membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar ke arah menghasilkan
pelajar yang berinovatif, kreatif dan kritis di masa akan datang. Sehubungan
dengan itu, kertas konsep ini membincangkan penerapan program i-Think sebagai
suatu transformasi dalam pengajaran Pendidikan Islam bagi menggantikan
pendekatan konservatif yang sering digunakan dalam pengajaran dan
pembelajaran di sekolah. Pendekatan konservatif yang telah menjadi amalan
pengajaran sejak dahulu menimbulkan rasa kurang minat pelajar terhadap
pembelajaran di samping kurang penguasaan dalam memahami konsep dan amali
di dalam Pendidikan Islam. Melalui pembelajaran berasaskan kemahiran berfikir
menggunakan peta pemikiran i-Think ini, diharapkan dapat membantu guru-guru
dalam mengubah dan meningkatkan pengajaran dan pemudahcara di dalam bilik
darjah seterusnya melahirkan pelajar yang boleh mentafsir prinsip dan ajaran
Islam yang dipelajari ke dalam konteks kehidupan seharian.
Kata kunci: I-Think, pembelajaran dan pemudahcaraan, Pendidikan Islam

1.0 PENGENALAN
Transformasi kurikulum berlaku dengan jelas apabila KBSR ditukarkan kepada Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada tahun 2011 bagi murid sekolah rendah. Transformasi ini
lebih menitikberatkan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar. Berfikir merupakan satu
proses mental atau aktiviti mencari makna yang penting dalam pengajaran dan pemudahcaraan
sebagai asas pembelajaran. Menurut Chew dan Shashipriya (2014), tujuan kemahiran berfikir
secara kritis dan kreatif diterapkan adalah untuk melahirkan pelajar yang boleh berfikir secara
kreatif dan menghasilkan idea-idea baharu. Di samping itu, kemahiran berfikir aras tinggi dalam
kalangan guru dan pelajar perlu diterapkan secara menyeluruh agar pemikiran dapat dirangsang
sesuai dengan arus pendidikan masa kini.
Di Malaysia, proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang menerapkan
penggunaan peta pemikiran i-Think semakin diperluaskan. Pelaksanaan program i-Think yang
diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Agensi Inovasi
Malaysia (AIM) bermula pada tahun 2014 merupakan pemangkin kepada pemikiran aras tinggi
bagi meningkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar. Teknik
mengajar menggunakan peta pemikiran i-Think merupakan salah satu usaha dalam mengukuhkan
pedagogi guru bagi membantu guru mengubah mentaliti dan amalan lama. Teknik ini dapat
mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan murid, berinformasi selain masa dan
bahan turut dijimatkan.

1
Namun, kebanyakan guru lebih selesa dengan kaedah pengajaran yang sedia ada dan
sukar untuk menerima perubahan dan mempelajari kemahiran penyampaian pengetahuan dalam
bentuk baharu. Sharifah Nor (2012) turut mempersetujui kenyataan bahawa cabaran paling besar
dalam menangani permasalahan berkenaan keberkesanan kaedah pengajaran adalah memastikan
semua guru menggunakan amalan-amalan yang mampu merangsang kemahiran berfikir secara
berkesan dalam pengajaran harian. Kajian Zamri Mahamod (2012) turut menyatakan bahawa
kejayaan dan kecemerlangan dalam sesuatu mata pelajaran tidak akan menjadi kenyataan jika
proses pengajaran masih menggunakan kaedah tradisional dan tidak mengambil kira kemahiran
berfikir pelajar.
Di samping itu, menurut Mohd Aderi, Noraini dan Nur Hanani (2014), guru Pendidikan
Islam tidak bersedia untuk mengaplikasikan KBAT di dalam PdPc disebabkan kurang
pendedahan berkenaan kemahiran tersebut ketika berada di institut perguruan atau di universiti.
Bagi (Rajendran 2001; Normah 2013), faktor kesediaan adalah usaha untuk memperkembangkan
KBAT yang merupakan suatu elemen penting yang perlu ada pada seorang guru. Ketiadaan
faktor kesediaan dalam kalangan guru dilihat mampu menyebabkan KBAT tidak dapat
dilaksanakan semasa proses PdPc walaupun guru tersebut mempunyai kesedaran dan
pengetahuan tentang kepentingan KBAT (Fathiyah 2010). Kesannya dapat dilihat apabila KBAT
gagal diterapkan dalam pemikiran pelajar.
Justeru, penulisan ini akan membincangkan penguasaan ilmu guru-guru terhadap peta
pemikiran i-Think dalam PdPc Pendidikan Islam dan sikap pelajar dan guru-guru terhadap
program ini serta pelaksanaannya di dalam PdPc Pendidikan Islam. Peta pemikiran i-Think yang
mengemukakan lapan bentuk peta pemikiran dapat meningkatkan kemahiran berfikir dan
keupayaan berkomunikasi dengan berkesan. Penguasaan lapan bentuk peta pemikiran tersebut
yang telah diperkenalkan oleh Hyerle dan Yeager (2007) iaitu peta bulatan, peta buih, peta buih
berganda, peta pokok, peta dakap, peta alir, peta pelbagai alir dan peta titi di dalam pembelajaran
dan pemudahcaraan diharapkan dapat melahirkan guru dan pelajar yang kritis, kreatif dan
inovatif serta meningkatkan kemahiran berfikir dan keupayaan berkomunikasi dengan berkesan.

2.0 KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT)


Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) merupakan aras yang paling tinggi dalam hierarki
proses kognitif. Ia merupakan salah satu kemahiran dalam PdPc pada masa kini. KBAT adalah
keupayaan untuk mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan
dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya
mencipta sesuatu. Brookhart (2010) menyatakan definisi kemahiran berfikir aras tinggi ke dalam
tiga kategori utama iaitu pemindahan, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah. Maimunah
(2004) turut merumuskan bahawa kemahiran berfikir tidak bergantung kepada tahap kepandaian
seseorang semata-mata namun turut melibatkan masa, pendedahan dan motivasi diri. Selain itu,
kemahiran berfikir juga boleh dipupuk dan digilap melalui proses pendidikan yang berterusan.
Penekanan KBAT dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum
Standard Sekolah Menengah (KSSM) merupakan satu usaha kerajaan untuk memperkukuhkan
dan memperkasakan kemahiran berfikir pelajar supaya pelajar tidak hanya menghafal tetapi
memahami apa yang dipelajari dan boleh berfikir dengan lebih mendalam, membuat kesimpulan
dan refleksi seterusnya mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam situasi sebenar (Bahagian
Pembangunan Kurikulum 2014). Pelaksanaan KBAT di sekolah menggunakan pendekatan yang

2
menyeluruh dan sistematik yang mengandungi tiga elemen utama iaitu kurikulum, pedagogi,
pentaksiran; dan empat elemen sokongan iaitu kokurikulum, sokongan komuniti dan swasta,
sumber dan bina upaya.
Di Malaysia, konsep pemikiran aras tinggi ini telah mula dilaksanakan dan soalan-soalan
yang bercirikan KBAT dimasukkan dalam peperiksaan. Walau bagaimanapun, pelbagai strategi
harus dibentuk untuk meningkatkan lagi pemahaman konsep ini. Oleh itu, satu reka bentuk
strategi yang mampu memudahkan guru dan pelajar melaksanakannya dalam proses PdPc
diperlukan iaitu merancang kerangka pengajaran dengan mengintegrasikan kemahiran berfikir
untuk mewujudkan tumpuan pelajar. Seterusnya guru boleh memikirkan tentang strategi dan
kaedah yang dapat menggalakkan kebolehan kemahiran berfikir. Semua aktiviti yang dijalankan
di dalam bilik darjah boleh dibawa ke peringkat aras tinggi jika guru berusaha memilih strategi
dan aktiviti yang bersesuaian.
Justeru, kerajaan telah mengambil langkah ke arah mewujudkan budaya KBAT yang
memberi kesan kepada perubahan dalam pembelajaran pelajar, perubahan dalam pendekatan dan
perubahan dalam pentaksiran. Elemen KBAT diterapkan dalam Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Perubahan dalam
pendekatan pengajaran berlaku di mana guru menggunakan alat berfikir seperti lapan peta
pemikiran i-Think dalam PdPc yang bertujuan meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dan
menggalakkan pelajar menyoal yang memerlukan pemikiran aras tinggi seperti kenapa dan
bagaimana. Perubahan pentaksiran juga dilaksanakan di mana peratusan soalan pemikiran aras
tinggi akan bertambah untuk peperiksaan UPSR 80%, PT3 80%, SPM (teras) 75% dan SPM
(elektif) 50% pada tahun 2016 (Lembaga Peperiksaan Malaysia 2013).

3.0 KONSEP PETA PEMIKIRAN I-THINK


Peta pemikiran merupakan satu inovasi baru yang telah diperkenalkan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia. Ia bukanlah satu kurikulum baru tetapi merupakan alat berfikir yang
membolehkan guru menyampaikan kurikulum sedia ada dalam bentuk yang lebih menarik.
Program i-Think ini bertujuan mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir
(Khalidah et al. 2014) dalam kalangan pelajar ke arah menghasilkan pelajar yang berfikiran
kreatif dan kritis serta inovatif. Guru dan pelajar akan menggunakan alat berfikir dalam
pengajaran dan pembelajaran di samping melaksanakan aktiviti kemahiran berfikir aras tinggi di
dalam bilik darjah. Abjad ‘i’ memberi maksud inovasi, manakala perkataan ‘THINK’ pula
membawa maksud pemikiran secara inovatif yang perlu ada pada semua pelajar (Bahagian
Pembangunan Kurikulum 2012).
Peta pemikiran merupakan satu alat untuk berfikir yang dipersembahkan dalam lapan
bentuk pemikiran secara visual yang mudah untuk diguna pakai dan difahami dalam proses
pembelajaran. Menurut Bahagian Pembangunan Kurikulum (2012), peta pemikiran telah
menggabungkan proses pembelajaran secara kognitif dan persembahan maklumat secara visual
dalam bentuk grafik. David Hyerle (2011) turut menyatakan bahawa peta pemikiran sebagai satu
jenis bahasa yang akan digunakan di seluruh peringkat, bidang kandungan dan disiplin supaya
pelajar boleh belajar dengan lebih berkesan dan lebih cekap. Ini kerana peta pemikiran
menyerupai alat-alat berfikir yang lain seperti peta minda dan peta konsep, namun peta
pemikiran lebih terarah, tersusun dan terancang penggunaannya. Rajah 1 menunjukkan jenis-
jenis Peta Pemikiran i-Think (David Hyerle 2008).

3
Rajah 1: Jenis-jenis Peta Pemikiran i-Think
Penggunaan peta pemikiran i-Think ini membolehkan guru mengambil peluang untuk
melaksanakan pembelajaran kolaboratif dalam bilik darjah. Kaedah ini digunakan untuk
membolehkan pelajar dan guru berinteraksi secara dua hala semasa proses PdPc. Justeru, ini
akan mewujudkan kerja berpasukan dalam kalangan pelajar di samping dapat memperkukuhkan
serta memantapkan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar. Menurut Kamarul Azmi
Jasmi (2013), selain cepat ingat dan lebih fokus, penggunaan pendekatan pembelajaran aktif
melalui aktiviti penyelesaian masalah ini juga menyebabkan pelajar tidak mudah lupa terhadap
isi pelajaran yang telah mereka pelajari apabila mereka mencari sendiri maklumat, berbincang,
dan menerangkan semula dalam bentuk pembentangan.
Melalui penggunaan peta pemikiran ini juga, pembelajaran berpusatkan pelajar akan
menjadi lebih aktif (Abdul Rasid, Martini dan Azhar 2017). Ini kerana pelajar mampu
mengemukakan pendapat masing-masing, membuat pengelasan dan analogi. Pembelajaran yang
berpusatkan pelajar dapat melahirkan generasi yang berkeyakinan, berdaya saing dan mampu
berfikir pada aras tinggi. Guru hendaklah memberi peluang kepada pelajar menggunakan peta
pemikiran i-Think dalam pembelajaran di mana guru bertindak sebagai fasilitator. Untuk
menghasilkan pelajar yang mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi ini, guru perlu memastikan
pelajar sudah bersedia untuk belajar menggunakan peta pemikiran i-Think, guru hendaklah
memberi masa untuk pelajar berfikir sewaktu proses PdPc dan guru perlu memastikan arahan
yang diberikan senang untuk difahami oleh pelajar.

4
Oleh itu, kesesuaian penggunaan lapan peta pemikiran i-Think perlu dilakukan dengan
kreatif oleh guru mengikut kesesuaian tajuk yang diajar kerana setiap peta pemikiran mempunyai
fungsinya yang tersendiri. Ia merupakan salah satu alat berfikir yang boleh digunakan oleh para
guru dan pelajar agar pembelajaran menjadi lebih bermakna. Penggunaan peta pemikiran i-Think
yang berkesan dapat meningkatkan pemahaman pelajar dalam PdPc Pendidikan Islam dan
mampu mengubah tingkah laku pelajar menjadi lebih positif. Program ini juga diharap dapat
menghasilkan pelajar yang berinovatif serta berupaya menangani pelbagai cabaran masa kini dan
masa akan datang dengan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.

4.0 PENGUASAAN ILMU GURU TERHADAP ALAT BERFIKIR I-THINK


Berfikir merupakan suatu suruhan dan gesaan Allah SWT kepada manusia secara
keseluruhannya. Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang merangsang dan menggalakkan
manusia supaya berfikir. Ia dapat dilihat menerusi surah al-Baqarah 2:44 dan 50, al-An’am 6:32,
al-Nahl 16:12, al-Nisa’ 5:82 dan al-Rum 30:21 (Mahyuddin 2001; Kamarul Azmi dan Ab. Halim
2007). Dalam Pendidikan Islam, guru harus menerapkan kemahiran berfikir kepada pelajar bagi
mencapai tujuan Pendidikan Islam iaitu mengenal Allah SWT dan untuk tujuan keilmuan
(Shamsina dan Akhiar 2015). Terdapat isi kandungan pelajaran Pendidikan Islam yang meminta
pelajar untuk menilai hikmah, menganalisis kebaikan dan keburukan serta menentukan hukum
sah dan batal. Situasi ini memerlukan pelajar menggunakan kemahiran berfikir dan menjadi
tanggungjawab guru merangsang kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar.
Justeru, guru perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran berfikir aras tinggi sebelum
menerapkan kemahiran tersebut kepada pelajar. Walau bagaimanapun, kajian Rosma et al.
(2013) yang mengkaji proses berfikir dalam kalangan guru menunjukkan proses berfikir adalah
rendah. Tambahan lagi, hasil kajian turut menunjukkan bahawa pengetahuan kemahiran
pedagogi secara teori tidak membawa perubahan pada aspek strategi pedagogi. Kajian Kelsom
(2012) pula mendapati sewaktu PdPc di dalam bilik darjah, guru Pendidikan Islam sekolah
rendah kurang mengamalkan penyoalan aras tinggi berbanding penyoalan aras rendah dan
terdapat juga aras soalan yang tidak mengikut tahap pembelajaran pelajar. Ini bermakna guru
mengetahui berkenaan konsep kemahiran berfikir secara umum tetapi tidak mempunyai
pengetahuan yang mendalam akan strategi pelaksanaannya dalam pengajaran.
Penggunaan i-Think sebagai alat berfikir sewaktu PdPc dilihat mampu merangsang
kemahiran berfikir pelajar. Namun pelaksanaan pengajaran menggunakan peta pemikiran i-Think
ini agak lemah disebabkan kurangnya pendedahan yang diberikan kepada guru sebagai medium
pelaksana dan pengajar kemahiran tersebut. Menurut kajian Linawati dan Sharifah Nor Puteh
(2017), terdapat sebilangan guru yang tidak menguasai sepenuhnya lapan peta pemikiran i-Think
walaupun telah diberikan pendedahan awal di dalam Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) dan
bengkel-bengkel yang berkaitan dengan penggunaan peta pemikiran i-Think ini. Tambahan,
terdapat sebilangan guru yang tidak menggunakan kaedah ini dan mempraktikkannya di dalam
pengajaran mereka. Ini menyukarkan untuk guru memberikan pendedahan kepada pelajar kerana
kelemahan diri sendiri dalam menguasai kemahiran tersebut.
Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian guru yang tidak diberikan kursus dan latihan
yang sepatutnya untuk memperkenalkan mereka kepada penggunaan peta pemikiran i-Think
dalam melaksanakan kemahiran berfikir aras tinggi. Hal ini dibuktikan melalui kajian Rosnani
Hashim (2003) yang mendapati bahawa kursus atau latihan berkaitan kemahiran berfikir aras

5
tinggi ini tidak diperkenalkan kepada guru semasa dalam perkhidmatan. Tambahan pula, dapatan
kajian Nora (2009) menjelaskan bahawa guru Pendidikan Islam bersetuju bahawa mereka perlu
diberi pendedahan tentang pelaksanaan kemahiran berfikir dalam Pendidikan Islam lantaran
belum menguasai sepenuhnya cara melaksanakan kemahiran berfikir dalam proses pembelajaran
dan pemudahcaraan.
Kesimpulannya, pendedahan melalui kursus dan bengkel penggunaan peta pemikiran i-
Think masih belum menyeluruh kepada semua guru terutama guru Pendidikan Islam. Menurut
Nik, Azlina dan Zakiah (2015), guru-guru mengajar di dalam bilik darjah berdasarkan
pemahaman sendiri tanpa sebarang panduan secara khusus berikutan tiada pemantauan susulan
selepas penganjuran bengkel i-Think. Hal ini penting untuk diatasi agar guru memahami,
mengetahui dan menguasai lapan peta pemikiran tersebut sebelum didedahkan kepada pelajar
bagi merangsang pelajar berfikir dan mengembangkan idea dalam mencari maklumat.

5.0 SIKAP GURU DAN PELAJAR TERHADAP I-THINK SEBAGAI ALAT


BERFIKIR
Sikap adalah nilai kepercayaan yang mempengaruhi cara individu bertindak balas pada sesuatu
perkara sama ada tindak balas positif ataupun negatif pada objek sosial (Azizi et al. 2007). Sikap
sememangnya mempengaruhi minat pelajar untuk menguasai KBAT di dalam kelas. Guru perlu
mencari pelbagai teknik yang sesuai bagi membolehkan pelajar berminat untuk belajar di dalam
kelas. Jika terdapat faktor yang tidak menarik minat mereka, pelajar ini akan menjadi kurang
seronok untuk belajar di dalam kelas terutama apabila pembelajaran yang memerlukan mereka
untuk berfikir dan mengingat. Pelajar akan mudah merasa bosan dan sikap sebegini akan
mendorong mereka untuk malas belajar. Justeru, melalui penggunaan alat berfikir yang sesuai
dengan PdPc, penguasaan murid dalam kemahiran berfikir menjadi lebih berkesan.
Kajian oleh Normah (2013) iaitu menilai kesan penguasaan kemahiran berfikir dan
perubahan sikap serta persepsi pelajar setelah diperkenalkan dengan kemahiran berfikir. Hasil
kajian mendapati sikap dan persepsi pelajar terhadap kemahiran ini menunjukkan reaksi yang
positif walaupun ada segelintir pelajar yang memberikan respon yang sebaliknya. Maka,
pengajaran KBAT menjadi sesuatu yang menarik untuk dipelajari di dalam kelas dan dapat
menarik minat pelajar yang malas belajar kepada ingin belajar. Kajian Muhamad Sidek dan
Ahamad (2012) menunjukkan amalan guru melalui peta pemikiran i-Think ini telah merubah
tingkah laku pelajar kepada lebih positif dan tekun. Kreativiti guru dalam menarik minat pelajar
untuk menggunakan peta pemikiran i-Think dalam PdPc Pendidikan Islam amat penting bagi
mengelakkan mereka berasa bosan dan tidak seronok untuk belajar.
Seterusnya kajian Rosnidar et al. (2015) di dalam mata pelajaran Sains yang bertajuk
“Keberkesanan Penggunaan i-Think Terhadap Pencapaian Dan Minat Murid Dalam Tajuk Sifat
Bahan, Sains Tahun 4”. Daripada hasil kajian dan analisis data yang telah dijalankan,
penggunaan peta pemikiran i-Think dalam PdPc dapat membantu dalam mempertingkatkan
pencapaian dan minat Sains bagi tajuk Sifat Bahan ke atas pelajar Tahun Empat. Selain itu,
menurut Shamsazila, Muhammad Faizal dan Ghazali (2017), peta pemikiran i-Think ini dapat
memudahkan pelajar memahami konsep, menganalisis masalah dan mencari penyelesaian. Peta
pemikiran ini juga boleh digunakan merentasi pelbagai mata pelajaran dan pelbagai tahap di
mana proses pemikiran akan menjadi satu cara lazim untuk pelajar, guru dan ibu bapa
menyelesaikan masalah dan membiasakan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif.

6
Hasil dapatan kajian yang dilakukan oleh Shamsazila, Muhammad Faizal dan Ghazali
(2017) mendapati pelajar merasakan bahawa sikap mereka terhadap program i-Think ini adalah
baik kerana dapatan yang diperoleh mendapati pencapaian sikap pelajar berada pada tahap
sederhana tinggi. Contoh perubahan pada pencapaian sikap pelajar antaranya pelajar suka
menggunakan peta pemikiran i-Think secara berkumpulan semasa aktiviti PdPc yang
menggunakan peta ini, pelajar memahami apa yang dipelajari menggunakan peta pemikiran i-
Think, peta pemikiran i-Think sesuai digunakan mengikut apa yang dipelajari dan pelajar mula
berkongsi idea dengan rakan. Sekiranya penggunaan peta pemikiran i-Think ini berterusan
digunakan di dalam bilik darjah, pencapaian sikap pelajar dijangka akan meningkat.
Manakala kajian terhadap bakal guru pula, satu tinjauan dibuat terhadap pelaksanaan dan
maklum balas berkenaan program i-Think di IPG Kampus Sultan Mizan setelah hampir dua
tahun diperkenalkan. Penilaian yang dibuat melalui kajian tinjauan Muhamad Sidek, Mohamad
dan Mohamad Sabri (2013) secara umumnya mendapati bahawa program tersebut memberi
kesan positif kepada pelajar-pelajar kerana peta pemikiran yang disediakan adalah membantu
serta amat berguna sebagai asas dan kemudahan untuk mereka berfikir. Kebanyakan pelajar
bersetuju program ini dijadikan sebagai salah satu alat berfikir, kaedah pengajaran berkesan,
membantu meningkatkan kemahiran berfikir dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)
dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
6.0 PELAKSANAAN PENGAJARAN MENGGUNAKAN PETA PEMIKIRAN
I-THINK DI SEKOLAH
Program i-Think telah mula diperkenalkan pada tahun 2011 dan pelaksanaannya bermula dari
tahun 2012. Dalam tempoh tersebut pelbagai bentuk program berasaskan i-Think telah dilakukan
oleh pihak sekolah bagi memastikan pelaksanaan program i-Think berjalan seperti yang
diharapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Hasil yang diharapkan daripada pelaksanaan
program i-Think ini diharap memberi kesan dan implikasi yang baik kepada pelajar.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (2012), dengan
menggunakan alat berfikir i-Think; (a) pelajar lebih fokus, berkeyakinan dan aktif dalam kelas;
(b) aktiviti banyak berpusatkan pelajar; (c) prestasi pelajar meningkat selepas menggunakan alat
berfikir dalam PdPc; (d) hubungan guru dengan pelajar lebih rapat kerana guru lebih banyak
berperanan sebagai fasilitator.
Penggunaan peta pemikiran i-Think ketika proses PdPc di dalam bilik darjah tidak
melibatkan sebarang penambahan masa kepada guru dan pelajar. Hal ini kerana peta pemikiran
merupakan sebahagian daripada proses PdPc mengikut waktu kelas yang telah ditetapkan. Selain
itu, menurut Bahagian Pembangunan Kurikulum (2012) juga, peta pemikiran tidak sesekali
menambah bebanan kepada guru-guru kerana peta pemikiran merupakan alat berfikir dan bukan
sebagai bahan bantu mengajar (BBM). Menurut Noor Hidayu dan Yahya (2016), peta pemikiran
i-Think boleh digunakan sebagai persediaan pra-pengajaran kepada guru. Guru boleh
menggunakan peta pemikiran untuk menyusun bahan-bahan pengajaran sebelum dan selepas sesi
PdPc di dalam bilik darjah. Namun, jika guru menggunakan peta pemikiran ini sebagai bahan
bantu mengajar mungkin bebanan tugas akan dapat dirasai oleh guru tersebut.
Pelaksanaan peta pemikiran i-Think ini harus dipandang serius dari pelbagai sudut. Dari
segi pelaksanaan di sekolah, ia bukanlah satu program atau menjadi mata pelajaran yang wajib,
namun ia seharusnya diterapkan dalam proses PdPc melalui aktiviti yang dibuat oleh guru.

7
Namun begitu, dalam melaksanakan peta pemikiran i-Think ini, terdapat cabaran yang perlu
dihadapi oleh guru dan pelajar kerana sistem pendidikan di Malaysia yang masih menjadikan
peperiksaan sebagai asas dalam penilaian terhadap murid dengan menekankan mereka menghafal
dan mengimbas kembali fakta-fakta. Sungguh pun alat berfikir ini membantu murid dalam
mencari ilmu pengetahuan, inisiatif perlu dilakukan dan mereka juga perlu membangunkan
kemahiran dalam pengetahuan tersebut agar mereka berjaya dalam persekitaran dunia yang kian
berubah.

7.0 PENUTUP
Perubahan pembelajaran melalui program peta pemikiran i-Think ini harus dilalui dan
dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi mewujudkan pembelajaran berpusatkan pelajar.
Seiring dengan pembelajaran abad ke-21 yang menekankan pembelajaran berpusatkan pelajar
dan guru sebagai pemudahcara, penggunaan peta pemikiran i-Think ini harus ditekankan dalam
PdPc Pendidikan Islam bagi membentuk pelajar yang mempunyai pemikiran yang kritis dan
kreatif. Masih terdapat banyak khazanah silam ulama terdahulu yang perlu digali oleh pemikir
dalam bidang Pendidikan Islam. Justeru, bagi melahirkan generasi pemikir dalam kalangan umat
Islam, kemahiran berfikir aras tinggi perlu menjadi budaya di dalam pembelajaran di sekolah
dengan memberi penekanan terhadap penggunaan salah satu alat berfikir yang berkesan iaitu i-
Think. Penguasaan kemahiran berfikir ini penting dalam tempoh jangka masa yang panjang
untuk menjadikan pelajar mampu mentafsir prinsip dan ajaran Islam yang dipelajari ke dalam
konteks kehidupan harian, menghadapi liku-liku kehidupan dengan pertimbangan yang rasional
dan mengukuhkan pegangan sebagai seorang Muslim.

RUJUKAN

Abdul Rasid Jamian, Martini Misdon & Azhar Md. Sabil. 2017. Penggunaan peta pemikiran i-
Think dalam pemahaman KOMSAS Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Malaysia 42(1):
51-59.
Azizi Yahaya, Shahrin Hashim, Jamaluddin Ramli, Yusof Boon & Abd Rahim Hamdan. 2007.
Menguasai Penyelidikan Dalam Pendidikan Edisi Kedua. Kuala Lumpur: PTS
Professional Publishing.
Bahagian Pembangunan Kurikulum. 2012. Program i-Think membudayakan kemahiran berfikir.
Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Brookhart, S. M. 2010. How to Assess Higher-order Thinking Skills in Your Classroom.
Alexandria: ASCD.
Chew Fong Peng dan Shashipriya Nadaraja. 2014. Pelaksanaan kemahiran berfikir kreatif dan
kritis dalam pengajaran dan pembelajaran KOMSAS di sekolah menengah. Jurnal
Pendidikan Bahasa Melayu 4(2): 10-24.

8
David Hyerle. 2008. Thinking Maps: A Visual Language for Learning. Dlm. Alexandra Okada,
Simon Buckingham Shum & Tony Sherbone (pnyt.) Knowledge Cartography, hlm. 73-
87. London: Springer-Verlag.
David Hyerle. 2011. Student Success With Thinking Maps. 2nd Edition. Thousand Oaks: Corwin
Press.
Fathiyah Fakhruddin. 2010. Penerapan elemen falsafah pendidikan Islam dalam pengajaran
Pendidikan Islam. Tesis Dr. Fal. Universiti Putera Malaysia.
Kamarul Azmi Jasmi & Ab. Halim Tamuri. 2007. Pendidikan Islam Kaedah Pengajaran dan
Pembelajaran. Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia.
Kamarul Azmi Jasmi. 2013. Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam: Pengamalan Guru
Cemerlang Pendidikan Islam. Seminar Pemerkasaan Pengajaran Agama Islam di
Malaysia, 1-16. Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Kelsom Ismail. 2010. Aras penyoalan guru Pendidikan Islam dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran berasaskan Taksonomi Bloom. Tesis Sarjana. Universiti Teknologi
Malaysia.
Khalidah Othman, Saodah Ismail, Haslina Jaafar & Aminah Samsudin. 2014. Kajian tinjauan:
aplikasi pemikiran i-Think dalam pengajaran dan pembelajaran literasi dan nombor.
Jurnal Penyelidikan TEMPAWAN 31: 147-152.
Linawati @ Lina Adiman & Sahrifah Nor Puteh. 2017. Pelaksanaan peta pemikiran i-Think
dalam kalangan guru. Seminar Pendidikan Serantau ke-8. Fakulti Pendidikan UKM, 7
September.
Mahyuddin Ashaari. 2001. Pendidikan al-Quran menjana keupayaan berfikir. Jurnal Pendidikan
Islam 9(4): 1-8.
Maimunah Osman. 2004. Kemahiran Berfikir. Kuala Lumpur: Intan Management Series.
Mohd Aderi Che Noh, Noraini Omar & Nur Hanani Hussin. 2014. Sumber Pendidikan Islam.
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhamad Sidek Said & Ahamad Rahim. 2012. Inovasi pengajaran dan pembelajaran melalui
program i-Think. Kertas kerja dibentangkan di IPGM International convention in teacher
learning & development, Pearl International Hotel. Kuala Lumpur, 19-21 November.
Muhamad Sidek, Mohamad Ab Kadir & Mohamad Sabri Awang Hitam. 2013. Penilaian
Pelaksanaan Program i-Think: Satu Pengenalan. Ejurnal.Ipgmksm.Edu.My: 1-8.
Nik Rosnizasuzila Nik Hassan, Azlina Mohd Kosnin & Zakiah Mohamad Ashari. 2015.
Keperluan modul i-Think dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. 2 nd
International Education Postgraduate Seminar. Johor Bahru, 20-21 Disember.

9
Noor Hidayu Mohd Rahim & Yahya Othman. 2016. Keberkesanan peta bulatan dan peta alir
dalam meningkatkan penguasaan menulis karangan naratif murid-murid Cina. Jurnal
Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM 6(2): 68-77.
Nora Dewa. 2009. Pandangan guru Pendidikan Islam terhadap kemahiran berfikir dan cara
pelaksanaannya dalam pengajaran Pendidikan Islam di sekolah rendah daerah
Samarahan. Laporan Akhir Sarjana Muda, Fakulti Pendidikan dan Bahasa, Universiti
Terbuka Malaysia.
Normah Yamin. 2013. Pengajaran kemahiran berfikir dalam mata pelajaran Geografi sekolah
menengah. Tesis Dr. Fal. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
Rajendran, N. 2001. Pengajaran Kemahiran Aras Tinggi (KBAT): kesediaan guru
mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran. Kertas kerja dibentangkan di
Seminar Projek Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK): Pusat Perkembangan
Kurikulum KPM.
Rosma Osman, Ong Eng Teck, Shakinaz Desa & Wong Kung Teck. 2013. Tahap kemahiran
berfikir dalam kalangan guru sekolah rendah. Jurnal Pendidikan Bitara UPSI 5: 1-11.
Rosnani Hashim. 2003. Malaysian’s teachers attitude, competency and practices in the teaching
of thinking. Intellectual Discourse 11(1): 27-50.
Rosnidar Mansor, Haeidatul Nashrah Hassan, Norazilawati Abdullah & Nik Azmah Nik Yussuf.
2015. Keberkesanan penggunaan i-Think terhadap pencapaian dan minat murid dalam
tajuk sifat bahan. Jurnal Pendidikan Sains & Matematik Malaysia 5(2): 98-116.
Shamsazila Sa’aban, Muhammad Faizal Abdul Ghani & Ghazali Darusalam. 2017. Pendedahan
program i-Think di peringkat sekolah mengikut pendekatan sekolah secara menyeluruh:
satu kajian awal. Jurnal Kepimpinan Pendidikan 4(2): 1-20.
Shamsina Shamsuddin & Akhiar Pardi. 2015. Pedagogi Pendidikan Islam. Bangi: Pelangi
Profesional Publishing Sdn. Bhd.
Sharifah Nor Puteh. 2012. Keprihatinan guru Bahasa Melayu dalam melaksanakan kemahiran
berfikir secara kritis dan kreatif. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 2 (11): 19-31.
Zamri Mahamod. 2012. Inovasi P&P dalam Pendidikan Bahasa Melayu. Tanjong Malim:
Universiti Pendidikan Sultan Idris.

10

Anda mungkin juga menyukai