Anda di halaman 1dari 12

IS

-
-
Behanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan

Kertas PERSPEKTIF adalah satu siri penulisan oleh pengarang bagi mengemukakan
pelbagai maklumat dan pandangan kepada pembaca mengenai sesuatu tajuk.

Semua fakta dan perspektif yang dinyatakan adalah di bawah tanggungjawab pengarang.

Sehubungan dengan itu, pengarang amat berbesar hati sekiranya para pembacajuga dapat
berkongsi maklum balas mengenainya.

Emel Pengarang : norfatinnadhiah90@gmail.com


Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 1

Pendahuluan
Mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, guru didefinisikan sebagai orang yang kerjanya
mengajar atau mendidik. Namun, tanggungjawab seorang guru hari ini tidak terbatas hanya kepada
definisi seorang guru, bahkan tugasnya jauh lebih banyak dan mencabar. Peranan guru yang paling
utama ialah melahirkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing seterusnya mampu
menyumbang tenaga dan bakti kepada pembangunan ekonomi, politik dan sosial negara. Ironinya,
guru kini dihimpit oleh pelbagai desakan tugas yang bersifat bukan akademik, secara tidak langsung
memberi tekanan kepada guru.

Realiti dunia pendidikan semasa menyebabkan hampir semua yang bergelar seorang guru perlu
menelan situasi pahit ini. Berbeza dengan 20 atau 30 tahun dahulu iaitu hanya sesetengah guru
tertentu sahaja yang terbeban dengan tugas sebagai pendidik seperti guru mata pelajaran
peperiksaan utama, guru yang menjawat jawatan penting di sekolah, dan guru yang terpaksa
bertugas selepas waktu kelas seperti jurulatih sukan (Azita Rahim, 2012), manakala guru yang tidak
terlibat dengan tugasan yang dinyatakan mempunyai waktu yang lebih fleksibel untuk menyelesaikan
tugasan hakiki masing-masing.

Tidak dinafikan tuntutan perkembangan globalisasi pendidikan hari ini mendorong pihak Kerajaan
mewujudkan suatu sistem pendidikan yang mapan bagi melengkapkan setiap murid di negara ini
dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk mendepani cabaran abad ke-21. Hal ini
dimanifestasikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang memfokuskan kepada
pembelajaran abad ke-21 serta idea berkenaan peranan guru sebagai pemudahcara (Norazlin &
Rohaimah, 2019).

Namun begitu, untuk mencapai objektif yang digariskan ini, ada ‘harga’ yang perlu dibayar.
Kesannya, para guru terpaksa memikul bebanan tugasan yang pelbagai, sebahagian besarnya
bersifat bukan akademik yang mendorong kepada faktor stres dalam kalangan guru. Justeru, kertas
perspektif ini akan mengupas mengenai bebanan tugas guru di sekolah khususnya dan perkaitan
antara bebanan tugas ini dengan stres yang berlaku dalam profesion keguruan.

Definisi Tekanan
Kyriacou dan Sutcliffe (1978) mendefinisikan tekanan sebagai suatu pengalaman emosi yang tidak
disukai, kebimbangan, tertekan, kemurungan, kemarahan dan segala sesuatu yang berkaitan aspek
pekerjaan. Sementara itu, Cox (1993) pula berpendapat tekanan yang dihadapi akan menyebabkan
individu tersebut memberi tindak balas mengikut keadaan dan tahap tekanan tersebut. Sekiranya
tahap tekanan adalah tinggi, maka tindak balas individu tersebut juga tinggi dan begitu juga
sebaliknya.

Dalam erti kata lain, tekanan merupakan bentuk situasi yang wujud apabila seseorang individu
menganggap permintaan yang diterima tidak mampu dipenuhi disebabkan kekangan sumber sosial,
peribadi dan lain-lain. Hal ini terjadi disebabkan individu tersebut tudak lagi mampu mengawal situasi
ataupun keadaan yang mereka hadapi (Lazarus, 2009). Justeru, berdasarkan definisi tekanan yang
dijelaskan oleh para pengkaji dunia penyelidikan, tekanan dalam profesion keguruan berlaku apabila
guru tidak mampu menyelesaikan tekanan yang dihadapi sehingga tekanan tersebut bertukar menjadi
suatu bentuk permasalahan kesihatan yang menjejaskan kualiti mereka sebagai guru.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 2

Realiti Semasa Cabaran Guru


Dengan meningkatnya harapan semua
pihak terhadap kemenjadian murid
terutama pihak Kerajaan dan masyarakat,
maka tugas guru semakin mencabar. Hal
ini demikian kerana untuk melahirkan
modal insan yang berkualiti, murid-murid
perlu diasah dengan nilai kecerdasan
intelek (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan
kecerdasan spiritual (SQ). Namun, tanpa
sedar, demand yang tinggi tersebut telah
menyebabkan para guru terpaksa bekerja
di bawah tekanan. Hal ini dibuktikan
melalui kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang
mendapati 70 peratus daripada 9,000 guru
(Sumber: Google)
di seluruh negara berdepan tekanan kerja
disebabkan
faktor bebanan tugas dan kerenah persekitaran tempat kerja.(Umi Kalsom, 2014).

Kajian yang dijalankan oleh Valli dan Buese (2007) mendapati bahawa tugas guru yang semakin
bertambah, dipertingkatkan dan diperluas untuk mengimbangi polisi kerajaan bagi meningkatkan
pencapaian murid, telah mewujudkan suatu persekitaran yang mendorong kepada faktor stres dalam
kalangan guru. Hal ini selari dengan kajian yang dijalankan oleh Huisman (2009) yang menyatakan
guru juga perlu melakukan tugasan perkeranian seperti mengambil kedatangan pelajar, merekodkan
gred pemarkahan pelajar dan menghadiri mesyuarat selain tugasan mengajar tidak boleh
dikesampingkan.

Beban tugas merujuk kepada tugasan yang perlu dilaksanakan oleh guru sama ada berkaitan dengan
pengajaran dan pembelajaran (PdP) ataupun di luar skop PdP dan diukur berdasarkan kekerapan
jumlah waktu yang diperuntukkan untuk menyelesaikannya (Fazura, 2011 & Ibrahim Jari, 2017).
Contohnya seperti membuat rancangan mengajar, menyediakan bahan bantu mengajar,
menghabiskan silibus, mengemaskini jadual kedatangan pelajar, mengendalikan aktiviti kokurikulum,
menggubal soalan peperiksaan, menggantikan guru lain yang tidak hadir dan pelbagai tugasan yang
berkaitan murid dan sekolah. Arzizul dan Norizah (2018) mengelaskan beban tugas guru kepada dua
kategori iaitu beban tugas akademik dan beban tugas bukan akademik.

1. Tugas Akademik

Pengurusan Pengajaran

Skop tugasan ini memerlukan guru untuk menyediakan dan melengkapkan Buku Rekod Mengajar
Harian. Penyediaan buku rekod mengajar ini perlu dilengkapkan sebelum guru memulakan sesi PdP
bersama pelajar. Buku rekod ini merupakan nadi seorang guru dalam melaksanakan tugasan PdP di
sekolah di samping guru juga perlu menyediakan bahan bantu mengajar seperti nota agihan bagi
memudahkan guru membuat penerangan secara lebih jelas untuk memaksimumkan kefahaman
murid terhadap tajuk yang diajar.

Seterusnya, apabila selesai satu-satu sesi PdP, guru dikehendaki membuat refleksi sama ada semua
murid faham dengan jelas atau sebaliknya mengenai tajuk yang diajar. Pada tahap ini pula, guru
perlu peka untuk menilai setiap murid dan melakukan tindakan sewajarnya jika terdapat murid yang
tidak memahami pengajaran di dalam kelas tadi.

Pengurusan Tugasan, Ujian dan Peperiksaan Pelajar

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 3

Dalam skop tugasan ini guru menjalankan tugas menyemak dan memeriksa buku latihan dan buku
nota pelajar. Selain itu, guru menyediakan soalan latih tubi, soalan ujian bulanan, soalan peperiksaan
percubaan dan soalan peperiksaan penggal atau semester. Seterusnya guru, bertugas memeriksa
kertas jawapan ujian bulanan pelajar, kertas jawapan peperiksaan percubaan pelajar dan kertas
jawapan peperiksaan penggal atau semester pelajar.

2. Tugas Bukan Akademik

Pengurusan Hal Ehwal Pelajar

Dalam skop tugasan ini guru berperanan memastikan pelajar mematuhi peraturan sekolah,
menghadiri mesyuarat berkaitan masalah disiplin pelajar, dan menangani dan mengendalikan
masalah disiplin pelajar yang berlaku di dalam bilik darjah ataupun di luar bilik darjah.

Pengurusan Pentadbiran Sekolah

Skop tugasan ini memerlukan guru menjalankan tugas-tugas perkeranian seperti mengisi borang,
menaip surat, menyediakan sijil, dan menyediakan minit mesyuarat. Di samping itu juga, guru turut
bertugas menghadiri mesyuarat sama ada mesyuarat bahagian sekolah, daerah, ataupun
kebangsaan, dan guru turut perlu menghadiri kursus-kursus untuk meningkatkan kemahiran dalam
melaksanakan PdP.

Pengurusan Kokurikulum

Melalui skop tugasan ini, kebiasaannya guru berperanan dan bertugas sebagai penasihat bagi
badan- badan dalam unit beruniform, kelab dan persatuan, dan persatuan rumah sukan. Guru
ditugaskan untuk mengawal selia perjalanan unit beruniform, kelab dan persatuan atau persatuan
rumah sukan agar berjalan lancar sepanjang tahun. Selain itu, guru turut memainkan peranan untuk
melatih murid yang menyertai apa-apa pertandingan yang disertai oleh sekolah.

Pengurusan Bilik Darjah

Dalam skop tugasan ini, guru kelas bertanggungjawab untuk menjadikan kelas sebagai sebuah
tempat yang ceria dan kondusif untuk murid belajar. Hal ini dilakukan dengan cara menghias kelas
dengan elemen-elemen warna yang ceria dan indah selain turut memenuhkan dinding kelas dengan
info dan maklumat yang signifikan.

Dapatan daripada laman web Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), menyenaraikan tugasan
seorang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) atau guru pada gred paling rendah iaitu DG41
sebagai pelaksana menunjukkan tugasan hakiki seorang guru adalah amat pelbagai. Tanggungjawab
dan skop kerja guru mencakupi empat bidang keberhasilan utama iaitu;

a) Pemudahcara Pembelajaran dan Pentaksiran – Menyampaikan kandungan kurikulum di


dalam bilik darjah melalui pelbagai kaedah pedagogi dan aplikasi yang melibatkan murid, dan
mengaplikasikan teknik penilaian berkaitan yang boleh mencerminkan pembelajaran murid
bagi mencapai hasil pembelajaran berkesan.

b) Pembangunan dan Pelaksanaan Kokurikulum – Merekabentuk dan melaksanakan aktiviti


kokurikulum mengikut bidang kepakaran yang boleh menyumbang kepada pembangunan
holistik murid.

c) Penglibatan Dalam Pembelajaran Profesional – Memahami kehendak dan keperluan


pembelajaran dan pembangunan profesionalisme dan membuat aplikasi kepada diri serta

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 4

rakan sejawat agar meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri serta menyumbang kepada
budaya pembelajaran.

d) Pembentukan Jalinan dan Jaringan Kolaboratif dengan Ibu Bapa, Komuniti di dalam dan luar
Sekolah derta Pengurusan KPM – Menarik penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam PdP
agar dapat mengoptimumkan hasil pembelajaran murid.

Keempat-empat bidang keberhasilan utama ini memberi gambaran tentang tugasan guru bukan
sahaja perlu menyampaikan ilmu berdasarkan silibus dalam buku teks, bahkan mencakupi tugasan-
tugasan lain bermatlamatkan pembinaan seorang murid secara holistik dan menyeluruh.

Bebanan Tugas Guru Dan Stres


Isu bebanan tugas guru ini turut berlegar di media massa yang memperlihatkan isu ini bukanlah isu
picisan yang perlu dibiarkan tanpa sebarang perancangan penyelesaian jangka pendek dan jangka
panjang. Sebagai contoh, keratan akhbar Kosmo pada 21 Mei 2017 yang bertajuk “Sistem Pendidikan
Musnah Jika Guru Banyak Tugas” melaporkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah sekiranya
guru dibebani tugas-tugas lain sehingga menyebabkan tugasan hakiki mereka terabai akan
menatijahkan kemusnahan sistem pendidikan negara.

Berita Harian pada 25 September 2015 pula melaporkan isu “Bantah Kaji Semula Beban Tugas Guru”
yang melaporkan para guru terbeban kerana terpaksa menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh di
rumah selepas tamat waktu sesi persekolahan. Selain itu juga, guru turut terbeban dengan tugasan
perkeranian seperti memasukkan data-data murid, kehadiran murid, gred ujian dan peperiksaan
selain perlu mengendalikan aktiviti kokurikulum pada hari cuti.

Terbaharu, Berita Harian pada 20 Januari 2020 turut mengetengahkan isu bertajuk “50 Isu Berkaitan
Beban Guru Perlu Perhatian”. Dalam temu bual bersama Presiden NUTP, beliau menyarankan agar
pihak pentadbiran sekolah sentiasa mendengar dan berusaha memahami bebanan tugas yang perlu
dipikul oleh setiap guru di bawah pengawasan pentadbiran sekolah masing-masing. Di samping itu,
beliau juga mencadangkan agar pihak pentadbir memansuhkan kerja-kerja perkeranian yang kurang
signifikan terhadap pencapaian murid.

Beban tugas yang terlampau banyak bukan sahaja memberi kesan terhadap guru dari aspek fizikal
semata-mata, bahkan turut memberi impak terhadap nilai moral, kepuasan kerja dan kualiti hidup. Hal
ini diakui oleh Bridges dan Searle (2011) berdasarkan kajian mereka terhadap hampir 400 responden
terdiri dalam kalangan guru sekolah rendah dan guru besar. Bubb dan Earley (2004) pula melalui
kajiannya menyatakan bahawa antara faktor tekanan dalam kalangan guru berpunca daripada beban
tugas yang terlalu banyak.

Guru yang mengalami tekanan kebiasaannya akan menghadapi kekangan dalam menghasilkan
kualiti kerja terbaik, dedikasi, motivasi, kreativiti, komitmen terhadap tugas, keterampilan dan moral
(Sharifah, Suhaida & Soaib, 2014). Kesemua kekangan ini bakal memberi kesan negatif terhadap
fungsi sekolah dan kemenjadian murid (Azman, 2006). Situasi ini secara tidak langsung merencatkan
matlamat Dasar Pendidikan Negara untuk melahirkan modal insan berkualiti dan berketerampilan.

Menurut Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Prof. Dr. Nor Zuraida Zainal dalam Utusan
Online bertarikh 27 Julai 2018 menyatakan bahawa guru merupakan golongan yang paling ramai
dikesan mengalami stres yang berpunca dari bebanan tugas (Suhaili & Faekah, 2020). Kajian oleh
NUTP pada tahun 2014 pula mendapati 70 peratus daripada 9,000 guru di seluruh negara sangat
tertekan ekoran cabaran kerjaya yang diceburi termasuklah cabaran bebanan tugas sebagai pendidik.
Sementara itu, laporan Kosmo pada tahun 2009 pula menyatakan para guru terdedah kepada
penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 5

Laporan ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa profesion keguruan dan stres
merupakan suatu yang sinonim dan tipikal. Sungguhpun pendedahan yang dikeluarkan tidak
mencerminkan bahawa setiap yang bergelar guru menghadapi stres dan kemurungan akibat beban
tugas yang dipikul, namun ia tetap merupakan suatu statistik yang mengundang kerisauan banyak
pihak. Hal ini demikian kerana, profesion keguruan yang disandang oleh guru yang berkualiti
merupakan akar kemenjadian anak bangsa.

Faktor Dorongan Stres Guru


Terdapat beberapa faktor yang mendorong bebanan tugas menyebabkan stres dalam kalangan guru.
Pertama, guru mempunyai masa berkualiti yang kurang untuk diri dan keluarga kerana terpaksa
menyiapkan kerja di rumah selepas tamat waktu persekolahan. Sebagai contoh, guru perlu
melakukan tugasan menanda buku latihan murid, menanda kertas ujian dan peperiksaan, dan
menyediakan bahan bantu mengajar. Tugasan-tugasan ini memakan masa yang panjang
menyebabkan guru tidak sempat menyiapkannya di sekolah. Sedangkan apabila berada di rumah,
guru terutama guru wanita tetap perlu melaksanakan hal ehwal rumah tangga. Apabila berlakunya
konflik antara tugasan kerja dan keluarga, sedikit sebanyak akan menimbulkan ketegangan
menyebabkan guru tidak dapat menyediakan waktu yang berkualiti untuk diri dan keluarga.

Selain tugasan yang bersifat akademik, tugasan perkeranian yang perlu dilakukan secara atas talian
turut menyumbang kepada faktor stres guru. Lebih-lebih lagi bagi guru yang bertugas di kawasan
yang mempunyai capaian internet yang rendah, mereka perlu menunggu waktu malam atau dinihari
untuk menyiapkan tugasan tersebut.

Kedua, dalam usaha menerapkan kemahiran


abad ke-21 dalam sesi PdP yang dilaksanakan,
ia turut menjadi cabaran hebat untuk guru apabila
banyak elemen kemahiran yang perlu
disampaikan kepada murid dalam tempoh PdP
yang singkat. Umum mengetahui setiap murid
berbeza dari segi minat, pengetahuan, motivasi
dan gaya pembelajaran. Justeru, pendekatan
pembelajaran yang perlu digunakan juga harus
berbeza mencakupi kemampuan setiap murid,
sedangkan guru turut berhadapan dengan
kurikulum yang padat dan perlu menyediakan
murid untuk peperiksaan.(Norazlin & Rohaimah,
2019)

Tugasan ini menyebabkan meningkatnya stres dalam kalangan guru. Apatah lagi, dalam kalangan
guru sendiri, setiap guru mempunyai kecenderungan dan kemahiran yang berbeza-beza. Terdapat
guru yang kreatif dalam penyampaian ilmu kepada murid menyebabkan guru tersebut disukai pelajar
dan begitu juga sebaliknya. Dalam pembelajaran abad ke-21, kemahiran mengadaptasikan
penggunaan teknologi amat penting. Kemahiran teknologi ini mungkin mudah bagi sesetengah guru
yang masih baru menyertai profesion keguruan, namun bagi guru-guru bertaraf senior, penggunaan
teknologi mungkin agak merumitkan dan menyumbang kepada faktor stres dalam kalangan guru
disebabkan bebanan tugas.

Ketiga, faktor pihak pentadbir yang kurang adil dalam pembahagian tugas turut mendorong stres
dalam kalangan guru. Dalam satu laporan akhbar Sinar Harian pada 21 Mac 2019, Presiden NUTP
mendedahkan para guru yang rajin di sekolah merupakan antara golongan yang berhadapan dengan
tekanan yang tinggi. Hal ini demikian kerana pengagihan tugas oleh pentadbir adalah berdasarkan
usaha yang ditampilkan oleh pihak guru.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 6

Hal ini mendorong kepada ketidakseimbangan kadar pembahagian tugas di antara guru-guru dalam
setahun, bahkan menyebabkan terdapat sebahagian guru perlu melaksanakan jumlah bebanan kerja
yang lebih tinggi berbanding rakan guru yang lain. Selain itu, guru-guru turut diberikan tugasan
sampingan secara mendadak yang menyumbang kepada faktor meningkatnya beban tugas guru.
(Sahhari, 2006)

Penutup
Stres dalam profesion keguruan amat berkait rapat dengan polisi semasa Kerajaan terhadap sistem
pendidikan negara. Isu stres dalam kalangan guru bukanlah suatu perkara baharu bahkan telah
sekian lama dibincangkan di peringkat nasional oleh sesetengah pihak yang mempunyai kesedaran
akan situasi ini. Ironinya, titik noktah bagi permasalahan ini dilihat masih samar dan tiada kesudahan.

Namun, apa yang lebih membimbangkan, stres kini kelihatan semakin menonjol seolah-olah suatu
epidemik yang sedang menular dalam sesebuah organisasi. Namun, tidak ramai yang menyedarinya
apatah lagi sebahagian besar masyarakat di negara ini masih asing dan tabu dengan perkataan
psikiatri dan mental. Kesan tekanan di tempat kerja menatijahkan pelbagai penyakit seperti
kemurungan, penyakit jantung dan darah tinggi. Apa yang membimbangkan adalah guru yang
mengalami tekanan tidak mengetahui cara terbaik untuk melepaskan tekanan yang dihadapi dan
ternyata ia membawa kepada masalah yang lebih besar dan lebih sukar diselesaikan.

Justeru, tekanan kerja dalam kalangan guru perlu diambil cakna oleh setiap guru dengan melakukan
pencegahan-pencegahan kendiri terlebih dahulu. Sungguhpun begitu, sokongan dan dokongan
daripada orang-orang terdekat dan masyarakat sekeliling seperti pasangan, ibu bapa murid, rakan-
rakan sejawat dan pihak pentadbir bakal memberi kesan positif yang signifikan terhadap tahap
tekanan yang dialami oleh guru.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 7

SENARAI RUJUKAN

Arzizul Bin Antin & Dg Norizah Binti Ag Kiflee@Dzulkifli. (April 2018). Pengaruh Beban Tugas dan
Motivasi Terhadap Keefisienan Kerja Guru Sekolah Menengah di Sabah. Malaysian Journal
of Social Sciences and Humanities (MJSSH), Vol. 3(2), 78.

Azita Abdul Rahim. (2012). BEBAN TUGAS GURU SEKOLAH MENENGAH DI DAERAH BATU
PAHAT, JOHOR DARUL TAKZIM. 4.

Azman, Y. (2006). Tekanan Kerja Guru Kemahiran Hidup Bersepadu Di Beberapa Buah Sekolah
Menengah Di Daerah Bentong, Pahang Darul Makmur. Tesis Sarjana Kepengetuaan,
Universiti Malaya

Bubb, S., & Earley, P. (2004). Managing Teacher Workload Work-Life Banlance and Wellbeing (First
Edit.). Paul Chapman Publishing A SAGE Publications Company.

C. Kyriacou & J. Sutcliffe. (1978). Teacher Stress: Prevalence, Sources, And Symptoms. British
Journal Of Educational Psychology, Vol. 48(2), 159.

Cox, T. (1993) Stress Research and Stress Management: Putting Theory to Work

Dokumen Awal Deskripsi Tugas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan. (2016). Retrieved from
Kementerian Pendidikan Malaysia: https://www.moe.gov.my/en/dasar/1199-deskripsi-tugas-
pegawai-perkhidmatan-pendidikan-kpm-laluan-pdp-dan-kepimpinan-edisi-2016/file

Fazura Mohd Noor. (2011). Faktor-Faktor Penentu Stres Dalam Kalangan Guru-Guru: Kajian Di
Sekolah Rendah Mubaligh Di Kuala Lumpur. Centre For Graduate Studies, Open University
Malaysia.

Konnie A. Huisman. (2009). Lived Experience Of Stress In Middle School Teachers.

Lazarus, R. S., Opton, E.M. (2009). Psychological Stress and The Coping Process. New York:
McGraw- Hill.

Lebih 50 isu berkaitan beban guru perlu perhatian. (12 Janurai, 2020). Retrieved from Pressreader:
https://www.pressreader.com/malaysia/berita-harian-malaysia/20200112/281956019725849

Linda Valli & Daria Buese. (2007). The Changing Roles of Teachers in an Era of High-Stakes
Accountability. American Educational Research Journal, Vol. 44(3), 520.

Mohd Fitri bin Sahhari. (2006). Tahap Beban Tugas Guru Sekolah Menengah Di Daerah Skudai :
Kajian Kes. Universiti Teknologi Malaysia .

Norazlin Mohd Rusdin dan Siti Rohaimah Ali. (2019). Amalan dan Cabaran Pelaksanaan
Pembelajaran Abad Ke-21. Proceedings of the International Conference on Islamic
Civilization and Technology Management.

Sharifah Shafie, Suhaida Abdul Kadir & Soaib Asimiran. (2014). Beban Tugas Guru Teknikal Sekolah
Menengah: Isu Dan Cadangan. International Seminar On Global Education, 2892.

Sistem Pendidikan Musnah Jika Guru Banyak Tugas. (2017, Mei 21). Retrieved from Pendidik2u:
https://www.pendidik2u.my/sistem-musnah-guru-banyak-tugas/

Sue Bridges and Annette Searle. (November 2011). Changing workloads of primary school teachers:
‘I seem to live on the. School Leadership and Management, Vol. 31(5), 413-433.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 8

Suhaili Mohd Yusoff1 & Tengku Faekah Tengku Ariffin. (2020). Hubungan di Antara Kepimpinan
Kontekstual Pengetua dengan Kesejahteraan Guru di Tempat Kerja: Pengupayaan Guru
Sebagai Mediator. Journal of Advanced Research in Social and Behavioural Sciences, Vol.
19(1), 92.

Ummi Kalsom Binti Zakaria. (2014). Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Tekanan Kerja Dalam
Kalangan Guru Sekolah Menengah Daerah Hulu Terengganu, Terengganu Darul Iman.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Sila petik kmya ini seperti berikut :
Norfatin Nadhiah Rosli. (2021, April 12). Behanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan,
10/2021.

Maklumat mengenai penerbitan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) boleh didapati di
:
www.tsis.my

(>TSIS
© Hak Cipta Terpelihara

Anda mungkin juga menyukai