Anda di halaman 1dari 30

Isu Tekanan Emosi Guru Akibat Bebanan Kerja

Disediakan oleh : Sua Shang Wei

Pada masa kini, dunia pendidikan sering menjadi isu penting tidak kira sama ada dari
segi pendidiknya, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan, ganjaran dan
kenaikan pangkat ataupun isu-isu semasa yang sering membabitkan diri pendidik tersebut.
Oleh itu, profesion perguruan sering dianggap oleh masyarakat bahawa bidang ini bukanlah
satu tugas yang sukar dan rumit kerana kebanyakan mereka menganggap kerjaya guru hanya
duduk di dalam kelas dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada muridnya sahaja.

Selain itu, terdapat juga orang yang berpendapat bahawa guru hanya perlu membuat
kerja-kerja perkeranian seperti menaip dan mengisi boring yang berkaitan dengan murid.
Justerunya, masyarakat kini sememangnya tidak begitu memahami secara mendalam
terhadap profesion keguruan dan tanggungjawab yang dipikul oleh para guru.

Namun begitu, di negara kita masih terdapat persoalan-persoalan mengenai tekanan


kerja di kalangan guru sering dibincangkan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa. Ini
adalah kerana profesion sebagai seorang guru merupakan salah satu profesion yang sungguh
mencabar. Tanggungjawab yang menyatakan bahawa guru umpama ‘lilin yang membakar
diri’ bukan sahaja di dalam masyarakat kita tetapi di negara-negara lain juga memandangkan
tugas seseorang guru begitu banyak dan tanggungjawabnya adalah amat berat terutamanya
terdapat banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh seseorang guru dalam era globalisasi ini.
Di negara kita, antara cabaran yang dihadapi oleh warga pendidik adalah cabaran Wawasan
2020 untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berdaya
saing.

Dengan itu, tanggungjawab dan tugas guru yang begitu mencabar telah memberikan
tekanan stres secara tidak langsung dan menyebabkan perkara-perkara yang tidak diingini
berlaku. Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa kini terdapat kes-kes yang berkaitan
dengan guru sering berlaku dan dilaporkan melalui media massa. Kebanyakan Kes yang
berkaitan dengan guru adalah amat serius sehingga terdapat segelintir kes telah menyebabkan
kecederaan dan kematian.

Dalam kes ‘ Bisikan Misteri Arah Guru Amuk’ yang berlaku di SK Sabur, Kota
Kinabalu adalah amat serius kerana guru tersebut telah mengamuk sehingga menggunakan
pedang samurai dan menyebabkan seramai 14 orang guru termasuk dua orang guru wanita
terpaksa menyembunyikan diri dalam hutan paya bakau. Walaupun tiada sebarang
kemalangan yang tidak diingini berlaku, akan tetapi tingkah laku guru tersebut yang kurang
waras telah mengancam keselamatan rakan sejawat yang lain. Ini mungkin akan membawa
sebarang kecederaan ke atas guru-guru yang tinggal bersamanya. Sumber berkata bahawa
suspek tersebut mendakwa terdapat suara perempuan yang sering mengganggunya sejak
beberapa minggu lalu dan menyebabkan dia tidak dapat bertahan sehingga mengamuk.

Melalui pandangan masyarakat setempat yang bertahyul mungkin berpendapat


bahawa guru tersebut memang diganggu oleh makhluk halus. Walaubagaimanapun,
pandangan yang lebih saintifik mengenai kes ini berlaku mungkin disebabkan tekanan emosi
yang telah dipendamkan dalam guru tersebut yang agak lama sehingga dia tidak dapat
berfikir dengan waras dan mendakwa dirinya dapat mendengar bisikan misteri yang
mengganggu ketenteramannya. Akibatnya, tekanan emosi yang serius ini telah menyebabkan
guru berkenaan berfikiran tidak mempunyai kesedaran diri dan melakukan perbuatan yang
tidak terkawal yang boleh mengancam keselamatan orang lain.

Dengan itu, kes yang telah berlaku ini telah membuktikan bahawa pada zaman kini,
para guru sentiasa menghadapi cabaran yang lebih ketara dengan tuntutan daripada ibu bapa,
masyarakat, pihak pengurusan sekolah dan kementerian demi meningkatkan lagi kualiti
pendidikan. Selain itu, pelbagai reformasi dalam bidang pendidikan dan masalah-masalah
seperti masalah murid dan bebanan kerja pasti akan menyebabkan tekanan stres di kalangan
guru.

Stres merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental dan
kerap menyerang masyarakat pada hari ini. Dr. Hans Selye, pengasas kepada teori stress atau
tekanan perasaan telah mendefinisikannya sebagai suatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri
seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya.

Menurut Mohd Salleh (1994), stres adalah reaksi fizikal dan mental emosi seseorang
akibat sesuatu situasi yang menyebabkan seseorang itu tidak mendapat keselesaan hidup. Di
negara kita, fenomena stres di kalangan guru sering diperbincangkan dan dijadikan bahan
kajian. Ini adalah bidang pendidikan pada hari ini semakin mendesak para guru untuk
bekerja keras dengan lebih masa demi mencapai permintaan tinggi pendidikan tersebut. Di
samping itu, usaha peningkatan dan pelaksanaan tersebut telah menyebabkan guru-guru
semakin tertekan dengan bebanan kerjaya pendidikan ini.

Mengikut Kyriacou (2000), stres guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap
emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan
kemurungan akibat daripada tugas sebagai seorang guru. Sementara itu, menurut Sapora
Sipon (2007), stres terhadap guru memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru
berada dalam keadaan murung, mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbangan.
Maka, stres merupakan tindak balas fizikal yang biasa terhadap sesuatu perkara atau
peristiwa yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan berlaku.

Oleh itu, guru yang gagal mengawal diri akibat stres akan memberi kesan kepada
perhubungan guru dengan murid dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran. Isu sebegini
seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan yang akan
membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa negara kita ke
tahap kecemerlangan dan kegemilangan mutu pendidikan.

Isu beban tugas guru ini memang sukar difahami masyarakat umum melainkan ada
dalam kalangan keluarga atau rakan mereka terbabit dalam kerjaya itu. Tidak seperti
kebanyakan kerjaya lain, tugas guru tidak terikat kepada waktu persekolahan. Selain terpaksa
membawa kerja balik ke rumah, guru kadang kala terpaksa membuat kerja yang tidak ada
kaitan dengan tugas mengajar seperti menghadiri mesyuarat sekolah, mengikuti program
peringkat daerah atau peringkat negeri atau wakil pengetua atau guru besar. Di samping itu,
mereka juga terpaksa melakukan penyeliaan dan bimbingan aktiviti kokurikulum seperti
persatuan, sukan dan badan beruniform. Ini tidak termasuk mengiringi pelajar menyertai
program di luar sekolah yang mungkin mengambil masa beberapa jam mahupun beberapa
hari.

Sememangnya peranan guru di sekolah adalah banyak dan tugas guru bukan sahaja
mengajar dan menyampai ilmu pengetahuan kepada muridnya di dalam kelas tetapi dia juga
diharapkan dapat melaksanakan tugas-tugas yang lain. Antaranya adalah sebagai pengurus
bilik darjah, mengawal disiplin murid, perancang program-program, agen perubahan,
penyelidikan, fasilitator, penilai dan banyak lagi. Apabila sesi persekolahan menuju ke
penghujungnya pada setiap tahun, guru sekolah perlu mendapat semakin banyak
tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Sementara tugas-tugas tersebut semakin bertambah,
tugas seperti pemeriksaan tugasan, ujian dan peperiksaan juga akan dihadapi oleh guru selain
melaksanakan tugas rutin iaitu mengajar. Dengan pertambahan tugas, guru akan berasa beban
dan seterusnya akan mengalami tekanan emosi yang serius.

Semua ini dilakukan tanpa kemudahan bayaran lebih masa, tuntutan perbatuan yang
dicatu mahupun lebihan masa yang digunakan untuk tugas rasmi diganti sebagai cuti rehat
pada keesokan harinya. Namun, bagi kebanyakan guru, beban itu tidak pernah dipertikaikan
kerana menyedari mereka sudah memilih kerjaya yang tanggungjawabnya menjangkaui
waktu kerja. Walaupun begitu, penyelesaian yang wajar harus dicari bagi meringankan
beban ini kerana jika stres atau tekanan berpanjangan di dalam hidup seseorang guru dan
tidak bijak untuk menguruskannya, ia akan menyebabkan penyakit-penyakit tertentu yang
akan menjejaskan kesihatan dan kecergasan guru itu sendiri, selanjutnya memberi kesan
negatif kepada murid.

Antara penyakit-penyakit yang berpunca akibat mengalami tekanan stres adalah


sakit jantung, stroke, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Merujuk kepada isu guru
tersebut telah mengalami kesukaran tidur sehingga dia mengamuk. Kesukaran tidur atau
dikenali sebagai ‘insomnia’ adalah salah satu penyakit yang berpunca daripada tekanan stres.

Selain itu, terdapat juga banyak faktor yang menyebabkan kes sebegini berlaku.
Antaranya adalah persekitaran kerja yang tidak kondusif. Suasana kerja adalah amat penting
bagi seseorang guru kerana ruang kerja yang sempit dan sesetengah kelas yang terlalu panas
dan tidak selesa boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada guru berbanding dengan
individu lain yang bekerja di tempat yang berhawa dingin. Tambahan pula, kemudahan-
kemudahan sekolah yang tidak mencukupi untuk keperluan diri dan pelajarnya terutamanya
sekolah-sekolah di kawasan pedalaman akan menyebabkan guru tersebut semakin stres.

Selain itu, kelakuan dan perangai murid dalam kelas yang sentiasa menjadi cabaran
kepada seseorang guru juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan guru mengalami
tekanan emosi. Murid sentiasa melakukan pelbagai aksi untuk menarik perhatian guru
tentunya akan menimbulkan masalah serta memberikan kesan kepada emosi guru dan lama-
kelamaan ia akan menjadikan guru berasa stres.

Punca-punca peribadi juga merupakan antara faktor guru mengalami tekanan emosi.
Keadaan kesihatan guru terjejas ataupun berlakunya kemalangan dan kematian dalam
kalangan ahli keluarga akan menyebabkan guru tersebut mengalami tekanan emosi yang
seirus. Selain itu, hubungan dengan ahli keluarga atau rakan sekerja adalah amat penting bagi
seseorang guru kerana ia merupakan satu sokongan kepada guru tersebut. Jika berlakunya
perselisihan faham akibat masalah komunikasi yang tidak berkesan maka ini boleh
menyebabkan stres terhadap guru tersebut.

Pada zaman kini, taraf hidup yang semakin tinggi telah menjadi keperluan yang
biasa bagi semua orang. Oleh itu, perbelanjaan kehidupan seharian amatlah memerlukan
wang yang secukupnya. Kita sering diberitahu bahawa gaji guru adalah rendah berbanding
dengan profesion yang lain. Dengan itu, masalah kewangan telah membataskan aktiviti
riadah dan taraf hidup seseorang guru. Ini telah menyebabkan dia sukar untuk menikmati dan
memberikan taraf hidup yang baik kepada diri dan keluarga mereka. Maka, masalah
kewangan ini akan menyebabkan guru mengalami tekanan stres.

Berdasarkan faktor-faktor yang telah dibincangkan, banyak usaha dan rancangan


untuk mencari penyelesaian yang sesuai hendaklah dijalankan agar mengatasi masalah beban
guru sekolah agar isu ini tidak akan berterusan dan menjadi semakin serius. Jika tidak, ia
akan membawa kesan yang buruk sehingga guru tidak suka akan kerja mereka dan secara
tidak langsung ia mampu membawa kesan buruk yang akan menjejaskan imej keguruan.
Maka, pihak yang berkenaan haruslah bekerjasama dan mengambil berat terhadap isu-isu
guru mengalami tekanan emosi akibat bebanan kerja.

Dengan itu, pelbagai cadangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak untuk
menangani masalah beban tugas guru. Salah satunya adalah Kesatuan Perkhidmatan
Pengurusan Perguruan Kebangsaan (KPKK) telah memohon supaya skop kerja guru dapat
dispesifikan dan kebajikan guru dapat diutamakan. Selain itu, kemudahan asas sekolah perlu
lengkap dan program pemprosesan data dapat diringkaskan serta penambahbaikan semua
sistem ICT agar urusan data guru atau pelajar dapat dilaksanakan secara berpusat. Bukan
sahaja begitu, pihak KPKK juga mencadangkan agar mewujudkan jawatan pembantu murid
untuk membantu urusan kerja-kerja perkeranian dan mengasingkan guru akademik dan guru
sukan agar guru dapat lebih fokus pada tugas yang telah ditetapkan untuk setiap individu
dalam organisasi itu.

Sebenarnya, pihak kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap isu beban guru dan
berusaha mencari penyelesaian yang sesuai untuk menangani masalah tersebut. Timbalan
Perdana Menteri , Tan Sri Muhyiddin Yassin juga merupakan Menteri Pelajaran telah
menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung
oleh guru sekolah di seluruh negara dan diharapkan untuk mencari penyelesaian terbaik untuk
menyelesaikan bebanan guru.

Selain itu, tokoh akademik termasuklah bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri
Abdul Rahman Arshad telah meminta mengkaji mewujudkan jawatan pembantu guru bagi
membantu guru di setiap kelas bagi melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian. Dengan
itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mencari penyelesaian dengan melatih dan
menghantar pembantu pentadbir di sekolah bertujuan untuk mengurangkan beban kerja guru.
Tugas-tugas seperti tugas perkeranian dan menguruskan pusat sumber serta bilik-bilik khas
sekolah oleh pembantu pentadbir sememangnya dapat mengurangkan masalah beban kerja
guru. Dengan ini, guru juga dapat lebih fokus kepada tugasnya untuk merancang pengajaran
dan pembelajaran yang lebih berkesan.

Bukan sahaja begitu, pihak kerajaan juga telah berusaha menaik taraf infrastruktur
dan kemudahan sekolah terutamanya di kawasan pedalaman agar menyediakan suasana
persekitaran kerja yang kondusif bagi guru. Dengan usaha sebegini, maka stres di kalangan
guru dapat dikurangkan.

Bagi seseorang guru yang mengalami tekanan emosi akibat bebanan kerja, beliau
seharusnya dapat memiliki penampilan yang baik dari segi mental dan dapat menghadapi
sebarang cabaran atau halangan dengan pemikiran yang jelas dan baik. Ini adalah kerana guru
bukan sahaja memerlukan penampilan yang baik dari segi fizikal, malah beliau juga perlu
sentiasa berfikiran waras dan dapat menangani tekanan emosinya dengan berkesan. Oleh itu,
guru seharusnya meningkatkan dan menguasai kemahiran menyelesaikan masalah yang dapat
membantu seseorang guru menangani masalah tekanan emosi yang dihadapinya secara
rasional, seterusnya merancang cara penyelesaian secara sistematik.

Selain itu, sebagai seorang guru, beliau juga seharusnya dapat menguasai kemahiran
pengurusan masa. Pada masa kini, kebanyakan guru yang bekerja menghabiskan masa ke atas
tugasan yang kurang penting telah mengabaikan tanggungjawab yang lain sehingga mereka
berasa tugas mereka tidak dapat diselesaikan. Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi
guru mengalami masalah tekanan emosi akibat beban kerja. Oleh itu, kemahiran pengurusan
masa dapat membantu seseorang guru menumpukan kepada kerja-kerja yang penting dahulu
dan melakukannya dengan lebih bijak. Contohnya, seseorang guru perlu merancang jadual
bekerja dan meluangkan masa lapang individu yang secukupnya untuk kegunaan diri.

Seseorang guru yang mengalami tekanan emosi akibat beban kerja boleh mempelajari
kemahiran relaksasi yang dapat membantu meredakan reaksi fizikal terhadap tekanan.
Sebagai contoh, guru boleh boleh menjalankan relaksasi seperti aktiviti yoga yang
mengutamakan cara menarik dan menghembus nafas dengan perlahan-lahan yang boleh
menangani stres.

Bukan sahaja begitu, seseorang guru patut mengekalkan cara hidup yang sihat dan
seimbang dengan bersenam, makan makanan yang sihat, mempunyai tidur yang cukup dan
tidak meminum air beralkohol kerana badan yang sihat dapat meningkatkan prestasi kerja.
Untuk memperolehi cara hidup yang seimbang, seseorang guru perlu meluangkan masa
dengan melakukan hobi atau aktiviti rekreasi. Dengan membuat demikian, mereka dapat
mengalih fikiran mereka terhadap kerisauan dan kebimbangan mengenai tugas serta
mendapat persepsi yang baru untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.

Jika seseorang guru itu mempunyai cara berkomunikasi yang baik dan berkesan, maka
mereka dapat mencari jalan untuk meluahkan buah fikiran dan emosinya. Di samping itu, ia
juga dapat memahami reaksi yang diberi. Maka, dengan cara ini dapatlah seseorang guru itu
mengendalikan masalah dan tekanan emosi dengan lebih berkesan. Oleh itu, sebagai seorang
guru, beliau perlu menjalin hubungan yang baik dengan rakan sejawatnya agar dapat
berkongsi masalah yang dihadapi. Merujuk kepada kes guru tersebut, guru berkenaan
sepatutnya menjelaskan dan membincangkan masalah bisikan misteri yang telah dihadapi
olehnya kepada rakan sejawat yang lain agar dapat sokongan yang baik untuk mencari cara
penyelesaian yang lebih berkesan.

Seseorang guru yang mempunyai tujuan hidup biasanya dapat mengendali tekanan
dan stres dengan baik. Oleh itu, penglibatan diri dalam hal-hal keagamaan juga merupakan
salah satu cara bagi seseorang guru untuk menangani masalah tekanan stres kerana agama
dapat memberi sumber harapan atau menjadi pegangan kepada seseorang apabila diperlukan.
Golongan yang bekerja termasuk guru adalah digalakkan untuk melibatkan diri dalam hal-hal
kerohanian kerana ia dapat memberi mereka perspektif yang betul tentang kehidupan dan
pekerjaan. Dengan ini, penampilan guru dari segi sifat rohaniah dan kejiwaan dapat
dipertingkatkan. Guru tersebut juga akan lebih bersifat tenang dan mempunyai emosi yang
mantap serta optimistik dalam kehidupan.

Selain itu, seseorang guru perlu berfikiran realistik terhadap pekerjaannya dan
memupuk sikap suka dan minat terhadap kerjayanya dengan menambah ilmu pengetahuan
mengenai bidang atau profesion yang diceburinya demi memartabatkan lagi profesion
keguruan. Beliau juga seharusnya dapat memahami kekuatan dan kelemahan dirinya.
Sementara itu, fikiran yang positif patut disemai dalam kalangan guru agar mereka dapat
bersiap sedia menghadapi sebarang masalah dan bersikap terbuka untuk menghadapi
sebarang perubahan terutamanya dalam bidang pendidikan.

Bukan sahaja begitu, seseorang guru perlulah sentiasa bertanggungjawab dan


memahami akauntabilitinya terhadap murid, ibu bapa, masyarakat dan negara serta rakan
sejawat dan profesion keguruan agar dapat menunjukan prestasi yang terbaik ketika bekerja
terutamanya menjalankan peranannya untuk menyampai ilmu pengetahuan dan merancang
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan agar murid-murid dapat mencapai objektif yang
optimum.

Pihak pengurusan sekolah pula harus berperanan untuk membantu guru dalam
menghadapi sebarang tekanan, konflik dan isu. Pihak berkenaan perlu sedar akan
kepentingan pemantauan ke atas tahap stres guru dari semasa ke semasa dan mengambil
tindakan yang sewajarnya untuk mengurangkan masalah tersebut. Contohnya, pihak
pengurusan di sekolah perlulah mengenal pasti guru-guru yang mempunyai potensi
mengalami tahap stres yang tinggi. Seterusnya, pihak sekolah boleh bekerjasama dengan
kaunselor pentadbir yang berada di Pejabat Pelajaran Daerah dan di Jabatan Pelajaran Negeri
agar mengadakan sesi pertemuan untuk membantu guru yang berkenaan untuk memahami
dirinya dan orang lain, seterusnya mendapatkan alternatif terbaik yang boleh dilakukan dalam
menangani sebarang isu khususnya yang berkaitan dengan tekanan.

Kesimpulannya, tekanan emosi guru semakin ketara di sekolah akibat beban kerja
kerana globalisasi dan modenisasi dalam bidang pendidikan. Dengan tanggungjawab guru
semakin mencabar dan peranan guru juga berubah. Hal ini telah menyebabkan para guru
menghadapi tekanan emosi dan terdapat segelintir guru tidak dapat tekanan kerja dengan
sebaik mungkin sehingga menjejaskan kesihatannya. Oleh itu, pengurusan tekanan emosi
memerlukan kemahiran yang mesti dipelajari oleh semua anggota di dalam organisasi
pendidikan terutamanya dalam kalangan guru kerana kegagalan mengawal tekanan boleh
membawa kesan yang buruk bukan sahaja kepada individu tetapi juga imej organisasi.

Selain itu, pihak berkenaan juga harus memberi sokongan dan membantu
mengurangkan beban stres yang dihadapi oleh guru dengan mengkaji semula skop kerja guru.
Para guru perlu sentiasa bersikap positif dalam menghadapi cabaran-cabaran dalam dunia
pendidikan hari ini bagi mengelakan diri terus berada dalam keadaan stres dan menjejaskan
karier diri sebagai seorang guru.

Sumber rujukan : Berita Harian- Bisikan Misteri Arah Guru Amuk


ISU 2 : GURU STRESS oleh ANIS BINTI ZAKARIA

ULASAN ARTIKEL

PENDAHULUAN

Tekanan atau stress adalah satu tindakbalas fisiologikal dan psikologikal ke


atas permintaan terhadap seseorang. Ini bermaksud, tekanan yang melanda
seseorang akan menyebabkan fikiran dan fizikal individu tersebut bertindak balas
mengikut keadaan dan tahap tekanan tersebut. Sekiranya tahap tekanan tersebut
adalah rendah maka tindakbalas individu terbabit juga tidak terlalu besar dan
begitu juga sebaliknya. Smither (1994), Kenyataan ini disokong oleh Schafer
(1992), yang menyatakan bahawa tekanan sebagai kebangkitan minda dan fizikal
seseorang dalam memberi tindakbalas kepada sesuatu permintaan terhadap diri
seseorang. Tambahan pula, Fontana (1989), juga menyatakan bahawa tekanan
adalah satu bentuk permintaan yang dibuat ke atas keupayaan untuk menyesuaikan
minda dan fizikal serta seterusnya menjelaskan sekiranya seseorang itu dapat
menerima dan menangani permintaan tersebut, maka tekanan tersebut akan
mendatangkan kesan yang positif. Hal ini menunjukkan bahawa cara seseorang
menangani tekanan bergantung kepada tahap kesediaan minda dan fizikal
seseorang untuk menerima atau menyerap sesuatu tekanan yang diterima.
Sekiranya individu terbabit tidak bersedia dari segi fizikal dan mental, maka sudah
pastinya tekanan yang datang dalam bentuk permintaan ini tidak mampu dihadapi
dengan sempurna yang akhirnya akan menyebabkan individu tersebut tertekan dan
menghadapi masalah yang lebih besar. Sementara itu, menurut Levine dan Ursin
(2009), tindakbalas tekanan ini adalah satu perubahan fisiologi dan perlakuan yang
berlaku terhadap mereka yang menghadapi tekanan. Oleh itu, boleh dikatakan
bahawa, tekanan bukanlah satu perkara yang boleh diambil ringan kerana
seseorang itu akan menghadapi risiko untuk berubah perlakuannya dengan
melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti bercakap kasar,
memulakan pertengkaran, terlibat secara fizikal dalam pergaduhan,
penyalahgunaan dadah, terlibat dalam jenayah dan sebagainya yang membuktikan
walau sekecil mana sekalipun tekanan tersebut sekiranya tidak diuruskan dengan
betul mampu membawa malapetaka yang lebih dahsyat lagi kepada mereka yang
terlibat. Namun semuanya bergantung kepada kekuatan mental dan fizikal
seseorang kerana ianya dapat membantu seseorang untuk menyerap tekanan dan
dapat menerima tekanan tersebut secara positif.
Daripada beberapa definisi yang diberikan di atas, maka boleh dikatakan
tekanan terbukti mempunyai hubungan dengan faktor dalaman dan luaran
seseorang. Faktor luaran ini bermaksud persekitaran fizikal seperti tugasan dan
tanggungjawab di pejabat, tahap perhubungan dengan manusia lain, keadaan
fizikal kediaman, tahap kebisingan, kesesakan jalanraya dan sebagainya yang
berkaitan dengan kehidupan seharian manusia. Faktor dalaman pula bermaksud
faktor yang mempengaruhi seseorang di dalam menangani faktor-faktor luaran tadi
seperti tahap kesihatan fizikal dan mental, emosi dan perasaan serta rehat yang
mencukupi. Bagi mereka yang mempunyai tahap kesihatan yang tinggi,
kemungkinan untuk mereka menghadapi tekanan disebabkan perkara yang remeh-
temeh adalah rendah dan cara mereka bertindakbalas juga adalah secara
sederhana. Manakala mereka yang mempunyai tahap kesihatan yang rendah
mempunyai kemungkinan untuk mengalami tekanan dan bertindakbalas secara
agresif walaupun atas sebab-sebab yang kecil akibat ketahanan mental dan fizikal
yang lemah.

Di Malaysia, profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan


sosial yang sungguh mencabar. (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Semenjak beberapa
tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha dijalankan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia sebagai satu usaha dalam meningkatkan mutu sistem pendidikan di
Malaysia. Dengan pelaksanaan pelbagai-bagai reformasi ini, tugas, peranan dan
tanggungjawab guru menjadi semakin mencabar.Tekanan terhadap guru memang
berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan murung,
mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbangan. Guru yang gagal
mengawal diri akibat tekanan akan memberi kesan kepada perhubungan guru
dengan pelajar dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran seterusnya boleh
menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan. Bukan sekadar itu,
masalah ini akan membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang
mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan mutu
pendidikan. (Dr.Sapora Sipon, 2007). Peratusan kadar stress dalam kalangan
pekerja di Malaysia yang telah dicatatkan pada tahun 2011 juga menunjukkan
bahawa guru berada pada tempat keempat dengan peratusan sebanyak 45.8 %
berbanding pekerjaan-pekerjaan yang lain seperti jururawat, doktor dan
sebagainya. Statistik ini membuktikan bahawa tugas guru ini bukan tugasan biasa
dan mudah seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak. Satu kajian telah
dijalankan oleh Mohamad Abdillah Royo dan Woo Sew Fun dari Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya bagi mengenalpasti punca sebenar dan jalan penyelesaian bagi
masalah ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelbagai perkara yang dikenalpasti
menyumbang kepada masalah ini antaranya bebanan tugas, kerenah murid, kurang
motivasi dan sebagainya.

PERKEMBANGAN HUJAH-HUJAH

Stress boleh berlaku kepada semua guru samada guru sekolah menengah
mahupun rendah. Satu kajian yang dijalankan oleh Azizi Yahya dan Norliza Othman
mengenai punca sebenar berlakunya masalah stress dalam kalangan guru
matematik di negeri Johor. Hasil kajian mendapati bahawa faktor yang
paling mempengaruhi stress adalah faktor masalah disiplin pelajar yang
mencatatkan nilai min keseluruhan tertinggi iaitu 3.83. Kajian juga dijalankan oleh
Azrul Hisham Abdul Manaf pada tahun 2009 menunjukkan bahawa guru tidak
terlepas daripada perlakuan dan sikap segelintir pelajar yang kadangkala
menyakitkan hati. Antara contoh perlakuan pelajar yang membangkitkan
kemarahan guru termasuklah datang lewat ke kelas, membuat bising ketika sesi
pengajaran dan pembelajaran bermula, tidak hadir ke sekolah tanpa alasan yang
munasabah dan bersikap biadap dengan guru. Perkara ini menyebabkan guru
mengambil keputusan yang agak drastik dan berasaskan emosi untuk
menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan disiplin pelajar. Walaupun tindakan
ini melanggar etika dan tatatertib seorang pendidik, namun kadangkala emosi yang
tidak stabil boleh menguasai kekuatan akal fikiran yang waras. Terdapat banyak
contoh sebenarnya yang berkaitan dengan tindakan disiplin berdasarkan emosi
yang dilakukan oleh guru yang berkait dengan masalah disiplin pelajar. Antaranya
ialah kejadian di mana 200 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang
Assan di Sarawak yang telah dihukum dengan cara berendam di dalam sebuah
kolam yang kotor oleh warden asrama mereka disebabkan masalah disiplin (Utusan
Malaysia, 28 Julai 2007). Setahun sebelum itu,seorang guru disiplin di sebuah
sekolah menengah di Kelantan telah bertindak memukul seorang pelajar berulang
kali di kawasan sekolah kerana memakai seluar jeans pada hari terakhir
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ( Berita Harian, 20 Mei 2006 ).

Guru bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan para pelajar yang


bermasalah tetapi juga berhadapan dengan ibu bapa pelajar yang memberikan
harapan yang amat tinggi kepada para guru untuk menjadikan anak-anak mereka
cemerlang dalam pelajaran. Hal ini dapat dibuktikan menerusi kajian yang telah
dijalankan oleh Unit Kaunseling Jabatan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam
(JPA) pada tahun 2006 yang mendapati bahawa 83% daripada guru telah mengalami
tekanan akibat harapan tinggi yang diletakkan oleh ibu bapa pelajar yang
mengharapkan guru-guru di sekolah boleh membantu untuk menjadikan anak-anak
mereka sebagai pelajar yang cemerlang dalam akademik. Kajian yang sama juga
menyatakan bahawa kebanyakan ibu bapa akan melepaskan sepenuhnya
tanggungjawab untuk mendidik anak-anak mereka kepada guru sekolah sambil
mengharapkan anak mereka memperoleh keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan. Abu Bakar Hamzah dalam artikelnya yang dimuatkan dalam akhbar
Berita Harian bertarikh 23 Februari 2007 mengatakan bahawa ibu bapa
kebiasaannya akan mengukur kejayaan mutlak seseorang pelajar berdasarkan
kecemerlangan akademik semata-mata tanpa mengira aspek-aspek lain yang tidak
kurang pentingnya seperti kemahiran dalam bidang vokasional. Akibat daripada
harapan yang terlampau tinggi, kebanyakan guru terpaksa menghabiskan banyak
masa mereka di sekolah untuk mengadakan kelas-kelas tambahan di luar waktu
persekolahan bagi memastikan harapan ibu bapa dipenuhi.

Selain itu, faktor bebanan kerja yang terlampau banyak juga menyebabkan
guru-guru mengalami masalah stress. Menurut Esah Sulaiman (2003), guru
merupakan pengurus pembelajaran yang bertanggungjawab untuk merancang
pengetahuan, kemahiran dan nilai yang hendak diajar kepada pelajar setiap hari.
Ini menunjukkan tanggungjawab guru untuk menyediakan maklumat-maklumat
untuk diajar tidak semudah yang disangkakan. Guru juga dibebankan dengan tugas-
tugas lain seperti tugas pentadbiran sekolah contohnya merancang dan
menjalankan aktiviti sekolah, menjadi penasihat persatuan dan kelab, menjalani
kursus yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri
dan sebagainya. Perkara ini mungkin dilihat mudah oleh sesetengah pihak namun ia
merupakan bebanan yang amat tinggi kepada para guru kerana mereka terpaksa
melakukan pelbagai jenis kerja yang berkaitan dengan akademik, kokurikulum dan
pentadbiran sekaligus setiap hari. Tambahan pula, adakalanya tugas-tugas ini perlu
diselesaikan pada hari minggu sehingga menyebabkan guru tidak mendapat ruang
waktu untuk berehat dan bersama keluarga. Ia menjadi menjadi satu masalah yang
besar dan dipandang serius oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sehingga
wujudnya satu Jawatankuasa Khas bagi mengkaji bebanan tugas guru yang
terlampau banyak. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Don
yang mempengerusikan jawatankuasa itu, beberapa cadangan sudah dikenalpasti
bagi menangani masalah ini. Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi memberi
maklumbalas terhadap aduan yang dibuat oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (NUTP) terhadap bebanan tugas guru dalam satu sidang media yang
diadakan pada tarikh 30 Mac 2010. Ini membuktikan bahawa banyak pihak yang
menyedari akan bebanan tugas guru yang semakin mencabar.
Bagi pekerja di setiap organisasi, etika kepimpinan seseorang pemimpin
atasan memainkan peranan yang penting dalam memajukan organisasi tersebut.
Perkara yang sama juga berlaku di sekolah apabila etika kepimpinan pengetua atau
guru besar yang memainkan peranan yang sangat penting di dalam kemajuan dan
pembangunan sekolah serta sumber manusianya. Guru sememangnya bergantung
harap kepada guru besar untuk memastikan kelancaran pentadbiran di sekolah di
samping menjaga kenajiakn mereka sebaik-baiknya. Sekiranya perkara ini tidak
berlaku, guru akan mengalami tekanan kerana persekitaran tempat kerja yang
tidak membantu mereka untuk menjadi lebih produktif di dalam perkhidmatan. Hal
ini kerana, adakalanya dalam melaksanakan sesuatu program di sekolah, terdapat
corak pentadbiran dan tindakan pengetua yang kurang disenangi di sekolah.
Malahan, ada juga program yang diatur bukanlah untuk kepentingan sekolah atau
pelajar sebaliknya untuk kepentingan peribadi pengetua semata-mata. Keputusan-
keputusan tentang peraturan dan dasar sekolah yang tidak adil dan kerap berubah
juga akan membangkitkan ketidakpuasan hati guru. (Hamedah binti Wok Awang,
2004). Selain itu, ada juga pengetua yang menyalahgunakan peruntukan sekolah
untuk kegunaan peribadi seperti hanya menumpukan usaha membesar dan
mencantikkan bilik guru besar sahaja walaupun peruntukan tersebut sebenarnya
harus digunakan untuk pembangunan fizikal sekolah serta kebajikan kakitangan
dan pelajar. Isu ini telah dilaporkan oleh BERNAMA pada 17 Februari 2000, apabila
Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan segera terhadap pengetua yang
menyalahgunakan kuasa mereka termasuk yang terlibat dalam rasuah. Menurut
mantan Menteri Pelajaran Malaysia, hal ini kerana terdapat beberapa kes yang
diterima oleh pihak kementerian setiap tahun yang menyebabkan tindakan tegas
perlu diambil secara serta merta. Hal ini secara langsung akan mengundang
tekanan emosi terhadap guru kerana mereka akan berasa kurang senang dengan
keputusan-keputusan yang dibuat tanpa mengambil kira kebajikan perkhidmatan
mereka. Apabila keadaan ini semakin berlarutan, ianya akan menghakis
kepercayaan guru terhadap kredibiliti dan ketelusan pengetua terbabit. Akhirnya
perasaan hormat guru akan hilang dan mereka akan kehilangan motivasi untuk
terus berkhidmat dengan cemerlang.

IMPLIKASI HUJAH-HUJAH

Punca-punca seperti yang dinyatakan di atas akan membawa kepada


tekanan terhada guru dan menyebabkan mereka mengambil jalan-jalan tertentu
untuk menyelesaikannya. Guru yang tertekan akan melakukan apa sahaja untuk
memastikan tekanan yang melanda mereka berakhir. Ini termasuklah melakukan
perkara yang menyalahi undang-undang dan etika pengurusan.

Ponteng kerja adalah perkara serius yang dilakukan oleh individu-individu


yang tertekan ( Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin, 2011 ). Perkara ini
dibuktikan melalui pendedahan yang dibuat oleh akhbar Berita Harian bertarikh 12
Disember 2009 iaitu seramai lima peratus daripada keseluruhan penjawat awam di
Malaysia terlibat dalam kes ponteng kerja di mana ada sesetengahnya yang tidak
hadir ke tempat kerja selama tiga bulan. Satu laporan akhbar daripada Berita
Harian bertarikh 27 Mac 2008 menyebutkan isu seorang guru di Perak yang tidak
menghadirkan diri ke sekolah selama lebih dari 30 hari tanpa alasan yang kukuh.
Akibat dari perlakuan tersebut, pihak Kementerian Pelajaran akan mengambil
tindakan disipilin yang tegas terhadap guru terbabit dan mungkin akan memecat
beliau dari perkhidmatan perguruan. Hal ini disokong melalui pernyataan yang
dibuat oleh Ho (1997) bahawa guru yang ponteng kerja akan menyebabkan proses
pembelajaran terganggu untuk satu jangka masa yang panjang. Akibatnya, banyak
perkara yang tidak dapat diselesaikan dengan segera seperti kegagalan
menghabiskan sukatan pelajaran dan kelewatan menganjurkan aktiviti-aktiviti ko
kurikulum di sekolah. Selain itu, rancangan pengajaran yang telah ditetapkan juga
tidak dapat diikuti lagi kerana telah tersasar dari perancangan asal menyebabkan
perancangan baru perlu disusun semula. Akhirnya, pelajar-pelajar akan mendapat
impak yang sangat negatif apabila mereka tidak mampu menjawab soalan-soalan
peperiksaan dengan baik terutamanya apabila melibatkan peperiksaan-peperiksaan
umum seperti UPSR, PMR dan SPM kesan dari proses pengajaran dan pembelajaran
yang tidak lancar.

Selain daripada ponteng kerja, guru-guru juga akan cenderung untuk


melakukan tindakan yang lebih besar iaitu berhenti kerja kerana tidak lagi mampu
untuk bertahan dalam kerjaya ini. Tekanan-tekanan yang datang dari bebanan
tugas yang melampau, etika kepimpinan pihak atasan sekolah dan tahap disiplin
pelajar yang rendah merupakan faktor utama mengapa guru berniat meninggalkan
kerjaya utama mereka. (Azrul Hisham Abdul Manaf, 2009). Isu ini turut disentuh
oleh satu kajian kes yang telah dijalankan oleh Erkultu dan Chafra (2006) yang
menyebut bahawa tekanan yang terlampau tinggi boleh mengakibatkan pekerja
berfikir untuk meletakkan jawatan. Justeru, tidak hairanlah para guru yang
sememangnya berhadapan dengan bebanan kerja yang tinggi akan berniat untuk
menarik diri daripada jawatan ini. Kajian juga telah dijalankan oleh Jesus (2000),
beliau mendapati 50 peratus daripada guru yang menjawab borang soal selidik
mengakui bahawa mereka mahu mencari kerja lain akibat tekanan yang berlebihan
di sekolah. Pada pandangan saya, adalah menjadi satu kerugian yang sangat besar
sekiranya kebanyakan guru yang menghadapi masalah tekanan ini meneruskan niat
untuk meletakkan jawatan kerana ianya akan mengganggu keseluruhan proses
pendidikan di sekolah. Selain itu, kerajaan juga terpaksa mengeluarkan kos yang
besar dan menghabiskan masa yang panjang untuk memberi latihan kepada guru-
guru baru bagi menggantikan kekosongan tersebut.

Pelbagai langkah yang telah diambil bagi menangani masalah stress dalam
kalangan guru yang semakin parah. Antaranya ialah memperkenalkan program
latihan fisioterapi khas untuk golongan-golongan guru di seluruh Negara. Menurut
pengarah urusan Great Life Physio and Rehabilation, Mohd Rozaimi Che
Kamaruddinata, program itu disediakan khas oleh pakar-pakar fisioterapi untuk
para guru dalam memberi panduan bagaimana menguruskan stress semasa
bertugas. Program ini telah berjaya dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan
Bukit Gading, Sungai Buloh Selangor dengan melibatkan 135 orang guru dan
kakitangan sekolah tersebut. Program ini disokong penuh oleh pengetua sekolah
tersebut, Siti Endon Mohamad Dahlan yang berpendapat bahawa program itu
banyak memberi kesedaran kepada guru dalam menangani masalah stress di
tempat kerja.

Selain daripada itu, guru sepatutnya diberi pengkhususan tugas iaitu


memberikan tumpuan kepada pengajaran sahaja. Memetik ucapan presiden NUTP,
Hashim bin Adnan, beliau mengatakan bahawa pada hari ini, kita dapat melihat
bahawa tugas guru bukan sahaja mengajar sebaliknya melakukan tugas-tugas
pengurusan yang lain, di mana tugas-tugas tersebut sepatutnya dijalankan oleh
individu lain. Umpamanya, pengurusan data-data murid dan sekolah menggunakan
aplikasi atas talian yang baru sahaja diperkenalkan baru-baru ini .Menurut Jaafar
Muhammad (2003), kebanyakan individu bekerja selama 45 jam dalam masa
seminggu. Baki masa yang selebihnya pula sepatutnya digunakan untuk
mengukuhkan perhubungan sosial dengan masyarakat setempat seperti
berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan melakukan aktiviti bersama keluarga,
jiran tetangga dan rakan-rakan mahupun ahli bagi persatuan yang disertai oleh
mereka. Sekiranya guru tidak mempunyai masa yang cukup untuk dihabiskan
bersama masyarakat setempat, mereka akan membawa masalah-masalah di luar
pejabat ke sekolah untuk diselesaikan. Perkara ini seterusnya akan mengganggu
pula komitmen mereka terhadap tugas-tugas hakiki di sekolah. Hal ini akan
menjadi semakin serius apabila murid-murid mendapat implikasi negatif seperti
gagal dalam peperiksaan utama dan seterusnya negara mengalami kerugian besar
terhadap penghasilan sumber manusia.

CADANGAN DAN RUMUSAN

Seorang guru yang gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas akan


memberi mudarat kepada seluruh generasi ( Chek Mat, 2008 ). Guru yang baik
mestilah sentiasa sedar akan kepentingan diri dan amanah yang dipikul mereka.
Oleh yang demikian, guru mestilah memastikan diri mereka terlepas dari masalah
stress yang memudaratkan ini.

Pemeriksaan kesihatan yang berkala perlu sentiasa dijalankan oleh para guru
dalam memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik. Guru
mestilah berusaha menjaga tahap kesihatan mereka kerana hal ini memberikesan
yang amat mendalam kepada seorang guru. Umpamanya, guru yang mengalami
masalah kesihatan akan lebih cenderung mengalami masalah stress di sekolah
sekaligus memberi mudarat kepada profesion secara umumnya dan murid secara
khususnya. Guru juga perlu meningkatkan perbincangan dan bersosial dengan
rakan-rakan sejawatan sekiranya berlaku sebarang masalah berkaitan tugas di
sekolah. Hal ini mungkin dapat menghilangkan sedikit tekanan yang dihadapi oleh
guru. Sekiranya masalah-masalah yang dialami disimpan bersendirian, ia akan
menyebabkan guru lebih mudah menghadapi tekanan di tempat kerja. Bagi pihak
ibu bapa dan pengurusan sekolah, mereka tidak sepatutnya meletakkan harapan
yang terlalu tinggi kepada guru-guru di sekolah. Hal ini kerana, tugas mendidik
anak adalah tanggungjawab ibu bapa dibantu oleh guru di sekolah. Adalah menjadi
satu kesilapan besar sekiranya tugas mendidik anak-anak sekadar diletakkan di
bawah tanggungjawab guru dan hal ini secara tidak langsung memberikan tekanan
hebat kepada para guru di sekolah.

Secara kesimpulannya kerjaya sebagai seorang guru adalah satu kerjaya


yang cukup mencabar. Banyak pengorbananyang perlu dilakukan oleh seorang guru
untuk memberi yang terbaik kepada para pelajar. Sesuatu yang positif perlu
dilakukan segera oleh pihak atasan sekolah dan juga guru bagi mengelakkan punca-
punca tekanan ini membawa kesan yang lebih teruk sekiranya dibiarkan
berterusan. Boleh dikatakan tekanan dapat dikawal dengan baik oleh guru
sekiranya mereka mementingkan kepada cara-cara untuk menguruskan tekanan
tersebut. Pengurusantekanan amat kritikal atau diperlukan oleh guru bagi
memastikan mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi segala cabaran dalam
dunia perguruan yang mendatang.

Perubahan demi perubahan yang pantas berlaku akan menjadikan kerjaya


seorang guru lebih sukar ataupun complicated. Sekiranya guru tidak mampu
mengawal diri dan tekanan mereka dengan baik, sudah pastinya kerjaya mereka
bukan sahaja akan berakhir lebih awal malahan dikenakan tindakan-tindakan
disiplin yang keras pula atas segala kesalahan yang dilakukan. Perubahan demi
perubahan yang berlaku dalam persekitaran dunia pendidikan pada hari ini pula
ternyata menyebabkan guru juga perlu berubah, namun tidak ramai yang mampu
untuk membuat perubahan secara drastik menyebabkan tekanan mula menguasai
mereka dan akhirnya membawa kesan yang besar kepada sistem pendidikan yang
dilaksanakan di sekolah amnya dan di Malaysia khasnya.

Akhirnya, sokongan yang berterusan daripada pihak pengetua sehinggalah


kepada kakitangan pentadbiran amat penting bagi menjamin persekitaran tempat
kerja yang harmoni dan aman untuk semua pihak. Konflik yang sedang berlaku
akan berterusan tanpa noktah sekiranya masih tiada ruang untuk bekerjasama
dibuka seluas-luasnya untuk kedua-dua belah pihak iaitu pentadbiran dan
akademik. Keprihatinan terhadap beban tugas guru perlu ditingkatkan oleh
segenap lapisan masyarakat demi memastikan kelangsungan sistem pendidikan di
Malaysia seterusnya usaha melahirkan generasi pewaris negara berterusan dan
tidak terhenti.

REFLEKSI

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi akhirnya tugasan ini berjaya dilaksanakan


dengan jayanya. Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu secara
langsung dan tidak langsung terutamanya pensyarah, Puan Salina binti Mokhtar.

Pada mulanya, tugasan ini dilihat sebagai satu tugasan yang sangat
mencabar buat saya. Saya ditugaskan untuk menganalisis satu artikel dan membina
satu laman blog untuk memuatkan artikel yang dihasilkan. Tugasan ini sangat
mencabar kerana ini merupakan pengalaman pertama saya menghasilkan blog,
apatah lagi blog yang bersifat ilmiah seperti ini. Namun Alhamdulillah, tugasan
berjaya disiapkan sepenuhnya. Kami berganding bahu mempelajari cara-cara
membuat blog dengan menggunakan aplikasi atas talian yang sangat banyak di
laman sesawang. Kami bersama-sama meneroka maklumat-maklumat dan tutorial
yang disediakan dan akhirnya tugasan tersebut berjaya dijalankan. Kami juga
meminta bantuan rakan-rakan yang mahir dalam bidang ini untuk mengajar kami
cara menghasilkan sebuah laman blog yang menarik dan berkualiti.
Selain daripada itu, saya juga menghadapi masalah apabila berlaku
kekangan masa dalam usaha menyiapkan tugasan ini. Tambahan pula, cuti hari
raya yang diperuntukkan agak padat dengan jadual-jadual lain menyebabkan saya
tergesa-gesa menyiapkan tugasan ini. Namun, berkat sokongan dan dorongan
rakan-rakan sekumpulan, saya berjaya mengatasi masalah ini. Saya juga berpuas
hati kerana berjaya menghasilkan satu penulisan artikel yang pada hemat saya
sebuah artikel yang baik untuk menjadi rujukan semua pembaca.
Pelbagai kemahiran baru yang diperolehi dalam tugasan ini. Antaranya ialah
kemahiran menggunakan ICT sebagai medium menyampaikan maklumat kepada
seluruh masyarakat. Selain itu, kemahiran yang saya perolehi ialah kemahiran
menganalisis sesuatu isu menggunakan bukti-bukti kukuh bagi memantapkan hujah-
hujah yang dilontarkan atau lebih dikenali sebagai penulisan ilmiah. Kemahiran ini
juga sangat penting buat saya dalam usaha untuk menyelesaikan penulisan kajian
tindakan pada semester ini.
Secara keseluruhannya, tugasan ini memberi saya semangat baru untuk lebih
giat menulis artikel ilmiah setelah memasuki alam kerjaya kelak. Seterusnya,
menggunakan medium ICT sebagai wadah untuk menyebarkan idea dan penulisan
tersebut. Hal ini bukan sahaja dapat meningkatkan mutu pendidikan, tetapi juga
membantu memajukan diri sendiri dalam bidang yang menjadi pilihan ini.
Penulisan artikel ilmiah juga merupakan satu cara terbaik bagi seorang guru
meluahkan masalah-masalah dan mengetengahkan isu-isu pendidikan kepada
masyarakat umum.

Sekian, terima kasih.

BIBLIOGRAFI

Akhiar Pardi & Shamsina Shamsuddin. (2011). Pengendalian Disiplin Remaja di


Sekolah dan di Rumah. Penerbitan Multimedia. Kuala Lumpur

Azizi Yahya & Norliza Othman (2010), Stres Dalam Kalangan Guru Sekolah Menengah Di Empat
Buah Negeri Di Malaysia. Asia Pacific Journal of Educators and Education. Kuala Lumpur
Azrul Hisham Abdul Manaf (2009), Faktor-Faktor Tekanan Dan Kesannya Kepada
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan : Satu Kajian Di Daerah Timur Laut, Pulau
Pinang. UPM. Kuala Lumpur

Chek Mat (2008). Ujian Psikologi & Pengurusan. Unipress Printer Sdn Bhd. 2008

Dr Sapura Sipon (2007). Tekanan Kerja Di Kalangan Guru-Guru Di Sebuah Sekolah


Menengah Kerajaan Dan Sebuah Sekolah Menengah Swasta. Kertas Projek Bacelor
Sains: Serdang. Universiti Putra Malaysia.

Erkutlu, H.V. & Chafra, J. (2006), Relationship Between Leadership Power Bases
And Job Stress Of Subordinates : Example From Boutique Hotels. Journal
Management
Research News, London

Esah Sulaiman (2003), Modul Pengajaran : Asas Pedagogi. Skudai: Jabatan Asas

Fontan, D. (1989), Managing Stress. British Psychological Society & Routledge Ltd

Hamedah Wok Awang. (2004), Cerita-Cerita Motivasi Untuk Guru. PTS Millenia Sdn
Bhd. Kuala Lumpur

Ho, J. (1997), Corporate Wellness Programmes in Singapore: Effect on Stress,


Ibrahim Ahmad Bajunid (1995). Tinjauan Tahap Tekanan dan Punca Stress di
Kalangan Guru Sekolah Sabak Bernam. Universiti Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana
Muda.

Jaafar Muhammad, (2003), Kelakuan Organisasi. Kuala Lumpur. Leeds Publications

Mohd Abdillah Royo & Woo Sew Fun (2010), Faktor-Faktor yang Mendorong Tekanan Kerja (
Stress ) di Kalangan Guru-Guru SJK(C) : Satu Kajian. Universiti Teknologi Mara. Selangor

Smither, R. (1994). Stress and teachers: Old wine in new bottle. Urban Education,London

Smither, R.D. (1994), The Physchology of Work And Human Performance (2nd
ed.). Journal of Managerial Psychology

Guru Alami Tekanan Mental & Emosi, Kata NUTP. (18 Ogos 2005). BERNAMA
Kementerian Akui Ada Masalah Kekurangan Guru. (17 Disember 2003). BERNAMA

Tip Mengatasi Stres. (25 Jun 2006). Utusan Malaysia

Guru Di Bandar Lebih Tertekan. (18 Disember 1997).Utusan Malaysia

Tuala Wanita: 200 Pelajar Direndam Dalam Kolam Kotor. (28 Julai 2007). Utusan
Malaysia.

Ibu Bapa Punca Guru Tertekan. (23 Februari 2007). Berita Harian

Ramai Guru Berpenyakit Akibat Stres .( 20 Mei 2006), Utusan Malaysia

Lima Peratus Penjawat Awam Ponteng Kerja. (21 April 2009). Berita Harian

Guru Ponteng Sebulan Boleh Diberhenti Kerja. (12 Mei 2008). Berita Harian

Guru Ponteng : Tindakan Tegas akan Diambil. (12 Mei 2008). Berita Harian

Pengetua Sekolah Yang Langgar Arahan Akan Dikenakan Tindakan Disiplin. (1 Jun
1997). BERNAMA

Pengetua Salahguna Kuasa Akan Dikenakan Tindakan. (4 Mac 2000). BERNAMA

http://www.nutp.org/new/ms/
http://www.jpa.gov.my/index.php?lang=ms
http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120424/pe_01/Guru-lebih-stres
ISU: Stress Di Kalangan Guru

STRESS DI KALANGAN GURU


Adakah kita tergolong ?

Stress, seperti yang diterangkan sebelum ini boleh berlaku kepada semua guru,
sama ada guru sekolah rendah, menengah atau peringkat pengajian tinggi. Punca
stress di kalangan guru boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu punca
profesional dan punca peribadi.

Punca profesional
1. Persekitaran kerja
Persekitaran kerja yang kurang kondusif boleh menjadi punca berlakunya stres di
kalangan guru. Misalnya ruang kerja yang sempit dan kelas yang tidak selesa boleh
menimbulkan ketidakselesaan kepada guru. Ditambah dengan kemudahan sekolah
yang tidak mencukupi untuk keperluan sendiri dan pelajar serta pelbagai isu
pendidikan dalam negara.
2. Perubahan
Perubahan peningkatan populasi dalam masyarakat, peningkatan taraf hidup dan
jenayah yang memberikan impak negatif dalam tingkah laku pelajar menyebabkan
seseorang guru itu harus melakukan perubahan dalam kehidupan profesional dan
peribadinya. Perubahan boleh menyebabkan terganggunya sistem keseimbangan
dalam diri seseorang individu itu. Contohnya, banyak perubahan telah berlaku dalam
mobiliti masyarakat Amerika Syarikat pada hari ini. Antaranya, penambahan
golongan etnik dalam pendidikan. Pelajar dari golongan etnik ini kerang fasih atau
tidak tahu langsung berbahasa Inggeris. Oleh itu, hal ini memberikan tekanan
kepada guru Bahasa Inggeris untuk memenuhi kurikulum pendidikan.

Punca peribadi
1. Kesihatan – Keadaan kesihatan guru yang terjejas akibat kemalangan atau
berlaku kematian dalam kalangan keluarga.
2. Perhubungan – Oleh sebab banyak perubahan dalam masyarakat pada hari ini,
misalnya peningkatan kadar jenayah, guru memerlukan sokongan dan hubungan
yang baik dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Apabila berlaku perselisihan faham
maka ini boleh menyebabkan stress terhadap guru tersebut.
3. Kewangan – Gaji yang rendah berbanding dengan profesion yang lain
membataskan aktiviti riadah dan taraf hidup seseorang guru.
4. Taraf hidup – Gaji yang rendah menyebabkan sukar untuk guru menikmati dan
memberikan taraf hidup yang baik bagi keluarga mereka. Di samping itu, memiliki
rumah sendiri juga sukar terutamanya bagi guru yang baru mengajar.
5. Aktiviti riadah – Gaji yang rendah membataskan pilihan guru melakukan aktiviti
riadah bersama keluarga (Gold Yvonne dan A. Roth Robert, 1993).
Cara Mengendalikan Stress di kalangan Guru
Stress dalam kalangan guru dapat dikendalikan dengan strategi berikut:
1. Kenal pasti reaksi emosional
Apabila keperluan emosi dapat dikenal pasti maka seseorang guru boleh menangani
stress dengan cara yang lebih positif. Contoh situasi, seorang guru perempuan tidak
bersefahaman dengan pengetua di sekolahnya. Guru tersebut telah menangani
stress dengan cara yang negatif, iaitu menengking pengetua itu. Setelah guru
tersebut mengetahui keperluan emosi dalam dirinya, guru tersebut sedar bahawa
tindakannya adalah kerana suatu masa dahulu ayahnya telah menggunakan
pendekatan yang sama oleh pengetua itu, iaitu lagak bapa yang menghukum
anaknya. Guru tersebut sedar bahawa dia inginkan pengetua itu menghargai beliau.
Guru tersebut telah berhadapan dengan pengetua dan memberitahu perasaannya
itu. Akhirnya, hubungan mereka berjaya dipulihkan.
2. Komitmen sosial
Apabila berhadapan dengan stress, guru memerlukan sokongan daripada orang-
orang di sekelilingnya. Oleh itu, komitmen sosial amatlah penting.
3. Kehidupan fizikal
Stress menjejaskan kesihatan dari segi imunisasi tubuh. Oleh itu, seseorang guru
harus tahu teknik yang berkesan untuk menangani stress terutamanya menjelang
peperiksaan pelajar dan pertukaran pentadbiran di sekolah. Pengetahuan dalam
senaman rutin dan pelan makanan seimbang boleh membantu guru menangani
stress.
4. Intelek
Guru hendaklah bergaul dengan golongan yang memiliki tahap intelek yang serupa
dengan mereka kerana aspek intelek boleh membantu guru menangani stress (Gold
Yvonne dan A. Roth Robert, 1993).
Stress jika dibiarkan, boleh mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik.
Justeru adalah penting untuk mengubah diri individu untuk menangani stress
dengan cara yang terbaik. Kenal pasti punca yang menyebabkan masalah tersebut
dan ubah. Dengan mengetahui punca stress tersebut, individu bukan hanya
meringankan masalah kini malah menghindarkan berulangnya masalah serupa pada
masa akan datang. Contohnya, jika seseorang guru kecewa dengan perbalahan
dengan pelajarnya, guru tersebut mungkin menyedari bahawa punca
kekecewaannya itu bukan disebabkan oleh tingkah laku pelajar tetapi harapan yang
tidak realistik guru berkenaan. Dengan mengubah standard yang ingin dicapai, guru
tersebut akan mendapati bahawa tingkah laku pelajar tidak lagi mengganggunya
Dicatat oleh raudah samsi di 1:04 PG
Isu Tekanan Dalam Profesion Perguruan
(Berdasarkan artikel “Pendidik Mesti Bijak Kawal Emosi” yang ditulis oleh
Pengarah Perhubungan Korporat Universiti Sains Islam Malaysia, DR. SAPORA
SIPON dalam Utusan Malaysia Online bertarikh 23 Julai 2007)

Di zaman yang serba mencabar dan moden ini di kala pergerakan semakin laju, seiring
dengan maklumat bergerak pantas serta semuanya menuntut kesempurnaan dan
komitmen yang tinggi daripada pelakunya, pastinya semua orang tidak dapat lari
daripada mengalami tekanan. Tekanan merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan
dengan kesihatan mental dan kerap menyerang masyarakat pada hari ini. Kehidupan
manusia pada alaf ini amat mencabar dan kompleks. Kepelbagaian dan kekomplekasian
kehidupan ini menyebabkan munculnya “Sindrom Baru” yang menyerang manusia iaitu
tekanan atau secara khususnya lebih dikenali sebagai stres. Menurut Hatta Sidi dan
Mohamed Hatta Shaharom (2002), tekanan merupakan sebahagian daripada kehidupan
manusia sejak dahulu lagi tanpa disedari.
Profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sungguh
mencabar. Tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan
perkembangan terkini dalam proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber,
dan pencapaian matlamat pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Seiring dengan
itu, pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan
dan tanggungjawab guru-guru menjadi lebih mencabar.
Menurut rencana dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk “Guru Lebih Stres” yang
ditulis oleh Noor Hamzah Abu Bakar pada 24 April 2012, kajian menunjukkan bahawa
guru berada di kedudukan keempat dalam kerjaya yang paling mencetuskan tekanan
selepas polis, pegawai penjara dan jururawat. Kedudukan ini berada di atas daripada
profesion tentera yang menduduki tempat kelima. Malah Pengarah Urusan Great Life
Physio dan Rehabilation, Mohd. Rozaimi Che Kamaruddinata pula menyatakan bahawa,
“Seseorang guru berdiri lama ketika mengajar di dalam kelas serta melakukan aktiviti
sukan dan sebagainya. Jadi, tidak mustahil mereka mengalami tekanan seperti kesakitan
anggota badan.”
Di Malaysia, fenomena tekanan dalam kalangan guru kini sedang hebat diperbincangkan
dan dijadikan sebagai bahan kajian ilmiah. Malahan, kajian-kajian yang lepas juga
mendapati bahawa profesion perguruan adalah bidang kerjaya yang menghadapi
tekanan kerja yang tinggi (Cooper, 1995 dan Mokhtar,1998). Kita sering mendengar
dan terbaca di dada-dada akhbar tentang masalah-masalah dan tekanan-tekanan yang
dialami oleh guru-guru masa kini contohnya seperti tekanan daripada pihak ibubapa
mahupun pihak pentadbir. Tekanan-tekanan dan masalah-masalah yang dihadapi oleh
guru-guru tersebut pastinya akan menyumbang kepada stres dan kadang-kala ke tahap
yang lebih kritikal, iaitu penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan
melampau dan kemurungan. Ini pastinya akan menyebabkan mutu dan kualiti
perkhidmatan guru-guru terjejas selain turut memudaratkan kesihatan fizikal dan mental
guru. Banyak kajian yang telah dilakukan juga menunjukkan bahawa kerjaya sebagai
seorang guru adalah antara salah satu kerjaya yang menyumbang kepada masalah stres
tertinggi. Persoalannya, apakah punca yang menyebabkan masalah ini?
Berdasarkan analisis yang dilakukan pada artikel penulisan Dr. Sapora Sipon berjudul
“Pendidik Mesti Bijak Kawal Emosi” yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia
Online pada 23/7/2007, didapati bahawa terdapat beberapa faktor utama yang
menyebabkan berlakunya tekanan kerja dalam profesion perguruan. Antaranya ialah
beban tugas, persekitaran tempat kerja,masalah disiplin murid, keperluan penghargaan,
kekangan masa dan sumber, masalah peribadi serta faktor geografi.
Bebanan kerja yang semakin meningkat dari semasa ke semasa juga menjadi penyebab
utama bagi berlakunya tekanan yang lebih dikenali sebagai stres, dalam kalangan guru.
Isu ini telah dibincangkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 Ogos 2012 yang
ditulis oleh Abdul Muin Sapidin, di mana Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP) mendakwa bahawa, “Tahap stres di kalangan guru-guru di negara ini semakin
menjadi dan membimbangkan ekoran bebanan tugas yang meningkat.” Kerjaya seorang
guru pada 20 tahun yang lampau mungkin tidak sama dengan kerjaya seorang guru
pada masa kini. Secara amnya, mungkin kerjaya seorang guru itu kelihatan hanyalah
sekadar menyampaikan dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di
dalam kelas namun sebenarnya tanggungjawab dan beban tugas seorang guru itu
melebihi dan merangkumi segala-galanya bermula daripada mengajar dan mendidik
murid-murid, aktiviti-aktiviti ko-kurikulum, tugas-tugas pengkeranian sehinggalah
kepada kerja-kerja sampingan seperti mengecat, membuat garisan padang dan pelbagai
jenis pekerjaan lagi. Bolehlah dikatakan bahawa seseorang guru itu sentiasa bertugas
dan dilimpahi dengan pelbagai tanggungjawab bermula dari awal pagi sehinggalah
kepada waktu petang. Oleh itu, bolehlah dirumuskan bahawa bebanan kerja yang
semakin meningkat adalah antara salah satu punca berlakunya tekanan di kalangan
guru-guru.
Selain itu, persekitaran tempat kerja iaitu sekolah tempat guru-guru mengajar juga
telah dikenalpasti antara punca-punca berlakunya tekanan di kalangan guru-guru.
Persekitaran yang dimaksudkan ialah hubungan guru-guru dengan pihak pentadbir,
ibubapa, rakan sejawat mahupun murid-murid seperti yang telah diklasifikasikan oleh
Dr. Sapora Sipon dalam rencana beliau. Ini menjelaskan bahawa hubungan baik guru-
guru dengan pihak pentadbir, ibubapa, rakan sejawat mahupun murid-murid pastinya
akan mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan baik untuk guru. Namun begitu,
seringkali kita mendengar guru-guru sering menghadapi masalah dan tekanan
khususnya daripada pihak pentadbir dan ibubapa. Pihak pentadbir, khususnya Guru
Besar seringkali dilaporkan menekan para guru supaya berusaha keras siang dan malam
bertujuan untuk meningkatkan prestasi sekolah dalam bidang akademik mahupun ko-
kurikulum tanpa mengira kekangan dan masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru
tersebut. Hal ini ditambah lagi dengan pelbagai karenah ibubapa yang bulat-bulat
menyerahkan tanggungjawab sebagai penjaga, pengasuh dan pendidik kepada anak-
anak mereka tanpa menghulurkan bantuan kepada guru-guru khususnya dalam
menangani gejala sosial yang berlaku di kalangan anak-anak mereka. Tambahan pula,
terdapat segelintir guru yang mempunyai masalah dengan rakan-rakan sejawat
khususnya di kalangan guru perempuan yang suka berpuak-puak dan ini pastinya
menyumbang kepada masalah stres di kalangan para guru.
Selain itu, kadar masalah disiplin yang tinggi di kalangan murid-murid, serta kegagalan
guru-guru mengawal kelas semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang
berlangsung juga menjadi salah satu punca berlakunya stres di kalangan guru-guru. Di
dalam bilik darjah guru berhadapan dengan masalah salah laku pelajar yang mana
faktor ini dipercayai antara faktor yang menyebabkan guru-guru di sekolah menghadapi
tekanan. Guru terpaksa berhadapan dengan masalah pelajar-pelajar yang suka
membuat bising, biadap atau kurang ajar dan kesukaran mengawal pelajar dalam kelas,
misalnya pelajar hiperaktif yang suka berlari-lari di dalam kelas serta mengganggu
rakan-rakan lain semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Sehubungan itu, kita perhatikan bahawa faktor penghargaan juga merupakan satu lagi
faktor yang boleh menyebabkan tekanan kerja kepada guru. Faktor penghargaan ini
merujuk kepada penghargaan yang sepatutnya diberikan kepada guru-guru yang rajin,
berdedikasi, dan cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum. Terdapat guru-guru
yang benar-benar memberi komitmen yang tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran,
namun penghargaan yang sewajarnya masih belum diperolehi. Selain itu, terdapat guru-
guru yang tidak berpeluang untuk kenaikan pangkat dan masih tidak diiktiraf
senioritinya untuk memegang sesuatu jawatan. Adakalanya pandangan, pendapat dan
suara seseorang guru demi kebaikan sekolah tidak dihargai atau kurang mendapat
perhatian yang baik dari pihak pentadbiran sekolah. Ini juga boleh menimbulkan
perasaan tersinggung dan kecewa sehingga menyebabkan guru-guru itu menjadi kurang
proaktif lagi seiring dengan tekanan perasaan yang dialami. Selain itu, terdapat
segelintir guru yang melihat gaji yang diterima tidak seimbang dengan tugasnya
sedangkan mereka ini mengharapkan gaji yang seimbang dengan tugas-tugas yang
ditanggungnya. Sepatutnya apabila guru-guru tersebut memegang sesuatu jawatan atau
tugas yang berat, pihak pentadbir harus peka terhadap mereka yang dibebani kerja
yang banyak.
Faktor kekangan masa dan sumber merupakan faktor seterusnya yang menjadi
penyebab berlakunya tekanan kerja kepada guru. Kekangan sumber merujuk kepada
kekurangan peralatan dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran, keadaan bilik
guru, kekurangan kelas, tuntutan sukatan pelajaran dan lain-lain. Kekangan masa pula
ialah kekurangan masa guru-guru untuk mengajar, menghabiskan sukatan pelajaran
yang diajar, pelajar dan masa rehat yang singkat. Pelbagai kursus juga perlu dihadiri
oleh guru, kadang kala memakan masa yang lama sehingga terpaksa meninggalkan
kelas yang diajar. Tambahan pula, guru tersebut tidak dapat menghabiskan sukatan
pelajaran bagi mata pelajaran yang diajarnya. Setelah tamat kursus, guru perlu
menghabiskan dan menyiapkan tugasan yang tertangguh sebelum ini. Ini tentunya akan
menambahkan tekanan kerja kepada guru tersebut.
Di samping itu, masalah peribadi turut menjadi punca atau sebab berlakunya tekanan di
kalangan guru-guru. Masalah peribadi yang dimaksudkan di sini adalah seperti masalah
rumahtangga ataupun masalah kesihatan yang berlaku di kalangan guru. Pastinya
masalah-masalah yang berlaku dalam rumahtangga seperti penceraian mahupun
masalah kesihatan seperti ditimpa penyakit-penyakit kronik menjadi salah satu sebab
guru mengalami stres. Masalah-masalah ini kadangkala boleh membawa kepada sindrom
kemurungan di kalangan guru dan mereka juga akan berasa kurang bersemangat
semasa berada di sekolah. Tidak dapat dinafikan juga bahawa kenaikan pangkat yang
terhad serta kadar gaji yang rendah turut menyumbang kepada tekanan perasaan yang
seterusnya menjadi pencetus berlakunya masalah stres kepada seseorang guru.
Kekangan kewangan disebabkan oleh gaji yang rendah pastinya menghalang guru-guru
untuk mencapai status sosial yang baik dalam sesebuah masyarakat dan ini pastinya
mengundang tekanan juga kepada para guru. Hal ini sememangnya berlaku di kalangan
para guru khususnya guru-guru yang baru memasuki alam pekerjaan yang dilaporkan
sukar untuk memberikan taraf hidup yang lebih baik kepada keluarga mereka khususnya
untuk memiliki rumah dan kenderaan mewah yang sendiri.
Walau bagaimanapun, geografi juga menjadi faktor penting dalam menentukan tekanan
kerja di kalangan guru. Kedudukan sekolah dan masyarakat di kawasan sempadan
adalah berbeza dengan tempat-tempat lain di Malaysia. Antara tempat yang agak unik
dan perlu dibuat kajian ialah kawasan sempadan Malaysia dengan Thailand. Ini dapat
kita lihat di Rantau Panjang, Kelantan di mana 35 peratus pelajar di sekolah berasal dari
Sungai Golok, Thailand. Pelajar-pelajar di sini adalah terdiri daripada pelajar Melayu dan
mereka berulang-alik melalui jambatan dan sebahagian lagi datang dengan menaiki
sampan. Budaya hidup di sini agak berlainan dengan tempat lain di Malaysia kerana
sedikit sebanyak budaya dari Thailand telah mempengaruhi masyarakat di Rantau
Panjang. Selain daripada itu, satu lagi kelainan jika dibandingkan dengan tempat-tempat
lain ialah kegiatan penyeludupan yang menjadi sumber pendapatan penduduk di sini.
Sebahagian besar penduduk di sini tidak menganggap kegiatan ini sebagai satu
kesalahan, malah ia dianggap sebagai satu mata pencarian. Guru baru yang
ditempatkan di sini memerlukan masa untuk menyesuaikan dengan keadaan
persekitaran sebegini dan guru lama di sini mungkin telah menerima aktiviti ini sebagai
satu kenyataan. Maka, tidak mustahil sekiranya guru-guru yang ditempatkan di sini
mengalami masalah tekanan kerja yang lebih berat dari tempat-tempat lain.
Berdasarkan punca-punca yang telah dihuraikan, didapati bahawa tekanan guru boleh
mengakibatkan perasaan tidak selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan,
tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari aspek kerja mereka sebagai seorang
guru. Dr. Sapora Sapian turut menerangkan dalam rencana beliau bahawa guru yang
menghadapi tekanan tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya
pendidikan yang bukan sahaja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu
mendidik manusia agar menjadi masyarakat yang berguna. Justeru itu, tekanan kerja
pada tahap yang tinggi biasanya akan membawa kepada ketidakpuasan kepada kerja,
sikap suka mengelak serta pengabaian kerja.
Malah, guru yang tertekan akan melakukan apa sahaja untuk memastikan tekanan yang
melanda mereka berakhir. Ini termasuklah melakukan perkara-perkara yang menyalahi
undang-undang dan etika perguruan. Ponteng kerja adalah antara perkara serius yang
dilakukan oleh individu-individu yang tertekan. Tindak balas penyesuaian tekanan oleh
guru merangkumi tindakbalas psikologikal (keletihan dan kemurungan), fisiologikal
(sakit kepala, tekanan darah tinggi) dan berkaitan sikap (pengambilan alkohol, merokok,
gaya hidup dan masalah tidur). Selain itu juga, tekanan yang berpanjangan juga boleh
melemahkan mental dan fizikal seseorang guru serta boleh membawa risiko ke atas
kesihatan jika tidak menerima rawatan dengan sebaiknya.
Tekanan atau stres yang berterusan juga boleh menggugat emosi seseorang guru
sehingga kadangkala bertindak di luar jangkaan. Misalnya seperti berita yang diulaskan
oleh Dr. Sapora Sapian dalam rencana beliau, di mana seorang warden asrama
mengarahkan ramai pelajar perempuan SMK Bawang Assan berendam di dalam kolam
ikan kerana kesalahan seorang daripada mereka yang membuang tuala wanita di dalam
mangkuk tandas asrama perempuan.
Ini jelas menyatakan bahawa tekanan kerja sememangnya akan mengganggu gaya
hidup dan kesejahteraan hidup seseorang insan bergelar guru. Ini seterusnya akan
mengganggu prestasi kerja dan outputnya dalam bidang pendidikan yang diceburinya.
Perkara ini telah turut dibuktikan melalui pendedahan yang dibuat oleh akhbar (Berita
Harian, 2011) iaitu seramai lima peratus daripada keseluruhan penjawat awam di
Malaysia terlibat dalam kes ponteng kerja, di mana ada sesetengahnya tidak hadir ke
tempat kerja selama tiga bulan. Tambahan pula, menurut laporan akhbar (Berita Harian,
2012) terdapat seorang guru di Perak yang tidak menghadirkan diri ke sekolah selama
lebih dari 30 hari tanpa sebarang alasan yang kukuh. Akibat dari perlakuan tersebut,
pihak Kementerian Pelajaran telah mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap
guru terbabit termasuk memecatnya. Perkara ini dikhuatiri ada kaitannya dengan
tekanan kerja yang dihadapi oleh guru seperti yang dinyatakan oleh Dr. Sapora Sapian
dalam rencana beliau.
Guru yang ponteng kerja akan menyebabkan proses pembelajaran dan pentadbiran di
sekolah terganggu untuk satu jangka masa yang panjang. Akibatnya, banyak perkara
yang tidak boleh diselesaikan dengan segera seperti kegagalan menghabiskan silibus
pengajaran dan kelewatan menganjurkan aktiviti-aktiviti kokurikulum. Selain itu,
rancangan pengajaran yang telah ditetapkan juga tidak dapat diikuti lagi kerana telah
tersasar dari perancangan asal menyebabkan perancangan yang baru perlu disusun
semula. Akhirnya, pelajar-pelajar kelas terbabit juga akan menerima padah apabila
mereka tidak mampu menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik terutamanya
peperiksaan besar seperti UPSR, kesan daripada proses pengajaran dan pembelajaran
yang tidak lancar.
Oleh hal yang demikian, kebijaksanaanlah yang menentukan dan membezakan
seseorang individu itu dengan individu yang lain. Seorang guru yang bijak pastinya akan
sentiasa berfikiran positif dan mempunyai strategi dan kaedahnya yang tersendiri untuk
mengatasi dan menangani masalah tekanan yang dihadapi oleh mereka. Berdasarkan
kepada hasil kajian yang telah dijalankan, berikut dapatlah dikemukan beberapa
cadangan yang berkaitan dengan pengurusan tekanan guru di sekolah. Cadangan-
cadangan yang dikemukakan ini difikirkan sesuai untuk mengurangkan tekanan kerja
warga pendidik secara amnya.
Salah satu langkahnya ialah berasaskan usaha seseorang guru itu sendiri, iaitu dengan
melaksanakan dan menguruskan segala kerja dan tanggungjawab yang diamanahkan
dengan lebih sistematik dan tersusun. Guru yang bijak pastinya mampu merangka
strategi yang tersusun agar segala tanggungjawab atau kerja yang diamanahkan dapat
dilakukan atau disiapkan dengan sempurna mengikut tarikh yang ditetapkan selaras
dengan etika pengurusan masa yang patut dimiliki oleh setiap guru. Budaya
menangguhkan kerja dan bersikap sambil lewa ketika menjalankan tugas haruslah
dielakkan bagi mengelakkan bebanan kerja yang berlambak pada satu-satu masa. Guru-
guru juga boleh menolak tugas yang diberikan oleh pihak pentadbir mahupun rakan
sejawat dengan cara yang baik dan berhemah sekiranya merasakan beban tugas yang
ditanggung adalah amat berat dan membebankan.
Selain itu, para guru juga boleh menggunakan teknologi internet yang berkembang
pesat pada masa kini untuk meluahkan perasaan dan menyatakan masalah yang
dihadapi di dalam blog-blog atau forum-forum berkaitan guru bagi mendapatkan nasihat
daripada guru-guru yang lebih berpengalaman berkaitan masalah yang dihadapi.
Pastinya perbincangan yang bermutu di antara guru-guru baru dengan guru-guru
berpengalaman akan menghasilkan impak atau keputusan yang positif bagi menangani
masalah stres yang berlaku di kalangan guru-guru di sekolah.
Seterusnya, seseorang guru yang mengalami tekanan juga bolehlah mengambil
pendekatan mengelakkan diri daripada individu-individu yang mengundang stres kepada
mereka contohnya seperti mengelakkan diri daripada bercampur dengan rakan-rakan
sejawat yang tidak sistematik dalam menjalankan tugas. Namun begitu, haruslah
diingatkan bahawa guru-guru perlulah bertindak dengan bijak dalam apa jua tindakan
yang dilakukan bagi mengelakkan diri daripada dituduh atau dianggap lari daripada
menjalankan tugas.
Di samping itu, guru juga perlu melibatkan diri dalam aktiviti riadah, senaman yang
berterusan dan melakukan latihan jasmani supaya dapat membantu melupakan tekanan
yang dihadapi. Badan yang segar akan mempunyai otak yang cerdas.. Aktiviti bersukan
selain membantu mengeluarkan peluh serta menjadikan badan kita sihat dan cergas
juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan para guru dengan
masyarakat. Aktiviti-aktiviti seperti berkelah atau bermain bola pada waktu petang atau
hujung minggu bersama rakan sejawat lain sekolah pastinya akan menghasilkan
perbincangan-perbincangan serta pertukaran idea yang sihat di antara guru-guru dan
masyarakat di mana perkara ini pastinya akan membantu para guru untuk mendapatkan
kehidupan yang lebih baik seterusnya mengurangkan tekanan yang dialami. Ini adalah
selaras dengan amalan pemakanan guru juga perlu diberi panduan dan perhatian supaya
bukan hanya murid-murid sahaja yang dijaga aspek jasmani, emosi, rohani dan
inteleknya tetapi guru juga sepatutnya diberi pendedahan terhadap penjagaan aspek
tersebut.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa profesion keguruan juga terdiri daripada
komuniti berbeza kaum di mana setiap individu menganuti agama serta kepercayaan
mengikut kaum masing-masing. Maka, seseorang guru juga bolehlah berusaha
mendekatkan diri dengan penciptaNya bagi mengurangkan masalah tekanan yang
dihadapi. Sebagai contoh para guru yang beragama Islam bolehlah memperbanyakkan
membaca ayat-ayat suci al-Quran serta memperbanyakkan amalan zikir kerana kajian
menunjukkan bahawa individu yang sentiasa mendekatkan diri dengan penciptaNya
dapat menguruskan kehidupannya dengan lebih baik seterusnya mencapai kejayaan
dalam setiap aspek kehidupan. Bagi guru-guru yang beragama lain pula, mereka juga
boleh berdoa mengikut kepercayaan kaum masing-masing untuk mendapatkan
ketenangan diri yang secara secara langsung dapat mengelakkan tekanan dalam diri
seseorang guru.
Langkah seterusnya bagi menangani masalah tekanan di kalangan guru melibatkan
peranan pihak pentadbir. Misalnya, pihak pentadbir menganjurkan program berkaitan
pengurusan tekanan, sama ada dalam bentuk bengkel, kursus ataupun seminar perlu
memasukkan strategi berlandaskan agama dalam kandungan atau agenda program.
Seterusnya, mewujudkan suasana yang sihat dan harmoni iaitu perhubungan yang baik
antara staf, keputusan yang diambil perlulah berdasarkan perbincangan, polisi sekolah
yang lengkap dan teratur, guru-guru menerima tindak balas yang positif dan dihargai,
pengurangan tugas-tugas pentadbiran sebarang tugas tambahan adalah berdasarkan
kepada kemahiran guru tersebut, membina persekitaran kerja yang ceria dan kerjasama
yang baik untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.
Melalui pendekatan organisasi pula, pentadbir tentu boleh menentukan pemilihan dan
penempatan guru-guru. Perpindahan dan pertukaran guru-guru disokong sepenuhnya
supaya guru-guru yang ingin bertukar tidak tertekan. Pengetua juga mestilah ubah suai
tugas guru dan memberikan taklimat kerja yang mendalam terutama sekali sasaran
matlamat. Sebarang keputusan dan perancangan sekolah mestilah dilibatkan kerjasama
semua guru di sekolah. Proses menerima dan menapis pendapat dan pandangan guru
mungkin terlalu lambat, tetapi ia lebih mudah untuk diterima. Sehubungan itu juga,
pentadbir perlu mengubah gaya pentadbiran bersifat autokratik kepada gaya
pentadbiran yang lebih mengutamakan pendekatan humanistik atau demokratik.
Kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa kerjaya dan tugas seorang guru itu
adalah amat berat. Tugas dan tanggungjawab guru pada masa yang serba canggih dan
mencabar ini bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan malah gurulah
yang menjadi penjana dan nadi kepada kecemerlangan generasi yang akan datang.
Secara mudahnya, tekanan-tekanan yang dialami oleh guru tidak boleh dipandang
remeh kerana ianya boleh membawa kesan yang jauh lebih dahsyat kepada kemajuan
pendidikan negara amnya dan kepada pembangunan pelajar khasnya kerana mereka
bakal menjadi pemimpin pada masa depan. Ternyata, tekanan kerja sememangnya akan
mengganggu gaya hidup dan kesejahteraan hidup seseorang insan bergelar guru. Ini
seterusnya akan mengganggu prestasi kerja dan outputnya dalam bidang pendidikan
yang diceburinya.
Oleh yang demikian, setiap individu yang bergelar guru juga perlulah sentiasa
mempersiapkan diri dengan sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan yang ada
mengikut perubahan semasa. Selain itu, seorang guru juga perlulah bijak menangani
dan menguruskan setiap bebanan dan masalah yang dihadapi di alam pekerjaan dengan
bijaksana agar setiap permasalahan dan bebanan tersebut tidak mengundang kepada
masalah tekanan atau stres. Akhir kata, ingatlah bahawa setiap permasalahan itu pasti
ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga dengan masalah tekanan atau stres yang dialami
oleh guru-guru pada masa kini, walaupun kadangkala penyelesaian itu memerlukan
pengorbanan. Dalam pada itu, setiap pihak juga harus memberi sokongan dan
membantu mengurangkan beban stres yang dihadapi oleh guru ini.

(Sumber artikel : Utusan Malaysia Online, 23/7/2007, Artikel “Pendidik Mesti Bijak Kawal
Emosi”)
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=R
encana&pg=re_07.htm

Anda mungkin juga menyukai