Anda di halaman 1dari 2

Mukjizat Nabi Daud

Terdapat beberapa mukjizat nabi Daud A.S. yang dikongsikan di sini. Antaranya :

1. Kitab Zabur

Kitab Zabur adalah mukjizat terbesar yang diturunkan kepada nabi Daud A.S. Kitab suci ini
mengandungi pujian terhadap Allah S.W.T., peringatan, kisah-kisah umat terdahulu dan kisah-kisah
nabi yang akan datang. Allah S.W.T. berfirman dalam kitab suci al-Qur’an : “Dan Tuhanmu lebih
mengetahui siapa yang (ada) di langit dan di bumi. Dan sesungguhnya telah Kami lebihkan
sebahagian nabi-nabi itu atas sebahagian (yang lain) dan Kami berikan Zabur (kepada
Daud)”. (Surah al-Isra’, ayat 55).

Nabi Daud A.S. juga mampu menghabiskan bacaan kitab Zabur dengan cepat dan lancar sebagaimana
dalam hadis. Rasulullah bersabda, “Nabi Daud boleh membaca dengan lancar. Ketika
mempersiapkan haiwan tunggangannya dengan memasang pelana, sambil memasang pelana itu,
nabi Daud A.S. menghabiskan seluruh bacaan kitab suci sebelum pelana itu sempurna terpasang
serta tidak makan kecuali hasil dari usaha dan kerja keras tangannya sendiri.“

2. Memiliki suara yang sangat merdu

Nabi Daud A.S. terkenal dengan suaranya yang sangat merdu dan tiada tandingannya. Nabi Daud A.S.
sentiasa berfikir dengan suara yag merdu. Suara nabi Daud A.S. yang lunak dan merdu ketika
membaca kitab Zabur, apabila didengari oleh orang-orang yang sakit, maka mereka pulih dan sembuh
seperti sediakala. Selain itu, sesiapa yang mendengar suara nabi Daud akan terlelap disebabkan terlalu
merdu.

3. Kemampuan memahami bahasa burung

Pada suatu hari, nabi Daud A.S. terpandang dan mendengar suara burung yang berdialog di antara
satu sama lain. Nabi Daud dapat memahami kata-kata burung-burung itu. Sejak dari itu, nabi Daud
A.S. mampu memahami bahasa binatang dan sangat menyayangi binatang. Burung-burung juga ikut
nabi Daud A.S. berzikir memuji Allah S.W.T. berulang-ulang kali. Binatang-binatang juga sangat
menyayangi nabi Daud A.S. dan sangat patuh kepadanya.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : “Bersabarlah atas apa yang mereka katakan; dan ingatlah
akan hamba Kami Daud yang mempunyai kekuatan; sesungguhnya dia sangat taat (kepada Allah).
Sesungguhnya, Kamilah yang menundukkan gunung-gunung untuk bertasbih bersama dia (Daud) di
waktu petang dan pagi. Dan (Kami tundukkan pula) burung-burung dalam keadaan terkumpul.
Masing-masing sangat taat (kepada Allah).” (Surah Sad : ayat 17-19).

4. Gunung-ganang, air dan angin tunduk kepada nabi Daud A.S.

Allah menjadikan nabi Daud A.S. sebagai seorang yang awwad iaitu memiliki kesempurnaan ilmu
Allah dan bijaksana serta adil. Gunung-ganang, air, jin dan angin tunduk dan menjadi tenang dengan
izin Allah. Gunung-ganang bertasbih memuji Allah S.W.T. bersama-sama dengan nabi Daud A.S.
setiap pagi dan petang.

5. Melembutkan besi hanya menggunakan tangan

Nabi Daud A.S. sangat suka bermain dengan lastik sejak kecil dan sangat mahir menggunakannya
kerana sasarannya tepat dan pasti mengena. Permainan yang menjadi kegemaran nabi Daud A.S.
akhirnya menjadi senjata peperangan. Baju besi sangat penting pada masa itu kerana peperangan
banyak terjadi.

Tangan nabi Daud sangat kuat sehingga mampu menempa, melentur dan melembutkan besi tanpa
perlu dipanaskan dengan api untuk menghasilkan senjata, perisai dan baju besi. Besi mudah
dibengkokkan,dibentuk dan dipotong oleh nabi Daud.

Baju-baju besi yang dibentuk oleh tangan nabi Daud A.S. adalah sempurna dan mempunyai saiz yang
sama. Baju besi yang dihasilkan lebih berkualiti dan lebih baik berbanding baju besi lain yang berat.
Baju besi buatan nabi Daud A.S. sangat kukuh, tidak mudah ditembusi oleh tusukan pedang dan jauh
lebih ringan.

Allah S.W.T. berfirman : Dan demi sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurniaan daripada
Kami. (Kami berfirman) : “Wahai gunung-ganang dan burung-burung! Bertasbihlah berulang-ulang
bersama Daud,” dan Kami telah melunakkan besi untuknya. (Iaitu) buatlah baju besi yang besar-
besar dan ukurlah anyamannya; dan kerjakanlah kebajikan. Sesungguhnya Aku Maha Melihat apa
yang kamu kerjakan. (Surah Saba’ : ayat 10-11)

6. Menjadi seorang raja dan memiliki kerajaan yang sangat kuat

Nabi Daud adalah satu-satunya orang yang berani melawan raja Jalut. Atas pertolongan Allah S.W.T.,
nabi Daud A.S. mengalahkan raja Jalut dan membawa kemenangan pada tentera Talut.

Sebagaimana firman Allah S.W.T.: “Mereka (tentera Talut) mengalahkan tentera Jalut dengan izin
Allah dan dalam peperangan itu Daud membunuh Jalut, kemudian Allah memberikan kepadanya
(Daud) pemerintahan dan hikmah (sesudah meninggalnya Talut) dan mengajarkan kepadanya apa
yang dikehendakiNya. Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan
sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan)
atas semesta alam.” (Surah Al Baqarah : ayat 251)

Nabi Daud menjadi Raja dan Allah juga mengangkatnya sebagai nabi. Tiada musuh yang mampu
menewaskan kerajaan nabi Daud A.S. yang kuat. Setelah kewafatan nabi Daud A.S., kerajaannya
diwarisi oleh anaknya, nabi Sulaiman A.S.

Anda mungkin juga menyukai