Terjadi saat Nabi Daud membaca kitab Zabur. Tiba-tiba ada seekor ulat merah tepat disampingnya. Kemudian Nabi Daud melihat dan merenung berpikir buat apa Allah menciptakan makhluk kecil seperti ulat tersebut, apa kebaikan yang ada pada diri ulat semacam itu. Dan atas seizin Allah tiba-tiba ulat tersebut bisa berbicara dan mengatakan bahwa ulat tersebut telah berdzikir kepada Allah setiap hari sebanyak 1000 kali. Diwaktu petang dia bershalawat kepada Nabi Muhammad. Seketika Nabi Daud tersadar bahwa dirinya telah meremehkan makhluk ciptaan Allah dan segera meminta ampun kepada Allah. Terdapat beberapa mukjizat nabi Daud A.S. yang dikongsikan di sini. Antaranya : 1. Kitab Zabur Kitab Zabur adalah mukjizat terbesar yang diturunkan kepada nabi Daud A.S. Kitab suci ini mengandungi pujian terhadap Allah S.W.T., peringatan, kisah-kisah umat terdahulu dan kisah-kisah nabi yang akan datang. Allah S.W.T. berfirman dalam kitab suci al-Qur’an : “Dan Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang (ada) di langit dan di bumi. Dan sesungguhnya telah Kami lebihkan sebahagian nabi-nabi itu atas sebahagian (yang lain) dan Kami berikan Zabur (kepada Daud)”. (Surah al-Isra’, ayat 55). Nabi Daud A.S. juga mampu menghabiskan bacaan kitab Zabur dengan cepat dan lancar sebagaimana dalam hadis. Rasulullah bersabda, “Nabi Daud boleh membaca dengan lancar. Ketika mempersiapkan haiwan tunggangannya dengan memasang pelana, sambil memasang pelana itu, nabi Daud A.S. menghabiskan seluruh bacaan kitab suci sebelum pelana itu sempurna terpasang serta tidak makan kecuali hasil dari usaha dan kerja keras tangannya sendiri.“ 2. Memiliki suara yang sangat merdu Nabi Daud A.S. terkenal dengan suaranya yang sangat merdu dan tiada tandingannya. Nabi Daud A.S. sentiasa berfikir dengan suara yag merdu. Suara nabi Daud A.S. yang lunak dan merdu ketika membaca kitab Zabur, apabila didengari oleh orang-orang yang sakit, maka mereka pulih dan sembuh seperti sediakala. Selain itu, sesiapa yang mendengar suara nabi Daud akan terlelap disebabkan terlalu merdu. 3. Kemampuan memahami bahasa burung Pada suatu hari, nabi Daud A.S. terpandang dan mendengar suara burung yang berdialog di antara satu sama lain. Nabi Daud dapat memahami kata-kata burung-burung itu. Sejak dari itu, nabi Daud A.S. mampu memahami bahasa binatang dan sangat menyayangi binatang. Burung-burung juga ikut nabi Daud A.S. berzikir memuji Allah S.W.T. berulang-ulang kali. Binatang- binatang juga sangat menyayangi nabi Daud A.S. dan sangat patuh kepadanya. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : “Bersabarlah atas apa yang mereka katakan; dan ingatlah akan hamba Kami Daud yang mempunyai kekuatan; sesungguhnya dia sangat taat (kepada Allah). Sesungguhnya, Kamilah yang menundukkan gunung-gunung untuk bertasbih bersama dia (Daud) di waktu petang dan pagi. Dan (Kami tundukkan pula) burung-burung dalam keadaan terkumpul. Masing-masing sangat taat (kepada Allah).” (Surah Sad : ayat 17-19). 4. Gunung-ganang, air dan angin tunduk kepada nabi Daud A.S. Allah menjadikan nabi Daud A.S. sebagai seorang yang awwad iaitu memiliki kesempurnaan ilmu Allah dan bijaksana serta adil. Gunung-ganang, air, jin dan angin tunduk dan menjadi tenang dengan izin Allah. Gunung-ganang bertasbih memuji Allah S.W.T. bersama-sama dengan nabi Daud A.S. setiap pagi dan petang. 5. Melembutkan besi hanya menggunakan tangan Nabi Daud A.S. sangat suka bermain dengan lastik sejak kecil dan sangat mahir menggunakannya kerana sasarannya tepat dan pasti mengena. Permainan yang menjadi kegemaran nabi Daud A.S. akhirnya menjadi senjata peperangan. Baju besi sangat penting pada masa itu kerana peperangan banyak terjadi. Tangan nabi Daud sangat kuat sehingga mampu menempa, melentur dan melembutkan besi tanpa perlu dipanaskan dengan api untuk menghasilkan senjata, perisai dan baju besi. Besi mudah dibengkokkan,dibentuk dan dipotong oleh nabi Daud. Baju-baju besi yang dibentuk oleh tangan nabi Daud A.S. adalah sempurna dan mempunyai saiz yang sama. Baju besi yang dihasilkan lebih berkualiti dan lebih baik berbanding baju besi lain yang berat. Baju besi buatan nabi Daud A.S. sangat kukuh, tidak mudah ditembusi oleh tusukan pedang dan jauh lebih ringan. Allah S.W.T. berfirman : Dan demi sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurniaan daripada Kami. (Kami berfirman) : “Wahai gunung-ganang dan burung-burung! Bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud,” dan Kami telah melunakkan besi untuknya. (Iaitu) buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya; dan kerjakanlah kebajikan. Sesungguhnya Aku Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (Surah Saba’ : ayat 10-11) 6. Menjadi seorang raja dan memiliki kerajaan yang sangat kuat Nabi Daud adalah satu-satunya orang yang berani melawan raja Jalut. Atas pertolongan Allah S.W.T., nabi Daud A.S. mengalahkan raja Jalut dan membawa kemenangan pada tentera Talut. Sebagaimana firman Allah S.W.T.: “Mereka (tentera Talut) mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah dan dalam peperangan itu Daud membunuh Jalut, kemudian Allah memberikan kepadanya (Daud) pemerintahan dan hikmah (sesudah meninggalnya Talut) dan mengajarkan kepadanya apa yang dikehendakiNya. Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam.” (Surah Al Baqarah : ayat 251) Nabi Daud menjadi Raja dan Allah juga mengangkatnya sebagai nabi. Tiada musuh yang mampu menewaskan kerajaan nabi Daud A.S. yang kuat. Setelah kewafatan nabi Daud A.S., kerajaannya diwarisi oleh anaknya, nabi Sulaiman A.S. Mukjizat-mukjizat yang ada pada nabi Daud A.S. tidak membuatkan dirinya lalai, leka atau pun lupa diri. Sebaliknya, nabi Daud A.S. merasa amat bersyukur dengan anugerah Allah SWT terhadapnya dan kecintaannya kepada Allah semakin bertambah hari demi hari. Mukjizat Nabi yang Lain