Anda di halaman 1dari 3

PANDEMIK COVID-19: KESAN KEPADA MANUSIA DAN ALAM

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi


wabarakatuh dan selamat sejahtera. “Pandemik Covid-19: Kesan
kepada manusia dan alam”. Sekalung penghargaan saya hulurkan
kepada barisan juri yang arif lagi bijaksana, guru-guru sumber inspirasi,
seterusnya para pemidato yang dikasihi sekalian.

Sebelum itu, izinkan saya untuk mendefinisikan tajuk pidato pada


hari ini agar dapat memberikan gambaran awal tentang hujah yang bakal
saya sampaikan sebentar lagi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat,
pandemik bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu
meluas hingga ke seluruh wilayah, benua atau dunia. Covid-19 ialah
penyakit berjangkit yang berpunca daripada virus koronavirus yang boleh
menyebabkan jangkitan saluran pernafasan yang teruk. Frasa kesan
kepada manusia dan alam pula merujuk impak Covid-19 terhadap orang
yang dijangkiti dan implikasi terhadap dunia pada masa kini.
Berdasarkan definisi tersebut dapatlah dirumuskan bahawa wabak Covid
-19 yang tersebar secara meluas ini mampu memberikan impak yang
begitu serius terhadap kehidupan di muka bumi ini baik manusia
mahupun alam sekitar.

Sidang maya yang dikasihi dan dihormati,

Hujah saya yang pertama, Covid-19 telah merubah norma hidup


manusia. Semenjak tercetusnya wabak ini, manusia sudah tidak boleh
lagi melakukan aktiviti yang menjadi kebiasaan mereka sebelum ini.
Bukan sahaja masyarakat Malaysia bahkan seluruh dunia perlu
mengamalkan pematuhan SOP demi meneruskan kehidupan yang sihat.
Kebiasaan baharu yang mesti diamalkan termasuklah kerap mencuci
tangan, memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan fizikal ketika
berada di tempat awam. Majlis-majlis sosial seperti majlis perkahwinan
dan aktiviti kemasyarakatan perlu dielakkan bagi mengurangkan risiko
penyebaran virus tersebut di samping memutuskan rantaian Covid-19 di
negara ini. Sekiranya rakyat memandang enteng dan mengabaikan
usaha ini sudah pasti manusia akan terus hidup dalam kebiasaan baharu
yang tidak normal ini. Segalanya di tangan kita. Tepuk dada tanyalah
selera. Tuntaslah bahawa wabak Covid-19 telah merubah kehidupan
manusia.

Hujah seterusnya, Covid-19 mencetuskan tekanan psikologi yang


dahsyat. Emosi dan mental manusia amat terganggu dan terkesan
dengan penularan wabak ini. Tekanan tersebut menyebabkan wujud rasa
kesedihan, kemarahan, ketakutan kekecewaan dan berputus asa.
Keadaan ini bertambah parah apabila kes-kes kemurungan, imsonia dan
bunuh diri semakin meningkat akibat pandemik ini. Kehilangan
pekerjaan, tidak boleh bekerja, bekerja dari rumah dan syarikat terpaksa
gulung tikar adalah perkara paling sukar untuk ditempuh. Pandemik ini
benar-benar memberikan kesan kepada kesihatan mental. Buktinya di
Jepun, kadar kematian akibat bunuh diri melebihi kematian akibat Covid-
19. Begitu jugalah di Malaysia. Banyak kes bunuh diri dilaporkan
semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.
Jelaslah bahawa gangguan psikologi yang teruk adalah salah satu
impak pandemik ini.

Akhir sekali, Covid-19 memberi impak positif terhadap alam


sekitar. Umum mengetahui, sejak Covid-19 melanda dunia, pergerakan
manusia dari satu tempat ke tempat yang lain telah dihadkan. Perintah
berkurung yang dilaksanakan oleh negara-negara yang terkesan telah
menunjukkan berlakunya perubahan drastik terhadap alam sekitar.
Langit dilihat kembali membiru dan kualiti udara semakin baik akibat
Covid-19. Di negara-negara yang terjejas teruk akibat pencemaran alam
seperti China, India, Eropah dan negara Asia yang lain melaporkan
pencemaran udara turun secara mendadak. Paling menarik, dilaporkan
Banjaran Himalaya dapat dilihat dengan jelas dari jarak 201 kilometer
dari bandar terdekat di Punjab, India buat pertama kalinya dalam tempoh
30 tahun. Fenomena seperti ini bagaikan satu keajaiban kepada alam. Di
Malaysia, kualiti air dan udara meningkat ekoran manusia menghentikan
pelbagai operasi dan aktiviti. Kesannya udara semakin bersih dan rakyat
dapat menghirup udara yang segar.

Konklusinya, dapatlah saya simpulkan bahawa terdapat pelbagai


kesan yang telah terjadi terhadap manusia dan alam akibat Covid-19.
Oleh itu, marilah sama-sama kita berganding bahu mengamalkan norma
baharu dalam kehidupan serta mengekalkan perubahan yang baik
terhadap alam sekitar. Mudah-mudahan Covid-19 akan cepat berlalu
pergi agar kita dapat menjalani kehidupan yang normal seperti dahulu.

Sekian sahaja pidato saya kali ini dan saya menyusun sepuluh jari
memohon kemaafan sekiranya tersilap kata semasa saya
menyampaikan pidato sebentar tadi.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum


warahmatullahhiwabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai