Anda di halaman 1dari 2

FADILAT DAN KELEBIHAN SURAH AL-MULK ( tabarokallazi biyadihil mulku

…)

Surah al-Mulk termasuk dalam senarai surah Makkiyyah (penurunan wahyu


di Mekah) dan mengandungi 30 ayat. Perihal surah ini samalah seperti surah-surah
Makkiyyah yang lain iaitu berperanan menerangkan tentang akidah. Secara
umumnya, surah ini memfokuskan tiga objektif utama yang hendak disampaikan
iaitu:

1) menyatakan tentang kebesaran dan kekuasaan Allah untuk menghidup


dan mematikan
2) menegakkan dalil dan hujah tentang keesaan Allah Tuhan semesta alam
3) menerangkan tentang akibat yang bakal melanda terhadap mereka yang
mengingkari hari kebangkitan

Surah al-Mulk sebagaimana yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w


merupakan surah penyelamat. Beramal dengan surah ini dapat menyelamatkan
seseorang daripada azab kubur. Di samping itu, surah ini juga akan menjadi
jurucakap yang mempertahankan pembacanya pada hari akhirat kelak.

Terdapat banyak hadis yang menjelaskan secara terperinci tentang fadilat


dan kelebihan surah al-Mulk. Antaranya:

1) Daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda:


Sesungguhnya ada satu surah di dalam al-Quran yang mengandungi
tiga puluh ayat. Ia dapat memberikan syafa'at (pertolongan dan
perlindungan) kepada pembacanya sehingga diampunkan untuknya.
Itulah surah Tabarokallazi biyadihil mulku, iaitu surah al-Mulk.
(Riwayat Imam Ahmad)

2) Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: Sebahagian sahabat Rasulullah


s.a.w memasang khemahnya di atas sebuah kubur tanpa menyedari
tempat itu adalah kubur. Tiba-tiba didapati ia adalah kubur seorang
manusia yang sedang membaca surah al-Mulk sehingga habis. Lalu
sahabat itu datang kepada Rasulullah s.a.w seraya berkata: Wahai
Rasulullah, saya telah memasang khemah di atas sebuah kubur,
tanpa menyedari ia adalah kubur. Tiba-tiba (terdengar suara) seorang
yang sedang membaca surah al-Mulk iaitu Tabarok sehingga
dikhatamkannya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ia (surah al-Mulk)
adalah penghalang. Ia adalah penyelamat yang menyelamatkannya
daripada azab kubur. (Riwayat al-Tirmidzi)

3) Daripada Jabir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w tidak tidur melainkan


setelah baginda membaca alif lam mim tanzil (surah al-Sajdah) dan
surah tabarokallazi biyadihil mulku (surah al-Mulk). (Riwayat al-
Tirmidzi)

4) Al-Laith meriwayatkan daripada Tawus yang mengatakan bahawa


kedua-dua surah ini (al-Sajdah dan al-Mulk) melebihi surah-surah lain
dalam al-Quran dengan tujuh puluh kebajikan.

5) Al-Tabarani meriwayatkan sebuah hadis bersumber daripada Ibn


Abbas, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku suka jika ia berada
dalam hati setiap orang dari kalangan umatku, yakni surah al-Mulk.
(Riwayat al-Tabarani)

6) Daripada Ibn Abbas, beliau berkata kepada seorang lelaki: Mahukah


aku hadiahkan kamu dengan sebuah hadis yang akan
menggembirakan kamu? Lelaki itu menjawab: Bahkan, aku mahu.
Kata ibn Abbas: Bacalah surah al-Mulk dan ajarkanlah kepada
keluargamu serta semua anak pinakmu, kanak-kanak di dalam
rumahmu, serta jiran tetanggamu. Kerana sesungguhnya surah ini
adalah penyelamat dan jurucakap yang akan berhujah bagi pihak
pembacanya pada hari kiamat di sisi Tuhannya. Surah ini akan
meminta kepada Allah supaya menyelamatkan pembacanya daripada
azab neraka dan menyelamatkannya daripada azab kubur. Rasulullah
s.a.w bersabda: Aku suka surah ini berada dalam hati setiap orang
dari kalangan umatku. (Riwayat Abd bin Humaid)

Memandangkan besarnya kelebihan surah al-Mulk, maka adalah sewajarnya


ia dijadikan sebagai amalan harian umat Islam. Atau sekurang-kurangnya ia menjadi
amalan mingguan, atau amalan bulanan dan sebagainya. Rasulullah s.a.w sendiri
menyatakan keinginannya agar surah ini sentiasa terpahat dalam hati semua orang
Islam.

Wallahu a'alam.

HAMDAN ABDULAH AL-YARMOUKI


ISLAMIC BANKING
ALLIANCE BANK MALAYSIA BERHAD
03-2730 2429

Anda mungkin juga menyukai